Sunday, October 13, 2013

Kelebihan Puasa Hari Arafah ( 9 Zulhijah 1434 Isnin )

Oleh: al-bahanj


“In shaa' ALLAH, jika dipanjangkan umur, kita akan dapat bertemu dengan hari yang paling mulia iaitu Hari `Arafah pada 9 Dzulhijjah 1434.  Pada tahun ini, ia jatuh pada 14 Oktober 2013 iaitu hari Isnin ini.

Pada hari tersebut kita disunatkan untuk berpuasa.  Ia khusus kepada orang yang tidak menunaikan haji, iaitu bagi bukan jemaah haji.  Antara kelebihan puasa sunat hari `Arafah ialah:
1)  Diampuni dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.
Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah ditanya tentang puasa hari `Arafah, kemudian Baginda menjawab:
َََيُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة
“Puasa itu (puasa hari `Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang.”
(HR Muslim)
2)  Amalan terbaik yang disukai ALLAH Ta`ala kerana ia termasuk dari 10 hari pertama dari bulan Dzulhijjah.  [baca sini]
Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا:  يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟  قَالَ:  وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ
“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi ALLAH selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah).”
Para sahabat bertanya: ”Walaupun berjihad di jalan ALLAH?”
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid).”
(HR al-Bukhari)
3)  Hari yang paling banyak dibebaskan dari api neraka.
Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
َمَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة
“Tidak ada hari yang lebih ramai ALLAH Ta`ala membebaskan hambaNYA daripada api neraka lebih daripada hari `Arafah.”
(HR Muslim)
Bagi jemaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa.  Malah disunatkan berbuka sebagai mengikut Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam dan supaya dia tetap kuat dan gagah untuk memperbanyakkan doa pada hari tersebut.
Semoga ALLAH Ta`ala memberikan kita hidayah dan taufiq untuk dapat melaksanakan ibadah puasa sunat hari `Arafah dan mengecapi kelebihan-kelebihan daripadanya, amin…
Rujukan:

  • Riyadh as-Solihin, bab keutamaan berpuasa dan berbuat baik pada 10 hari permulaan bulan Dzulhijjah.
  • Al-Fiqhu al-Manhaji `ala Madzhab al-Imam asy-Syafi`i, bab puasa sunat.

Saturday, October 12, 2013

Integriti Amalan Murni Tuntutan Islam

Perkara asas dalam menentukan kecemerlangan negara
Integriti adalah istilah merujuk kepada tingkah laku berakhlak meliputi pelbagai nilai murni terutama amanah, jujur, ikhlas, bertanggungjawab serta adil yang membentuk keutuhan peribadi. Menurut Ibn Manzur, akhlak yang baik ialah cerminan kepada nilai yang terbit daripada diri dan naluri manusia. 

Himpunan nilai baik ini menjadi suatu tuntutan dan syarat bagi sesuatu kerja itu diterima sebagai ibadat di sisi Allah SWT. Ia sekali gus menjadi imej dan standard kualiti Islam bagi setiap amalan. 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (orang mukmin) yang berbahagia ialah orang yang terhadap amanah dan janjinya dijaga.” (Surah al-Mukminun, ayat 8)

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya agama itu (al-din) adalah akhlak yang baik.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 


Malah, menurut Abu Ali Miskawayh dalam Tahdhib al-Akhlaq wa Tathir al-A’raq, akhlak adalah perkara asas yang menentukan kecemerlangan bagi sesebuah negara. Integriti bukan saja menjadi asas pelaksanaan tetapi juga asas ketikadalam mengendalikan pemantau an dan penguatkuasaan.

Elak perkara tak diingini
Penguatkuasaan adalah proses tindakan untuk memastikan setiap urusan perkhidmatan berjalan dengan lancar dan betul mengikut ketetapan peraturan, undang-undang atau polisi. Ia bertujuan menjaga kemaslahatan masyarakat serta mengelakkan perkara tidak diingini. 

Penguatkuasaan telah diamalkan oleh Rasulullah SAW melalui kaedah yang dinamakan al-hisbah. Baginda melantik antaranya Sa’id bin Sa’id bin al-’As sebagai penyelia pasar di Kota Makkah dan Saidina Umar bin al-Khattab pula di Kota Madinah. 


Al-Mawardi dalam kitab beliau yang terkenal al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan, al-hisbah itu ialah melaksanakan tugas menyeru melakukan makruf (kebaikan) jika teryata ditinggalkan dan mencegah melakukan kemungkaran yang jelas dilakukan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Surah Ali-Imran, ayat 104) 

Namun, dalam memenuhi amanah penguatkuasaan, pegawai penguatkuasa sering berdepan cemuhan dan kata-kata kasar oleh sesetengah masyarakat, walaupun melanggar peraturan. Tidak dinafikan, sifat semula jadi manusia tidak mahu diikat dengan peraturan tertentu, namun kita juga tidak mahu jika hak dan kebajikan tidak ditunaikan dengan baik. 

Justeru, dalam melakukan penguatkuasaan, nilai integriti perlu diperkukuhkan untuk melaksanakan tanggungjawab berhemah, bersabar dan dihormati. Penguatkuasaan berintegriti perlu menepati beberapa etika teras.

Memahami peruntukan peraturan dan dasar dengan jelas, mampu memperjelaskannya secara berhemah kepada masyarakat awam, bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan tanpa curi tulang dan culas, beramanah melaksanakan penguatkuasaan tanpa penipuan, menerima suapan dan pilih kasih. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (orang mukmin) yang berbahagia ialah orang yang terhadap amanah dan janjinya dijaga.” (Surah al-Mukminun, ayat 8) 

Bertimbang rasa iaitu mendapatkan penjelasan dan mendengarnya sebelum mengambil tindakan atau mengenakan hukuman, memberi nasihat atau peringatan, mempertimbangkan sebab atau alasan diberi dan memastikan benar-benar wujudnya kesalahan sebelum mengambil sebarang tindakan.
Jadi contoh kepada masyarakat

Keberanian ialah kekuatan dan keteguhan hati dalam mempertahankan kebenaran. Saidina Umar bin al-Khattab adalah pemimpin yang tegas dan berani dalam mengawasi kegiatan perniagaan di pasar.

Beliau diriwayatkan pernah mengenakan hukuman terhadap penjual yang berniaga sehingga mengganggu lalu lintas dan mencurahkan susu yang bercampur dengan air. Menjaga kemuliaan diri daripada melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT kerana pegawai penguatkuasa adalah contoh teladan bagi masyarakat. 

Saidina Umar juga diriwayatkan pernah menguji seorang pengembala ternakan untuk menjual kepadanya seekor daripada haiwan gembalaannya untuk melihat sejauh mana kekuatan kemuliaan diri pengembala itu.

Sifat amanah pengembala dengan enggan menjualkannya kepada khalifah telah mendapat pujian. Lantas Saidina Umar memerdekakan pengembala serta mendoakan supaya dia akan dibebaskan oleh Allah SWT daripada seksaan api neraka di akhirat kelak kerana sifat jujur dan amanahnya. Berkomunikasi dengan sopan dan beradab tanpa mengira pangkat atau latar belakang, tabah hati iaitu tidak mudah berputus asa dan lemah semangat, terutama apabila berhadapan kerenah serta cemuhan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami (Allah) tidak akan membiarkan segala usaha yang terbaik yang telah dilakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 30) 

Justeru, penekanan integriti dalam penguatkuasaan perlu diperhebatkan bagi memastikan setiap polisi dan peraturan benar-benar bermanfaat kepada masyarakat, selain mengelakkan keburukan daripada berleluasa.

Penulis ialah Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Raih Keberkatan hidup dengan enam amalan terpuji

Berita Harian 2013/10/05

Barakah atau berkat dalam kalangan masyarakat Melayu ialah pengharapan kepada kebaikan yang melimpah daripada amalan dilakukan. Perkataan ini tidak pernah didengar oleh manusia kecuali setelah diturunkan wahyu dari Allah SWT.
Setiap Muslim pasti mengidamkan kehidupan yang penuh keberkatan. Hidup berkat perlu dijana dan untuk memperolehnya, harta yang diperoleh hasil dari titik peluh kita itu hendaklah melalui jalan yang diredai Allah SWT. 

Menurut Iman Maghazi al-Syarqawi, hidup penuh berkat dapat direalisasikan dengan mengamalkan enam sikap dan sifat terpuji iaitu membiasakan sifat malu yang positif. 
Siapa yang inginkan kebahagiaan akhirat, hendaklah meninggalkan perhiasan dunia. Siapa yang sudah melakukan itu semua, bererti telah betul-betul memiliki rasa malu." Riwayat Tirmidzi

Malu (al-haya’) boleh membuat seseorang Muslim berhati-hati untuk tidak berbuat maksiat kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada sahabatnya: “Hendaklah kalian merasa malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Sahabat berkata: Alhamdulillah, kami sudah merasa malu kepada Allah, ya Rasul. Rasulullah berkata: Tidak, kalian belum merasa malu. Orang yang betul-betul merasa malu di hadapan Allah hendaklah menjaga kepala (berfikiran positif), menjaga perut (makan makanan dan minuman yang halal dan thayib) dan mengingat mati serta musibah. Siapa yang inginkan kebahagiaan akhirat, hendaklah meninggalkan perhiasan dunia. Siapa yang sudah melakukan itu semua, bererti telah betul-betul memiliki rasa malu.” (Riwayat Tirmidzi) 

Bersyukur pula menurut Ibn Qayyim al Jauziyah, syukur adalah puji-pujian dan pengakuan hamba terhadap nikmat Allah disertai rasa cinta dan ketaatan kepada-Nya. 

Lantaran banyak sangat kurniaan dan kenikmatan yang Allah anugerahkan, ada manusia yang lalai, tidak sedar diri dan tidak mengenal kebaikan serta kurniaan Allah kepadanya.  Ini menyebabkan Allah SWT mengingatkan manusia supaya bersyukur kepada-Nya dan memanfaatkan nikmat itu pada jalan yang diredai-Nya, supaya mereka tidak menjadi orang yang zalim serta kufur nikmat.


Senyum sedekah paling ringan

Ketiga ialah memelihara tutur kata dan berkomunikasi dengan baik (al-kalam al-thayyib) kerana komunikasi dan tutur kata yang baik adalah sedekah. Sedekah yang paling ringan dan mudah adalah memberi senyuman sesama manusia.

Berbakti kepada kedua orang tua kunci kepada keredaan dan kejayaan hidup. Doa orang tua adalah pintu masuk segala kebaikan dan keberkatan hidup.  Tidak ada seorang pun yang dapat menyangkal jasa ibu bapa dan sewajibnya anak-anak menghormati serta berbakti kepada orang tua.

Sesungguhnya, 10 anak sanggup dijaga oleh seorang ibu tetapi seorang ibu belum tentu sanggup dijaga oleh 10 anak.Sekali imbas, kenyataan ini kedengaran agak janggal tetapi hakikatnya ia pernah berlaku dan kini sering berlaku.

Menghiasi diri dengan sifat qanaah (berpada-pada). Orang yang bersifat qanaah tidak akan tamak dan tidak mudah tergoda dengan kekayaan duniawi.

Sentiasa berlapang dada

Allah telah memberi kurniaan rezeki kepada seluruh makhluk-Nya tanpa terkecuali. Rezeki yang diberikan Allah SWT kepada makhlukNya sudah ada sukatan serta ukurannya dan Allah SWT sendiri yang menentukannya.

Contohnya, kita sama-sama mencari rezeki dan sama-sama berusaha keras tetapi hasil yang diperoleh berbeza antara satu sama lain.  Sifat qanaah menjadikan seseorang itu berlapang dada dan sentiasa kembali kepada Allah SWT.

Yang terakhir ialah istiqamah dalam berdoa kerana doa adalah kekuatan dan tenaga spiritual hamba kepada Allah SWT. Dengan doa, seorang Muslim mengembalikan segala persoalan kepada Allah SWT. 

Kesemua ini dapat direalisasikan dengan iman, ilmu, amal dan takwa sebagai modal untuk meraih keberkatan hidup. Dalam meraih hidup penuh berkat, kita harus sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya sekali gus mendekatkan diri sesama manusia.

Sesungguhnya, harta yang diberkati Allah SWT akan terus berkekalan dan cukup untuk membiayai hidup, walaupun jumlahnya sedikit.  Hidup penuh berkat menjadi limpahan kebaikan dan mendapat petunjuk Allah SWT

Thursday, October 10, 2013

Tangkap Penjenayah boleh, Tangkap Perasuah Tak Boleh!

Minggu lalu parlimen telah meluluskan pindaan rang undang2 pencegahan jenayah. Parti pembangkang menentang pindaan ini kerana menyalahi perlembagaan Malaysia dan berlawanan dengan prinsip rule of law. Kita khuatir Parlimen akan menjadi suatustar chamber dimana ahli politik menyegerakan pembentangan undang2 untuk menutup kelemahan mereka sendiri. 

Menteri Dalam Negeri dan pihak Polis tidak berupaya mengemukakan bahan buktian, maka oleh yang demikian mereka mahukan satu undang2 yang memintas dan menutup kelemahan mereka. Oleh kerana BN mempunyai suara undi yang banyak, maka pindaan kepada Akta Pencegahan Jenayah diluluskan. Mari kita tengok sama ada kerajaan memilih milih untuk melaksanakan undang2 ini.

Kalau mengikut definisi undang2 baru ini, kerajaan patut menangkap Ibrahim Ali dan pertubuhan Perkasa diharamkan.
Whereas action has been taken and further action is threatened by a substantial body of persons both inside and outside Malaysia to cause, or to cause a substantial number of citizens to fear, organized violence against persons or property;

Demikian bunyinya mukaddimah pindaan rang undang2 tersebut.

Suatu tindakan telah diambil dan suatu tindakan diancam oleh orang2 dari pertubuhan untuk menyebabkan sebahagian masyarakat merasa cemas akan terjadinya kecederaan kepada orang2 dan harta benda.

Undang2 ini berkuatkuasa diseluruh Malaysia. Minggu lalu Ibrahim Ali mewakili Perkasa telah mengancam bahawa orang Melayu akan merusuh jika agihan kekayaan negara ini tidak diperbetulkan. Kita jangan lupa yang menyebabkan agihan kekayaan sebegini rupa ialah kerajaan BN. Ibrahim Ali telah melakukan suatu aksi- yakni mengeluarkan kenyataan yang bersifat suatu ancaman bahawa orang Melayu yang terpengaruh dengan hasutan puak2 tertentu akan melakukan rusuhan kaum yang akan menyebabkan kemusnahan harta benda dan nyawa.Zahid Hamidi semasa dalam parlimen bercakap mengenai 'roh' akta pencegahan jenayah- nah sekarang ini bersegeralah ambil tindakan keatas Ibrahim Ali, kerana 'roh' kenyataan2 nya ialah menghasut orang Melayu supaya mengamuk memusnahkan harta benda dan nyawa. Tunggu apa lagi DS Zahid?

BN telah bulldoze suatu rang2 undang pencegahan jenayah yang memperuntukkan seseorang dan orang2 ditahan tanpa bicara dan keputusan untuk memenjarai tertuduh bergantung kepada keputusan suatu board yang dianggotai oleh 3-5 orang. Sekarang 3 , tapi Wak Zahid kata akan ditambah 2 lagi. Board jenayah atau Crime Prevention Board ini akan menyandarkan keputusan nya atas lapuran seorang anggota penyiasat.

Bayangkan zalim nya undang2 ini- nasib orang yang kena tahan bergantung kepada penyiasatan seorang angota penyiasat dan pengesahan kena tahan ditentukan bukan oleh mahkamah, tapi oleh suatu crime prevention board. Ertinya, tangung jawab menghukum sesorang yang dianggap bersalah oleh pegawai penyiasat dan crime board diambil alih serta dirampas dari mahkamah.
Inilah masa nya Zahid Hamidi melaksanakan undang2 Pencegahan Jenayah Pindaan ini.

Kita sokong hukuman kepada penjenayah mesti setimpal dengan jenayah yang dilakukan. Tapi biarlah kita hukum mengikut prinsip perundangan bukan jalan singkat.

Namun, oleh kerana Rang Undang2 itu sudah lulus, kita panjangkan aplikasi prinsip nya dalam hal2 lain.

Kenapa prinsip yang sama tidak boleh kita pakai keatas SPRM? Kita lihat tangan SPRM terikat kerana mereka tidak ada kapasiti pendakwaan. Apatah lagi jika kes2 yang disiasat mereka itu mengundang campur tangan politik.

Kita semua tahu rasuah berleluasa dalam negara kita pada setiap peringkat. Belian kerajaan merupakan sumber pertama salahgunakuasa dan penipuan harga. Tapi amat sukar kita buktikan.

SPRM tidak ada kuasa pendakwaan. Semua ada dalam tangan Peguam Negara yang akan merekomen sama ada bawa kepada mahkamah atau tidak. Jika Peguam negara tidak puas hati, dan segala hujjah perundangan boleh dikemukakan, pelaku rasuah boleh lepas dari penjara dan hukuman. Atau kita berdepan dengan kes, dimana Peguam Negara tidak dapat diyakini oleh lapuran penyasat kerana penghujjahan dan pembuktian yang lemah. Jika itu berlaku si perasuah boleh melepaskan diri.

Jadi kita pakai prinsip yang serupa dari PCA kalau kita serious hendak benteras rasuah. Seperti PCA kita buangkan Peguam Negara dari equation nya- SPRM menyiasat perlakuan dan pertuduhan dan jika mereka puas hati, mereka boleh merujukkan kes tersebut kepada suatu board pencegahan rasuah. Board ini yang dianggotai oleh mereka yang layak akan rekomen sama ada tertuduh boleh dihukum- penjara atau apa.

Prinsip nya sama seperti dalam PCA. Jika kerajaan BN serious hendak membasmi kemiskinan dan menjadikan rasuah suatu perkara sejarah silam, maka suatu rang undang2 ala PCA mesti dibentangkan dalam parlimen.

Tapi saya gerenti parlimen yang dikuasai BN akan tidak berani meluluskan rang2 undang2 seperti ini bahkan akan berhujjah melindungi para perasuah. Jika ada mana2 pihak pembangkang membuat usul bil persendirian atau cadangan alternative, ianya akan kalahkan oleh suara majority dari para ahli parlmen BN yang kurang cerdik terutama dari UMNO yang mengikut Dr Mahathir terdiri dari orang2 bodoh

Nak tanya Zahid, penjenayah rasuah boleh tak tembak dulu baru soal?

oleh Aspan Alias

Saya sambung lagi tentang isu kelemahan bangsa Melayu yang mentadbir dan memerintah negara. Sesungguhnya kepimpinan Melayu sememangnya sudah begitu menirus dan seolah-olah sudah tidak wujud lagi kepimpinan dalam bangsa Melayu itu.

Yang dimaksudkan berkepimpinan ialah pemimpin yang mengambil tahu dan mengiktiraf perjuangan sesuatu bangsa. Melalui parti-parti siasah mesti mempunyai roh yang jati untuk meneruskan apa yang disebut sebagai perjuangan.

Apa yang ada sekarang ini adalah mereka yang menjadi ketua kepada parti politik tanpa mempunyai roh perjuangan sebenarnya. Dalam Umno yang ada hanyalah ketua dan pembantu kepada ketua itu, tetapi seluruh barisan ketua ini tiada berkepimpinan. Mereka ini menjadi ketua kerana permainan politik yang tidak boleh membantu untuk menyuburkan perjuangan parti itu, mengikut asas dan tujuan parti itu ditubuhkan dahulu.

Yang ada pada hari ini hanyalah mereka yang hendak mendapatkan atau mempertahan jawatan. Mereka tidak dapat dan tidak mempunyai kemampuan untuk menyesuaikan jawatan dengan kewajipan mereka mengikut kehendak jawatan yang mereka pegang itu. Itulah sebabnya Naib-Naib Presiden Umno itu contohnya tidak mempunyai semangat perjuangan yang betul.

Jika mereka mempunyai semangat itu masakan ada yang sedang mempertahankan jawatan dan yang ingin merebut jawatan itu bercakap dan berkempen mengikut rasa hati yang tidak tenteram sehinggakan menggunakan isu rasis sebagai isu kempen mereka. Jika benar mereka mempunyai semangat perjuangan seperti yang terkandung di dalam Bab 3 perlembagaan parti itu masakan mereka memainkan isu keselamatan seperti bermain getah dan bermain guli sahaja.

Kalau tuduhan saya ini tidak benar masakan ada slogan baru dalam kempen pemilihan ini yang kita dengar seperti, ‘tembak dahulu’ sesiapa yang disyaki merbahaya kepada negara tanpa usul periksa. Rasa tidak percaya kata-kata seperti ini boleh keluar daripada seorang pemimpin kanan yang sangat saya kenali sejak lebih 30 tahun dahulu.

Kalau benar mereka ini seorang pemimpin berjiwa besar, masakan ada calon peringkat Naib Presiden yang terlalu ‘emotional’ apabila kalah dalam pilihan raya kerana tidak mendapat sokongan kaum Cina di Melaka. Kenapa salahkan kaum Cina sahaja sedangkan ramai kaum Melayu sendiri menolak beliau? Kenapa hendak jadikan kaum Cina sebagai landasan di atas kekalahan beliau dalam pilihan raya itu?

Tidak bolehkah berkempen untuk mendapatkan undi dan sokongan dengan cara membuktikan keutuhan kepimpinan masing-masing? Jika mereka mempunyai ‘benda’ untuk di tunjukkan bagi meningkatkan sokongan, mereka tidak akan cuba berlagak ‘macho’ dengan kata-kata garang dan hebat sebenarnya merupakan tempelan yang mudah dilihat dan disaksikan oleh ramai.

Kekurangan atau tiada ‘finesse’ seperti seorang pemimpin itu membuatkan calon Naib dalam pemilihan ini sebagai pilihan hambar dan tidak mampu membawa perubahan kepada parti dan kerajaan. Amat susah untuk membuat pilihan, ibarat memilih di antara ikan sembilang dan ikan keli sahaja. Rasanya lebih kurang sama. Hanyirnya pun lebih kurang sama juga.

Hasil ucapan Zahid di Melaka baru-baru ini maka kita akan mudah mengenali siapa yang menembak dan membunuh tanpa sebab itu. Kalau dahulu sangat susah untuk mengenali siapa yang menembak siapa, sekarang ini usaha mencari penembak itu mungkin lebih mudah lagi apabila seorang menteri membenarkan pihak polis menembak sesiapa yang dianggap penjenayah itu.

Niat Zahid untuk ‘tembak dahulu kemudian bertanya’ itu mungkin tidak kesampaian jika mereka yang ditembak itu mati sebelum sempat bertanya dan menyiasat. Mungkin itulah cara yang mereka fikirkan terbaik untuk menyelesaikan masalah penjenayah kerana kumpulan pemimpin hari ini hanya mengambil jalan mudah untuk nampak bertindak menyelesaikan masalah keselamatan negara itu.

Mungkin tidak boleh disalahkan Zahid kerana itulah setakat kemampuannya untuk penyelesaian masalah penjenayah yang sangat ramai pada masa kini. Seseorang itu selalunya akan melakukan setakat kemampuan peribadi pemimpin itu.

Tetapi blog ini ingin bertanya, siapa yang dianggap penjenayah yang boleh ditembak dahulu baru bertanya itu? Bagaimana dengan penjenayah rasuah? Ramai yang kita tahu pemimpin yang rasuah tetapi tidak dapat disabitkan perbuatan hina mereka itu. Adakah mereka ini juga boleh ditembak dahulu baru bertanya. Bukankah perasuah itu juga adalah penjenayah. Bezanya yang satu itu penjenayah kolar biru dan perasuah itu adalah penjenayah kolar putih. Kedua-duanya adalah penjenayah kepada rakyat dan negara.

Kenapa hendak bezakan di antara penjenayah kolar putih dan penjenayah kolar biru? Jika penjenayah kolar biru seperti perompak hanya melibatkan orang dan keluarga yang dirompak itu sahaja, tetapi penjenayah rasuah itu melibatkan hampir 30 juta rakyat Malaysia. Bukankah rasuah itu lebih merbahaya kepada keselamatan negara. Banyak negara menjadi lemah dan tidak selamat kehidupan di dalamnya kerana rasuah.

Banyak negara dan tamadun tumbang kerana tahap keselamatan negara tersebut terlibat dengan rasuah keterlaluan. Zahid elok tengok juga isu yang sama bahayanya kepada keselamatan negara kita.

Perasuah dengan Botak Chin bukankah tiada bezanya? Bukankah kedua-duanya itu penyamun? Bahayanya pun sama, bukan gitu? – aspanaliasnet.blogspot.com, 10 Oktober, 2013.



Elok Duit Rokok Guna Untuk Bersedekah

Oleh Lokman Ismail

Harga rokok naik lagi namun, perokok tidak membantah atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan itu. Keadaan ini agak berbeza dengan kenaikan harga gula dan barang lain yang pasti mendapat bantahan rakyat. 
Perokok yang ketagih pasti tidak berganjak daripada amalan sia-sia itu biarpun harga rokok dinaikkan. Mereka rela membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli rokok, sebab itu tidak membantah kenaikan harga rokok. Kata-kata, “biar putus cinta, jangan putus rokok” membuktikan perokok sanggup berdepan segala masalah asalkan tabiat merokok dapat diteruskan. Mengapa begitu tegar tabiat perokok yang rela melakukan apa saja demi meneruskan tabiat merokok? 

Sebenarnya, merokok bukan saja membahayakan kesihatan dan membazirkan wang, bahkan ditegah oleh agama Islam. Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.” (Surah an-Nisa, ayat 2) 

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk.” (Surah al-Aaraf, ayat 157) 

Fatwa putus merokok haram 

Lanjutan itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-37 pada 23 Mac 1995 memutuskan merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib dijauhi setiap orang Islam. Jadi, anggapan kebanyakan perokok mengatakan perbuatan itu sekadar makruh adalah tidak benar. 

Komitmen kerajaan memerangi gejala ketagih dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk mendapatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan membelanjakan peruntukan besar bagi mengatasi tabiat buruk ini. 

Kempen anti-merokok ‘Tak Nak’ membabitkan kos promosi RM100 juta, namun gagal mengurangkan tabiat merokok, sebaliknya amat mengejutkan jumlah perokok wanita pula meningkat sekali ganda. 

Statistik menunjukkan rakyat Malaysia yang merokok sekitar 3.4 juta orang membabitkan kira-kira 23.7 bilion batang rokok setahun. Jumlah perokok dijangka meningkat kepada 3.8 juta pada 2015 dan lebih empat juta perokok menjelang 2020. Sebanyak lebih RM15 juta sehari dibakar oleh perokok. 

Sepatutnya wang itu boleh digunakan untuk tujuan mendatangkan kebaikan. Kedudukan orang Islam semakin kukuh jika wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi. Apa lagi jika ia digunakan ke jalan Allah SWT. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk kepentingan sabilillah dan janganlah kamu menjerumuskan diri dalam jurang kebinasaan, dan hendaklah bertindak sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka kepada orang yang melakukan kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195) 

Tabiat merokok adalah aktiviti negatif yang membawa impak buruk kepada kesihatan. Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh. Bayangkan jika perokok menghisap 20 batang rokok sehari, dalam masa 30 tahun dia menghisap kira-kira 200 ribu batang rokok. 

Kenaikan cukai rokok 

Kenaikan cukai rokok selari dengan syor yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) supaya cukai rokok dinaikkan 65 peratus daripada harga runcit rokok dalam usaha mengurangkan tabiat merokok. 

Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok diyakini dapat mengurangkan permintaan terhadap rokok di kalangan perokok baru. Harga yang mahal juga diharap menjadikan perokok lebih kedekut untuk berkongsi rokok dengan orang lain. Cara itu diharapkan mengurangkan kadar merokok secara berkumpulan. 

Amat malang sekali perbuatan merokok turut dilakukan kalangan mereka yang layak dipanggil ustaz, haji, imam dan ulama. Mereka mementingkan soal dosa dan pahala dalam perkara lain, tetapi mengabaikan soal dosa perbuatan merokok. 

Allah SWT memerintahkan manusia mematuhi keseluruhan apa telah ditetapkan dalam ajaran Islam. Sesuatu amalan mendatangkan keburukan amat disukai oleh syaitan dan sentiasa mempengaruhi manusia agar terus menerus melakukannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam ajaran Islam dengan sepenuhnya. Janganlah kamu menuruti langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat 208) 

Ingatlah, rezeki yang diperoleh hendaklah digunakan untuk kebaikan. Mengapa kita begitu berkira untuk menghulurkan derma atau sedekah kepada orang lain, tetapi tidak merasa rugi untuk membakar wang melalui rokok. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88)

Ketaatan, maksiat tak boleh bercampur

Oleh Nik Salida Suhaila

Hubungan suami isteri adalah ikatan yang menterjemahkan hakikat kehidupan begitu indah dan bermakna. Perkahwinan satu tuntutan dalam Islam dan antara perkara penting diberi perhatian ialah pemilihan jodoh kerana dari sinilah bermulanya masa depan rumah tangga. 

Jika rumah tangga dibangunkan dengan keimanan, ketakwaan, kasih sayang dan penuh amanah, maka ia menjadi pemangkin kepada kewujudan generasi baik dan cemerlang. Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka itu bersih dari tuduhan buruk yang dikatakan oleh orang yang jahat; mereka itu akan beroleh pengampunan dan pengurniaan yang mulia.” (Surah an-Nur, ayat 26) 



Rumah tangga yang dibina suami isteri soleh dan solehah sudah pasti akan rukun berpandukan aturan Allah SWT dalam syariat Islam. Suami isteri yang soleh sentiasa menjadikan Islam sebagai kayu pengukur dalam setiap perbuatan dan perkataannya. 

Garis panduan pilih pasangan hidup 

Islam menyediakan garis panduan lengkap memilih pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: Dikahwini wanita kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Oleh itu, utamakanlah wanita yang beragama nescaya kamu akan beruntung.” (Riwayat Muslim) 

Ciri paling baik mencari jodoh ialah memilih pasangan yang berilmu dan beramal dengan ajaran agama. Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam sangat menekankan isu ini disebabkan kesannya yang besar dalam kehidupan bermasyarakat. Setiap ibu bapa perlu menanamkan asas agama yang kukuh ke dalam jiwa anak sejak kecil supaya mereka bakal menjadi suami atau isteri soleh dan solehah. 
Berikan bimbingan dan panduan tepat kehidupan berkeluarga supaya anak faham adab pergaulan sesama berlainan jantina, mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain serta batas yang sesuai dengan ajaran agama serta adat budaya tempatan. 

Mana mungkin kehidupan rumah tangga yang bercampur ketaatan dengan maksiat dapat mewujudkan generasi cemerlang dan sejahtera. 

Sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah suci bersih. Kedua-dua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Seperti seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong.” (Riwayat Abu Hurairah)

Hadis ini menjelaskan ibu bapalah yang mencorak keperibadian anak. Bapa Anas Bin Malik ketika ditanya bagaimanakah beliau mendidik anaknya sehingga menjadi seorang ulama besar, beliau menjawab: “Ia bergantung kepada cara memilih calon ibunya.” 

Dengan kata lain, pemilihan calon pasangan hidup yang tepat dari perspektif Islam adalah satu detik permulaan yang penting dalam menentukan hala tuju sesebuah rumah tangga dan keluarga yang hendak dibina. 

Suami soleh 

Suami yang soleh sentiasa melaksanakan kewajipan kepada Allah SWT dan keluarganya dengan penuh keikhlasan. Mereka bukanlah seorang yang tamak, malahan lebih mengutamakan kewajipannya daripada menuntut haknya. Mereka juga sentiasa bertolak ansur dan memaafkan isteri atau sesiapa yang sepatutnya menunaikan hak kepadanya. 

Justeru, keteguhan pegangan agama suami isteri perlu dipertingkatkan supaya kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu adalah satu ujian. Dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah pahala yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28) 

Kelebihan sesebuah rumah tangga yang dihuni oleh suami isteri yang soleh dapat melahirkan kegembiraan kepada pasangan masing-masing. Mereka juga menjadi ibu bapa yang penyayang kepada anak serta sanggup bersusah payah untuk kebahagiaan mereka. 

Rasulullah SAW mendidik sahabat mengamalkan akhlak mulia terutama dalam mendokong peranan sebagai seorang suami dan bapa. Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang paling sempurna imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik pada isterinya.” (Riwayat Abu Hurairah) 

Sesungguhnya anak hari ini bakal membentuk rumah tangga pada masa depan. Kita hendaklah memastikan setiap anak mempunyai akidah yang kukuh, mulia akhlaknya dan istiqamah dalam ibadahnya. 

Apabila ini dapat dilaksanakan, sebarang bentuk ancaman akan dapat dihadapi dan tidak mudah terperangkap dengan gerakan atau dakyah yang menyeleweng. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia