Harga rokok naik lagi namun, perokok tidak membantah atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan itu. Keadaan ini agak berbeza dengan kenaikan harga gula dan barang lain yang pasti mendapat bantahan rakyat.
Perokok yang ketagih pasti tidak berganjak daripada amalan sia-sia itu biarpun
harga rokok dinaikkan. Mereka rela membelanjakan sebahagian besar pendapatan
untuk membeli rokok, sebab itu tidak membantah kenaikan harga rokok. Kata-kata, “biar
putus cinta, jangan putus rokok” membuktikan perokok sanggup berdepan segala
masalah asalkan tabiat merokok dapat diteruskan. Mengapa begitu tegar tabiat
perokok yang rela melakukan apa saja demi meneruskan tabiat merokok?
Sebenarnya, merokok
bukan saja membahayakan kesihatan dan membazirkan wang, bahkan ditegah oleh
agama Islam. Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan
yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.” (Surah an-Nisa, ayat 2)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu
segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang buruk-buruk.”
(Surah al-Aaraf, ayat 157)
Fatwa putus merokok haram
Lanjutan itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan ke-37 pada 23 Mac 1995
memutuskan merokok adalah perbuatan haram di sisi agama Islam. Perbuatan itu
wajib dijauhi setiap orang Islam. Jadi, anggapan kebanyakan perokok mengatakan
perbuatan itu sekadar makruh adalah tidak benar.
Komitmen kerajaan memerangi gejala ketagih dilakukan dengan pelbagai cara,
termasuk mendapatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan
membelanjakan peruntukan besar bagi mengatasi tabiat buruk ini.
Kempen anti-merokok ‘Tak Nak’ membabitkan kos promosi RM100 juta, namun gagal
mengurangkan tabiat merokok, sebaliknya amat mengejutkan jumlah perokok wanita
pula meningkat sekali ganda.
Statistik menunjukkan rakyat Malaysia
yang merokok sekitar 3.4 juta orang membabitkan kira-kira 23.7 bilion batang
rokok setahun. Jumlah perokok dijangka meningkat kepada 3.8 juta pada 2015 dan
lebih empat juta perokok menjelang 2020. Sebanyak lebih RM15 juta sehari
dibakar oleh perokok.
Sepatutnya wang itu boleh digunakan untuk tujuan mendatangkan kebaikan.
Kedudukan orang Islam semakin kukuh jika wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk
pembangunan ekonomi. Apa lagi jika ia digunakan ke jalan Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk
kepentingan sabilillah dan janganlah kamu menjerumuskan diri dalam jurang
kebinasaan, dan hendaklah bertindak sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka
kepada orang yang melakukan kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Tabiat merokok adalah aktiviti negatif yang membawa impak buruk kepada
kesihatan. Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis
bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh. Bayangkan jika perokok menghisap 20
batang rokok sehari, dalam masa 30 tahun dia menghisap kira-kira 200 ribu
batang rokok.
Kenaikan cukai rokok
Kenaikan cukai rokok selari dengan syor yang dibuat Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) supaya cukai rokok dinaikkan 65 peratus daripada harga runcit
rokok dalam usaha mengurangkan tabiat merokok.
Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok diyakini dapat
mengurangkan permintaan terhadap rokok di kalangan perokok baru. Harga yang
mahal juga diharap menjadikan perokok lebih kedekut untuk berkongsi rokok
dengan orang lain. Cara itu diharapkan mengurangkan kadar merokok secara
berkumpulan.
Amat malang
sekali perbuatan merokok turut dilakukan kalangan mereka yang layak dipanggil
ustaz, haji, imam dan ulama. Mereka mementingkan soal dosa dan pahala dalam
perkara lain, tetapi mengabaikan soal dosa perbuatan merokok.
Allah SWT memerintahkan manusia mematuhi keseluruhan apa telah ditetapkan dalam
ajaran Islam. Sesuatu amalan mendatangkan keburukan amat disukai oleh syaitan
dan sentiasa mempengaruhi manusia agar terus menerus melakukannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, masuklah kamu ke
dalam ajaran Islam dengan sepenuhnya. Janganlah kamu menuruti langkah syaitan
kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata.” (Surah al-Baqarah, ayat
208)
Ingatlah, rezeki yang diperoleh hendaklah digunakan untuk kebaikan. Mengapa
kita begitu berkira untuk menghulurkan derma atau sedekah kepada orang lain,
tetapi tidak merasa rugi untuk membakar wang melalui rokok.
Firman Allah SWT bermaksud: “Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan
Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah
yang kepada-Nya saja kamu beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88)
No comments:
Post a Comment