Monday, October 13, 2014

Antara Rasis, hero dan zero

RIDHUAN TEE ABDULLAH
13 Oktober 2014

LAMAN web ultra kiasu membuat ulasan besar-besaran, kenapa saya tidak mendapat sokongan ketika disiasat mengikut Akta Hasutan. Sokongan banyak, cuma saya nak uji. Saya nak tengok siapa lebih berstrategi.

Inilah pemikiran ultra kiasu sebenar, tanpa usul-periksa mereka terus menghentam. Saya tidak pernah takut kepada akta hasutan selagi saya fikir tidak bersalah. Berkata benar walaupun pahit. Saya bukan belot, broker, barua, atau apa-apa lagi konotasi B seperti yang berlaku kepada Adun tertentu, yang begitu megah dan berlagak ketika diraikan oleh ultra kiasu dengan panggilan hero.

Siapakah hero dalam erti kata sebenar? Hero adalah apabila kita tidak disukai oleh musuh. Jika musuh suka hero, itu bukan hero namanya, itu zero.

Ultra kiasu tidak akan sokong mereka yang suka kepada Islam atau penegak Islam. Ultra kiasu mahukan mereka yang sekular, liberal dan pro-sosialis. Sebab itu, mereka akan panggil orang seperti ini hero. Jika hero-hero ini mengkritik mereka suatu hari ini, pasti akan jadi zero.

Saya amat pelik bagaimana, orang yang memperjuangkan Islam, begitu percaya kepada sistem demokrasi. Saya selaku pengkaji politik dan sistem politik termasuk demokrasi, masih menjaga adab apabila bercakap soal demokrasi.

Sistem demokrasi tidak boleh disokong sepenuhnya kerana terlalu menekankan hak asasi manusia sehingga melanggar hak Tuhan. Inilah yang sedang dituntut oleh ultra kiasu, sama rata dan rasa. Mereka mahu berebut ALLAH, tetapi tidak pernah percaya kepada ALLAH.

Mereka tidak mahu langsung melihat ada kelebihan kepada Islam dan Melayu sertai yang berkaitan dengannya seperti dalam Perlembagaan. Perjuangan mereka Malaysia Malaysian.
Apabila tiba kepada kelebihan mereka, ultra kiasu diamkan. Misalnya isu penternakan babi. Saya mahu lihat apakah MB Selangor baharu akan meluluskan projek penternakan babi sebanyak RM100 juta seperti yang ditangguhkan oleh Khalid.   
Terus-terang, saya tidak menghina babi kerana babi tetap makhluk ALLAH. Tetapi saya tidak boleh menerima jika dalam sebuah negara Islam, bilangan babi lebih banyak daripada lembu, kambing, ayam dan itik.

Negara kita kekurangan binatang ternakan ini sehingga terpaksa diimport. Tetapi babi kita berlebihan, sehingga banyak yang dieksport. Apa erti semuanya ini?

Sedarlah wahai umat! Bila saya menulis, nilaian adalah apa benar, apa salah, ia sentiasa datang daripada hati saya. Saya lebih tahu siapa ultra kiasu. Sebab itu, saya labelkan mereka dengan ultra kiasu, walaupun tidak semua.

Jika mereka baik, patuh kepada Perlembagaan dan mengiktiraf hak Islam, bangsa dan bahasa Melayu, Bumiputera dan raja Melayu, saya akan diam. Namun, selagi mana mereka menentang, sekali itulah saya tidak akan diam, kerana mereka ini musuh. Mereka ingin membina negara dalam negara.

Sebenarnya, pembinaan ini sedang berlaku. Mereka sedang menikmatinya. Mana ada dalam dunia ini, ada percubaan sebegini, kecuali di Malaysia? Ultra kiasu mahu pastikan adat budaya dan identiti mereka lebih superior daripada yang lain.

Ketika berada di New Zealand baru-baru ini, saya lihat pendatang (orang putih) yang memerintah sangat menghormati kaum Maori, selaku Peribumi New Zealand. Walaupun Maori tidak memerintah, di sana sini, adat budaya, identiti dan bahasa Maori dijaga dengan baik, termasuk di muzium.

Pendatang ini seolah-olah tahu dan perlu tahu bahawa jika Maori tidak dijaga, pasti akan timbul masalah. Sebab itu, Maori tidak banyak menimbulkan masalah, walaupun mereka diperintah orang luar.

Keadaan kita berlaku sebaliknya. Ultra kiasu tidak faham budaya politik ini. Ultra kiasu mahukan sama rata dan sama rasa. Tidak timbul soal mahu menjaga sensitiviti kaum Peribumi. Sesiapa yang mempertahankan hak ini dituduh rasis. Mangsanya adalah Perkasa dan Isma.

Bila NGO ini buka mulut sahaja, semuanya rasis dan ditentang habis-habisan. Namun, apabila ultra kiasu mempertahankan bermati-matian adat budaya, bahasa dan identiti mereka, itu adalah hak asasi manusia. Termasuk LGBT.

Malangnya, kita terus buta. Malah, terikut-ikut pula, sehingga ada Adun Pas yang bernada seloroh berkata, jika Pas pecat mereka yang dilabelkan sebagai banyak B itu, maka mereka boleh bertanding atas tiket ultra kiasu.

Malang sungguh Pas mendapat orang-orang seperti ini. Jika Pas tidak mahu bekerjasama dengan Umno, janganlah pula ada pemimpinnya yang mahu menghalalkan matlamat ultra kiasu.

Sunday, October 12, 2014

Pesta Arak Terbesar Di Negara Islam

TOK PERAK
12 Oktober 2014

*IKLAN telah dipasang, gendang pun telah dicanang, dan ramai yang ghairah untuk berseronok sambil bebas menonggeng arak pada Festival Oktoberfest yang dijadualkan berlangsung 10 hingga 12 Oktober.

Seperti yang diiklankan pesta ‘berdengung’ dan ‘ringan-ringan’ anjuran syarikat pengeluar arak terkenal itu akan diadakan di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Petaling Jaya.

Maka tercetuslah kontroversi, konon Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR telah menghalalkan pesta arak. Ramailah yang menjerit. Baik Umno, NGO Melayu, NGO Islam, semua mengutuk kelulusan pesta tersebut.

Hatta, Pas yang menjadi rakan sekelambu PR pun membantah keras pesta tersebut sambil mendesak PBT dan kerajaan mengambil tindakan ke atas penganjur yang telah mempromosikan festival itu secara terbuka.

Arakian, keghairahan pun mengendur dan ramai yang mengeluh. Sepatah kata anak-anak muda “tengah syok-syok tiba-tiba potong stim!”

*MESKI ramai yang menentang, menteri besar, Mohd Azmin Ali berkata pesta arak itu boleh diadakan sekiranya pihak penganjur mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh PBT dan agensi-agensi seperti polis dan kastam.

Apa yang mencetuskan kontroversi ialah iklan pesta tersebut digantung tanpa permit. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan mengesahkan Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) tidak pernah meluluskan permit untuk iklan berkenaan. Iklan yang mencetuskan kontroversi itu telah dibuang, dan syarikat pengiklanan terlibat telah digantung selama tiga bulan.

Harap-harap insiden seperti ini tidak berulang dan jangan dihebahkan secara terbuka. Kena hormat juga perasan orang Islam. Kalau hendak mabuk atau tonggeng-terbalik pun buatlah secara tertutup, bukan terang-terangan seperti acara lelong durian.

*SEBAGAI orang Islam saya menyokong penuh parti politik, NGO dan individu yang berkobar-kobar menyuarakan tentangan terhadap Oktoberfest yang diiklankan di Shah Alam sebagai ‘The Biggest Beer Celebration in the World’.

Namun, sekadar makluman, ini bukan pertama kali Oktoberfest diadakan di negara ini. Tidak lama dulu acara ini telah pun diadakan di beberapa tempat termasuk di Dataran Bintang KL, Lot 10 dan pusat beli-belah Starhill.

Malah Duta Jerman ketika itu, Dr. Norbert Heinrich Holl sendiri telah melancarkan pesta yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti hiburan dan kesenian. Bezanya kali ini pesta berkenaan diiklankan secara terbuka, dan diadakan di negeri Selangor pula. Kalau buat di KL mungkin tidak kontroversi.

Perihal minum arak secara terbuka, walaupun dilarang, bukanlah luar biasa lagi di tempat kita. Kerap kali bir dan minuman keras lain dinikmati di tempat terbuka, siapa sahaja boleh meneguk.

Malah, pesta beli dan minum arak diadakan di laluan utama sebuah pusat beli-belah baru-baru ini, sebagai promosi syarikat arak yang menjadi penaja utama bola sepak dunia. Tidak ada siapa pun bising!

Sekadar makluman juga, kilang arak di negara kita adalah antara pengeluar minuman keras terbesar dunia. Cukai arak bernilai berbilion RM masuk ke kantung perbendaharaan negara setiap tahun. Ada sesiapa berani menentang?

*AKHIR kalam, seorang maut sementara 12 lagi termasuk empat pelancong asing cedera apabila bom tangan meletup di hadapan sebuah kelab malam Jalan Bukit Bintang, KL Rabu lalu.

Seperti dilaporkan dalam kejadian 4.25 Subuh itu dua bom tangan dilemparkan oleh kumpulan kongsi gelap, satu meletup satu lagi tidak. Dipercayai ini gara-gara pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, insiden itu pertama kali berlaku di ibu negara dan pihaknya yang masih menjalankan siasatan tidak menolak kemungkinan dendam peribadi, perebutan kawasan atau membabitkan isu perniagaan merupakan motif kejadian.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi, polis percaya bom jenis M-67 itu adalah buatan Amerika Syarikat.

Walaupun pihak polis menafikan insiden ini ada kaitan dengan gerakan militan, orang ramai berasa bimbang apabila samseng sudah mula melakukan keganasan menggunakan bom.

Soalan umum sekarang ialah bagaimana samseng berkenaan memperoleh bom tangan buatan Amerika? Kalau mereka boleh memiliki bom, apakah tidak mungkin kumpulan gelap itu juga mempunyai lain-lain senjata canggih?

Tiba-tiba sahaja kita berasa semakin tidak selamat!



Saturday, October 11, 2014

Asra Cari Motivasi Melalui Al Quran dan Hadis

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
10 Oktober 2014


SETIAP orang mempunyai ceritera berbeza, ada yang kedengaran baik dan manis ada juga individu di awalnya menderita tetapi bahagia di penghujungnya, itulah putaran sebuah kehidupan.

Petunjuk demi petunjuk

Seringkali Asra Imani Lim ditebak  dengan persoalan bagaimana dia terpesona dan jatuh cinta dengan Islam. Gadis yang berusia 27 tahun ini adalah seorang individu yang sangat ramah.

Dengan mudahnya dia menjawab, kerana selama ini ALLAH SWT banyak menunjukkan tanda kepada dirinya dan dengan petunjuk itulah dia akhirnya memeluk Islam.

"ALLAH memilih saya untuk menjadi seorang Muslimah kerana itu Dia banyak menunjukkan tanda kekuasaan-Nya dan kebenaran Islam kepada saya. Cuma atas alasan saya lahir dalam keluarga bukan Islam langsung tidak saya hargai petunjuk-Nya itu ketika itu.

"Antara banyaknya petunjuk dan tanda yang ALLAH berikan adalah sering kali terdetik di benak ini, siapakah ayah kepada ayah kepada ayah saya dan menemui jawapan itu dalam buku kecil kisah Nabi Adam AS. Kematian ibu yang menghidap ketumbuhan dalam otak semasa usia saya 19 tahun meninggalkan impak yang mendalam dalam hidup saya.

"Sejak itulah diri ini sering mempersoalkan mengenai qada dan qadar serta kehidupan selepas mati (alam akhirat). Apa akan jadi selepas itu? ke manakah umat manusia akan pergi? sedangkan masyarakat Cina pantang jika bercerita mengenai kematian," katanya yang memeluk Islam pada 2012 yang lalu kepada Rehal.

Asra menjelaskan, sedikit demi sedikit peristiwa yang berlaku menjadikan dirinya berfikir dan mengkaji mengenai asal usul agama anutannya, namun dia tidak menemui jawapan yang memuaskan sekali gus membuatkan dirinya tertanya-tanya adakah selami ini dia benar-benar memahami agama anutannya atau sekadar mengikut sahaja.Asra dibesarkan pengasuhnya yang beragama Islam sejak kecil lagi.

Dakwah bil akhlak

"Hasil daripada kajian saya mengenai agama anutan ini akhirnya menunjuk jalan kepada diri ini untuk berjinak-jinak dengan agama yang dibawa penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW.

"Apa yang saya lakukan langsung tidak diketahui keluarga, namun lama kelamaan mereka dapat menghidu mengenai kegiatan saya ini. Berlaku sedikit salah faham antara kami, lantas menjadikan hubungan kekeluargaan yang dahulunya rapat kini renggang," kata anak jati Kuala Lumpur ini lagi.

Asra berkata, dia perlu memikirkan cara yang terbaik untuk memberitahu keluarganya bahawa dia bukan lagi penganut agama Buddha sebaliknya dia kini adalah seorang Muslimah. Bagi mengukuhkan akidah dan mencukupkan dirinya dengan ilmu agama, dia mengambil pendekatan berdakwah dengan akhlak.

Menurutnya, dia baru memberitahu bapanya beberapa bulan yang lalu mengenai penghijrahan yang dilakukan.  Pada mulanya, bapa menerima dengan baik kerana menganggap Asra ingin berkahwin.

Namun, sebaik bapanya menyedari Asra bersolat dan berpuasa dengan lantangnya bapa memberi amaran supaya jangan bersikap memandai-mandai. Pada hemahnya mungkin bapanya memerlukan masa untuk menerima keadaan itu. Bapa Asra juga menyarankan supaya jangan beritahu kepada ahli keluarga lain.

Petik kata-kata motivasi

Di awal pengislamannya, Asra tidak pandai bersolat atau berdoa, tetapi dia berusaha untuk mengenali Islam dengan melayari internet dan mencari kata-kata motivasi yang dipetik daripada al-Quran dan hadis.

"Selepas beberapa bulan, hati saya meronta-ronta untuk memeluk Islam, tetapi saya masih tidak berani. Alhamdulillah, ada seorang ustazah yang hadir ke surau tempat kerja untuk sesi usrah, ketika itu saya mengambil peluang bertanya soalan. Jawapan yang diberikan meyakinkan kerana ia berdalil. Ketika itu juga saya mengucapkan dua kalimah syahadah disaksikan rakan  sepejabat.

"Setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan seharian sama ada makan, minum, halal, haram, berakhlak dan berurus niaga semuanya ada adab dan garis panduan," katanya yang menjadikan tokoh perbandingan agama, Dr Zakir Naik sebagai idola.

Menurut Asra lagi, dia gemar menonton rancangan mengenai cara mengambil wuduk dan solat secara sempurna dikelolakan seorang ustaz yang hebat di TV AL-Hijrah. Di kala itulah, Asra lebih yakin Nabi Muhammad SAW diturunkan adalah untuk memberikan khabar yang baik kepada umat Islam.

Aktif berdakwah     

Disebabkan sikap keterbukaannya menyebabkan Asra mudah diterima ramai. Asra sering melibatkan diri dengan aktiviti dakwah jalanan bersama teman saudara barunya. Kebanyakan program itu dianjurkan oleh Persatuan Multiracial Reverted Muslim.

"Kami mendekati golongan bukan Islam dengan menerangkan dan memperbetulkan persepsi mereka mengenai Islam.

"Semasa melakukan dakwah jalanan, saya didatangi beberapa orang bukan Islam di mana kami akan berbincang mengenai Islam dalam bahasa Cina. Mereka sebenarnya sangat hormati orang beragama Islam, tetapi kurang memahami agama Islam disebabkan tidak berani bertanya kawan-kawan Islam. Malah selepas itu, mereka berterima kasih adakan dakwah jalanan ini kerana mereka boleh mendapat penjelasan mengenai Islam," ulasnya.

Menurut Asra, walaupun pada mulanya dia sendiri tidak ada keberanian dan agak takut untuk melakukannya kerana memikirkan diri ini tak cukup ilmu dan belum cukup sempurna sebagai seorang Muslim. Tapi sebenarnya akhlak kita sebagai Muslim pun adalah dakwah yang terbaik. Malah, tidak akan ada Islam di bumi kalau Rasulullah SAW tidak berdakwah.

5 jenis wanita menurut al Quran

SITI ZURAIDAH ISMAIL
10 Oktober 2014


DALAM al-Quran, ALLAH SWT menceritakan pelbagai jenis kisah untuk kita teladani dan jadikan iktibar sebagai panduan dalam kehidupan sehari-hari. ALLAH tidak hanya mengisahkan perihal kisah kaum terdahulu, tetapi juga pelbagai bentuk akidah, ibadah, muamalat dan sebagainya.

ALLAH  ada menjelaskan mengenai jenis wanita dalam al-Quran. ALLAH kisahkan semua cerita ini untuk hamba-Nya, khususnya wanita bagi diaplikasikan dalam kehidupan yang sedang dijalani.

Ada antara yang bersifat positif dan ada yang bersifat negatif. Ada yang patut dicontohi, dan semestinya ada yang harus kita jauhi. Lima jenis wanita diceritakan dalam al-Quran buat panduan kita semua.


Wanita pejuang

Jenis pertama yang disebut dalam al-Quran adalah jenis pejuang. Wanita yang memiliki sifat pejuang ini mempunyai keperibadian yang kuat. Mereka berani menanggung risiko apa pun saat keimanannya diusik dan kehormatannya diperlekehkan. Siti Asiah binti Mazahin, isteri Firaun memiliki sifat pejuang ini.

ALLAH mengabdikan doa Siti Asiah dalam al-Quran: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah aku daripda Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim." (Surah at-Tahrim: 11)

Walaupun berada dalam cengkaman Firaun, Asiah mampu menjaga akidah dan harga dirinya sebagai seorang Muslimah. Asiah lebih memilih istana di syurga daripada istana dunia yang dijanjikan Firaun. ALLAH mengabdikan doanya dan menjadikannya tauladan bagi orang yang beriman.

Jaga dirinya

Jenis wanita yang kedua ialah wanita soleh yang menjaga kesucian dirinya. Kita dapat lihat sifat ini ada pada Maryam binti Imran. Hari-harinya diisi dengan ketaatan kepada ALLAH. Maryam sangat konsisten menjaga kesucian dirinya.

 ALLAH berfirman yang bermaksud: "Bagaimana mungkin aku mempunyai anak lelaki, padahal tidak pernah ada lelaki yang menyentuhku dan aku bukan seorang penzina!" (Surah Maryam: 20)

Disebabkan keutamaan inilah, ALLAH mengabdikan namanya sebagai salah satu surah dalam al-Quran dengan Surah Maryam, surah ke-19.

ALLAH memelihara Maryam bukan kerana kecantikannya, tetapi kerana kesuciannya dalam menjadi hamba yang soleh.

Pembawa kayu bakar

Jenis yang ketiga, dimiliki oleh Hindun, isteri Abu Lahab. Mereka yang mempunyai sifat seperti Hindun ini suka menghasut, menyebar fitnah dan menjaja cerita. Di dalam al-Quran, Hindun disebut sebagai “pembawa kayu bakar” atau dengan kata lain penyebar fitnah. Bersama suaminya, Hindun tidak putus menentang dakwah Rasulullah SAW, menyebar fitnah dan melakukan kezaliman. Bicara yang sedikit menjadi besar apabila Hindun bersuara.

"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama! Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelora (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali daripada sabut yang dipintal.” (Surah Al-Masad: 1-5)

Wanita penggoda

Jenis wanita yang keempat ialah jenis wanita yang menggoda. Ini dibuktikan Zulaikha saat menggoda Nabi Yusuf AS. Perbuatan Zulaikha ini diceritakan dalam al-Quran: "Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata, "Marilah dekat kepadaku.".

Yusuf berkata: "Aku berlindung kepada ALLAH, sesungguhnya, tuanku telah melayaniku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya." (Surah Yusuf: 23)

Sifat atau jenis wanita yang terakhir ialah wanita pengkhianat dan ingkar kepada suaminya. ALLAH memuji wanita yang tidak taat kepada suaminya yang zalim, seperti yang dilakukan oleh Asiah, isteri Firaun.

Namun, dalam masa yang sama ALLAH tidak menyukai wanita yang mengkhianati suaminya yang soleh. Isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth mempunyai sifat kelima ini. Saat suaminya memperjuangkan kebenaran, mereka menjadi pengkhianat dakwah.

ALLAH SWT berfirman: "... perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth, mereka berdua berada di bawah jagaan dua hamba yang soleh daripada hamba-hamba Kami, dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing, maka kedua-dua suami mereka tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka daripada (azab) ALLAH dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (neraka)."  (Surah At-Tahrim: 10)

Golongan wanita yang dikisahkan al-Quran ini hidup ribuan tahun lalu. Namun, karakter dan sifatnya tetap ada sehingga kini. Ada jenis yang kukuh keimanannya dalam berjuang. Ada wanita solehah yang tetap beribadah dan tetap menjaga kesucian diri. Ada pula yang suka menghasut, menggoda dan menjadi pengkhianat. Semuanya terserah kepada kita untuk memilih yang mana.

 ALLAH berfirman: "Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat yang memberi penjelasan, dan contoh-contoh kepada orang-orang yang terdahulu sebelum kamu dan sebagai pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah An-Nur: 34)

Semoga dengan membaca kisah ini, kita tidak terjerumus pada lingkar dosa yang akan memenuhi neraka. Insya-ALLAH.

Belanjawan berkat daripada pemimpin amanah

ABD RAZAK MUTHALIB
10 Oktober 2014


PEMIMPIN yang tidak berasa susah tidak mampu mengerti apa itu hakikat kesusahan. Melihat tidak sama dengan merasai. Apatah lagi jika pemimpin itu kehidupannya semenjak lahir disajikan dengan seribu satu kemewahan.

Tinggal di kediaman indah, memakai pakaian mahal, menikmati pelbagai juadah, menaiki pula kenderaan mewah. Pendek kata, keperitan dan kesusahan tidak sempat untuk singgah dalam kehidupannya.

Sebahagian pemimpin pula bukan tidak pernah mengalami saat susah dalam hidupnya. Namun, selepas dilantik menjadi pemimpin, gaya hidupnya berubah daripada susah menjadi mewah.

Mungkin kerana apabila menjadi orang atasan, nampak banyak peluang mengaut kekayaan yang tidak dilihat oleh orang bawahan.

Khalifah Umar ikat perut

Umar bin al-Khattab. Satu nama yang tidak perlu lagi dipBelanjawan berkat daripada pemimpin amanahertikaikan ketokohannya. Pemimpin bertakwa, amanah lagi adil.
Pada tahun 17 dan 18 Hijrah, Madinah dilanda kemarau teruk. Kehidupan rakyat menjadi susah.

Bekalan makanan berkurangan di pasar. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan pada tahun berkenaan Umar bin al-Khattab tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging sehingga rakyat dapat memakannya.

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. Umar menolak untuk makan.

Umar berkata: "Engkau menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).

Inilah yang dikatakan leading by example. Pemimpin bukan hanya pandai bercakap, keluarkan kenyataan itu dan ini, tetapi dialah yang menjadi orang pertama menunjukkan contoh.

Bukan hanya pandai nasihatkan rakyat supaya berjimat cermat, tetapi dia sendiri berbelanja bagai tak ingat. Lebih parah lagi, jika yang dibelanjakan itu adalah harta negara. Hasil keringat rakyat dihabiskan untuk kesenangan keluarga dan kaum kerabat.

Pemimpin mewah, rakyat susah

Umar bin al-Khattab terkenal dengan ketegasan beliau dalam menguruskan harta negara. Termasuk menyemak pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Gabenor pada era pemerintahannya diminta untuk membuat deklarasi harta dan akan dipantau dari masa ke semasa.

Jika ada penambahan, Umar RA akan mengambil separuh untuk Baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar RA mengambil semuanya. Dalam masa yang sama, Umar juga sering membuat lawatan mengejut ke rumah pegawainya untuk memastikan tidak ada penambahan harta yang dikaut secara tidak sah. (Lihat: Al-Baladhuri, Ahmad bin Yahya, Futuh al-Buldan, ms 220-221 & Ibn Syabbah, Tarikh al-Madinah, 3/837)

Pernah satu peristiwa berlaku antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah SAW iaitu Sa’ad bin Abi Waqqas  bertugas sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Sa’ad membina pagar di sekeliling kediamannya sehingga rakyat mengelarkannya Istana Sa’ad.

Rumah Sa’ad berhampiran dengan sebuah pasar. Jadi, tujuan pagar dibina dikatakan bagi mengurangkan bunyi terlalu bising dari pasar tersebut. Membina pagar kediaman adalah sesuatu yang janggal pada zaman tersebut, melainkan mereka yang terlalu kaya.

 Apabila berita ini sampai kepada Umar al-Khattab, beliau berasakan pagar itu mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Lalu, Umar segera mengutuskan Muhammad bin Maslamah untuk memusnahkan pagar tersebut. (Lihat: Al-Baladhuri, Ahmad bin Yahya, Futuh al-Buldan, ms 77)

Rakyat di bawah pemerintahan khalifah Umar al-Khattab ketika itu benar-benar merasai “rakyat didahulukan”. Umar tidak mahu gabenor dan pegawainya mengamalkan cara hidup mewah sedangkan rakyat jelata ada yang sengsara menanggung keperitan kos sara hidup.

Tidak ada ruang untuk gebenor dan pegawainya mempertikaikan Umar kerana beliau sendiri terlebih dahulu menunjukkan contoh yang sama.

Keperibadian Isteri pemimpin

Dalam peristiwa lain, berlaku antara Umar al-Khattab dan Mujasha’ bin Mas’ud. Umar melantik beliau untuk melaksanakan beberapa tugasan rasmi. Kemudiannya, Umar mendapat laporan isteri Mujasha’ yang bernama al-Khudayra membeli perabot baru dan hiasan  dinding.

Menerima laporan itu, Umar tahu yang barangan itu dibeli menggunakan harta syubhah akibat jawatan Mujasha’. Umar terus menulis sepucuk surat kepada Mujasha’ supaya mengoyakkan hiasan dinding tersebut.

Selepas menerima surat Umar, Mujasha’ terus mengarahkan isterinya supaya keluar rumah dan meminta orang ramai yang ada ketika itu membantu untuk mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya. (Lihat: Ibn Syabbah, Tarikh al-Madinah, 3/837)

Pemimpin khianat tidak selamat

Apatah lagi jika kesenangan dan kemewahan yang dikecapi pemimpin dan keluarga adalah dengan cara menyalahgunakan harta awam. Pengkhianatan amanah ini tidak dapat dipadamkan dengan sekali dua menghadiri program keagamaan, majlis selawat, qasidah dan sebagainya.

 Amanah tetap amanah. Khianat tetap khianat. Dalam hadis yang  diriwayatkan Bukhari dan Muslim, menyebutkan seorang berjihad bersama Rasulullah SAW telah mati dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau syahid di medan perang.

Namun Rasulullah SAW menyebut: "Tidak! Sesungguhnya selendang daripada harta rampasan perang yang dia ambil pada hari peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka yang marak ke atasnya".

Teladanilah kisah dan lihatlah dengan mata hati, seorang yang mati berjuang bersama Rasulullah SAW tetap dihukum kerana mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sekadar sehelai selendang, bagaimana pula jika ratusan juta harta awam?! ALLAH....ALLAH.

Rindu keadilan khalifah

Kita rindukan era pemerintahan Umar al-Khattab dan khulafa’ al-Rasyidin. Pemimpin hasil didikan Rasulullah SAW. Mereka tinggalkan contoh teladan buat pemimpin hari ini. Pemimpin ditaati dan disayangi kerana amanah dan keadilannya. Bukan kerana gaya hidup mewah dan kekayaannya.

Umar bin al-Khattab pernah membahagikan pakaian kepada rakyatnya. Kemudian beliau naik ke atas mimbar dan berucap: “Wahai manusia dengarlah!” Lantas Salman al-Farisi bangun dan berkata: “Kami tidak mahu dengar”.

Lalu Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: “Engkau berikan kami semua seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abdullah.

 Kata Umar: “Aku menyerumu dengan nama ALLAH, bukankah pakaian yang aku pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan kepadaku?”. Jawabnya: Ya! Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar, 1/55)

Berkatnya Urus Harta Negara

Belanjawan negara berkait rapat dengan soal menguruskan harta negara. Belanjawan akan berasa keadilannya jika diuruskan orang yang adil. Keadilan akan terserlah daripada pemimpin yang amanah. 

Pemimpin amanah berasa takut untuk melanggari perintah ALLAH dan Rasulullah SAW. Rakyat mengharapkan harta negara diuruskan dengan adil. Harta negara dapat dikecapi bersama kerana disitu adanya bahagia.

Amirul Mukminin ‘Umar pernah menulis surat kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari RA, antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka.

Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan”. (Musannaf Abi Syaibah, 8/147)

Akhirat nanti, tidak kira pemimpin atau rakyat jelata, semunya berhadapan seorang diri bertemu ALLAH bagi menjawab apa dilakukan di dunia.

Mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan harta negara, sudah pasti lebih banyak perbicaraannya. Pemimpin amanah balasannya Jannah, pemimpin khianat dilaknat.

Umar bin al-Khattab berpesan kepada gabenornya iaitu Abu Musa al-Asy’ari dengan berkata: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang daripada orang ramai, melainkan ALLAH menjadikan engkau paling berat menanggung beban antara mereka.”