TOK PERAK
12 Oktober 2014
*IKLAN telah
dipasang, gendang pun telah dicanang, dan ramai yang ghairah untuk berseronok
sambil bebas menonggeng arak pada Festival Oktoberfest yang dijadualkan
berlangsung 10 hingga 12 Oktober.
Seperti yang diiklankan pesta ‘berdengung’ dan ‘ringan-ringan’ anjuran syarikat
pengeluar arak terkenal itu akan diadakan di sebuah pusat beli-belah terkemuka
di Petaling Jaya.
Maka tercetuslah kontroversi, konon Kerajaan Negeri Selangor di bawah PR telah
menghalalkan pesta arak. Ramailah yang menjerit. Baik Umno, NGO Melayu, NGO
Islam, semua mengutuk kelulusan pesta tersebut.
Hatta, Pas yang menjadi rakan sekelambu PR pun membantah keras pesta tersebut
sambil mendesak PBT dan kerajaan mengambil tindakan ke atas penganjur yang
telah mempromosikan festival itu secara terbuka.
Arakian, keghairahan pun mengendur dan ramai yang mengeluh. Sepatah kata
anak-anak muda “tengah syok-syok tiba-tiba potong stim!”
*MESKI ramai yang menentang, menteri besar, Mohd Azmin Ali berkata pesta arak
itu boleh diadakan sekiranya pihak penganjur mematuhi semua peraturan yang
ditetapkan oleh PBT dan agensi-agensi seperti polis dan kastam.
Apa yang mencetuskan kontroversi ialah iklan pesta tersebut digantung tanpa
permit. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Atan mengesahkan Majlis
Bandar Raya Shah Alam (MBSA) tidak pernah meluluskan permit untuk iklan
berkenaan. Iklan yang mencetuskan kontroversi itu telah dibuang, dan syarikat
pengiklanan terlibat telah digantung selama tiga bulan.
Harap-harap insiden seperti ini tidak berulang dan jangan dihebahkan secara
terbuka. Kena hormat juga perasan orang Islam. Kalau hendak mabuk atau
tonggeng-terbalik pun buatlah secara tertutup, bukan terang-terangan seperti
acara lelong durian.
*SEBAGAI orang Islam saya menyokong penuh parti politik, NGO dan individu yang
berkobar-kobar menyuarakan tentangan terhadap Oktoberfest yang diiklankan di
Shah Alam sebagai ‘The Biggest Beer Celebration in the World’.
Namun, sekadar makluman, ini bukan pertama kali Oktoberfest diadakan di negara
ini. Tidak lama dulu acara ini telah pun
diadakan di beberapa tempat termasuk di Dataran Bintang KL, Lot 10 dan pusat
beli-belah Starhill.
Malah Duta Jerman ketika itu, Dr. Norbert Heinrich Holl sendiri telah
melancarkan pesta yang turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti hiburan dan
kesenian. Bezanya kali ini pesta berkenaan diiklankan secara terbuka, dan
diadakan di negeri Selangor pula. Kalau buat di KL mungkin tidak kontroversi.
Perihal minum arak secara terbuka, walaupun dilarang, bukanlah luar biasa lagi
di tempat kita. Kerap kali bir dan minuman keras lain dinikmati di tempat terbuka,
siapa sahaja boleh meneguk.
Malah, pesta beli dan minum arak diadakan di laluan utama sebuah pusat
beli-belah baru-baru ini, sebagai promosi syarikat arak yang menjadi penaja
utama bola sepak dunia. Tidak ada siapa pun bising!
Sekadar makluman juga, kilang arak di negara kita adalah antara pengeluar
minuman keras terbesar dunia. Cukai arak bernilai berbilion RM masuk ke kantung
perbendaharaan negara setiap tahun. Ada sesiapa berani menentang?
*AKHIR kalam, seorang maut sementara 12 lagi termasuk empat pelancong asing
cedera apabila bom tangan meletup di hadapan sebuah kelab malam Jalan Bukit
Bintang, KL Rabu lalu.
Seperti dilaporkan dalam kejadian 4.25 Subuh itu dua bom tangan dilemparkan
oleh kumpulan kongsi gelap, satu meletup satu lagi tidak. Dipercayai ini
gara-gara pergaduhan dua kumpulan kongsi gelap.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa, insiden itu pertama
kali berlaku di ibu negara dan pihaknya yang masih menjalankan siasatan tidak
menolak kemungkinan dendam peribadi, perebutan kawasan atau membabitkan isu
perniagaan merupakan motif kejadian.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi, polis percaya bom jenis
M-67 itu adalah buatan Amerika Syarikat.
Walaupun pihak polis menafikan insiden ini ada kaitan dengan gerakan militan,
orang ramai berasa bimbang apabila samseng sudah mula melakukan keganasan
menggunakan bom.
Soalan umum sekarang ialah bagaimana samseng berkenaan memperoleh bom tangan
buatan Amerika? Kalau mereka boleh memiliki bom, apakah tidak mungkin kumpulan
gelap itu juga mempunyai lain-lain senjata canggih?
Tiba-tiba
sahaja kita berasa semakin tidak selamat!
No comments:
Post a Comment