SYAHIDATUL
AKMAL DUNYA
10 Oktober 2014
SETIAP orang
mempunyai ceritera berbeza, ada yang kedengaran baik dan manis ada juga
individu di awalnya menderita tetapi bahagia di penghujungnya, itulah putaran
sebuah kehidupan.
Petunjuk
demi petunjuk
Seringkali Asra Imani Lim ditebak dengan persoalan bagaimana dia
terpesona dan jatuh cinta dengan Islam. Gadis yang berusia 27 tahun ini adalah
seorang individu yang sangat ramah.
Dengan mudahnya dia menjawab, kerana selama ini ALLAH SWT banyak menunjukkan
tanda kepada dirinya dan dengan petunjuk itulah dia akhirnya memeluk Islam.
"ALLAH memilih saya untuk menjadi seorang Muslimah kerana itu Dia banyak
menunjukkan tanda kekuasaan-Nya dan kebenaran Islam kepada saya. Cuma atas
alasan saya lahir dalam keluarga bukan Islam langsung tidak saya hargai
petunjuk-Nya itu ketika itu.
"Antara banyaknya petunjuk dan tanda yang ALLAH berikan adalah sering kali
terdetik di benak ini, siapakah ayah kepada ayah kepada ayah saya dan menemui
jawapan itu dalam buku kecil kisah Nabi Adam AS. Kematian ibu yang menghidap
ketumbuhan dalam otak semasa usia saya 19 tahun meninggalkan impak yang
mendalam dalam hidup saya.
"Sejak itulah diri ini sering mempersoalkan mengenai qada dan qadar serta
kehidupan selepas mati (alam akhirat). Apa akan jadi selepas itu? ke manakah
umat manusia akan pergi? sedangkan masyarakat Cina pantang jika bercerita
mengenai kematian," katanya yang memeluk Islam pada 2012 yang lalu kepada
Rehal.
Asra menjelaskan, sedikit demi sedikit peristiwa yang berlaku menjadikan
dirinya berfikir dan mengkaji mengenai asal usul agama anutannya, namun dia
tidak menemui jawapan yang memuaskan sekali gus membuatkan dirinya
tertanya-tanya adakah selami ini dia benar-benar memahami agama anutannya atau
sekadar mengikut sahaja.Asra dibesarkan pengasuhnya yang beragama Islam sejak
kecil lagi.
Dakwah bil
akhlak
"Hasil daripada kajian saya mengenai agama anutan ini akhirnya menunjuk
jalan kepada diri ini untuk berjinak-jinak dengan agama yang dibawa penghulu
segala nabi, Nabi Muhammad SAW.
"Apa yang saya lakukan langsung tidak diketahui keluarga, namun lama
kelamaan mereka dapat menghidu mengenai kegiatan saya ini. Berlaku sedikit
salah faham antara kami, lantas menjadikan hubungan kekeluargaan yang dahulunya
rapat kini renggang," kata anak jati Kuala
Lumpur ini lagi.
Asra berkata, dia perlu memikirkan cara yang terbaik untuk memberitahu
keluarganya bahawa dia bukan lagi penganut agama Buddha sebaliknya dia kini
adalah seorang Muslimah. Bagi mengukuhkan akidah dan mencukupkan dirinya dengan
ilmu agama, dia mengambil pendekatan berdakwah dengan akhlak.
Menurutnya, dia baru memberitahu bapanya beberapa bulan yang lalu mengenai penghijrahan
yang dilakukan. Pada mulanya, bapa menerima dengan baik kerana menganggap
Asra ingin berkahwin.
Namun, sebaik bapanya menyedari Asra bersolat dan berpuasa dengan lantangnya
bapa memberi amaran supaya jangan bersikap memandai-mandai. Pada hemahnya
mungkin bapanya memerlukan masa untuk menerima keadaan itu. Bapa Asra juga
menyarankan supaya jangan beritahu kepada ahli keluarga lain.
Petik
kata-kata motivasi
Di awal pengislamannya, Asra tidak pandai bersolat atau berdoa, tetapi dia
berusaha untuk mengenali Islam dengan melayari internet dan mencari kata-kata
motivasi yang dipetik daripada al-Quran dan hadis.
"Selepas beberapa bulan, hati saya meronta-ronta untuk memeluk Islam,
tetapi saya masih tidak berani. Alhamdulillah, ada seorang ustazah yang hadir
ke surau tempat kerja untuk sesi usrah, ketika itu saya mengambil peluang
bertanya soalan. Jawapan yang diberikan meyakinkan kerana ia berdalil. Ketika
itu juga saya mengucapkan dua kalimah syahadah disaksikan rakan
sepejabat.
"Setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan seharian sama ada makan,
minum, halal, haram, berakhlak dan berurus niaga semuanya ada adab dan garis
panduan," katanya yang menjadikan tokoh perbandingan agama, Dr Zakir Naik
sebagai idola.
Menurut Asra lagi, dia gemar menonton rancangan mengenai cara mengambil wuduk
dan solat secara sempurna dikelolakan seorang ustaz yang hebat di TV AL-Hijrah.
Di kala itulah, Asra lebih yakin Nabi Muhammad SAW diturunkan adalah untuk
memberikan khabar yang baik kepada umat Islam.
Aktif berdakwah
Disebabkan sikap keterbukaannya menyebabkan Asra mudah diterima ramai. Asra sering melibatkan diri dengan aktiviti dakwah
jalanan bersama teman saudara barunya. Kebanyakan program itu dianjurkan oleh
Persatuan Multiracial Reverted Muslim.
"Kami mendekati golongan bukan Islam dengan menerangkan dan memperbetulkan
persepsi mereka mengenai Islam.
"Semasa melakukan dakwah jalanan, saya didatangi beberapa orang bukan
Islam di mana kami akan berbincang mengenai Islam dalam bahasa Cina. Mereka sebenarnya
sangat hormati orang beragama Islam, tetapi kurang memahami agama Islam
disebabkan tidak berani bertanya kawan-kawan Islam. Malah selepas itu, mereka
berterima kasih adakan dakwah jalanan ini kerana mereka boleh mendapat
penjelasan mengenai Islam," ulasnya.
Menurut Asra, walaupun pada mulanya dia sendiri tidak ada keberanian dan agak
takut untuk melakukannya kerana memikirkan diri ini tak cukup ilmu dan belum
cukup sempurna sebagai seorang Muslim. Tapi sebenarnya akhlak kita sebagai
Muslim pun adalah dakwah yang terbaik. Malah, tidak akan ada Islam di bumi
kalau Rasulullah SAW tidak berdakwah.
No comments:
Post a Comment