ABD RAZAK MUTHALIB
10 Oktober 2014
PEMIMPIN yang tidak
berasa susah tidak mampu mengerti apa itu hakikat kesusahan. Melihat tidak sama
dengan merasai. Apatah lagi jika pemimpin itu kehidupannya semenjak lahir
disajikan dengan seribu satu kemewahan.
Tinggal di kediaman indah, memakai pakaian mahal, menikmati pelbagai juadah,
menaiki pula kenderaan mewah. Pendek kata, keperitan dan kesusahan tidak sempat
untuk singgah dalam kehidupannya.
Sebahagian pemimpin pula bukan tidak pernah mengalami saat susah dalam
hidupnya. Namun, selepas dilantik menjadi pemimpin, gaya hidupnya berubah daripada susah menjadi mewah.
Mungkin kerana apabila menjadi orang atasan, nampak banyak peluang mengaut
kekayaan yang tidak dilihat oleh orang bawahan.
Khalifah
Umar ikat perut
Umar bin al-Khattab. Satu nama yang tidak perlu lagi dipBelanjawan berkat
daripada pemimpin amanahertikaikan ketokohannya. Pemimpin bertakwa, amanah lagi
adil.
Pada tahun 17 dan 18 Hijrah, Madinah dilanda kemarau teruk. Kehidupan rakyat
menjadi susah.
Bekalan makanan berkurangan di pasar. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan pada
tahun berkenaan Umar bin al-Khattab tidak memakan lemak haiwan, susu dan daging
sehingga rakyat dapat memakannya.
Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan
harga yang agak tinggi. Umar menolak untuk makan.
Umar berkata: "Engkau menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan
kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan
rakyat jika tidak menimpaku apa yang menimpai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut : Dar al-Fikr).
Inilah yang dikatakan leading by example. Pemimpin bukan hanya pandai bercakap,
keluarkan kenyataan itu dan ini, tetapi dialah yang menjadi orang pertama
menunjukkan contoh.
Bukan hanya pandai nasihatkan rakyat supaya berjimat cermat, tetapi dia sendiri
berbelanja bagai tak ingat. Lebih parah
lagi, jika yang dibelanjakan itu adalah harta negara. Hasil keringat rakyat
dihabiskan untuk kesenangan keluarga dan kaum kerabat.
Pemimpin
mewah, rakyat susah
Umar bin al-Khattab terkenal dengan ketegasan beliau dalam menguruskan harta
negara. Termasuk menyemak pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Gabenor
pada era pemerintahannya diminta untuk membuat deklarasi harta dan akan
dipantau dari masa ke semasa.
Jika ada penambahan, Umar RA akan mengambil separuh untuk Baitul Mal dan dalam
beberapa keadaan Umar RA mengambil semuanya. Dalam masa yang sama, Umar juga
sering membuat lawatan mengejut ke rumah pegawainya untuk memastikan tidak ada
penambahan harta yang dikaut secara tidak sah. (Lihat: Al-Baladhuri, Ahmad bin
Yahya, Futuh al-Buldan, ms 220-221 & Ibn Syabbah, Tarikh al-Madinah, 3/837)
Pernah satu peristiwa berlaku antara beliau dengan seorang sahabat Rasulullah
SAW iaitu Sa’ad bin Abi Waqqas bertugas sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Sa’ad
membina pagar di sekeliling kediamannya sehingga rakyat mengelarkannya Istana
Sa’ad.
Rumah Sa’ad berhampiran dengan sebuah pasar. Jadi, tujuan pagar dibina
dikatakan bagi mengurangkan bunyi terlalu bising dari pasar tersebut. Membina
pagar kediaman adalah sesuatu yang janggal pada zaman tersebut, melainkan
mereka yang terlalu kaya.
Apabila berita ini sampai kepada Umar al-Khattab, beliau berasakan pagar
itu mendatangkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan. Lalu, Umar segera
mengutuskan Muhammad bin Maslamah untuk memusnahkan pagar tersebut. (Lihat:
Al-Baladhuri, Ahmad bin Yahya, Futuh al-Buldan, ms 77)
Rakyat di bawah pemerintahan khalifah Umar al-Khattab ketika itu benar-benar
merasai “rakyat didahulukan”. Umar tidak mahu gabenor dan pegawainya
mengamalkan cara hidup mewah sedangkan rakyat jelata ada yang sengsara
menanggung keperitan kos sara hidup.
Tidak ada ruang untuk gebenor dan pegawainya mempertikaikan Umar kerana beliau
sendiri terlebih dahulu menunjukkan contoh yang sama.
Keperibadian
Isteri pemimpin
Dalam peristiwa lain, berlaku antara Umar al-Khattab dan Mujasha’ bin Mas’ud.
Umar melantik beliau untuk melaksanakan beberapa tugasan rasmi. Kemudiannya,
Umar mendapat laporan isteri Mujasha’ yang bernama al-Khudayra membeli perabot
baru dan hiasan dinding.
Menerima laporan itu, Umar tahu yang barangan itu dibeli menggunakan harta
syubhah akibat jawatan Mujasha’. Umar terus menulis sepucuk surat kepada
Mujasha’ supaya mengoyakkan hiasan dinding tersebut.
Selepas menerima surat Umar, Mujasha’ terus mengarahkan isterinya supaya keluar
rumah dan meminta orang ramai yang ada ketika itu membantu untuk mengoyak dan
menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya. (Lihat: Ibn
Syabbah, Tarikh al-Madinah, 3/837)
Pemimpin
khianat tidak selamat
Apatah lagi jika kesenangan dan kemewahan yang dikecapi pemimpin dan keluarga
adalah dengan cara menyalahgunakan harta awam. Pengkhianatan amanah ini tidak
dapat dipadamkan dengan sekali dua menghadiri program keagamaan, majlis
selawat, qasidah dan sebagainya.
Amanah tetap amanah. Khianat tetap khianat. Dalam hadis yang
diriwayatkan Bukhari dan Muslim, menyebutkan seorang berjihad bersama
Rasulullah SAW telah mati dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana
beliau syahid di medan perang.
Namun Rasulullah SAW menyebut: "Tidak! Sesungguhnya selendang daripada
harta rampasan perang yang dia ambil pada hari peperangan Khaibar tanpa
pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka yang marak ke
atasnya".
Teladanilah kisah dan lihatlah dengan mata hati, seorang yang mati berjuang
bersama Rasulullah SAW tetap dihukum kerana mengambil harta awam dengan cara
yang salah. Itu sekadar sehelai selendang,
bagaimana pula jika ratusan juta harta awam?! ALLAH....ALLAH.
Rindu
keadilan khalifah
Kita rindukan era pemerintahan Umar al-Khattab dan khulafa’ al-Rasyidin. Pemimpin
hasil didikan Rasulullah SAW. Mereka tinggalkan contoh teladan buat pemimpin
hari ini. Pemimpin ditaati dan disayangi kerana amanah dan keadilannya. Bukan
kerana gaya hidup mewah dan kekayaannya.
Umar bin al-Khattab pernah membahagikan pakaian kepada rakyatnya. Kemudian
beliau naik ke atas mimbar dan berucap: “Wahai manusia dengarlah!” Lantas
Salman al-Farisi bangun dan berkata: “Kami tidak mahu dengar”.
Lalu Umar bertanya: Kenapa wahai Salman?” Jawabnya: “Engkau berikan kami semua
seorang sehelai, sedangkan engkau memakai dua helai”. Kata ‘Umar: “Jangan
tergesa-gesa wahai Salman”. Lalu Umar memanggil anaknya Abdullah.
Kata Umar: “Aku menyerumu dengan nama ALLAH, bukankah pakaian yang aku
pakai ini adalah peruntukanmu yang engkau berikan kepadaku?”. Jawabnya: Ya!
Maka kata Salman: “Sekarang kami akan dengar”. (Ibn Qutaibah, ‘Uyun al-Akhbar,
1/55)
Berkatnya
Urus Harta Negara
Belanjawan negara berkait rapat dengan soal menguruskan harta negara. Belanjawan
akan berasa keadilannya jika diuruskan orang yang adil. Keadilan akan terserlah
daripada pemimpin yang amanah.
Pemimpin amanah berasa takut untuk melanggari perintah ALLAH dan Rasulullah
SAW. Rakyat mengharapkan harta negara diuruskan dengan adil. Harta negara dapat
dikecapi bersama kerana disitu adanya bahagia.
Amirul Mukminin ‘Umar pernah menulis surat kepada gabenornya Abu Musa
al-Asy’ari RA, antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah
mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka
ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka.
Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan
bermewah-mewahan”. (Musannaf Abi Syaibah, 8/147)
Akhirat nanti, tidak kira pemimpin atau rakyat jelata, semunya berhadapan
seorang diri bertemu ALLAH bagi menjawab apa dilakukan di dunia.
Mereka yang diberikan amanah untuk
menguruskan harta negara, sudah pasti lebih banyak perbicaraannya. Pemimpin
amanah balasannya Jannah, pemimpin khianat dilaknat.
Umar bin al-Khattab berpesan kepada gabenornya iaitu Abu Musa al-Asy’ari dengan
berkata: “Wahai Abu Musa! Sesungguhnya engkau hanyalah salah seorang daripada
orang ramai, melainkan ALLAH menjadikan engkau paling berat menanggung beban
antara mereka.”
No comments:
Post a Comment