SITI ZURAIDAH
ISMAIL
10 Oktober 2014
DALAM al-Quran,
ALLAH SWT menceritakan pelbagai jenis kisah untuk kita teladani dan jadikan
iktibar sebagai panduan dalam kehidupan sehari-hari. ALLAH tidak hanya
mengisahkan perihal kisah kaum terdahulu, tetapi juga pelbagai bentuk akidah,
ibadah, muamalat dan sebagainya.
ALLAH ada menjelaskan mengenai jenis wanita dalam al-Quran. ALLAH
kisahkan semua cerita ini untuk hamba-Nya, khususnya wanita bagi diaplikasikan
dalam kehidupan yang sedang dijalani.
Wanita
pejuang
Jenis pertama yang disebut dalam al-Quran adalah jenis pejuang. Wanita yang
memiliki sifat pejuang ini mempunyai keperibadian yang kuat. Mereka berani
menanggung risiko apa pun saat keimanannya diusik dan kehormatannya
diperlekehkan. Siti Asiah binti Mazahin, isteri
Firaun memiliki sifat pejuang ini.
ALLAH mengabdikan doa Siti Asiah dalam al-Quran: "Wahai Tuhanku! Binalah
untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga, dan selamatkanlah aku daripda
Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah aku daripada
kaum yang zalim." (Surah at-Tahrim: 11)
Walaupun berada dalam cengkaman Firaun, Asiah mampu menjaga akidah dan harga
dirinya sebagai seorang Muslimah. Asiah lebih memilih istana di syurga daripada
istana dunia yang dijanjikan Firaun. ALLAH mengabdikan doanya dan menjadikannya
tauladan bagi orang yang beriman.
Jaga
dirinya
Jenis wanita yang kedua ialah wanita soleh yang menjaga kesucian dirinya. Kita
dapat lihat sifat ini ada pada Maryam binti Imran. Hari-harinya diisi dengan
ketaatan kepada ALLAH. Maryam sangat konsisten menjaga kesucian dirinya.
ALLAH berfirman yang bermaksud: "Bagaimana mungkin aku mempunyai
anak lelaki, padahal tidak pernah ada lelaki yang menyentuhku dan aku bukan
seorang penzina!" (Surah Maryam: 20)
Disebabkan keutamaan inilah, ALLAH mengabdikan namanya sebagai salah satu surah
dalam al-Quran dengan Surah Maryam, surah ke-19.
ALLAH memelihara Maryam bukan kerana kecantikannya, tetapi kerana kesuciannya
dalam menjadi hamba yang soleh.
Pembawa
kayu bakar
Jenis yang ketiga, dimiliki oleh Hindun, isteri Abu Lahab. Mereka yang
mempunyai sifat seperti Hindun ini suka menghasut, menyebar fitnah dan menjaja
cerita. Di dalam al-Quran, Hindun disebut sebagai “pembawa kayu bakar” atau
dengan kata lain penyebar fitnah. Bersama suaminya, Hindun tidak putus
menentang dakwah Rasulullah SAW, menyebar fitnah dan melakukan kezaliman. Bicara
yang sedikit menjadi besar apabila Hindun bersuara.
"Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah dia bersama! Tidaklah
berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke
dalam api yang bergelora (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu
bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali daripada sabut yang dipintal.” (Surah
Al-Masad: 1-5)
Wanita
penggoda
Jenis wanita yang keempat ialah jenis wanita yang menggoda. Ini dibuktikan
Zulaikha saat menggoda Nabi Yusuf AS. Perbuatan Zulaikha ini diceritakan dalam
al-Quran: "Dan perempuan yang dia (Yusuf) tinggal di rumahnya menggoda
dirinya. Dan dia menutup pintu-pintu, lalu berkata, "Marilah dekat
kepadaku.".
Yusuf berkata: "Aku berlindung kepada ALLAH, sesungguhnya, tuanku telah
melayaniku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan
berjaya." (Surah Yusuf: 23)
Sifat atau jenis wanita yang terakhir ialah wanita pengkhianat dan ingkar
kepada suaminya. ALLAH memuji wanita yang tidak taat kepada suaminya yang
zalim, seperti yang dilakukan oleh Asiah, isteri Firaun.
Namun, dalam masa yang sama ALLAH tidak menyukai wanita yang mengkhianati
suaminya yang soleh. Isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth mempunyai sifat kelima ini.
Saat suaminya memperjuangkan kebenaran, mereka menjadi pengkhianat dakwah.
ALLAH SWT berfirman: "... perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth,
mereka berdua berada di bawah jagaan dua hamba yang soleh daripada hamba-hamba
Kami, dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing, maka
kedua-dua suami mereka tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada
mereka daripada (azab) ALLAH dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua
(pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama
orang-orang yang masuk (neraka)." (Surah At-Tahrim: 10)
Golongan wanita yang dikisahkan al-Quran ini hidup ribuan tahun lalu. Namun,
karakter dan sifatnya tetap ada sehingga kini. Ada jenis yang kukuh keimanannya
dalam berjuang. Ada wanita solehah yang tetap beribadah dan tetap menjaga
kesucian diri. Ada pula yang suka menghasut, menggoda dan menjadi pengkhianat.
Semuanya terserah kepada kita untuk memilih yang mana.
ALLAH berfirman: "Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada
kamu ayat-ayat yang memberi penjelasan, dan contoh-contoh kepada orang-orang
yang terdahulu sebelum kamu dan sebagai pengajaran bagi orang-orang yang
bertakwa." (Surah An-Nur: 34)
Semoga dengan membaca kisah ini, kita tidak terjerumus pada lingkar dosa yang
akan memenuhi neraka. Insya-ALLAH.
No comments:
Post a Comment