PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS
YUSOFF
3 November 2013 Sinar Harian
Dua minggu lagi
cuti sekolah bermula.
Biasanya guru-guru cukup gembira dengan percutian ini kerana mereka mempunyai
masa untuk berehat dan bercuti bersama keluarga.
Tapi kali ini kegembiraan tersebut suram kerana ramai dari mereka tertekan
dengan sistem baru yang digunakan oleh Kementerian, iaitu Sistem Pentaksiran
Berasaskan Sekolah (PBS).
Betul sistem ini diperkenalkan oleh Kementerian setelah beberapa kali mesyuarat
diadakan. Betul sistem ini diperkenalkan kerajaan setelah mengambil kira
kebaikannya untuk guru, murid-murid dan sistem pendidikan negara.
Betul tujuan sistem ini baik untuk transformasi sistem pendidikan negara, iaitu
“untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji
penguasaan dan pencapaian.”
Tetapi apakah sistem ini betul-betul baik untuk meningkatkan mutu pendidikan
negara? Apakah sistem ini betul-betul boleh diterima oleh para guru? Pertanyaan
ini perlu diteliti sebelum mendapat jawapannya.
Saya sudah mendengar lama rungutan para guru tentang hal in sejak ia mula
dilaksanakan pada tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan pada tahun lepas
bagi peringkat sekolah menengah.
Ada yang menulis secara peribadi meminta saya membangkitkan hal ini. Tetapi
saya diam sehinggalah saya dapati kelemahan pelaksanaan sistem ini semakin
ketara.
Apa yang lemahnya dengan sistem ini?
Lemahnya bukanlah pada tujuannya yang baik:
(i) untuk menilai potensi murid,
(ii) memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi murid; dan
(iii) membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.
Tetapi lemahnya sistem ini adalah pada penggunaan sistem memasukkan datanya
yang tidak boleh ‘comply’ dengan beban data semasa.
Sistem Pangkalan Data PBS Lemah Justeru lemahnya sistem data PBS ini, maka guru
perlu memasukkan data pada waktu lewat malam.
Akibatnya, pada waktu pagi guru mengantuk menyebabkan mutu mengajar menjadi
lemah, sekali gus menjejas mutu pengajaran dan pembelajaran.
Akibatnya, murid tidak mendapat pembelajaran yang sempurna kerana waktu guru
dihabiskan pada tugas perkeranian, bukan pada tugas hakikinya. Ini kerana
selain sibuk memasukkan data, guru juga sibuk mengemaskan rekod.
Aduh!!! Apa lagi? Guru juga terpaksa menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti
membina instrumen soalan, menanda dan menyemak kertas soalan.
Selepas itu, guru perlu mengadakan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan
segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain. Guru kadang-kadang
terpaksa lepaskan murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum
dicapai.
Selain itu, guru perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah angka ribu
dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan
ratusan band pelajar ke dalam sistem.
Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet hang?
Bayangkan bagaimana lelahnya guru setelah disemak semula dalam sistem, data
yang dimasukkan sebelum ini tidak ada dalam pangkalan? Maka dari sinilah, guru
selalu bertanya, siapakah yang membangunkan sistem ini?
Mengapa diberi kepada pembekal yang tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem
ini kepada sekolah dan guru? Mengapa kerajaan boleh melaksanakan sistem ini
dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan
bermacam persoalan lagi.
Saya pernah menceritakan kelemahan sistem ini kepada kawan saya, seorang
pegawai di PPD. Beliau kata kepada saya guru yang merungut dengan sistem PBS
ini adalah guru yang malas dan tidak ada semangat untuk berjaya dalam bidang
keguruan.
Maka beliau pun mulalah bercerita kepada saya tentang kejayaan sistem ini di
negara-negara lain. Saya tidak nafikan kejayaan sistem ini di negara lain,
tetapi saya katakan sistem di sini tidak mesra guru kerana sistemnya selalu
'hanged' sehingga menyebabkan guru tertekan.
Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan
data. Jadi kata saya, sistem
PBS ini mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita.
Anggur yang sesuai ditanam di Perancis belum tentu sesuai ditanam di Cameron
Highlands. Akhirnya, setelah mendengar
keluhan para guru sejak sistem ini diperkenalkan, saya cuma ingin katakan guru
yang mengeluh bukan kerana mereka tidak ‘love teaching’. Tapi mereka mengeluh
kerana sistem PBS ini membebankan dan tidak mesra pengguna.
Oleh itu, jika kerajaan mahu juga meneruskan penggunaan sistem ini, teruskanlah
dengan membaiki dan meningkatkan sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan
dengan sistem yang tidak mesra pengguna.
Tugas mengajar ini seronok dan mulia. Maka, jangan bebankan para guru dengan
perkara yang tidak sepatutnya
No comments:
Post a Comment