4:13PM
Nov 4 2013
Saya rasa amat
berat apabila mendapat banyak jemputan untuk menghadiri seminar dan
perbincangan isu-isu murtad.
Walaupun pihak-pihak penganjur
mempunyai alasan mereka yang tersendiri, namun saya selalu berkhayal satu
seminar besar dibuat tentang ramai bukan Muslim menganut Islam.
Dalam politik pilihan raya, akhbar-akhbar berbagai parti akan menyiarkan cerita
ahli-ahli parti lawan keluar parti. Sama
ada benar atau tidak, itu merupakan perang psikologi yang akan melemahkan
jentera parti musuh dan semangat pengundi.
Demikianlah juga tentang isu murtad, jika kita asyik membicarakan tentang orang
keluar agama kita, lemahlah semangat para pendakwah ikhlas yang sedikit itu,
dan patahlah hasrat bukan Muslim yang ingin mendekati agama ini.
Adakah di sana suatu yang lebih malang dari agama yang bukan sahaja gagal
menarik orang luar mendekatinya, bahkan penganut yang ada pun ingin
meninggalkannya. Mereka yang
menggembar-gemburkan angka murtad yang bukan-bukan itu - secara langsung atau
tidak langsung - memainkan peranan penting melemahkan umat ini dari dalam dan
menghalang orang lain dari menghampiri agama yang suci ini.
Kekuatan
kita ada
Dahulu kita membaca pemimpin agung Islam Umar bin al-Khattab yang berpesan
kepada bala tentera Islam yang dikepalai oleh Sa'd bin Abi Waqqas sebelum
Peperangan Qadisiyyah menentang Parsi dengan kata-kata mutiara.
Antara katanya: "...yang menyebabkan kaum Muslimin itu menang
hanyalah kerana maksiat musuh-musuh mereka. Jika tidak kerana faktor itu, kita
tidak memiliki kekuatan untuk menghadapi musuh. Sebabnya kekuatan kita tidak
seperti kekuatan mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan
mereka. Jika kita sama dengan mereka dalam hal maksiat, sudah pasti mereka
memiliki kelebihan di sudut kekuatan. Jika kita tidak mampu menang dengan
kelebihan kita (ketaqwaan) sudah pasti kita tidak dapat menewaskan mereka
dengan kekuatan kita." (Dr ‘Ali al-Salabi, ‘Umar
bin al-Khattab, ms
420, Kaherah: Dar al-Tauzi' Wa al-Nasyr al-Islamiyyah).
Ucapan
Umar sangat bermakna dan menarik. Pengajaran untuk kita umat yang tewas pada
hari ini. Namun saya ingin melihat di sudut yang sebaliknya dalam negara kita
ini.
Jika ‘Umar menyatakan: "..sebabnya kekuatan kita tidak seperti kekuatan
mereka, persiapan (peralatan) kita tidak seperti persiapan mereka",
realiti yang berlaku dalam negara kita sebaliknya.
Jumlah umat Islam lebih ramai, peruntukan dan bajet kerajaan untuk aktiviti
Islam begitu banyak.
Bahkan zakat berlebihan saban tahun -walaupun yang miskin terus menderita,
pegawai dan pejabat yang berkaitan Islam amatlah banyak. Kita ada jabatan, badan, yayasan,
mahkamah, perlembagaan dan berbagai lagi yang berpihak kepada kepentingan
Islam.
Namun mengapa kita masih kelihatan bagaikan umat yang tewas. Tidakkah jika kita
tidak dapat menewaskan orang lain dengan ketakwaan kita, sekurang-kurang kita
berjaya disebabkan faktor kekuatan lahiriah kita. Mengapa tidak sedemikian?
Seorang
yang berjalan kaki akan sampai ke destinasinya jika ia terus berjalan dengan
arah yang betul. Namun seorang
yang mempunyai kenderaan canggih dan mewah tidak akan sampai jika hanya berada
dalam kenderaannya sambil membelek-belek kemewahan itu tanpa menggerakkannya ke
arah destinasi yang betul.
Begitulah halnya kita ini. Kita wajar bertanya sejauh manakah kenderaan mewah
kita ini benar-benar digerakkan?.
Imej umat Islam
Aduhai malangnya, sepatutnya dengan Islam yang indah ini, semakin lama
bukan Muslim hidup di kalangan masyarakat Muslim semakin harmoni perasaan
mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun mereka menerimanya.
Namun realiti yang berlaku, semakin hari nampaknya, unsur-unsur prasangka dan
prejudis makin berbuah antara mereka dan kita. Di sini saya tidak ingin membicarakan
tentang masyarakat bukan Muslim dan agenda mereka.
Barangkali kita yang gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan
penghormatan. Lama-kelamaan gambaran Islam itu begitu tidak indah pada generasi
mereka.
Di
sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif
untuk mereka. Jika kita ingin
berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dalam di
sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur.
Jalan untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu juga bukannya singkat. Apa yang
tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk peri
laku mulia umatnya. Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan
budi baik melebihi kekayaan harta.
Fekah dakwah
Malangnya,
fekah dakwah kita kepada bukan Muslim terbenam sama sekali.
Ada saudara baru mengadu dia ingin menganut Islam dan menghubungi pihak yang
berkenaan.Tetapi pegawai agama itu memberitahunya: "Jika awak hendak masuk
Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu.".
Saya cadangkan pegawai berkenaan tulis di pintu pejabatnya "waktu masuk
Islam 8am sehingga 5pm".
Semangat dakwah kita tidak kukuh. Kemudian hairan orang tidak minat dengan
Islam. Jika orang lain bekerja
untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan berkorban, maka jangan hairanlah
jika mereka berjaya memenangi persaingan ini.
Ramai
orang bukan Islam selalu salah faham tentang sikap Islam terhadap mereka. Mereka
menyangka ajaran Islam itu sentiasa membenci dan memusuhi mereka tanpa sebab.
Pada hal Allah menyebut dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 (maksudnya):
"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan
sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama
(kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang
kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana
ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu
(orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan
mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."
Fekah sempit
Namun apa yang hendak dihairankan jika mereka salah faham. Mereka lihat ramai
orang Islam yang mendapat bantuan kebajikan dari mereka; seperti ketika
tsunami, yang sakit kronik dan seumpamanya.
Ada orang kita berulang alik ke tempat ibadat mereka pun untuk mendapat bantuan
rawatan percuma. Di pihak kita pula, kurang memberi kepada mereka.
Bahkan pegangan mazhab tempatan kita begitu sempit sehingga mengharamkan
sesetengah pemberian seperti daging korban dan akikah kepada mereka sekalipun
jiran di sebelah rumah. Sehingga apabila kita buat korban atau akikah, kita
menjemput orang ramai makan, kita tinggalkan jiran bukan Muslim kita kerana
bimbang nanti korban atau akikah kita terbatal.
Padahal, tiada nas dari al-Quran atau hadis yang menyatakan sedemikian.
Badan Fatwa Tetap Arab Saudi ketika ditanya tentang hal ini menjawab:
"Ya, boleh untuk kita memberikan daging korban kepada bukan Muslim yang
tidak memerangi Islam atau tawanan perang (bukan Muslim). Boleh kita berikan
kepadanya disebabkan kefakirannya, atau hubungan keluarga atau kejiranan, atau
untuk menjinakkan hatinya." (11/424).
Namun disebabkan taksub mazhab, ramai yang sempit dalam hal ini. Lucunya,
kita halang daging korban beberapa keping, dalam masa yang sama kita gadaikan
lesen, permit, projek dan tanah berkeping-keping.
Dalam masalah menjawab salam juga kita sempit. Dulu telah saya terangkan, kita
haramkan mereka menjawab salam sedangkan ia merupakan kalimah yang baik.
Namun ramai yang tidak pula melenting apabila mendengar perkataan maki hamun
atau mencarut atau merapu dari bukan Muslim ataupun Muslim.
Beri sedekah
Ramai yang susah hati kerana pertubuhan agama-agama tertentu memberikan
bantuan kepada orang-orang Islam yang kesusahan. Bimbang nanti akan
mempengaruhi orang Islam.
Persoalannya, mengapa kita tidak lakukan. Kita ada Baitul Mal, zakat yang
‘berlebihan' dan sumber-sumber lain yang boleh dijadikan penarik Muslim dan
bukan Muslim mendekati agama ini.
Susahnya, ada pula orang Islam menganggap memberi sedekah kepada bukan Islam
tidak dapat pahala. Sedekah atau bantuan yang dapat pahala hanya untuk sesama
Islam. Hal ini tidak benar.
Pada zaman Nabi SAW kaum Muslimin juga pada awalnya merasa berat untuk
memberikan bantuan harta kepada selain dari kalangan mereka.
Mereka seakan merasakan pahala itu hanya diperolehi jika sedekah itu diberikan
kepada sesama akidah.
Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 272 (maksudnya):
"Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang tidak
beriman) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk),
akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya). Dan apa jua harta yang baik yang kamu
belanjakan (pada jalan Allah) maka (pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri
dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan
Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang baik, akan disempurnakan
(balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak
dikurangkan."
Dengan
turunnya ayat ini bererti pemberian sedekah kepada sesiapa sahaja, sama ada
Muslim atau bukan Muslim , orang baik atau tidak, tetap mendapat pahala dari
sisi Allah selagi tujuannya mencari keredaan Allah.
(lihat: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/476, Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).
Bahkan dalam zakat, di kalangan ulama berpendapat peruntukan fakir miskin boleh
diberikan kepada bukan Muslim yang tidak memusuhi Islam.
Dr. Yusuf al-Qaradawi antara yang berpegang kepada pendapat ini. (lihat:
al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/ 707, Beirut: Muassasah
al-Risalah).
Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan Muslim atas peruntukan mualaf untuk
menjinakkan hati mereka kepada Islam. Sama
ada miskin atau tidak, seorang bukan Muslim boleh diberikan zakat jika itu
boleh mendekatkan hati mereka dengan Islam.
Namun, tafsiran mualaf kita begitu sempit, maka zakat gagal berfungsi sebagai
agenda dakwah. Maka tidak hairan jika zakat kita ‘berlebih-lebihan' saban
tahun, sedangkan masalah umat terus bertambah.
Hormati jenazah
Dahulu, sesetengah orang menganggap kurang baik jika lalu di hadapannya
kenderaan jenazah bukan Muslim. Pada hal dalam hadis disebut (maksudnya):
"Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAW satu jenazah, lalu baginda
bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: 'Itu jenazah
seorang Yahudi'. Baginda bersabda: 'Tidakkah ia juga jiwa (insan)?'"Riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Nilai ketinggian akhlak ini sepatutnya dijelaskan kepada bukan Muslim agar
mereka pandang tinggi kepada nabi kita. Jangan cuba dikaitkan agama ini dengan
nilai-nilai keganasan.
Masuk masjid
Masjid-masjid kita juga sepatutnya seperti masjid pada zaman Nabi SAW Diizinkan
bukan Muslim masuk untuk mendengar kuliah atau ceramah agama, atau untuk
mengambil bantuan kewangan bagi yang kesusahan.
Sepatutnya masjid dibuka untuk bukan Muslim untuk mengenali Islam, hadir
melihat amalan orang Islam dan mendapat penerangan yang harmoni mengenai Islam. Inilah yang berlaku pada zaman Nabi
SAW. Para perwakilan yang Muslim dan bukan Muslim dari serata ceruk rantau
datang menemui Nabi SAW dalam masjid baginda.
Namun kita ini, jika bukan Muslim masuk ke masjid atau duduk melihat amalan
Islam di masjid, kesempitan pemikiran pun akan berperanan aktif.
Banyak
lagi jika hendak dibincangkan di sini. Saya mencadangkan agar kita memasukkan
dalam sukatan pengajian agama kita; di masjid dan sekolah secara jelas tajuk
fekah atau akhlak Islami dalam berinteraksi dengan bukan Muslim.
Dengan harapan akan terpancar di hadapan mereka cahaya keindahan agama ini.
No comments:
Post a Comment