SYAHIDATUL.AKMAL@SINARHARIAN.COM.MY
1 November 2013
JIKA ada
manusia berkata, "alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia", maka
sudah tentu dia tidak siuman kerana bahagia itu adalah fitrah semula jadi
setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja
diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
Anggap
erti bahagia relatif?
Apakah erti bahagia? Ada
yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara
seorang individu dengan yang lain. Penulis buku motivasi keagamaan Karya
Bestari, Pahrol Mohamad Juoi berkata, bagi yang sakit, sihat itu dirasakan
bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi.
Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu
adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.
“Sebelum mendapat jawapan mengenai erti kebahagiaan yang sebenar, mesti
dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu
datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?,”
katanya.
Menurutnya, ramai merasakan bahagia itu bersumber daripada faktor luaran. Ia
bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh
seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan,
bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah
mereka.
Realiti
hidup jutawan, rupawan dan selebriti
Realitinya, sudah menjadi rules of life (sunatullah), manusia tidak mendapat
semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun dapat mengelakkan
daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa
semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya.
Firman ALLAH SWT: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu,
siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha
Pengampun." (Surah al-Mulk: 2)
Ustaz Pahrol menjelaskan, si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi
mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang
berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang
mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dolar.
“Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna,
Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan
buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita
idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.
“John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya
dipuja, disayangi dan digilai oleh jutaan peminatnya. Itu belum dikira lagi
nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik
Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI
(Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan,
dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan,
negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan,” ulasnya lagi.
Menurut Ustaz Pahrol, apa buktinya, mereka hilang bahagia? usah kita berhujah
menggunakan al-Quran dan hadis, kerana melalui paparan media sahaja cukup
menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu.
Ujian
hidup punca hilang bahagia?
Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah
sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan
lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!
Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka
kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada
kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk
diuji.
Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu
penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan
bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai
perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka
kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di
atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan
rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya,
luka di tangan itu.
Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya
melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh
Islam dengan mudah dan secara auto pilot.
No comments:
Post a Comment