IBRAHIM ABDULLAH
Sinar Harian 29 Ogos 2014
Rakyat yang terdiri daripada para perajurit, wira negara, pemimpin, ulama,
wartawan, sasterawan, penulis, petani, bahkan pengayuh beca (abang beca) dan
lain-lainnya telah berjuang ratusan tahun untuk menuntut kemerdekaan dari
belenggu penjajahan asing.
Justeru penjajahan sebagai musuh utama kepada kemerdekaan mental dan fizikal.
Sesungguhnya setiap orang, setiap saat bertempur dengan penjajah. Pertempuran
tidak akan berhenti sehingga manusia menghembuskan nafasnya yang terakhir di
dunia. Musuh itu adalah syaitan dan hawa nafsu. Manusia diserang dari segala
penjuru dan arah.
Manusia yang “merdeka” adalah yang dapat melepaskan dirinya dari belenggu hawa
nafsu dan penjajahan syaitan atas dirinya. Dia tidak lagi menjadi “hamba”
syaitan dan hawa nafsunya. Dia tidak lagi dijajah.
Itulah kemerdekaan yang sebenar dan hakiki, kemerdekaan jiwa dari belenggu hawa
nafsu, kemerdekaan hati dan akal fikiran dari pengaruh syaitan. Untuk menjadi
manusia merdeka bukanlah perkara mudah.
Ia perlu perjuangan yang panjang dan belum selesai serta terus-menerus. Perlu
banyak hal yang dikorbankan. Ia menuntut adanya semangat yang terus hidup dan
tidak pernah padam.
Mari kita muhasabah diri selama ini, adakah kita telah menjadi manusia merdeka
dari belenggu hawa nafsu dan bisikan syaitan?
Ataukah memang memilih menjadi manusia terjajah? Kita lebih memilih tertawan
oleh pujuk rayu syaitan dan hawa nafsu? Kita menjadi manusia yang tidak
konsisten dan istiqamah?
Sebenarnya kita diciptakan hanya untuk mengabdi kepada ALLAH SWT. Untuk menjadi
hamba ALLAH. Maka membebaskan diri dari jajahan syaitan dan pengaruh hawa nafsu
adalah suatu cita-cita yang harus kita perjuangkan.
Tanpa itu, kita belum boleh menjadi seorang hamba dalam pengabdian kepada
Pencipta kita iaitu ALLAH SWT.
Kenapa kita harus merdeka dari belenggu nafsu dan syaitan? Kerana syaitan dan
hawa nafsu tidak pernah punya maksud yang baik kepada manusia.
Hawa nafsu dan syaitan selalu menyuruh jajahannya untuk melakukan perbuatan
jahat dan keji. Tidak ada kebaikan sedikit pun ketika jiwa dan diri kita
dijajah oleh hawa nafsu dan syaitan.
Orang-orang yang terjajah akan gelap mata melihat cahaya terang kebenaran, amat
sukar untuk membezakan antara yang benar dan salah. Ia akan selalu diarahkan
pada segala hal yang akan mengsengsarakan dan membahayakan dirinya di dunia dan
akhirat.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu
wahai anak cucu Adam agar kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan
itu musuh yang nyata bagi kamu.
Dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus. Dan sesungguhnya ia
(syaitan itu) telah menyesatkan sebahagian besar di antara kamu. Maka adakah
kamu tidak mengerti?” (Yaasin: 60-62).
ALLAH SWT telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang menolak keinginan
nafsunya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan adapun orang-orang yang
takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari (keinginan) hawa
nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” (An-Nazi’at : 40-41).
Syeikh Muhammad Ali ash- Shobuni dalam kitab tafsirnya (Sofwat at-Tafasir),
menjelaskan maksud ayat di atas, “Sesungguhnya menang dan beruntunglah orang
yang mensucikan dirinya dengan ketaatan kepada ALLAH, dan membersihkannya dari
kekotoran maksiat dan dosa.
Dan sungguh rugi orang yang telah menghinakan dirinya dengan kekufuran dan
kemaksiatan, memasukkannya ke lembah kebinasaan, kerana barang siapa yang
mematuhi kehendak hawa nafsunya, bermaksiat kepada Tuhannya, maka ia telah
keluar dari golongan orang-orang yang berakal, dan masuk kepada golongan
orang-orang bodoh.”
Menjadi manusia sebenar merdeka dari belenggu hawa nafsu dan syaitan memerlukan
pertolongan ALLAH. Kerana musuh yang kita hadapi tidak boleh kita lihat. Ia
bersembunyi dari dalam diri kita. Ia lebih kuat.
Namun sangat lemah dan tidak berdaya di hadapan orang-orang yang beriman, di
hadapan orang-orang yang telah menjadikan ALLAH sebagai pelindungnya.
No comments:
Post a Comment