SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sinar Harian 29 Ogos 2014
Sudah pasti segala perilaku, tindakan, pakaian dan pelbagai lagi tertakluk
kepada hukum-hukum Islam yang begitu unik dan bersifat universal.
Boleh @
tidak
Pendakwah, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, dalam soal pakaian sebagai
contoh, kita lihat ramai masyarakat Islam khususnya remaja dan dewasa mahupun
golongan sedang meningkat tua memakai pakaian yang berasaskan fesyen yang
diminati.
Pakaian yang mereka pakai kadang-kadang digunakan mendirikan solat sama
ada di masjid, surau dan sebagainya.
"Secara umumnya pakaian yang haram digunakan untuk solat dapat dibahagikan
kepada dua.
Pertama pakaian bernajis dan pakaian yang dirampas. Kedua, pakaian lelaki yang
diperbuat daripada sutera, pakaian bersulam emas, dipakai Islam.
Ini adalah bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud:
"Diharamkan pakaian sutera dan emas bagi kaum lelaki umatku tetapi tidak
diharamkan untuk kaum wanitanya."
"Walaupun begitu dalam soal pemakaian baju atau seluar dan seumpamanya
yang mempunyai lakaran tertentu ketika menunaikan solat, ia dikategorikan
kepada tiga:-
Pertama; memakai pakaian yang mempunyai gambar makhluk tidak bernyawa seperti
kereta F1, motosikal berkuasa besar, kapal terbang, rumah, pokok, laut, bunga,
dan sebagainya lagi adalah harus dan tidak menjadi satu kesalahan.
Kedua; memakai pakaian yang mempunyai gambar makhluk yang bernyawa seperti
singa, harimau, burung, kartun, tengkorak, kumpulan rock heavy mental, gambar
ahli politik dan sebagainya lagi.
Ketiga; memakai pakaian yang mempunyai gambar dilarang Islam seperti wanita
tidak menutup aurat, berunsur seks, bogel, gambar yang mengajak manusia ke arah
suka kepada hiburan dunia semata-mata dan sebagainya lagi," katanya kepada
Rehal.
Peduli
dengan gambar
Justeru itu dalam soal berpakaian dalam solat ini perlu diberi perhatian
memandangkan ramai yang tidak peduli perihal gambar yang ada di baju atau
pakaian mereka dengan alasan yang penting adalah mendirikan solat.
Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) ini juga
menjelaskan, sebenarnya solat ini perlu dilaksanakan secara berkualiti dan
penuh dengan kekhusyukan kepada ALLAH.
"Begitu juga dengan peristiwa di zaman Rasulullah SAW di mana Aisyah
mempunyai sehelai tabir nipis yang digunakan untuk menutupi satu penjuru di
rumahnya.
Rasulullah SAW mengarahkan Aisyah agar buangkan tabir tersebut kerana gambarnya
sering terbayang (mengganggu) dalam solat Rasulullah SAW.
"Ini memberi penjelasan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam
khususnya berkaitan dengan proses solat maka janganlah kita sewenang-wenang
membeli dan pakai ketika solat.
Selain itu pakaian yang mempunyai gambar-gambar yang boleh mengganggu
kekhusyukan dan perhatian orang lain ketika solat juga perlu dielakkan,"
katanya.
Menurutnya, pakaian yang paling sesuai ketika solat ialah pakaian yang menutup
aurat sama ada lelaki atau perempuan.
Firman ALLAH yang bermaksud: "...pakailah pakaian kamu yang indah berhias
pada setiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat)..." (Surah
al-A’raf: 31)
Tutup
aurat
Bagi masyarakat Islam di Malaysia kebanyakan mereka memakai baju Melayu. Ini
tidak menjadi kesalahan asalkan ia menutup aurat. Begitu juga jika seseorang
itu memakai pakaian berbunga ketika solat maka ia diharuskan dan tidak menjadi
kesalahan.
Dalam erti kata lain seseorang boleh menunaikan solat dengan memakai pakaian
yang sangat cantik setiap kali hendak menghadap ALLAH dalam solat.
Janganlah kita hanya mengamalkan memakai pakaian yang cantik dan mahal ketika
ke tempat kerja, kenduri dan hari raya sahaja tetapi ketika kita sedang
menghadap ALLAH yang menciptakan kita dalam solat lima waktu sehari semalam,
kita hanya memakai pakaian yang murah, berbaju singlet, berkain pelekat sahaja
tanpa baju dan sebagainya lagi. Janganlah kita mempunyai sifat bakhil
dalam perkara yang berkaitan dengan solat.
Aurat bagi seorang lelaki ialah di bawah pusat hingga di bawah lutut. Semua
imam mazhab mensyaratkan menutup aurat supaya solat menjadi sah.
Dalam erti kata lain seseorang lelaki yang memakai pakaian yang menutupi
anggota badannya bermula di bawah pusat hingga di bawah lutut maka ia
dibolehkan untuk bersolat.
Solat dengan hanya memakai seluar (di bawah pusat hingga di bawah lutut) tanpa
baju tetapi masih lagi dalam batas aurat bagi seseorang lelaki, maka ia
dibolehkan jika seseorang itu melakukannya kerana ingin menunjukkan rasa rendah
diri dan menambahkan kekhusyukan ibadah kepada ALLAH.
Namun perkara ini akan menjadi makruh sekiranya seseorang lelaki yang mampu
mempunyai pakaian atau pun ada pakaian yang mampu menutupi bahagian atas badan
tetapi tidak digunakan untuk bersolat sebaliknya hanya memakai seluar atau kain
pelekat sahaja maka ia dikira makruh.
Aurat seseorang Islam wajib dipelihara sama ada di dalam solat mahupun di luar
solat. Aurat bagi seseorang wanita Islam yang ingin mengerjakan solat
semestinya anggota badannya ditutupi dengan sesuatu yang tidak menampakkan
warna kulit seperti kain yang tebal.
Sekiranya pakaian yang menutupi anggota badannya masih boleh menampakkan warna
kulit dan pelbagai lagi seperti memakai telekung yang jarang serta nipis,
maka hukumnya tidak harus memakai telekung tersebut kerana hakikat penutupan
yang sebenarnya tidak terlaksana dengan cara pakaian tersebut.
Maka telekung yang nipis itu perlu dia gantikan dengan kain telekung tebal yang
mampu melindungi anggota badan dari ternampak.
Ini kerana salah satu syarat penutup aurat ialah wajib menutup aurat
dengan kain yang tebal atau kulit atau kertas yang boleh menyembunyikan warna
kulit dan yang tidak menjelaskan sifatnya.
Jika kain nipis atau jarang boleh menampakkan apa yang di bawahnya atau
membayangkan warna kulitnya seperti cerah atau kemerah-merahan, maka tidak sah
solat dengannya kerana tidak mencapai tujuan menutup aurat.
Kesimpulannya, walaupun kain telekung yang diperbuat daripada kain tebal atau
kain licin, kain telekung berwarna hitam putih dan berwarna-warni serta
berbunga-bunga boleh digunakan untuk bersolat, elakkan sifat riak dan takabbur
dengan kain telekung yang kita miliki kerana kadang-kadang dengan sifat riak
dan takabbur yang kita miliki ini akan menjejaskan kualiti ibadah solat kita
kepada ALLAH.
No comments:
Post a Comment