Oleh Dr. Zaharuddin Abd Rahman
"Tolong saya ustaz, apa formula dan
caranya lagi untuk saya boleh berubah, tolong saya ustaz, saya benar-benar
ingin berubah dan insaf, walau di bulan Ramadhan ini saya masih melakukan dosa
itu"
Demikian luahan hati yang ikhlas beberapa orang pemuda dan pemudi
kepada saya melalui medium internet. Pelbagai bentuk lafaznya, namun itulah
juga inti maksudnya.
Kesnya apa? ada yang berzina, onani, tonton video lucah, bercerai
suami isteri, bergaduh, mengumpat, menipu, mencuri, minum arak, tidak solat dan
macam-macam lagi. Berlalu sudah 15 hari Ramadhan, ia masih berlaku dan terus
berlaku di kalangan umat Islam kita.
Setelah hampir 15 hari kita berada di bulan mulia Ramadhan, kesan
tarbiyahnya makin terasa bagi sesetengah pihak, manakala sebahagian yang lain
semakin makin larut dan menjauh dari Allah swt. Sekumpulan lagi pula masih
turun naik prestasinya, seperti nilai matawang yang kerapfluctuate.
Beribu-ribu ahli agama dan pendakwah mengingatkan diri dan orang
ramai agar mempergandakan ibadah di bulan mulia ini. Di samping menjauhi diri
dari perkara yang pasti akan merosakkannya.
SYAHWAT
SEKSUAL DI BULAN RAMADHAN
Di samping senarai panjang itu, tidak dilupakan juga bulan ini
seharusnya menjadi penguji dan pendidik kepada nafsu syahwat yang asyik ingin
membara. Nafsu syahwat yang menjurus kepada syahwat seksual sentiasa cuba melepaskan
diri dari kekangan Ramadhan.
Bagi yang sudah berumahtangga, apa yang Allah swt minta untuk
diusahakan hanyalah jangan ‘bersama' di siang hari Ramadhan. Ia kelihatan
mudah, tapi jangan pelik dan hairan, amat ramai yang gagal. Web dan email saya
juga dibanjiri dengan soalan berkaitan hal ini, masing-masing bertanya cara dan
kaedah membayar kaffarah dan sebagainya. Memang benar, Allah swt maha
mengetahui ramai manusia akan gagal dalam ujian tahan syahwat seks ini, justeru
disediakan untuk manusia kaffarah bagi mereka menebus dosa, kesalahan dan
kegagalan mereka.
Bagi yang belum berumahtangga, sepatutnya isu berpuasa syahwat
seks di siang Ramadhan tidak menjadi hal, kerana mereka belum berumahtangga dan
belum merasa nikmat ‘bersama'. Namun, amat ramai si bujang Muslim dan Muslimah
yang jatuh tewas, seburuk-buruk ketewasan itu adalah apabila mereka berzina di
siang hari Ramadhan. Innalillahi wa inna
ilayhi raji'un. Amat buruklah apa yang mereka kerjakan.
Yang lain pula tewas dalam ‘ringan-ringan' syahwat bersama
pasangan ‘kekasih', atau juga melalui medium komunikasi elektronik dan
internet. Sekumpulan lagi tewas dengan penangan ‘tangan' sendiri. Semuanya
buruk, namun menjadi lebih buruk apabila dilakukan di bulan Ramadhan, di siang
harinya pula. Kes seperti ini juga tidak kering dari menjengah kotak email dan
web saya, memberikan satu gambaran sebenar umat Islam di tanahair tercinta.
Pada bulan yang nafsu syahwat patut dididik dan dipukul kerana
degil, malangnya ia berterusan menguasai sang diri. Amat dibimbangi, jika itu
berlaku, itu adalah tanda diri akan terus menjadi hamba si nafsu syahwat di
bulan-bulan lain yang mana nafsu akan diperkukuh kedudukannya oleh Syaitan yang
berlegar.
Allah menyebut melalui hadis qudsi :
Ertinya :
Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya kerana aku (ALLAH), maka
puasa khas untukKU, dan aku akan memberikan ganjaran untuknya.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795,
2/670 )
Bagaimana mengubati syahwat luar kawalan ini? Tiada jalan mudah wahai anak Adam! Nafsu ini perlu
ditekan dan dipaksa untuk tidak dituruti. Siapa yang diharap dapat membantu?
Jawapannya adalah diri sendiri, utuhkan keazaman dalam
diri, seperti ketika dirimu ingin sesuatu lalu akan kamu redah dan bijak
mencari aqal demi mencapainya.
Namun pelik, mengapa ‘diri' masih ingin kepada yang
ditegah dan diharamkan. Lalu timbullah rintihan ‘saya lemah', ‘saya tidak cukup
kuat', mereka ingin beritahu saya, bahawa mereka insaf tapi mereka mengaku
lemah untuk melawan kehendak nafsu.
Justeru JANGAN SESEKALI mengaku diri lemah terhadap
godaan nafsu, sebaliknya nyatakan kepada diri, "Hanya kali ini sahaja aku
tewas, tidak di waktu yang lain!."
Akhirnya bertubi-tubi ruangan komen web saya dan email
dibanjiri puluhan soalan berkenaannya. :
"Bagaimana
ingin jadi kuat dan kalahkan nafsu ini?"
Jawapannya
boleh jadi berjela-jela panjangnya, atau pendek mewakili seribu ayat. Biar saya
pilih yang pendek, sesudah puas menghuraikan dengan panjang berjela di dalam
pelbagai artikel.
"Yakinilah Allah swt dan hari akhirat"
Itulah
kunci yang boleh membuka pintu yang diingini.
SYAHWAT LISAN
Berbekalkan
hadis qudsi dan sebuah lagi hadis yang cukup popular di bulan ini, dapat kita
ketahui syahwat yang mesti dikekang juga adalah syahwat lidah atau lisan.
Nabi bersabda :
Ertinya : Sesiapa yang tidak
meninggalkan kata-kata buruk, dan perbuatan buruk, maka tiadalah bagi Allah
hajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu)"
( Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Al-`Arabi dan
al-Qaradawi masing-masing mengulas bahawa pahala puasa akan hancur dengar
kesalahan-kesahalahan ini, puasa tidak batal tapi pahalanya batal, hingga
jadilah puasanya kosong, lagi gagal menghasilkan taqwa yang menjadi sasaran.
Umar ibn Al-Khattab berkata
:
"Puasa
bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga dari bercakap
bohong, tipu dan cakap kosong"
MARAH DAN KEMARAHAN
Lisan yang
suka memaki hamun apabila marah, mengeji apabila benci, mengumpat apabila
dengki, mengadu domba apabila busuk hati, berbohong untuk menyelamat diri dan mendapati
yang dihajati.
Bercerita
tentang keaiban orang dan keburukannya mungkin ada suatu kesedapan dan
kelazatannya yang tersendiri. Ya, lazat yang diulami oleh nafsu ke dalam diri.
Agar manusia tunduk menjadi hamba kepadanya.
Lalu di
bulan ini, Nabi mendesak kita untuk mengawalnya, mengekangnya dari terus
bermaharajalela dalam diri.
Nabi mengingatkan :-
الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني
صائم مرتين
Ertinya :
Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan
perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh,
mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali. ( Riwayat
Al-Bukhari)
Tahanlah marahmu..
Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi
menghina. Maka
kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah
wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan
lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya. Dari Abu Hurayrah
r.a:-
Ertinya :
Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu
sedang berdiri, duduklah. ( Riwayat Ibn Khuzaymah, Fath Al-Bari, hlm 126)
Ya, ubah posisimu, agar aqal yang tidak waras kerana marah dapat
dibendung dari memudaratkan diri dan orang lain yang berdekatan.
Ada yang
marah lalu tercerai isterinya, tercedera anaknya, dihina suaminya, tuntutan
cerai kedengaran setiap minggu, mendera jiwa suami yang cuba bersabar. Semua itu diinginikah ?
Semua itu mencederakan, bukan hanya di fizikal tetapi lebih jauh
dan sakitnya di hati dan minda. Yang marah dan berkata keras itu pula dapat
apa?.
Hanya dapat melepaskan marah dan memberitahu diri sedang marah. Itu saja, tapi kesannya amat
dalam dan jauh lebih buruk, sukar ditaksirkan. Kesannya buruk bagi yang marah
dan yang dimarahi.
Justeru Allah mengarahkan kita menjadi kuat dan mampu mengawal
marah, sesuai dengan sabda baginda Nabi s.a.w. Namun
ada kemarahan yang dituntut, iaitu dalam menyelamat maruah Islam yang dicabar,
maruah diri dan keluarga yang cuba
dicarik. Namun itu tidak boleh dilaksana secara semberono. Ia punyai kaedah dan
peraturan.
Lihat bagaimana Nabi melarang seorang hakim memutuskan keputusan
dalam keadaan marah, kerana marah menghilangkan kewarasan pertimbangan aqal. Ia
cenderung mendorong ke arah melakukan kezaliman. Justeru Ramadhan bulan untuk
mengikat dan mengawal kemarahan.
Malang
pula, kelihatan di bulan berpuasa ini, jumlah yang marah semakin ramai
berbanding di bulan lain, alasannya kerana perut kosong, emosi jadi lebih nipis.
Justeru adakah di bulan lain, emosi kita dikawal oleh perut yang
kenyang? Janganlah percaya dengan alasan itu. Ia hanya mainan Syaitan. Perut
kenyang sama sekali bukan merupakan sumber ‘kawalan diri' yang akan berkekalan,
yang patut menjadi sumber kawalan marah adalah iman dan taqwa, yang ditawarkan
secara habis-habisan di bulan Ramadhan ini. Bertindak cepatlah mengambilnya dan
jangan lagi perut dijadikan alasan.
DOSA
DALAM DIRI
Namun walau dicuba sedaya upaya untuk tidak terjebak dengan dosa,
sebagai manusia kita akan gagal juga. Ada
dosa yang berpunca dari kita sendiri, ada juga yang didorong oleh faktor
luaran. 'Zero dosa ' bukanlah target kita, ia di luar kemampuan. Target kita
adalah ‘minima dosa kecil, zero dosa besar'. Kerana kita manusia dan bukan
Malaikat.
Akan tetapi jangan jadikan sifat ‘kemanusiaan' kita sebagai excuse untuk berterusan melakukan dosa, atau
selesa dalam dosa. Kelak nanti kita akan hilang kemanusiaan kerana dosa itu,
hingga bertukar kepada ‘sifat kebinatangan' atau lebih teruk dari binatang lagi.
Nabi menyebut :
Ertinya :
Demi nyawaku di tanganNya, sekiranya kamu tiada dosa, maka Allah akan hapuskan
kamu dan didatangkan satu kaum yang berdosa, lalu mereka meminta keampunan
Allah, dan mereka diampun oleh Allah ( Riwayat Muslim)
Hadis di atas memberi maklum, kita tidak akan mampu mencapai ‘zero
dosa', dan yang diinginkan oleh Allah bagi merkea yang berdosa, sama ada kecil
atau besar, adalah taubat.Sama
ada dosanya dari syahwat seksual dan lisan yang tidak terkawal atau lainnya.
Pintu peluang untuk bertaubat masih terbuka, pintalah keampunan Allah, gandakan
amal soleh agar ia dapat memadam kekotoran yang ditinggalkan oleh dosa.
Saya teringat kes pendakwah
dan artis nasyid terkenal, Sdr Ust Akhil Hayy. Kita
bersimpati dengan apa yang menimpa rumah tangga lamanya namun kekeruhan dari
isu tersebut menjadikan dirinya dicaci dan dihina sebegitu teruk. Lihat saja
koleksi ceramah dan nasyidnya di youtube, hampir tidak lekang dari kutukan dan
cercaan.Demikian juga cercaan di pelbagai forum-forum di internet.
Semua cercaan ini adalah salah sama sekali, tanpa mengira siapa yang
menjadi penyebab awal kepada penceraian itu, menjaja isu ini serta menafikan
keseluruhan usaha baik yang telah, pernah dan masih disumbangkan untuk kebaikan
Islam, adalah tidak wajar sama sekali.
Dengan terbinanya rumah tangga beliau yang baru, secara peribadi
berdoa dan berharap agar tiada lagi aksi kurang sihat dan kurang wajar dilakonkan oleh seorang muslimah
bertudung yang berimej Islam , dipertontonkan kepada umum, aksi yang kerap
dilihat wujud di dalam filem-filem lucu dan lawak beberapa tahun lalu. Saya
doakan beliau mampu mengubahnya dan perolehi keluarga dan rumahtangga yang
diberkati Allah.
Bagi pihak yang terselamat dari ujian sedemikian rupa atau dari
sebarang dosa besar khususnya, janganlah meremehkan sesiapa yang pernah jatuh
ke dalamnya. Hulurkanlah
bantuan, bukan cercaan. Galakkan mereka terus mempergandakan amalan soleh,
bukan membantutkan mereka dari menyakini rahmat Allah.
"orang macam kamu ini memang hina dan tak layak dimaaf oleh
Allah lagi"
"tak payahlah lagi kamu ajar orang lain buat baik, kamu tu
sendiri pun teruk"
Janganlah
sesekali dilontarkan kata sedemikian, ia hanya menjauhkan dia dari keinginan
bertaubat dan penyesalan. Kelak nanti yang mengeji mendapat saham dosa juga
kerana menghina
Semoga diri ini sentiasa ingat..Yakini Allah dan hari Akhirat,
ayat yang sentiasa diulang kerap di dalam kitab Al-Quran.
Moga-moga kita semua beroleh taqwa sempena Ramadhan ini yang mampu
membantu kita untuk meraih redha Allah swt, diganjari SyurgaNya dan segala
nikmatnya.
Sekian
Sumber :
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment