Minda Dr.Maza
Menjelang
tahun baru, ramai yang menyambutnya. Sama ada hari pertama Januari ataupun
Muharam, Islam tidak pernah menetapkan sambutan khusus buat tahun baru. Tiada
ibadat khas sempena tahun baru seperti solat tahun baru, atau puasa tahun baru.
Ya,
tidak menjadi masalah jika manusia ingin menyiapkan diri mereka menghadapi
tahun baru. Mungkin mereka ingin menetapkan sasaran, perancangan dan idaman.
Jika perancangan itu untuk kebaikan, seseorang akan memperolehi pahala.
Begitulah sebaliknya. Jika tahun baru tidak datang pun, waktu dan hari tetap
terus berputar dan tiada bezanya antara tahun lepas dan tahun ini. Ia terus
berjalan seperti biasa sehingga sampai detik ia berhenti. Umur setiap kita akan
terus bertambah, sama ada menjelang tahun baru ataupun tidak. Jika tidak
bertambah tahun, ia bertambah bulan. Jika tidak bertambah bulan, ia bertambah
hari. Jika tidak bertambah hari, ia bertambah jam dan minit dan akan terus
meningkat ke hari, bulan dan tahun.
Sementara
perhentian iaitu kematian, tidak pula kita tahu waktunya yang tepat. Namun yang
pasti apabila ia sampai, tidak dilewatkan walaupun sesaat jua. Kita hamba Tuhan
di persada masa.
Ya,
hari dan waktu akan terus datang dan pergi. Jika jam, matahari dan bulan
berhenti, masa tetap berjalan. Tiada makhluk yang dapat menghalang kedatangan
waktu dan hari. Demikian tiada siapa pun yang dapat menahan ia pergi. Sama ada
manusia menunggu untuk menyambut kedatangannya atau tidak mempedulikannya, ia
tetap menjelang.
Demikian
juga, waktu dan hari akan terus pergi sekalipun kita menyayanginya dan
mengharapkan ia terus tunggu. Entah berapa banyak diari yang dicatatkan, entah
berapa banyak sanjungan yang diberikan, entah berapa banyak kejian yang
dilontarkan, dengan berlalunya waktu, ia menjadi sejarah dan kenangan.
Maka,
entah berapa ramai manusia yang dipuji semalamnya, dilupai pada hari ini. Entah
berapa ramai yang diperlekehkan semalam, disanjung pula pada hari ini. Berapa
ramai mereka yang bongkak dan sombong semalam, hari ini berbicara bagaikan
pengemis yang merintih simpati.
Demikian
juga, entah berapa ramai yang diketepikan semalam, mungkin berkuasa atau
diangkat pada hari ini. Wajah-wajah yang dahulunya comel dan cantik boleh
berubah menjadi sughul dan masam. Tempat yang hening dan indah juga boleh
bertukar menjadi sungul dan usang. Pemuda yang gagah akan bertukar menjadi
orang tua yang mengah. Gadis yang cantik akan bertukar menjadi nenek.
Perjalanan waktu dan masa adalah keajaiban ciptaan Tuhan.
Ramai
orang lupa bahawa masa itu adalah makhluk Allah. Kita diciptakan dan diletakkan
dalam perjalanan makhluk masa ini. Masa itu tiada siapa yang dapat menongkah
pusingannya. Ia merubah segala-gala. Dari yang tiada kepada ada. Dari yang ada
kepada tiada. Tiada siapa yang mampu menghalangnya melainkan Tuhan yang
menciptakannya.
Masa mengubah kita.
Mengubah
anggapan manusia sesama mereka. Ia mengubah perasaan dan rasa. Ia mengubah
benci dan cinta. Ia mengubah gembira dan duka. Namun waktu tidak boleh mengubah
hakikat sesuatu di sisi Allah. Di sisi Allah, insan yang mulia tetap mulia
walaupun manusia menghinanya.
harta
Insan
yang keji tetap keji, walaupun manusia memberikannya kuasa dan harta. Seorang
raja atau sultan yang meraikan hari jadi setiap kali menjelang musimnya dengan
menganugerahkan darjat dan pangkat kepada orang lain, belum tentu dia sendiri
mendapat darjat dan pangkat yang tinggi di sisi Allah.
Mungkin
belanja hari jadinya itu akan menjadi beban kepadanya pada hari akhirat kelak;
dari mana wang itu datang dan bagaimana ia digunakan? Seorang miskin di ceruk
yang terpencil, mungkin tiada siapa yang mengambil tahu hari lahirnya dan tiada
pula anugerah atau hadiah yang diperolehi. Namun, itu bukan tanda kehinaan
buatnya. Bahkan jika dia hamba Allah yang baik, umurnya dan waktunya dilimpahi
pahala dan keberkatan.
Ya,
waktu dan masa akan terus menjelang, mengejar sang raja, juga mengejar si
miskin yang tiada apa-apa. Mengejar kita semua untuk sampai ke perhentian
masing-masing. Apabila sampai ke detik penghabisan, kita bertemu Tuhan. Ketika
itu yang dinilai adalah hakikat yang sebenar, antara insan yang beruntung dan
insan yang rugi.
Untuk
itu Allah bersumpah dengan masa dan mengingatkan kita, siapa yang untung dan
siapa yang rugi.
Firman
Allah dalam Surah al-'Asr: (maksudnya) Demi
masa! Sesungguhnya insan itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta
berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-'Asr 1-3).
Demikian
Tuhan Pencipta masa memutuskan bahawa insan yang hidup dalam sistem masa ini
akan kerugian. Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah apabila mereka penuhi
ciri-ciri yang disebutkan; iman, amal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran
dan kesabaran.
Ertinya,
hidup bukan sekadar beriman dan beramal, tetapi hendaklah memperjuangkan
tuntutan iman dan amal dengan melakukan peringatan, dakwah, seruan kepada
kebenaran dan kesabaran. Kebenaran yang diajar oleh Allah dan rasul-Nya dan
sabar dalam membahterai perjuangan kebenaran itu.
Jika
sebahagian pengkaji cuba memahami dan membuktikan apa yang disebut oleh Albert
Einstein dan Isaac Newton tentang teori kerelatifan masa (relativity of time), Islam
pula telah lama memperkatakan tentang keberkatan umur dan waktu. Mereka yang
meterialis barangkali tidak dapat berfikir bagaimana mungkin masa seseorang
insan dengan seorang yang lain berbeza.
Bagaimana mungkin sejam si A lebih panjang daripada sejam si B?. Mereka
kehairanan dan pemikiran materialistik memang tidak dapat menerima hal ini.
Dalam
Islam ada istilah berkat atau barakah. Al-Quran berulang-ulang menyebut tentang
keberkatan. Antaranya firman: (maksudnya) Sekiranya
penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada
mereka keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi. (Surah al-A'raf, 96).
Allah perintahkan Nabi Nuh: (maksudnya) Dan
berdoalah: Wahai Tuhanku, Turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan
Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Surah al-Mukminun 29). Kata Nabi
Isa: (maksudnya) Allah
menjadikan aku ini diberkati di mana sahaja aku berada... (Surah Maryam, 31).
Apakah
itu berkat atau barakah dalam bahasa Arab? Asal perkataan barakah ialah
bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Asfahani
(meninggal 425H) menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada
sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat
Alfaz al-Quran m.s 119,
Damsyik: Dar al-Qalam).
Maka
barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan Allah kepada
sesuatu. Jika Allah berkati masa kita bererti berlaku penambahan dan kebaikan.
Maka sejam yang diberkati tentu berbeza dengan sejam yang tidak diberkati.
Setahun yang diberkati tentu berbeza dengan setahun yang tidak diberkati.
Insan-insan yang berkhidmat untuk kemaslahatan manusia, Allah berkati umur
mereka. Hasil yang dikeluarkan dan jasa ditaburkan kadang-kala tidak dapat
dilakukan oleh orang lain walaupun jika berikan masa yang berganda.
Kita
tidak boleh mengubah masa, tetapi kita boleh menjadi masa itu berkat dengan doa
dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik. Untuk merentasi kehidupan dan belantara
masa banyak perkara kita tidak dapat duga. Kita mungkin merancang dengan
perancangan yang hebat, tapi siapa yang dapat menjamin ia akan terjadi seperti
yang dirancangkan.
rancangan
Berapa
banyak rancangan buruk orang kepada kita, Allah tukar ia menjadi keuntungan dan
kebaikan. Betapa banyak rancangan yang hebat, Allah tukar ia menjadi kerdil.
Dunia ini bukan kita sahaja yang hidup. Berbagai rupa dugaan dan kerenah
manusia yang lain.
Saya
yang daif ini sejak sekian lamanya amat tersentuh dengan doa Nabi SAW Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan
rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah
Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih
oleh al-Albani). Telah saya kongsi ia dengan pembaca dulu. Doa ini sering
menjadi teman di sepanjang waktu.
Di
setiap kesempatan yang mulia, saya lafazkannya. Saya kira saudara pembaca juga
demikian. Menjelang tahu baru, moga Allah memberkati umur kita dan membantu
segala urusan kita. Kita tidak boleh menongkah masa. Kita tidak boleh
menghalang putaran masa. Kita tidak boleh menghentikan masa. Kita tidak boleh
keluar dari sistem masa. Kita tidak boleh mengembalikan masa. Namun kita boleh
memohon kepada Allah agar masa kita diberkati
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm&arc=hive#ixzz3AFucGIPR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment