Sunday, June 16, 2013

Poltik,nilai komersialpunca pendidikan rosak
WARTAWAN SINAR HARIAN
                                                                  

SHAH ALAM - Sistem pendidikan di negara Islam  dilihat telah ‘dirosakkan’ dengan dua perkara iaitu akibat daripada politik dan nilai komersial.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik berkata, dua faktor itu yang mana akhirnya menjadikan para pelajar mangsa.

"Permainan politik di negara Islam, yang mana terdapat banyaknya kelompongan dan ketirisan seperti gejala rasuah dalam pendidikan sedikit sebanyak telah menjejaskan sistem pendidikan di negara islam tersebut.

"Manakala sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan nilai komersial sehingga mengenetepikan nilai kemanusiaan juga telah menjejaskan sistem pendidikan tersebut," katanya ketika menjadi panel Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) di Kompleks Karangkraf, di sini, malam semalam.

Forum itu turut menampilkan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil dan Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj manakala moderatornya, Pengarah Eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Mengulas mengenai sistem pendidikan yang sedia ada, Dr Maszlee turut mendakwa ia melatih dan menghasilkan pelajar yang menjadi hamba kepada kehendak pasaran.

"Sistem pendidikan sedia ada melatih pelajar ke arah menjadikan mereka ke arah hamba  pasaran.

"Universiti jadi kilang untuk menghasilkan robot bagi mendapatkan hasilnya," katanya

Menyentuh perkara yang sama Dr Harlina Siraj juga, mengatakan bahawa cara mendidik yang terbaik ialah dengan mengajar sepenuh hati, jujur dan sabar.

Dalam pada itu beliau turut menekankan objekif pendidikan mestilah berpaksikan kepada untuk menghasilkan perubahan yang baik ke atas seseorang pelajar tersebut.

Menyentuh perkara ini, Dr Harlina turut menggariskan lima perubahan yang perlu diberi penekanan ke atas seseorang pelajar meliputi aspek akidah, akhlak, aqliah, insaniah dan jasmini.

"Bagi saya penekanan kepada lima aspek ini penting, seandainya kita serius untuk melahirkan pelajar yang berjaya," katanya.

Menurut Dr Maszlee lagi, peranan pendidik yang bukan sahaja terletak pada bahu guru semata-mata sebaliknya terletak pada setiap bahu masyarakat Islam.

Sementara itu beliau turut mengulas mengenai pentingnya elemen kasih sayang dalam sistem pendidikan sedia ada sekiranya serius untuk melahirkan masyarakat terbaik pada masa akan datang.

"Segalanya bermula dengan kasih sayang cinta itu membawa makna yang luas, dengan adanya elemen kasih sayang, saya percaya pelajar kita akan jatuh cinta kepada ilmu," katanya.

Manakala menurut Dr Harlina, ilmu perlu diterap supaya masyarakat pentingkan ilmu.

"Perasaan dahagakan ilmu itu perlu diterap oleh setiap ibu bapa kepada anak masing-masing.

"Jangan jadikan menuntut ilmu sebagai satu bebanan," katanya.

Saturday, June 15, 2013

Pendidikan bukan untuk lahirkan robot pintar

Hazayani Zakaria,
15 Jun 2013

SHAH ALAM: Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan berperanan 'memanusiakan manusia'.

Bagi mencapai matlamat ini, pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas kerana cinta diyakini mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling memberi.

Seperti mutiara kata dari cendiakawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan'.

Itu antara intipati Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) yang diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam tadi.

Pedagogi merujuk kepada kaedah pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran baru yang berasaskan cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.

Forum malam tadi menampilkan tiga panelis iaitu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, yang juga aktivis masyarakat, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj yang juga pendakwah bebas dan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang juga penceramah bebas manakala moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Gabungan mantap panelis berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan perbincangan seputar pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab daripada hadirin.

Panelis turut menekankan, pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah penindasan sesama manusia, meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap cintakan ilmu pengetahuan.

Ustaz Hasrizal menekankan, sikap ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.

"Apabila kita hilang sifat kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan cinta adalah untuk memanusia kembali manusia.

"Pedagogi pendidikan cinta bergantung kepada bagaimana kita memandang manusia lain di sekeliling," katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful Islam.

Dr Harlina pula menegaskan, pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A' yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah, jasmaniah dan insaniah.

Pendidik pula katanya, harus mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar, bukan sekadar untuk memberitahu.

"Guru yang bagus ialah guru yang mampu mencetuskan inspirasi kepada pelajar-pelajarnya.

"Guru yang bersemangat mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan sebenarnya dia lebih banyak belajar sewaktu dia mengajar," katanya.

Dr Maszlee pula berpandangan, pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan sehingga melahirkan pelajar yang meminta-minta pekerjaan.

"Sistem pendidikan sekarang yang dirosakkan oleh politik dan komersil melemahkan pelajar sehingga melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan, bukan mencipta peluang pekerjaan," katanya.



Silap didikan undang bencana

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

DALAM dunia moden dan era globalisasi pelbagai ciptaan terbaharu dicipta oleh ahli sains dan teknologi untuk memudahkan kerja-kerja yang dilakukan oleh manusia.
Salah satunya adalah komputer dan telefon pintar yang ada kaitannya dengan Teknologi Maklumat (IT). Semua alat ini sebenarnya adalah bertujuan untuk kebaikan dan memudahkan manusia berkomunikasi dan juga beribadat melaluinya.

Kepada anak remaja, jangan jadikan telefon pintar sebagai "nyawa". Jadikan ia sebagai alat mendekatkan diri kepada-Nya bukan melalaikan. Jauhkan segala sifat-sifat tercela seperti riak, lupa diri, lalai dan terbuai dengan lagu-lagu membuai layu. Segalanya adalah alat yang menguji keimanan kita.

Oleh itu, jadikan alat-alat ini iaitu komputer dan telefon pintar, gajet dan sebagainya sebagai alat yang memudahkan kita, bukan mendatangkan masalah dan melalaikan kehidupan kita di dunia serba canggih dan perlukan maklumat yang cepat.

Ibu bapa juga memainkan peranan dengan menasihati anak-anak remaja yang berusia antara 11 hingga 17 tahun tentang kepentingan alat-alat ini dalam kehidupan masa kini. Jika tidak dipantau dan diberikan panduan, kemungkinan ia akan mengganggu ke arah proses pembelajaran dan mengganggu tumpuan kepada pelajaran.

Adalah lebih baik ibu bapa memberikan bimbingan dan nasihat iaitu sewaktu belajar jangan menggunakan telefon dan mendengar lagu serta membuka komputer riba. Jelaskan kepada mereka keutamaan ilmu pengetahuan dan kemahiran lain adalah lebih penting dalam kehidupan masa depan.

Sesungguhnya, martabat ilmu itu sangat tinggi kedudukannya dalam Islam. Bahkan iman dan amal tidak sah tanpa ilmu. Oleh sebab itu, Islam mewajibkan umatnya yang mukalaf supaya belajar dan mengajar, paling tidak mengenai fardu ain.

Konsep berilmu, beramal dan berakhlak mestilah diterapkan dalam jiwa anak-anak. Nabi SAW bersabda: "Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntut ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah SWT dan mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahui adalah sedekah.

Ilmu pengetahuan

Sesungguhnya ilmu pengetahuan menempatkan orangnya dalam kedudukan terhormat dan mulia (tinggi) ilmu pengetahuan adalah keindahan bagi ahlinya di dunia dan akhirat." (riwayat ar-Rabii')

Berkaitan dengan fenomena ciptaan baharu ini, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang aku takuti akan menimpa umatku setelah aku tiada iaitu kesesatan sesudah memperoleh pengetahuan, fitnah-fitnah yang menyesatkan dan syahwat perut serta seks." (ar-Ridha)

Jika dilihat penggunaan telefon pintar, Internet banyak menjurus kepada perkara-perkara seperti tohmahan, khabar angin, fitnah yang menyesatkan dan paparan lucah yang disebutkan oleh Nabi SAW seperti mana dalam hadis di atas.

Seterusnya, berkaitan dengan bidaah Nabi SAW bersabda: "Barang siapa menipu umatku maka baginya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia. Ditanyakan, "Ya Rasulullah, apakah pengertian tipuan umatmu itu?." Baginda menjawab: Mengada-adakan amalan bidaah, lalu melibatkan orang kepadanya." (riwayat Dar Alquthni daripada Anas).
Adalah menjadi kesalahan kepada ibu bapa apabila anak tidak melaksanakan ibadah seperti solat dan sebagainya. Keruntuhan moral remaja banyak berpunca daripada pengaruh Internet, telefon pintar, pergaulan bebas dan tiada kawalan dan pemantauan daripada ibu bapa.

Apa yang penting adalah bukan untuk mencari kesalahan dan menghukum pesalahnya tetapi membetulkan dan menangani kesilapan dan kekurangan itu sebaik mungkin. Asas pendidikan itu bermula dan berakar dari rumah tangga dan menjadi tanggungjawab ibu bapa.

Fungsi dan tanggungjawab ibu bapa sangat besar dalam menentukan hala tuju anak-anak dalam kehidupan mereka bagi menjadikan mereka beriman, berakhlak, berilmu pengetahuan dan berkemahiran dalam semua bidang kehidupan.

Silap didikan
Di sinilah asas utamanya, di mana kesilapan dan kesalahan didikan mampu menyebabkan anak-anak menjadi hilang arah tujuan dan pedoman. Ibu bapa juga mesti sentiasa memantau siapa kawan anak-anak mereka.

Lebih mengundang mimpi ngeri kepada ibu bapa dan juga anak-anak apabila tidak dipantau ia menjerumuskan anak-anak ke lembah kehidupan yang penuh noda. Sebagai ibu bapa pastikan anak-anak memilih kawan yang beriman dan soleh. Serta pastikan anak-anak sentiasa keluar rumah dengan ibu bapa atau kalangan keluarga yang boleh dipercayai.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW ditanya tentang peranan kedua-dua orang tua. Baginda lalu menjawab, "Mereka adalah (yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu." (riwayat Ibnu Majah)

Apabila ibu bapa lalai terhadap bahan bacaan, tontonan dan pergaulan anak-anak, tunggulah akibatnya yang akhirnya menjadi beban kepada ibu bapa untuk menanggung akibatnya.
Kurangnya kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa terhadap anak-anak remaja dapat mendorong mereka ke arah mencari kebebasan hak dan keperluan mereka di luar rumah yang akhirnya menyebabkan mereka terjebak dengan pelbagai gejala sosial.


Wednesday, June 12, 2013

Al-kisah nasi lemak

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man,
12 Jun 2013

“Bagusnya kalau dapat kerja pakcik jual nasi lemak itu - setiap hari pakcik itu kerja 2 jam sahaja, semuanya dah habis dijual.”

Ramai yang hanya nampak jualan pakcik nasi lemak yang laris tetapi terlupa pada kisah-kisah di sebaliknya.

Setiap hari, selepas habis menjual nasi lemak, pakcik tersebut perlu membersihkan semua perkakasnya. Kemudian, pakcik perlu pergi ke pasar untuk membeli ramuan-ramuan untuk buka kedai hari esoknya.

Ayam, daging, pedal perlu dipotong dan diperap.
Cili, lada, sambal perlu ditumit secukup rasa, secukup guna.

Semua ini mengambil banyak masa daripada masa menjual.

Setiap hari, pakcik nasi lemak perlu bangun seawal 3 pagi untuk memasak lauk-lauk, nasi dan sebagainya; segalanya perlu dibuat dengan cermat, ramuan mesti dipastikan elok, kerana nila setitik akan rosak susu sebelanga.

Kisah makan ini - apabila sedap orang akan teringat, sekali tidak sedap orang akan ingat selama-lamanya. Jadi konsisten pakcik nasi lemak untuk menyediakan segala bahannya untuk mengekalkan kepuasan pembelinya perlu dihayati.

Perkara yang sama turut dilihat pada seorang ibu.

“Anak makcik semua soleh, semua pandai-pandai, berhemah.”

Di sebalik ayat itu, tahukah seorang ibu, sejak mengandung kita, tidak pernah ada sesaat pun yang tidak merisaukan kita, walaupun kita sudah berkahwin dan beranak-pinak.

Berapa banyak usaha, titik peluh dan darah yang dikorbankan seorang ibu untuk anak-anaknya?

Hargailah kedua-dua ibu dan bapa selagi ada peluang. Ada yang diberikan dan dilakukan mereka untuk kita selama ini tidak tolok bandingnya. Beringatlah pada kenangan yang manis bersama, kenangan pahit dijadikan pengajaran semasa kita menjadi ibu bapa untuk anak-anak kita pula.

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra : ayat 23-24)

Dah berapa lama tidak jumpa ayah-mak? Sekurang-kurangnya telefonlah sekali seminggu – ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa sebenarnya, mereka cuma harapkan kita semua selamat, gembira, bahagia dan boleh SENYUM selalu

MENGAPA INGAT MATI SANGAT PENTING ?

Dua malam  lepas ayah kepada Hj Wan Ismail ajk Masjid Terapung meninggal dunia, malam tadi lepas Isyak jiran tetangga rumah saya di Bukit Besar, Cikgu Che Ali b Abd Aziz, suami Cikgu Mariam Awang SK Tg Bariah, pula meninggal dunia dan dikebumikan malam itu juga. Pagi ini masuk sahaja pintu Masjid Terapung nak solat subuh, saya dimaklumkan Haji Zahari ajk Masjid Terapung pula telah kembali ke rahmatullah. Innalillahi wainna illa rajiun. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali.

Baru sahaja malam tadi saya berbual dan bersembang dengan allahyarham Haji Zahari mengenai tahlil di rumah arwah ayah kepada Hj Wan Ismail. Aleh-aleh pagi ini beliau telah tiada lagi. Begitu pantas dan cepat. Inilah yang dikatakan apabila sampai masa, tak kira sakit atau sihat, kecil atau besar, tua atau muda, pasti akan mati.

Semalam, selepas solat zohor di Masjid Terapung, saya bertemu dengan beberapa rakan guru besar yang masih berkhidmat. Yang saya ingat ialah saudara Mohd Ranai, Guru Besar SK Bukit Guntong, bertanya khabar dan ingin dapat kepastian beliau, benarkah isterinya sedang sakit. Beliau menjelaskan isterinya diserang kanser usus dan ovari tahap empat, sedang menjalani rawatan di HUKM. Tiga orang  anaknya menyewa rumah berhampiran HUKM untuk memudahkan isteri beliau menjalani rawatan. Dengan wajah yang sayu beliau menceritakan keadaan isterinya yang semakin uzur, tiada notis, kerana katanya isterinya jarang-jarang sakit, tiba-tiba dikesan mengidap kanser tahap 4. Saya dapat rasakan betapa berat ujian yang sedang dilaluinya. Inilah Ujian Hidup.

Itulah beberapa kisah yang mampu dijadikan iktibar bagi kita yang masih Allah beri peluang untuk menghirup udara di bumi Allah ini. 

Apa agaknya akan kita lakukan jika seorang doktor memberitahu kita bahawa usia kita mungkin tinggal enam bulan lagi?

Pertamanya terkejut, lemah semangat, muram, sedih dan sebagainya. Kita tkut mati, meninggalkan yang tersayang, anak-anak, isteri, harta dan sebagainya. Apa akan terjadi kepada mereka yang ketiadaannya? Siapa akan menjaga mereka? Kasihan anak-anak. Semua itu terbayang dalam pemikirannya. Setiap saat dilalui saban hari dirasakan tidak seronok, memikirkan penyakit yang dihidapi, manakala keluarga cuba memujuknya, cuba memberi perangsang kepadanya dan cuba mencari berbagai-bagai alternatif untuk mengubatinya.

Setiap hari dia mengingati dan menunggu hari datangnya kematian. Tahukah apa pemikirannya sekarang?

  • Tidakkah dia akan membuang rasa tamak terhadap wang dan harta?
  • Tidakkah dia akan membuang rasa benci terhadap orang lain?
  • Tidakkah dia akan membuang rasa dengki dan iri hati?
  • Tidakkah dia akan menyisihkan rasa ingin menipu, mengambil rasuah, menganiaya orang, tamak kepada pangkat, menindas orang dan sebagainya?
  • Tidak dia akan kesal terhadap kesilapan-kesilapan dan kesalahn-kesalahannya?
  • Tidakkah dia akan banyak memohon maaf terhadap kesalahan-kesalahannya kepada orang lain?
  • Tidak dia akan semakin sayang terhadap isteri dan anak-anaknya?
  • Tidakkah dia akan banyak beristighfar kepada Allah?
  • Tidakkah dia akan lebih khusuyuk dalam solatnya?
  • Tidakkah dia ingin berjumpa orang laim meminta nasihat dan meminta didoakan?
  • Tidakkah dia akan lebih suka mendengar cermah agama daripada berkaroeke atau berseronok-seronok?
  • Tidakkah dia akan banyak membaca al Quran?
  • Tidakkah dia suka berbuat baik dan bersedekah?
  • Tidakkah dia banyak mengingat Allah dan berdoa?

Akhirnya kita terpaksa menerima hakikat sebenar bahawa kita menghidapi penyakit yang berbahaya yang boleh mengundang maut. Baru beberapa minggu lepas kita berasa seronok hidup, dengan rumah besar, kereta mewah dan isteri yang cantik. Megah dan bangga dengan apa yang kita ada. Rasa hebat dan dengan keupayaan dan kepandaian kita. Merasakan orang lain disekeliling kita rendah belaka, meremehkan orang yang meminta sedekah dan memandang orang miskin sebagai orang yang malas berusaha. Seterusnya kita membuat berbagai-bagai lagi perancangan .................

  • Membesarkan lagi perniagaan
  • Menambah simpanan dan pelaburan
  • Mengikuti kursu-kursus meningkatkan pengetahuan perniagaan
  • Bercuti dengan keluarga ke luar negara
  • Memastikan dapat menguasai projek-projek yang besar walaupun terpaksa memijak pesaing, terpaksa merasuha dan sebaganinya.
Ini tidak terhad kepada orang kaya sahaja, bahkan semua lapisan dan peringkat samaada kerani, pegawai kerajaan dan swasta mempunyai perancangan.

Cuba selidiki apa yang mereka fikirkan dan lakukan setiap hari..............
  • Bagaimana mahu naik pangkat
  • Membuat kerja sambil lewa
  • Berseronok-seronok dan berbual kosong setiap hari
  • Mengejar glamor dan populariti
  • Tidak selesa dengan kelebihan orang lain.

Tanya diri kita, berapa banyak kita ingat Allah setiap hari? Adakah kita khusyuk dalam solat? Berbapa banyak kita bersedekah, membaca al Quran,menolong orang dalam kesusahan dan berdoa? Dalam kesibukan kita mengejar harta dan pangkat, semua ini bukan menjadi prioriti kita. Ingat maksud firman Allah dalam surah An Nisa 142;

”Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

Astaghfirullahal ’azim. Astaghfirullahal ’azim. Astaghfirullahal ’azim.

Muhasabah diri kita sekarang, adakah kita sibuk mencari dan mengejar harta hari ini kerana mencari REDHA ALLAH atau sebaliknya untuk memuaskan hawa nafsu kita? Kita boleh menyatakan dengan perkataan bahawa Islam tidak melarang kita mencari harta. Benar, tetapi hakikatnya dalam kesibukan kita, berapa banyak kita INGAT ALLAH, sedangkan Allah berfirma dalam Al Ahzab :41

” Wahai orang-orang Yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah Dengan ingatan serta sebutan Yang sebanyak-banyaknya;”

Jangan menggunakan alasan kerja itu adalah ibadah, berniaga digalakkan dalam Islam dan banyak lagi yang ditopengkan menggunakan perkataan IBADAH atau AMAL.

Mana mungkin kerja itu ibadah sekiranya ia melalaikan kita daripada ingat kepada Allah? Mana mungkin kerja menjadi ibadah jika ia membuatkan kita melewatkan solat dan menjejaskan khusyuk dalam solat? Mana mungkin kerja menjadi ibadah jika kita mahir ilmu dunia tetapi jahil agama, tidak pandai membaca al Quran, dan banyak lagi prioriti lain yang tertinggal disebabkan alasan kita bahawa Islam menyuruh kita bekerja dan berusaha, maju dan kaya, supaya apabila kita kaya, kita dapat membayar zakat dan sebagainya?

Benar Islam tidak melarang kita menjadi kaya tetapi bukanlah sampai melalaikan perkara-perkara UTAMA, yang tidak boleh tidak mesti dipelajari dengan sungguh-sungguh (bukan sambil lewa) seperti ilmu Tauhid, ibadah dan akhlak, Sebagaimana kata-kata seorang professor dari Universiti Al Azhar dalam bukunya, Baitul Jannah;

”Sekiranya kita mendidik anak-anak dan bangsa kita mahir ilmu keduniaan tanpa kemahiran ilmu agama, kita sebenarnya membina individu yang berpotensi menjadi pencuri yang professional”

Sebenarnya dalam ilmu peradaban dan tamadun manusia, kejayaan serta kemajuan sesebuah bangsa itu bukan diukur atas kekayaan mereka, Maksud Firman Allah dalam At Taqhabun :15

”Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian semata-mata (bukan ukuran kejayaan), dan di sisi Allah jualah pahala Yang besar.”

Sebaliknya yang menjadi ukuran kejayaan adalah akhlak. Maksud Firman Allah Al Asr 1-3

”Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian, kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar”.


(Dipetik daripada buku You Are The Best karangan Dr Mohd Shafie Md Amin ms 202-205)

Saturday, June 8, 2013

Hati beriman bebas sifat tercela

Engku Mohd Zaki b Engku Alwi

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa yang memiliki hati yang suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu. 


“Ketahuilah! Wahai anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim dan Tabrani)  Hati manusia adalah raja bagi keseluruhan anggota tubuh badan. Baik dan buruk, sejahtera atau sengsara, sihat atau sakit bergantung kepada kedudukan hatinya. 



Sekiranya baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati. ” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Hati memainkan peranan yang penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi dan jati diri seseorang sama ada sebagai seorang yang soleh atau yang toleh. 

Hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah dan niat. Di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah. 

Yang paling menariknya, dalam helaian al-Quran perkataan hati biasa disebut sebagai al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap, berubah-ubah dan berbalik. 


Hati mudah berubah 


Bertepatan dengan konotasi al-qalb itu, maka hati mudah berubah-ubah dari satu keadaan ke satu keadaan yang lain. 

Di dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama lain, iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar, hak dan batil. 

Maka, tidak hairanlah betapa Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa ini iaitu “Ya Allah Ya Tuhanku Yang membalikkan hati! Tetapkanlah hatiku di atas landasan agama-Mu”. 

Apabila ditinjau dalam al-Quran, ada banyak rangkaian ayat yang membicarakan mengenai hati terutama hati yang bersih lagi suci dari dosa dan maksiat. 

Hati bersih dan suci itu ialah hati yang diterangi dengan cahaya Ilahi dan tidak terselit sedikit pun perasaan keraguan dan syirik dalam hatinya. 

Seterusnya, hati yang bersih yakin bahawa segala apa yang wujud di alam semesta ini dicipta oleh Allah yang Maha Berkuasa. Hati yang bersih juga adalah hati yang terhindar daripada sebarang penyakit hati seperti dendam, dengki, fitnah dan pelbagai sifat tercela. 

Hati yang bersih adalah hati yang dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Ia sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan dan ketaatan yang kudus kepada Allah. 

Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah. 

Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya memiliki hati yang bersih ini sehingga dianggap sebagai seorang manusia yang terbaik. Baginda pernah ditanya oleh seorang sahabat: 



“Siapakah manusia yang terbaik? Baginda menjawab: Orang mukmin yang bersih hatinya. Kemudian baginda ditanya lagi: Siapakah orang mukmin yang hatinya bersih? Lantas Nabi pun menjawab: Iaitu orang yang bertakwa, hatinya bersih, tidak melakukan kedurhakaan dan pengkhianatan terhadap Allah, tidak berdendam dan mendengki kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibnu Majah) 


Allah memberikan ganjaran kepada setiap hamba-Nya yang berniat untuk melakukan kebajikan, Allah tidak pula mencatatkan keburukan atau dosa kepada seorang yang hanya berniat di hatinya untuk melakukan kejahatan, bagaimanapun ia tidak pula dilakukannya. 

Amalan tidak beretika dan tidak bermoral yang semakin berleluasa dalam masyarakat kita adalah isyarat hati seseorang yang kotor, ketandusan nilai kerohanian yang luhur dan jauh daripada prinsip Islam. 

Pernah berlaku satu peristiwa, yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’ad yang berkata: “Ada seorang lelaki yang lalu melewati hadapan Rasulullah, lalu baginda bertanya kepada sahabat yang duduk di sebelah baginda: Apakah pendapatmu mengenai orang ini? Maka, sahabat itu pun berkata: Dia adalah seorang lelaki daripada kalangan terhormat. Demi Allah! Orang ini sangat layak untuk dinikahi jika dia datang melamar, diberi syafaat jika dia meminta syafaat. 

Rasulullah SAW pun diam seketika. Kemudian, datang pula seorang lelaki melewati hadapan baginda. Baginda kembali bertanya: “Apakah pendapatmu mengenai orang ini pula? Lantas sahabat itu pun berkata: Wahai Rasulullah! Dia ini adalah daripada kalangan orang fakir miskin. Dia ini sememangnya layak ditolak jika datang melamar, tidak layak diberi syafaat jika dia meminta dan juga tidak layak diberi perhatian jika dia berbicara. Maka Rasulullah bersabda: “Orang ini (yang kedua) jauh lebih baik daripada orang yang pertama tadi.” 

Jelas daripada kisah yang dipaparkan di atas bahawa nilai dan taraf seseorang manusia bukan diukur daripada kebesaran rupa lahiriah. Sebaliknya, neraca piawaian yang sebenarnya di sisi Allah ialah iman yang bertapak kukuh di dasar hatinya. 


Penulis ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA

Awas: Istilah makanan berkaitan dengan babi

http://blog-hangit.blogspot.com,
07 Jun 2013

AWAS!!! : Istilah Makanan Yang Berkaitan Dengan Babi.,,


Tolong sebarkan ini kepada Saudara kita yang lainnya agar berhati hati dalam memilih makanan,

Istilah Makanan Yang Berkaitan Dengan Babi..

Mungkin banyak umat Islam tidak tahu bahwa label label yang bertulis 'This product contain substance from porcine. Sebenarnya bermaksud 'Produk ini mengandungi bahan daripada babi. Selain itu, antara label yang kerap digunakan adalah 'The source of gelatin capsule is porcine' yang bermaksud 'Kapsul dari gelatin babi. 

Berikut antara istilah sains yang digunakan dalam produk yang mengandungi unsur babi: 

1. Pork:Istilah yang digunakan untuk daging babi di dalam masakan. 

2. Swine:Istilah yang digunakan untuk keseluruhan kumpulan spesis babi. 

3. Hog:Istilah untuk babi dewasa, berat melebihi 50 kg. 

4. Boar:Babi liar. 

5. Lard:Lemak babi yang digunakan bagi membuat minyak masak dan sabun.

6. Bacon:Daging haiwan yang disalai, termasuk babi.

7. Ham:Daging pada bahagian paha babi.

8. Sow:Istilah untuk babi betina dewasa (jarang digunakan).

9. Sow Milk:Susu babi.

10.Pig:Istilah umum untuk seekor babi atau sebenarnya bermaksud babi muda, berat kurang daripada 50 kg. 

11.Porcine:Istilah yang digunakan untuk sesuatu yang berkaitan atau berasal daripada babi. Porcine sering digunakan di dalam bidang perubatan untuk menyatakan sumber yang berasal daripada babi. 

Sebarkan kepada semua saudara-saudara kita agar lebih berhati-hati..Moga Allah S.W.T akan membalas jasa baik anda dan semoga Allah memelihara kita di dunia dan di akhirat.

Sumber whatsapp