Wednesday, June 12, 2013

MENGAPA INGAT MATI SANGAT PENTING ?

Dua malam  lepas ayah kepada Hj Wan Ismail ajk Masjid Terapung meninggal dunia, malam tadi lepas Isyak jiran tetangga rumah saya di Bukit Besar, Cikgu Che Ali b Abd Aziz, suami Cikgu Mariam Awang SK Tg Bariah, pula meninggal dunia dan dikebumikan malam itu juga. Pagi ini masuk sahaja pintu Masjid Terapung nak solat subuh, saya dimaklumkan Haji Zahari ajk Masjid Terapung pula telah kembali ke rahmatullah. Innalillahi wainna illa rajiun. Dari Allah kita datang kepada Allah kita kembali.

Baru sahaja malam tadi saya berbual dan bersembang dengan allahyarham Haji Zahari mengenai tahlil di rumah arwah ayah kepada Hj Wan Ismail. Aleh-aleh pagi ini beliau telah tiada lagi. Begitu pantas dan cepat. Inilah yang dikatakan apabila sampai masa, tak kira sakit atau sihat, kecil atau besar, tua atau muda, pasti akan mati.

Semalam, selepas solat zohor di Masjid Terapung, saya bertemu dengan beberapa rakan guru besar yang masih berkhidmat. Yang saya ingat ialah saudara Mohd Ranai, Guru Besar SK Bukit Guntong, bertanya khabar dan ingin dapat kepastian beliau, benarkah isterinya sedang sakit. Beliau menjelaskan isterinya diserang kanser usus dan ovari tahap empat, sedang menjalani rawatan di HUKM. Tiga orang  anaknya menyewa rumah berhampiran HUKM untuk memudahkan isteri beliau menjalani rawatan. Dengan wajah yang sayu beliau menceritakan keadaan isterinya yang semakin uzur, tiada notis, kerana katanya isterinya jarang-jarang sakit, tiba-tiba dikesan mengidap kanser tahap 4. Saya dapat rasakan betapa berat ujian yang sedang dilaluinya. Inilah Ujian Hidup.

Itulah beberapa kisah yang mampu dijadikan iktibar bagi kita yang masih Allah beri peluang untuk menghirup udara di bumi Allah ini. 

Apa agaknya akan kita lakukan jika seorang doktor memberitahu kita bahawa usia kita mungkin tinggal enam bulan lagi?

Pertamanya terkejut, lemah semangat, muram, sedih dan sebagainya. Kita tkut mati, meninggalkan yang tersayang, anak-anak, isteri, harta dan sebagainya. Apa akan terjadi kepada mereka yang ketiadaannya? Siapa akan menjaga mereka? Kasihan anak-anak. Semua itu terbayang dalam pemikirannya. Setiap saat dilalui saban hari dirasakan tidak seronok, memikirkan penyakit yang dihidapi, manakala keluarga cuba memujuknya, cuba memberi perangsang kepadanya dan cuba mencari berbagai-bagai alternatif untuk mengubatinya.

Setiap hari dia mengingati dan menunggu hari datangnya kematian. Tahukah apa pemikirannya sekarang?

  • Tidakkah dia akan membuang rasa tamak terhadap wang dan harta?
  • Tidakkah dia akan membuang rasa benci terhadap orang lain?
  • Tidakkah dia akan membuang rasa dengki dan iri hati?
  • Tidakkah dia akan menyisihkan rasa ingin menipu, mengambil rasuah, menganiaya orang, tamak kepada pangkat, menindas orang dan sebagainya?
  • Tidak dia akan kesal terhadap kesilapan-kesilapan dan kesalahn-kesalahannya?
  • Tidakkah dia akan banyak memohon maaf terhadap kesalahan-kesalahannya kepada orang lain?
  • Tidak dia akan semakin sayang terhadap isteri dan anak-anaknya?
  • Tidakkah dia akan banyak beristighfar kepada Allah?
  • Tidakkah dia akan lebih khusuyuk dalam solatnya?
  • Tidakkah dia ingin berjumpa orang laim meminta nasihat dan meminta didoakan?
  • Tidakkah dia akan lebih suka mendengar cermah agama daripada berkaroeke atau berseronok-seronok?
  • Tidakkah dia akan banyak membaca al Quran?
  • Tidakkah dia suka berbuat baik dan bersedekah?
  • Tidakkah dia banyak mengingat Allah dan berdoa?

Akhirnya kita terpaksa menerima hakikat sebenar bahawa kita menghidapi penyakit yang berbahaya yang boleh mengundang maut. Baru beberapa minggu lepas kita berasa seronok hidup, dengan rumah besar, kereta mewah dan isteri yang cantik. Megah dan bangga dengan apa yang kita ada. Rasa hebat dan dengan keupayaan dan kepandaian kita. Merasakan orang lain disekeliling kita rendah belaka, meremehkan orang yang meminta sedekah dan memandang orang miskin sebagai orang yang malas berusaha. Seterusnya kita membuat berbagai-bagai lagi perancangan .................

  • Membesarkan lagi perniagaan
  • Menambah simpanan dan pelaburan
  • Mengikuti kursu-kursus meningkatkan pengetahuan perniagaan
  • Bercuti dengan keluarga ke luar negara
  • Memastikan dapat menguasai projek-projek yang besar walaupun terpaksa memijak pesaing, terpaksa merasuha dan sebaganinya.
Ini tidak terhad kepada orang kaya sahaja, bahkan semua lapisan dan peringkat samaada kerani, pegawai kerajaan dan swasta mempunyai perancangan.

Cuba selidiki apa yang mereka fikirkan dan lakukan setiap hari..............
  • Bagaimana mahu naik pangkat
  • Membuat kerja sambil lewa
  • Berseronok-seronok dan berbual kosong setiap hari
  • Mengejar glamor dan populariti
  • Tidak selesa dengan kelebihan orang lain.

Tanya diri kita, berapa banyak kita ingat Allah setiap hari? Adakah kita khusyuk dalam solat? Berbapa banyak kita bersedekah, membaca al Quran,menolong orang dalam kesusahan dan berdoa? Dalam kesibukan kita mengejar harta dan pangkat, semua ini bukan menjadi prioriti kita. Ingat maksud firman Allah dalam surah An Nisa 142;

”Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

Astaghfirullahal ’azim. Astaghfirullahal ’azim. Astaghfirullahal ’azim.

Muhasabah diri kita sekarang, adakah kita sibuk mencari dan mengejar harta hari ini kerana mencari REDHA ALLAH atau sebaliknya untuk memuaskan hawa nafsu kita? Kita boleh menyatakan dengan perkataan bahawa Islam tidak melarang kita mencari harta. Benar, tetapi hakikatnya dalam kesibukan kita, berapa banyak kita INGAT ALLAH, sedangkan Allah berfirma dalam Al Ahzab :41

” Wahai orang-orang Yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah Dengan ingatan serta sebutan Yang sebanyak-banyaknya;”

Jangan menggunakan alasan kerja itu adalah ibadah, berniaga digalakkan dalam Islam dan banyak lagi yang ditopengkan menggunakan perkataan IBADAH atau AMAL.

Mana mungkin kerja itu ibadah sekiranya ia melalaikan kita daripada ingat kepada Allah? Mana mungkin kerja menjadi ibadah jika ia membuatkan kita melewatkan solat dan menjejaskan khusyuk dalam solat? Mana mungkin kerja menjadi ibadah jika kita mahir ilmu dunia tetapi jahil agama, tidak pandai membaca al Quran, dan banyak lagi prioriti lain yang tertinggal disebabkan alasan kita bahawa Islam menyuruh kita bekerja dan berusaha, maju dan kaya, supaya apabila kita kaya, kita dapat membayar zakat dan sebagainya?

Benar Islam tidak melarang kita menjadi kaya tetapi bukanlah sampai melalaikan perkara-perkara UTAMA, yang tidak boleh tidak mesti dipelajari dengan sungguh-sungguh (bukan sambil lewa) seperti ilmu Tauhid, ibadah dan akhlak, Sebagaimana kata-kata seorang professor dari Universiti Al Azhar dalam bukunya, Baitul Jannah;

”Sekiranya kita mendidik anak-anak dan bangsa kita mahir ilmu keduniaan tanpa kemahiran ilmu agama, kita sebenarnya membina individu yang berpotensi menjadi pencuri yang professional”

Sebenarnya dalam ilmu peradaban dan tamadun manusia, kejayaan serta kemajuan sesebuah bangsa itu bukan diukur atas kekayaan mereka, Maksud Firman Allah dalam At Taqhabun :15

”Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian semata-mata (bukan ukuran kejayaan), dan di sisi Allah jualah pahala Yang besar.”

Sebaliknya yang menjadi ukuran kejayaan adalah akhlak. Maksud Firman Allah Al Asr 1-3

”Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian, kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar”.


(Dipetik daripada buku You Are The Best karangan Dr Mohd Shafie Md Amin ms 202-205)

No comments:

Post a Comment