Hati beriman bebas sifat tercela
Engku Mohd Zaki b Engku Alwi
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada
jasad dan rupa bentuk kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu,
sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka, sesiapa yang memiliki hati
yang suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang itu.
“Ketahuilah! Wahai anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah
orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim dan
Tabrani) Hati manusia adalah
raja bagi keseluruhan anggota tubuh badan. Baik dan buruk, sejahtera atau sengsara,
sihat atau sakit bergantung kepada kedudukan hatinya.
Sekiranya baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah
sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam
jasad itu ada segumpal daging. Apabila dia baik, maka baiklah seluruh jasad
tetapi, apabila dia rosak, maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa
dia itu ialah hati. ” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati memainkan peranan yang penting dalam mencerminkan dan menentukan kemuliaan
atau kehinaan peribadi dan jati diri seseorang sama ada sebagai seorang yang
soleh atau yang toleh.
Hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia.
Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah dan niat. Di sinilah
juga terletaknya kekufuran, nifaq dan sifat mazmumah.
Yang paling menariknya, dalam helaian al-Quran perkataan hati biasa disebut
sebagai al-qalb yang membawa maksud sesuatu yang tidak tetap, berubah-ubah dan
berbalik.
Hati mudah berubah
Bertepatan dengan konotasi al-qalb itu, maka hati mudah berubah-ubah dari satu
keadaan ke satu keadaan yang lain.
Di dalam hati ada dua unsur kekuatan yang sentiasa berlawanan antara satu sama
lain, iaitu antara iman dengan kufur, kebaikan dan keburukan, taat dan ingkar,
hak dan batil.
Maka, tidak hairanlah betapa Rasulullah SAW sentiasa berdoa kepada Allah dengan
doa ini iaitu “Ya Allah Ya Tuhanku Yang membalikkan hati! Tetapkanlah hatiku di
atas landasan agama-Mu”.
Apabila ditinjau dalam al-Quran, ada banyak rangkaian ayat yang membicarakan
mengenai hati terutama hati yang bersih lagi suci dari dosa dan maksiat.
Hati bersih dan suci itu ialah hati yang diterangi dengan cahaya Ilahi dan
tidak terselit sedikit pun perasaan keraguan dan syirik dalam hatinya.
Seterusnya, hati yang bersih yakin bahawa segala apa yang wujud di alam semesta
ini dicipta oleh Allah yang Maha Berkuasa. Hati yang bersih juga adalah hati
yang terhindar daripada sebarang penyakit hati seperti dendam, dengki, fitnah
dan pelbagai sifat tercela.
Hati yang bersih adalah hati yang dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan
takwa. Ia sarat dengan gelora kerinduan, kecintaan dan ketaatan yang kudus
kepada Allah.
Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk,
tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah.
Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya supaya memiliki hati yang bersih ini
sehingga dianggap sebagai seorang manusia yang terbaik. Baginda pernah ditanya
oleh seorang sahabat:
“Siapakah manusia yang terbaik? Baginda menjawab: Orang
mukmin yang bersih hatinya. Kemudian baginda ditanya lagi: Siapakah orang
mukmin yang hatinya bersih? Lantas Nabi pun menjawab: Iaitu orang yang
bertakwa, hatinya bersih, tidak melakukan kedurhakaan dan pengkhianatan
terhadap Allah, tidak berdendam dan mendengki kepada orang lain. (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Allah memberikan ganjaran kepada setiap hamba-Nya yang berniat untuk melakukan
kebajikan, Allah tidak pula mencatatkan keburukan atau dosa kepada seorang yang
hanya berniat di hatinya untuk melakukan kejahatan, bagaimanapun ia tidak pula
dilakukannya.
Amalan tidak beretika dan tidak bermoral yang semakin berleluasa dalam
masyarakat kita adalah isyarat hati seseorang yang kotor, ketandusan nilai kerohanian
yang luhur dan jauh daripada prinsip Islam.
Pernah berlaku satu peristiwa, yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’ad yang
berkata: “Ada
seorang lelaki yang lalu melewati hadapan Rasulullah, lalu baginda bertanya
kepada sahabat yang duduk di sebelah baginda: Apakah pendapatmu mengenai orang
ini? Maka, sahabat itu pun berkata: Dia adalah seorang lelaki daripada kalangan
terhormat. Demi Allah! Orang ini sangat layak untuk dinikahi jika dia datang
melamar, diberi syafaat jika dia meminta syafaat.
Rasulullah SAW pun diam seketika. Kemudian, datang pula seorang lelaki melewati
hadapan baginda. Baginda kembali bertanya: “Apakah pendapatmu mengenai orang
ini pula? Lantas sahabat itu pun berkata: Wahai Rasulullah! Dia ini adalah
daripada kalangan orang fakir miskin. Dia ini sememangnya layak ditolak jika
datang melamar, tidak layak diberi syafaat jika dia meminta dan juga tidak
layak diberi perhatian jika dia berbicara. Maka Rasulullah bersabda: “Orang ini
(yang kedua) jauh lebih baik daripada orang yang pertama tadi.”
Jelas daripada kisah yang dipaparkan di atas bahawa nilai dan taraf seseorang
manusia bukan diukur daripada kebesaran rupa lahiriah. Sebaliknya, neraca
piawaian yang sebenarnya di sisi Allah ialah iman yang bertapak kukuh di dasar
hatinya.
Penulis ialah Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UniSZA
No comments:
Post a Comment