Al-kisah nasi lemak
Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man,
|
12 Jun 2013
|
“Bagusnya kalau dapat kerja pakcik jual
nasi lemak itu - setiap hari pakcik itu kerja 2 jam sahaja, semuanya dah habis
dijual.”
Ramai yang hanya nampak jualan pakcik nasi lemak yang laris tetapi terlupa pada
kisah-kisah di sebaliknya.
Setiap hari, selepas habis menjual nasi lemak, pakcik tersebut perlu
membersihkan semua perkakasnya. Kemudian, pakcik perlu pergi ke pasar untuk
membeli ramuan-ramuan untuk buka kedai hari esoknya.
Ayam, daging, pedal perlu dipotong dan diperap.
Cili, lada, sambal perlu ditumit secukup rasa, secukup guna.
Semua ini mengambil banyak masa daripada masa menjual.
Setiap hari, pakcik nasi lemak perlu bangun seawal 3 pagi untuk memasak
lauk-lauk, nasi dan sebagainya; segalanya perlu dibuat dengan cermat, ramuan
mesti dipastikan elok, kerana nila setitik akan rosak susu sebelanga.
Kisah makan ini - apabila sedap orang akan teringat, sekali tidak sedap
orang akan ingat selama-lamanya. Jadi konsisten pakcik nasi lemak untuk
menyediakan segala bahannya untuk mengekalkan kepuasan pembelinya perlu
dihayati.
Perkara yang sama turut dilihat pada seorang ibu.
“Anak makcik semua soleh, semua pandai-pandai, berhemah.”
Di sebalik ayat itu, tahukah seorang ibu, sejak mengandung kita, tidak pernah
ada sesaat pun yang tidak merisaukan kita, walaupun kita sudah berkahwin dan
beranak-pinak.
Berapa banyak usaha, titik peluh dan darah yang dikorbankan seorang ibu untuk
anak-anaknya?
Hargailah kedua-dua ibu dan bapa selagi ada peluang. Ada yang diberikan dan
dilakukan mereka untuk kita selama ini tidak tolok bandingnya. Beringatlah pada
kenangan yang manis bersama, kenangan pahit dijadikan pengajaran semasa kita
menjadi ibu bapa untuk anak-anak kita pula.
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya
engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau
berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau
kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka
janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun
perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka,
tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
“Dan hendaklah engkau merendah diri
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan
mendidikku semasa kecil." (Surah al-Isra : ayat 23-24)
Dah berapa lama tidak jumpa ayah-mak? Sekurang-kurangnya telefonlah sekali
seminggu – ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa sebenarnya, mereka cuma harapkan
kita semua selamat, gembira, bahagia dan boleh SENYUM selalu
No comments:
Post a Comment