Pendidikan bukan
untuk lahirkan robot pintar
Hazayani Zakaria,
|
15 Jun 2013
|
SHAH ALAM: Matlamat pendidikan bukan sekadar
melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan berperanan 'memanusiakan
manusia'.
Bagi mencapai matlamat ini, pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas
kerana cinta diyakini mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling
memberi.
Seperti mutiara kata dari cendiakawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah,
tetapi membangkitkan kekuatan'.
Itu antara intipati Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach
For The Needs (TFTN) yang diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam
tadi.
Pedagogi merujuk kepada kaedah pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran
baru yang berasaskan cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan
masyarakat yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.
Forum malam tadi menampilkan tiga panelis iaitu pensyarah Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, yang juga aktivis masyarakat, Pakar
Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj yang juga pendakwah
bebas dan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang
juga penceramah bebas manakala moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas
Alam Faizli.
Gabungan mantap panelis berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan
perbincangan seputar pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab
daripada hadirin.
Panelis turut menekankan, pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah
penindasan sesama manusia, meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap
cintakan ilmu pengetahuan.
Ustaz Hasrizal menekankan, sikap ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka
cemerlang dalam pelajaran akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.
"Apabila kita hilang sifat kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan
cinta adalah untuk memanusia kembali manusia.
"Pedagogi pendidikan cinta bergantung kepada bagaimana kita memandang
manusia lain di sekeliling," katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful
Islam.
Dr Harlina pula menegaskan, pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A'
yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah,
jasmaniah dan insaniah.
Pendidik pula katanya, harus mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar,
bukan sekadar untuk memberitahu.
"Guru yang bagus ialah guru yang mampu mencetuskan inspirasi kepada
pelajar-pelajarnya.
"Guru yang bersemangat mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan
sebenarnya dia lebih banyak belajar sewaktu dia mengajar," katanya.
Dr Maszlee pula berpandangan, pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan
sehingga melahirkan pelajar yang meminta-minta pekerjaan.
"Sistem pendidikan sekarang yang dirosakkan oleh politik dan komersil
melemahkan pelajar sehingga melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan,
bukan mencipta peluang pekerjaan," katanya.
No comments:
Post a Comment