Thursday, September 12, 2013

Nik Aziz : Kelantan dan ketelusan

SALAH satu perkara yang amat saya tekankan semasa mentadbir Kelantan ialah ketelusan di dalam pemberian tender. 

Seringkali saya berpesan kepada anggota exco, mentadbir negeri ini ialah amanah daripada ALLAH SWT. 

Jangan perlakukan negeri seperti hak kita anak beranak. Jika pun kita terlepas dari proses audit di dunia, kita tidak mungkin terlepas dari proses audit di akhirat. 

Di Kelantan, saya tidak pernah meletakkan kriteria seseorang itu perlu menjadi ahli Pas terlebih dahulu sebelum mendapat apa-apa tender. Sepanjang pentadbiran saya di Kelantan, seingat saya Jambatan Lepan Pari yang berada di dalam Dun saya iaitu Chempaka pernah dianugerahkan projek pembinaannya kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh ahli Umno.

Pesaingnya yang paling dekat ialah ialah sebuat syarikat milik ahli Pas tetapi atas prinsip ketelusan, syarikat milik ahli Umno mendapat projek tersebut. Pada masa itu, saya dihujani dengan pertanyaan oleh pelbagai pihak, ada yang datang merayu dan mempersoalkan keputusan yang dibuat.

Jawapan saya ada masa itu ialah, kita berpegang kepada ketelusan.

Di Kelantan, ahli-ahli Umno boleh 'mencari makan'. 

Tiada batasan dan tiada sekatan sekalipun diketahui umum sebagai seorang ahli Umno. Pernah projek membina loji air dianugerahkan kepada syarikat yang turut dimiliki oleh seorang pemimpin Umno yang dikhabarkan pernah menerima watikah perlantikan sebagai calon untuk bertanding di dalam pilihan raya umum yang lepas.

Mengapa beliau akhirnya tidak bertanding dan tidak menggunakan watikah tersebut wallahualam, tetapi yang sahihnya projek yang diberikan tidak ditarik balik.

Alhamdulillah, projek-projek di bawah kendalian kerajaan Kelantan terus berjalan dengan baik dan sempurna. Berbeza dengan Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra yang disahkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 lambat disiapkan ekoran banyak kelemahan. 

Antara kelemahan itu termasuklah pelantikan kontraktor yang tidak berpengalaman serta masalah reka bentuk sistem cerucuk. 

Kosnya pun meningkat kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta. 

Paling menarik, projek jambatan dengan kos sebesar itu diberikan secara runding terus dan tidak melalui tender!

Itulah gambaran kerosakan Umno sebenarnya. Melalui ketirisan projek seperti inilah, mereka boleh mencari makan. 

Saya kira, tanpa peluang-peluang seperti ini, pelampung Umno akan bocor dan akan lemas di laut politik. Justeru, Umno sebenarnya langsung tidak layak bercakap soal telus dan jimat-cermat.

Sekian.

Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (Pas)

Bertarikh : 4 Zulkaedah 1434H bersamaan 10 September 2013M


Sunday, September 8, 2013

Goreng Pisang pun guna RON95

TOK PERAK
SinarHarian

*MINYAK naik 20 sen seliter. Kerajaan kata ini tidak akan membebankan rakyat. “Ia tidak memberi kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 hingga 1.3 peratus sahaja,” kata Datuk Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.


Pengusaha pengangkutan pula kata, kenaikan tersebut membebankan. Mereka menjangka akan menaikkan kos pengangkutan @ tambang antara 5 hingga 30 peratus. Akhirnya rakyat biasa yang akan membayar lebih.


Hasan kata, peniaga tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang dan perkhidmatan melebihi 1.3 peratus. Tetapi sejarah membuktikan walaupun minyak naik satu peratus, barang naik lebih 10 peratus.

Contoh paling mudah ialah nasi lemak yang menjadi makanan kesukaan ramai rakyat. Kalau sebelum ini harga sebungkus RM1, ia boleh dinaikkan tidak lebih 1.3 peratus @ lebih kurang RM1.02 sen.

Tetapi, penjual nasi lemak akan naikkan paling tidak pun 5 sen sebungkus, sebab sekarang mana ada orang pakai duit sesen-sesen. Malah, tidak menghairankan kalau ada yang naikkan harga nasi lemak 10 sen, mungkin juga 20 sen.

Lagi pun nasi lemak, juga makanan popular lain – roti canai, tose, yong taufu, karipap, apam balik – bukan barang kawalan. Peniaga boleh naikkan harga atas alasan minyak naik. Hatta goreng pisang, goreng cempedak, goreng keledek pun akan naik harga walaupun makanan itu digoreng menggunakan minyak masak, bukan pakai minyak RON95.

Menteri kata, pihaknya akan melakukan penguatkuasaan secara menyeluruh di kawasan-kawasan tertentu yang terdapat laporan kenaikan harga barang, “dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mereka, termasuk mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011.”

Selalu sangat kita mendengar ayat klise seperti ini. Akan bertindak tegas, ada akta itu, akta ini. Tetapi apabila barang betul-betul naik, dan orang ramai mengeluh lagi gelisah, tidak ada pun tindakan ke atas peniaga.

Malah jangan terkejut sekiranya nanti ada menteri yang berkata: “Jika nasi lemak dan roti canai naik harga, boikot! Ganti makanan lain!” Kata-kata ini pun selalu kita dengar.

*SETAHUN setelah diberikan publisiti meluas kerana kontroversi, Tanda Putera akhirnya ditayangkan di pawagam seluruh negara. Walaupun dengan panas publisiti meletup siang malam, sambutan terhadap filem tersebut dingin.

Pada minggu pertama diputarkan di bawah peraturan ‘wajib tayang’ Finas, filem arahan Datin Paduka Suhaimi Baba hanya mengutip RM500,000, jauh lagi untuk mendapatkan balik kos pembikinan RM4.8 juta.

Ini bukan kes indah khabar dari rupa. Ini ada kaitan dengan tahap pemikiran @ mentaliti penonton kita. Tidak kira berapa tinggi belanja dan betapa hebat kualiti, filem sejarah yang penuh pengetahuan seperti itu tidak diminati oleh majoriti audiens kita. Filem KL Zombie yang ditayangkan pada tempoh sama mengaut lebih RM3 juta.

Suhaimi memang tahu perkara ini. Sebelum ini beliau pernah mengarah filem sejarah berjudul 1957: Hati Malaya. Dengan belanja RM3.6 juta, filem tersebut hanya dapat RM760,000, modal pun kantoi. Sebaliknya filem beliau Pontianak Harum Sundal Malam dan Layar Lara, mendapat sambutan hangat.

Kesimpulannya kalau hendak untung besar jangan buat filem sejarah, jangan buat filem dengan isi keilmuan.

Orang kita lebih tertarik dengan filem hantu dan misteri – mesti ada kubur berasap, penunggu pohon beringin, manusia beranak ular, jin, saka, toyol. Atau buat filem yang penuh dengan lawak-lawak bodoh. Pasti meletup dan dapat juta-juta. Itulah mentaliti penonton kita!

*AKHIR kalam, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata, seorang bekas banduan yang pernah menjadi ketua kongsi gelap, kini menjadi pemimpin sebuah parti politik di Pulau Pinang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula mengesahkan, pihaknya sudah mengenal pasti individu yang mempunyai kaitan dengan kongsi gelap dan dikatakan turut bergiat dalam politik.

Pendek kata kongsi gelap @ samseng, sudah meresap di mana-mana sahaja. Mereka sudah berada dalam sistem kita. Perlu ada keazaman yang kuat dan iltizam yang tinggi untuk menentang mereka

Friday, September 6, 2013

Sistem Islam Diperkasa Negara Aman Sentosa

Posted on  by ekhutbah

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat  191-192  surah Ali ‘Imran :
الَّذِينَ يَذْكُرُ‌ونَ اللَّـهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُ‌ونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْ‌ضِ رَ‌بَّنَا مَا خَلَقْتَ هَـٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ‌﴿١٩١ رَ‌بَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ‌ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ ۖ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ‌
Maksudnya : Golongan yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan perkara ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun
            Kini kita berada pada hari terakhir bulan Syawal di mana bulan baru Zulkaedah bakal menjelma. Perubahan hari, minggu, bulan dan seterusnya tahun yang begitu cepat bersama meningkatnya umur kita sepatutnya dijadikan peringatan berharga untuk kita sama-sama menghitung diri terutama tentang amal ibadat dan taubat atas maksiat yang kita telah dan akan lakukan. Jadikankanlah diri kita sebagai sebaik-baik manusia iaitu diberi panjang umur dengan amalan soleh yang banyak
قَالَ الرَسُولُ :خَيْرُ النَّاسِ مَنْ طَالَ عُمْرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ ، وَشَرُّ النَّاسِ مَنْ طَالَ عُمْرُهُ وَسَاءَ عَمَلُهُ– رواه الترمذي
Maksudnya : Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya. Manakala sejahat-jahat manusia pula ialah orang yang panjang umurnya dan buruk amalannya.
Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang menghargai nikmat masa dan umur yang dianugerahkan oleh Allah kerana ia bakal ditanya pada hari akhirat nanti
قال الرسول: لا تَزُولُ قَدَمَا الْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَعٍ : عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ , وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاهُ , وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ , وَعَنْ عِلْمِهِ مَاذَا عَمِلَ فِيهِ    - رواه الترمذي
Maksudnya : Kedua-dua kaki tidak akan berganjak sedikit pun pada hari kiamat sehingga ditanya tentang 4 perkara iaitu : [1] tentang umur, bagaimana ia habiskan,[2] tentang masa muda ke mana dia pergunakan, [3] tentang hartanya, dari mana diperolehi dan bagaimana dibelanjakan dan [4]  tentang ilmunya, apakah yang dibuat dengannya

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat  155 – 157  surah al-Baqarah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ  الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ أُولَٰئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka mengucapkan :  إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ  . Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk
            Setiap diri kita mahukan ketenangan dan kebahagian dalam kehidupan. Islam mengajar kita cara untuk mendapatkan nikmat berharga ini mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh agama bukan mengikut kehendak hawa nafsu. Akibat membelakangkan panduan agama menyebabkan ketenangan dan kebahagian yang diharapkan tetapi kecelaruan dan kehancuran yang berlaku. Ramai yang mengejar harta tanpa mengira halal haram termasuk dengan menipu, pecah amanah atau rasuah akhirnya mereka diburu oleh kesalahan sehingga harta menyusahkan hidup, rumahtangga kacau bilau. Ramai yang mengejar keseronokan dengan hiburan melampau akhirnya terjebak dengan arak dan dadah yang merosakkan akal dan tubuh badan. Akibat mengambil racun berbisa sebagai ubat maka penyakit bukan sahaja tidak sembuh malah keadaan semakin binasa

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ketika Negara masih dihantui dengan jenayah menggunakan senjata api yang semakin meningkat ditambah dengan laporan wujudnya 49 kumpulan kongsi gelap dengan keahlian mencecah 50 ribu orang malah yang ada yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Jika sebelum merdeka kongsi gelap terkenal dalam berebut kawasan lombong biji timah dan sebagainya manakala selepas merdeka ia bergerak dalam melakukan pelbagai jenayah. Pemimpin mesti bertanggungjawab dalam kelahiran begitu banyak kongsi gelap setelah 56 tahun menyambut kemerdekaan Negara serta bersungguh dalam menanganinya bukan setakat mengumumkannya untuk menakutkan rakyat ketika Negara dikatakan dalam keadaan aman. Sikap hanya menangkap ikan bilis sedangkan jerung dibiar bebas antara punca suburnya jenayah membahayakan Negara ini. Kita juga tidak mahu isu ini menenggelamkan penderitaan rakyat akibat kenaikan harga minyak minggu ini yang sepastinya akan diikuti dengan kenaikan harga barang yang pasti membebankan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana. Itu belum lagi tekanan terhadap rakyat dengan kenaikan tarif elektrik, cukai GST dan saman automatic AES yang bakal menyusul.  Jangan salahkan siapa jika menderita dengan bebanan hidup sehingga berada dalam keadaan takut dan lapar jika kita sendiri yang menempah penyakit. Ingatlah suatu amaran nabi sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Abdullah ibnu Umar:
يَا مَعْشَرَ المُهَاجِرِيْنَ خَمْسٌ إِذَا ابْتَلَيْتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوْذُبِاللهِ أَنْ تُدْرِكُوْهُنَّ لَمْ تَظْهَرِ الفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوْا ِبهَا إِلا فَشَا فِيْهِمُ الطَّاعُوْنُ وَالأوْجَاعُ الَّتِى لَمْ تَكُنْ مَضَتْ ِفى أَسْلافِهِمُ الَّذِيْنَ مَضُوْا, وَلَمْ يَنْقُصُوْا المِكْيَالَ وَالِمْيزَانَ إِلا أُخِذُوْا بِالسِّنِيْنَ وَشِدَّةِ المُؤْنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ, وَلَمْ يَمْنَعُوْا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلا مُنِعُوْا القَطْرَ مِنَ السَّمَآءِ وَلَوْ لا البَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوْا, وَلَمْ يَنْقُضُوْا عَهْدَ اللهِ وَعَهْدَ رَسُوْلِ اللهِ إِلا سَلَّطَ اللهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوْا بَعْضَ مَا فِى أَيْدِيْهِمْ, وَمَالَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللهِ وَيَتَخَيَّرُوْا ِمماَّ أَنْزَلَ اللهُ إِلا جَعَلَ اللهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ
Maksudnya : Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah:  [1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan ditimpa penyakit Taun yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain. [2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. [3]Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T. [4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulNya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. [5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T  yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

            Segala amaran nabi itu berlaku satu demi satu di depan kita seperti [1] Wabak Taun yang berjangkit dan kolera serta penyakit kelamin yang begitu banyak merebak sekarang seperti Aids, HIV adalah disebabkan banyaknya terjadi perzinaan. Setiap kali sambutan tahun baru, merdeka maka isu zina sentiasa tersiar akibat sambutan dibuat ikut penjajah. Kita begitu bersetuju dengan cadangan orang bukan Islam agar diasingkan antara rumah urut lekaki dengan perempuan bagi mencegah aktiviti pelacuran. Kita juga menyambut baik pembatalan konsert Lamb of God kumpulan muzik barat yang jelas menghina Islam dan tidak sesuai dengan budaya timur setelah banyak desakan dibuat. 

[2] Keadaan sukar mencari rezeki dan kezaliman pimpinan adalah disebabkan daripada rakyat yang mengurangkan sukatan, ukuran dan timbangan.Lalu terjadilah inflasi, barang naik harga, harga minyak naik, pendapatan tidak mencukupi, banyak pengangguran dan lain-lain kemorosotan ekonomi. Rakayt tertekan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi sedangkan masalah ketirisan dan sikap boros serta pembaziran dalam mengurus harta Negara tidak disekat.

Ibnu Khaldun pernah menyebut antara punca kehancuran Negara apabila pemimpin terus seronok dengan cara hidup mewah dan projek mega dengan memeras rakyat dengan cukai yang tidak munasabah [3] Allah balakan dengan kemarau panjang disebabkan tidak mengeluarkan zakat di mana ramai umat Islam sendiri menganggap tidak perlu lagi keluar zakat kerana dia telah membayar cukai. Sesetengah tempat, walaupun hujan turut banyak, tetapi air tidak mencukupi untuk kegunaan, iaitu hujan tidak lagi membawa berkat bahkan membawa bala bencana pula.  [4] Kuasa musuh mengambil sebahagian daripada apa-apa yang dimiliki kaum Muslimin seperti hilangnya kuasa ekonomi daripada tangan kaum Muslimin disebabkan mereka mengkhianati janji-janjinya kepada Allah SWT, tidak mentaati perintah Allah. Atau bagi negara Islam lain mungkin penjajah atau pelabur asing yang akan menguasai ekonomi dan hasil kekayaan negeri. Rakyat akan merempat di bumi sendiri. Walau pun telah diberikan kemerdekaan tetapi hakikatnya kebanyakan Negara umat Islam terus dijajah oleh system penjajah malah kuasa kuffar akan segera menyerang atau menggulingkan mana-mana pemimpin yang mahu kembali kepada system Islam antara terbaru di Mesir dan perancangan Amerika Syarikat untuk menyerang Syria. Musuh Islam bukan sahaja akan menyedut hasil mahsul Negara malah membiarkan keadaan huru-hara asalkan Islam tidak dikembali sebagai perundangan Negara. Ancaman ke-

[5] iaitu Perang saudara yang berlaku dalam kalangan kaum Muslimin sendiri disebabkan mereka mengabaikan hukum-hukum Allah SWT dan tidak menjadikan al-Qur’an sebagai undang-undang di dalam kehidupan. Akan berlaku perpecahan dan perbalahan, perperangan dan pembunuhan sesama sendiri berleluasa. Gagalnya Negara kita untuk kembali kepada system Islam antara punca banyak penyakit sosial dan jenayah berlaku. Tepuklah dada kita dan tanyalah iman kita samada mahu kembali kepada system Islam untuk meraih kebahagiaan dunia akhirat atau terus redha dengan system penjajah dan terus melarat di Negara sendiri. Islamlah nescaya kita mulia dan bahagia dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


Minyak Malaysia kelapan termurah di dunia??? Dr Mohd Agus Yusoff

SEPTEMBER 05, 2013

Mulai 3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen.
PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara.
Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara."
Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada tugasan akademik yang banyak tertangguh.
Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan.
Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat.
Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia?
Kenapa TM Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata?
Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar, Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.
Untuk pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.
Itu belum lagi kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang.
Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.
Melihat kepada data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia.
Saya juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."
Saya tidak faham kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?
Oleh sebab itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah! – 6 September, 2013

Apa kita boleh belajar dari sistem pendekatan persekolahn Australia

 Nurhidayah Hashim

SEPTEMBER 06, 2013
Daripada pemerhatian dan temubual yang dijalankan, saya dapati ramai kanak-kanak  Malaysia yang mengikut ibu bapa menyambungkan pelajaran di luar negara (termasuk Australia) menghadapi ‘kejutan’ selepas kembali ke Malaysia.
Ini kerana wujudnya perbezaan yang ketara di antara dua sistem dan pendekatan persekolahan ini. Konsep sistem pendidikan sekolah rendah di Australia serta pendekatan guru mereka jelas berbeza dengan apa yang dilaksanakan di negara kita.
Prinsip pendidikan Australia
Bagi mereka, sekolah rendah adalah asas untuk membina semangat cintakan ilmu dalam diri kanak-kanak. Apabila kanak-kanak suka kepada ilmu, maka mereka akan dengan sendiri berminat untuk mencari ilmu dengan lebih serius dan mendalam di sekolah menengah dan juga di peringkat universiti.
Dengan itu, bukan matlamat sekolah rendah untuk mengajar dan ‘memaksa’  kanak-kanak belajar secara berat dan serius, menghafal fakta dan maklumat, tetapi lebih kepada membuka minat dan kecintaan kepada ilmu dan maklumat. Waktu untuk belajar dengan serius dan mendalam akan berlaku di sekolah menengah dan peringkat universiti. Sekolah rendah juga adalah tempat menyuburkan nilai murni, jati diri anak sebagai generasi baru negara dan menerapkan serta membina kemahiran untuk menjadi insan bermanfaat selepas mereka dewasa.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa sistem persekolahan mereka sentiasa berkembang berdasarkan kajian pakar dan penglibatan guru dan juga ibu bapa. Mereka mengambil pakai hasil kajian pakar pendidikan dan psikologi kanak-kanak.
Contohnya, kajian membuktikan bahawa mempunyai kemahiran berbahasa yang tepat, yakin diri dalam berkomunikasi, pandai bercakap di hadapan ramai, berani bertanya soalan untuk memahami sesuatu fakta, kritis dalam mencari idea menyelesaikan masalah, suka berfikir di luar kotak, minat membaca, tepat menjaga masa, suka membantu orang lain, menghormati orang lain, sukakan ilmu dan menggunakan teknologi moden mencari maklumat tentang sesuatu ilmu baru dan bekerja secara kumpulan (team work) adalah keperluan penting untuk berjaya dalam hidup semasa mereka dewasa, maka ia diterima sebagai prinsip penting persekolahan mereka.
Begitu juga apabila kajian menunjukkan nilai-nilai murni yang ingin diterapkan ini akan lebih berkesan dan sebati dalam diri kanak-kanak apabila ia diterap secara lembut, bersahaja, dengan perasaan seronok dengan kasih sayang  semasa kanak-kanak  masih di peringkat awal umur mereka (umumnya sebelum berumur 14 tahun), maka ia juga diterima pakai sebagai prinsip penting pendidikan di sana.
Justeru, hampir seluruh pendekatan di sekolah rendah mereka bagi pelajar berumur 6 hingga 12 tahun (Pra-sekolah sehingga Gred 6) diambil menjurus ke arah merealisasikan idea tersebut. Hasilnya, pendekatan pendidikan sekolah rendah mereka dibuat secara ‘menarik’ dengan moto ‘learning is fun’ (menuntut ilmu itu seronok), ‘school is fun’ (sekolah itu seronok) , ‘critical thinking is the goal of education’ (berfikir secara kritis adalah matlamat pendidikan) dan suka bertanya dan berbincang dalam kelas adalah matlamat pendidikan. Pendekatan guru juga sangat mesra pelajar, positif dan membina.
Oleh kerana pendidikan dibuat dengan gembira, seronok dengan pelbagai aktiviti perbincangan dua hala yang ceria, dengan sillabus yang kurang berat, ia menjadikan belajar di sekolah rendah di sini seolah-olah bermain sahaja.
Kanak-kanak hadir ke sekolah dengan perasaan seronok, dengan tekanan yang minima, belajar sambil bermain dan membina kemahiran yang lebih baik hari demi hari. Hadir ke sekolah adalah aktiviti yang dinanti-nanti oleh kanak-kanak. Bahkan ramai yang menangis untuk ke sekolah apabila cuti sekolah bermula dan sangat gembira pula apabila cuti penggal berakhir. Inilah yang dilalui oleh anak-anak  Malaysia yang pernah mengikuti  sistem persekolahan sekolah rendah di negara itu.
Tidak membezakan murid pandai dan kurang pandai
Untuk mencapai objektif tersebut, sekolah mereka tidak membezakan kedudukan pelajar pandai dan  kurang  pandai dalam penyusunan kelas. Setiap kelas menggabungkan dua gred sekali gus - kecuali pelajar ‘pre-school’, pelajar dari Gred 1 dan 2 diletakkan dalam satu kelas, Gred 3 dan 4 dalam satu kelas dan juga Gred 5 dan 6 bersama-sama. Mereka tidak memberi nama kelas A, B, C dan lain-lain yang merujuk kelas pandai, kurang pandai dan sebagainya. Tetapi menggunakan nama guru kelas sebagai ganti, contohnya Kelas 3/4T merujuk kepada kelas di bawah seliaan guru kelas bernama Tom. Kelas 1/2J menunjukkan kelas di bawah guru kelas bernama John.
Menurut pengetua sekolah anak saya yang ditemubual, (anak saya menghadiri sekolah kerajaan selama 3 tahun di utara Melbourne), dalam setiap kelas perlu ada gabungan tiga kategori pelajar, yang lambat memahami sesuatu input;  yang sederhana kemampuan penerimaan informasi dan juga yang cepat faham sesuatu maklumat. 
Ujian tetap diadakan untuk melihat markah sebagai cara mengetahui kemampuan pelajar, tetapi  penilaian dibuat secara ‘natural’ tanpa tekanan dan pelajar tidak diasingkan mengikut ‘kepandaian’ mereka. Saya akan menceritakan mengenai cara  peperiksaan dibuat dalam artikel yang seterusnya.
Ini menunjukkan sekiranya kelas 5/6J mempunyai 20 orang, maknanya 10 orang dari gred 5 dan 10 orang dari gred 6 akan berada dalam kelas tersebut. Daripada 10 murid tersebut, mungkin 3 orang adalah mereka yang cepat memhami maklumat, 3 orang yang agak sederhana dan 4 orang lagi yang  lambat memahami sesuatu input. Mereka akan bekerjasama dan saling tolong menolong supaya yang lemah akan sentiasa dibantu secara rakan sekelas (peer-support).
Oleh kerana mencapai objektif pendidikan menjadi keutamaan, maka setiap tindakan diambil menjurus kepada apakah nilai murni yang ingin diterapkan. Di sana, mereka memakai sistem ‘buddy’ di kalangan pelajar untuk menanamkan nilai bekerjasama dan tolong menolong.
Pelajar gred atas dan juga yang lebih cepat faham akan dilantik sebagai pembimbing atau ‘buddy’ kepada pelajar lain. Mereka akan membantu rakan yang lebih lemah, sekaligus menanam nilai tidak memandang hina orang yang lebih rendah dari mereka, bahkan perlu saling membantu, bertanggungjwab dan pemurah. Namun begitu ada juga beberapa subjek yang lebih berat yang difokuskan kepada pelajar tahap lebih tinggi. Ia juga menanam semangat menjadi ketua yang prihatin di dalam jiwa pelajar.
Keprihatinan kerajaan dalam menjayakan hasrat pendidikan mereka sangat ketara. Sekolah di bina dengan bilangan yang banyak terutama dalam kawasan penempatan penduduk yang padat. Contohnya di tempat kami tinggal di kawasan Reservoir, terdapat enam sekolah rendah kerajaan dalam kawasan berdekatan, dan juga dua sekolah swasta untuk dipilih oleh ibu bapa untuk mendaftar anak.
Bangunan sekolah rendah di sana pula umumnya adalah setingkat sahaja. Banyak bangunan sekolah mereka hanya dibina dengan gabungan kayu dan batu. Pengetua sekolah yang ditemubual menjelaskan bahawa setiap sekolah kebiasaannya tidak mempunyai bilangan yang ramai. Sekolah yang ditadbirnya hampir 300 pelajar  dari pra-sekolah sehinggalah gred enam. Dengan bilangan pelajar yang sedikit, ia memudahkan pengawasan, perancangan dan pengurusan pendidikan kanak-kanak.
Bagi menjayakan objektif mendidik dan menerapkan nilai murni, serta menggunakan pendekatan  mesra pelajar, setiap kelas mempunyai bilangan murid yang sedikit. Purata kelas di sana adalah antara 20  orang sahaja setiap kelas. Dengan bilangan pelajar yang kecil, guru di sana bukan sahaja mampu berhubung dengan murid dengan lebih rapat, bahkan mengenali latar belakang pelajar dan juga ibu bapa mereka. Perbincangan dua hala lebih mudah diadakan. Guru tidak perlu mengangkat suara dan menjerit-jerit untuk menarik perhatian murid. Dan yang penting guru akan senang mengawal selia pelajar di bawah seliaannya, yang mana menyebabkan proses menyampaikan ilmu menjadi lebih tenang dan senang.
Susunan meja
Sekolah rendah mereka adalah medan menyuburkan keberanian dan yakin diri dalam bercakap, bijak berbincang dalam kumpulan dan melatih semangat berkongsi dan kerjasama. Untuk itu, meja pelajar sekolah rendah (bagi semua gred) disusun berbentuk empat segi besar untuk 6-8 pelajar satu meja. Ini dibuat dengan sengaja, bertujuan supaya pelajar dapat bercakap dan berbincang sesama mereka bagi membina kemahiran berkomunikasi.
Guru sekolah  anak saya yang ditemubual turut  menjelaskan bahawa semua tajuk dan subjek akan mengambil pendekatan perbincangan dua hala, bahkan menggalakkan pelajar berbincang  sesama mereka dan berkongsi idea masing-masing. Ini menyuburkan kemahiran berhubungan dan bergaul dalam masyarakat.
Mereka sungguh serius mencari jalan untuk menerapkan kemahiran bercakap, saling berkongsi, saling mengajar sesama kawan dan membina semangat ‘team work’ yang baik. Jarang sangat guru menyuruh pelajar membuat kerja secara sendirian, diam tidak bercakap, tetapi mereka menggalakkan perbincangan dalam kumpulan di meja besar tersebut, dan kemudian seorang wakil kumpulan akan ke depan membentangkan hasil perbincangan mereka. Kerja kumpulan adalah keutamaan mereka walaupun bagi pelajar gred satu. Apabila ada yang tidak pandai berbincang, ketika itulah guru menunjukkan panduan bagaimana cara bercakap, berbincang, memberi peluang orang bercakap dan kita mendengar, menghormati pandangan orang lain, bagaimana untuk memberi idea dan mempertahankan idea kita secara sihat.
Saya akan menyambung perbezaan dengan sistem di negara kita mengenai bilangan pelajar dan kedudukan meja serta  bagaimana ia boleh mempengaruhi keadaan pembelajaran kita yang serius dan formal. Saya juga akan membawakan  perbezaan pendekatan membina dan positif yang diamalkan  oleh guru-guru di sana untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran. - 6 September, 2013.
* Prof Madya Nurhidayah Hashim ialah pensyarah di IPT di Selangor yang menamatkan pengajian PhD di Melbourne, Australia.
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/apa-kita-boleh-belajar-dari-sistem-dan-pendekatan-persekolahan-australia-nu

Wednesday, August 28, 2013

Mengapa sambutan kemerdekaan negara tak bermaya? –Mohd Sayuti Omar

Kita (baca kerajaan Umno khasnya) mengeluh bila setiap kali tiba 31 Ogos hari keramat untuk rakyat negara ini kerana pada tanggal itu diisytiharkan kemerdekaan negara. Apa dikesal dan dikeluhkan kerana semangat untuk sambut hari ulang tahun kemerdekaan itu tidak begitu 'jelingah' dan meriah. Rakyat di semua lapisan seakan tidak berserta (komited) menyambut hari kemerdekaan itu. Kehadiran wakil British ini nampak sangat kemerdekaan kita dibeli.
Ada yang tidak merasakan apa-apa kesan dengan ketibaan tarikh itu. Tarikh atau peristiwa itu seakan tidak memberi apa-apa signifikan buat mereka. Ia dibiarkan berlalu begitu saja bagaikan tarikh lain yang tidak membawa erti.
Jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka, 17 Ogos, orang kata panggil tidak dengar. Bezanya seperti jarak di antara langit dengan bumi. Sambutan rakyat negara itu kepada sejarah bangsa negara mereka sungguh meriah dan hebat. Rakyat negara itu menanti setiap kali detik itu dengan penuh gembira dan bersemangat.
Saya pernah menukilkan macam mana hebatanya rakyat Indonesia menyambut hari ulang tahun kemerdekaan mereka di dalam blog ini. Ia umpama 'jenawari'. Dari kota hingga ke pelusuk kampung semua rakyat berpartisipasi dengan sambutan itu. Tidak ada rumah yang tidak dihiasi atau dipasang bendera. Tidak mampu beli mereka buat dan reka sendiri. Bendera Sang Merah Putih itu juga dijual di tepi jalan, berbagai saiz. Tidak ada acara memberi bendera secara percuma di plaza tol atau di gedung perniagaan.

Kita cemburu melihat kesungguhan rakyat Indonesia dalam menyambut hari kemerdekaan mereka. Kita cemburu dengan semangat patriotisme yang ditunjukkan rakyat negara itu. Dari sini kita dapat mengukur sejauh mana ketebalan semangat mereka dan sejauh mana pula ketipisan semangat bangsa kita.
Kenapa di tempat kita lesu dan 'laaih', tidak bermaya? Kerajaan sendiri sudah habis usaha dan ikhtiar macam mana hendak gerakan rakyat agar menyambut hari kemerdekaan. Bermacam-macam kempen dan insentif diberikan. Dianjurkan berbagai pesta sempena hari ulang tahun untuk memeriahkan sambutan kemerdekaan.
Tidak cukup itu diberikan Jalur Gemilang agar dipasang dikenderaan secara percuma. Namun usaha itu sia-sia saja. Ada yang sudi mengambil tetapi tidak sedia untuk mengibarkan di kenderaan masing-masing. Sudah silih berganti pengerusi panitia sambutan kemerdekaan ditukar tetapi tidak menjadi. Kenapa?
Ada pelbagai sebab yang diberikan mengapa situasi ini berlaku. Antaranya kerana kemerdekaan kita kononnya tidak dicapai dengan darah dan air mata. Kemerdekaan kita diberi atau didapati secara percuma menerusi rundingan. Maka generasi kini khasnya tidak merasakan keperitan itu maka semangat untuk merayakan kemerdekaan tidak menyentuh hati naluri mereka.
Kemerdekaan kita tidak dicapai seperti mana Indonesia mencapai hari kebebasan itu dengan buluh runcing. Rakyat Indonesia membidik senjata dan buluh runcing menghalau penjajah. Kita tidak?
Betulkah kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata? Apakah tiada rakyat negara ini terkorban dan syahid kerana berjuang untuk mencapai kemerdekaan? Pandangan itu tidak tepat sebenarnya dan ia perlu diberi penjelasan baru. Hakikat apa yang berlaku sengaja dipesongkan oleh kerajaan sendiri dengan motif sedia maklum.
Kalau dikorek kepada sejarah perjuangan awal rakyat negara ini yang menentang penjajahan British jelas menunjukkan perjuangan itu makan banyak korban. Banyak air mata dan darah tumpah meresapi bumi Malaya ketika itu. Atau kita tidak menganggap British itu sebagai penjajah? Saya timbulkan ini kerana ada sarjana yang berkata Malaysia tidak pernah dijajah?
Cuma korban darah dan air mata itu tidak dinukilkan dalam lembaran sejarah popular negara. Justeru generasi (pembaca) muda tidak mengetahui akan ada darah dan air mata dalam proses kemerdekaan kita. Mereka tidak baca dan sedihi kemudian mendendami hal itu. Apa yang ada di dalam buku sejarah kita, ialah perundingan untuk mendapat kemerdekaan.
Kemerdekaan sebuah sedekah
Apa yang dinukilkan ialah pemergian Tunku Abdul Rahman bersama wakil orang Cina dan India ke London untuk membawa balik watikah kemerdekaan. Kerana hanya itulah detik dan peristiwa penting di dalam sejarah menyebabkan orang menganggap kemerdekaan bangsa kita tidak menghirup darah dan mengeluarkan air mata.
Tiada getaran sampai ke hulu hati mengenai peristiwa itu. Apa lagi ada yang membuat ejekan kemerdekaan kita adalah sebuah sedekah Inggeris selepas mereka mengaut segala kekayaan hasil bumi Malaya.
Perkara ini kesilapan paling besar untuk negara dan generasi seterusnya tetapi ia tidak diralat. Kesilapan inilah memusnahkan semangat generasi penerus terhadap kecintaan kepada negara. Kemerdekaan kita sebenar lebih bermakna dan besar dari itu. Terdapat kedukaan dan keperihan pejuang memaksa British berundur. Jadi adalah salah kalau ada orang beranggapan kita merdeka bukan dengan darah dan air mata.
Barang kali tidak perlu saya emosi mendedahkan siapa yang menumpahkan darah dan air mata dalam proses mencapai kemerdekaan dari Bristih sekitar tahun 1942 hingga 1957 dan sebelum itu. Umum sudah tahu. Dengan terbuka luasnya langit dunia, (dunia tanpa sempadan) yang semua orang boleh akses maklumat, menyebabkan manusia (generasi) tidak lagi berada dalam kepompong dibina penjajah dan tali barutnya. Mereka yang rajin dan gemar menggali sejarah akan menemui kebenaran ini.
Bahawa sejarah kemerdekaan yang ditulis oleh Umno tidak lengkap. Keadaan ini makin mengelirukan pula apabila ia disokong oleh sarjana peliharaan Umno untuk membetulkan sejarah yang tidak betul itu. Mereka tidak mahu melurus dan berkata benar tetapi terus bersekongkol dengan Umno sebagai tuan mereka. Tidak semua kisah, citra, puak atau individu yang dicatat sebagai pejuang. Sebaliknya paling menyedihkan ada pejuang sejati dianggap sebagai penderhaka.
Paling-paling mereka akan menukilkan kisah Datuk Bahaman, Datuk Sago atau Mat Kilau atau pun Tok Janggut saja sebagai pejuang. Itu pun dalam nada pesimis dan konotasinya berbeza bila mereka (kerajaan) bercakap atau makan malam bersama Inggeris. Tetapi rentetan selepas itu, gerakan nasionalisme tahun 1940-an khasnya selepas pengisytiharan Darurat (1948) tidak dinukilkan. Umno tidak merasakan kematian Tok Sago, Mat Kilau, Tok Janggut adalah kematian seorang pejuang kerana mereka bukan ahli Pekembar.
Tidak ada dalam sejarah ahli Perkembar (Umno) ditahan di dalam penjara, apa lagi mereka mati ditembak atau pun digantung sampai mati kemudian jenazahnya diarak ke seluruh pekan dan bandar untuk menakutkan orang Melayu. Siapa orang Pekembar yang diseksa?
Jadi benarlah kalau ada orang tuduh kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan air mata kerana itulah versi dan hakikat perjuangan Umno. Bagaimana pun kalau dilihat kepada tokoh nasionalis yang kemudian menyambung perjuangan secara politik? Jelas mereka menumpahkan darah dan air mata demi membebaskan tanah air.
Tokoh yang dicap sebagai haluan kiri; Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestaman, Abu Bakar Bakir, Ishak Mohamad (Pak Sako) dan lain adalah pejuang yang meringkuk di dalam penjara kerana merindui sebuah kemerdekaan. Kita tidak pernah menadah berapa banyak air mata mereka mengalir. Begitu juga kalau hendak dihitung tokoh nasionalis yang menyambung perjuangan menerusi Rejemin Ke-10 PKM - Parti Komunis Malaysia, seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Kamaruzaman Teh, Shamsiah Fakeh, Siti Nurkiah Mahmood dan lain-lain adalah pejuang kemerdekaan yang banyak menelan air mata dan menyaksikan darah membasahi bumi.
Munasabahkah mereka ini semua sengaja melarikan diri ke dalam hutan kemudian sanggup berdepan dengan hujung senjata tanpa ada matlamat untuk agama, bangsa dan negara?
Jadi di manakah salahnya maka kemerdekaan kita menjadi lesu? Berdasarkan perkembangan dan kronologi tadi jelas yang salahnya kerajaan, puak yang menguruskan negara ini sejak 1957 itu. Umno begitu sombong dan angkuh kerana mahu memperlihatkan hanya Umno yang berusaha mencapai kemerdekaan dan dalam masa lain menafikan peranan, tanggungjawab dan pengorbanan orang atau pihak lain yang sama-sama memainkan peranan ke arah itu. Hakikat ini semua orang tahu. Pembaculan sejarah adalah Umno.
Kenapa pada dekad awal kemerdekaan majlis sambutan kemerdekaan mendapat sambutan dan hangat? Sebab waktu itu langit belum terbuka, sejarah perjuangan negara masih terbungkus. Hari ini apabila dunia sudah tanpa sempadan, maklumat tidak boleh disembunyikan, makin ramai cerdik pandai menganalisa sejarah, maka mereka menjadi keliru siapa sebenar pejuang dan siapa sebenarnya hipokrit yang bertindak menamakan susu lembu dengan nama sapi.
Kesimpulan mudah saja untuk menyeramakkan tarikh kemerdekaan kita, pemerintah hari ini harus ikhlas dan sedia menerima peranan pihak lain juga. Pertamanya, mengiktiraf perjuangan nasionalis menerusi Kesatuan Kebangsaan Melayu Malaya (KKMM) serta sayapnya API, Awas, Insaf dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemerdekaan. Demikian juga dengan Rejemin Ke-10 Komunis Malaya yang bergerak dihutan secara bergerila. Mereka yang menjadi wakil kepada rakyat negara ini menggadaikan nyawa, darah dan air mata demi sebuah kemerdekaan.
Demikian juga dengan parti pembangkang, PAS, DAP dan Keadilan dan lain-lain hendaklah dipanggil sama berbincang bagaimana hendak memeriahkan kemerdekaan negara ini. Mereka juga khususnya PAS perlu diikhtiraf sebagai badan siasah yang berjuang untuk membebaskan negara dari cengkaman kolonial.
Selagi kerajaan yang ada hari ini menafikan peranan dan pengorbanan semua pihak, maka selama itu sambutan kemerdekaan kita akan layu, lunyai dan 'laaih' dan ia hanya tidak ubah sebagai sebuah pesta atau keramaian hiburan yang tidak memberi apa-apa signifikan pun kepada kita. Sambutan itu akan dilihat sebagai sebuah propaganda Umno bukan sebuah 'moment' penting untuk rakyat jelata. – msomelayu.blogspot.com, 28 Ogos, 2013.

oleh Mohd Sayuti Omar

Pemimpin atau rakyat yang perlubina semangat patriotisme?

Aspan Alias

 

‘National Anthem Act’ 1968 akan berkuat kuasa tidak berapa lama lagi didalam pawagam. Semua penonton mesti bangun dan menghormati ‘Negara Ku’ yang akan dimainkan sebelum tayangan sesebuah filem itu.. Sesiapa yang melanggarnya boleh di denda tidak lebih dari seratus ringgit atau dipenjara tidak melebihi satu bulan. Ini adalah kandungan yang ada di dalam Akta itu yang digubal pada tahun 1968 dahulu.

Tujuannya, kata Menteri yang bertanggungjawab ialah untuk membina semangat patriotik terhadap negara dikalangan penonton pawagam itu dan rakyat keseluruhannya. Ramai yang menghubungi saya untuk memberikan komen tentang undang-undang baru ini. Maka saya bersetuju untuk memberikan komen pendek tentang undang-undang baru ini.

Selepas ini akan ramailah orang yang akan masuk penjara sebaik sahaja keluar dari pawagam-pawagam di seluruh negara. Jangan dipersoalkan niat Kementerian Penerangan itu dan Menterinya sekali. Niat mereka baik dan jujur untuk melihat pembangunan semangat patriotisma dikalangan rakyat  Jika dengan Akta baru ini boleh membinanya kita terima dan kita akur dengannya. Lagi pun sememangnya kita wajib berdiri semasa lagu Negara Ku itu dimainkan.  Tetapi kenapa mainkan di dalam pawagam?

Tetapi persoalannya adakah ini cara yang baik dan betul untuk membina semangat patriotisma itu? Jika itu cara yang terbaik adakah terfikir oleh kita apakah elemen-elemen yang akan membantutkan kempen patriotisma ini? Adakah dengan berdiri menghormati Negara Ku itu secara paksa seperti ini akan terbina semangat patriotisma yang di kehendaki kerajaan itu?

Dalam posting saya semalam saya dengan jelas memberikan pandangan yang membina semangat sayangkan negara tidak boleh semata-mata ditempelkan sahaja. Ia perlu datang dari keikhlasan dan kejujuran rakyat dari lubuk hati dan nurani mereka. Cara yang paling baik untuk membinanya ialah dengan kerajaan bersama dengan pimpinan keseluruhannya menunjukkan patrotisma itu dengan jelas.

Pemimpin-pemimpin yang mempunyai patriotisma adalah pemimpin yang komited untuk membina negara dengan jujur dan tidak melakukan jenayah kepada negara. Pemimpin seperti ini tidak akan melakukan kerja rasuah serta menggunakan kedudukan mereka untuk mengaut kepentingan peribadi dan sanggup memecah belahkan rakyat yang dahagakan perpaduan.

Yang terbaik dan terunggul sekali ialah pemimpin yang tidak mahu negara berpecah kerana mereka dan sanggup berkorban dengan meletakkan jawatan yang mereka sandang setelah gagal mentadbir rakyat dan negara dengan baik. Ini lah ciri patriotisma yang tertinggi nilainya.

Nilai ini bukan sahaja sepatutnya ada pada mereka yang sedang berkuasa yang mahu meletakkan jawatan. Ia juga terbabit dengan pemimpin yang ingin mendapatkan jawatan itu. Apabila seseorang itu telah terpalit dengan isu moral peribadi mereka juga tidak sepatutnya menawarkan diri untuk menjadi pemimpin negara.

Mereka yang telah dipersepsikan oleh rakyat sebagai pemimpin yang tidak bermoral juga sepatutnya berkorban dengan membatalkan niat untuk menjadi pemimpin utama negara kerana mereka juga akan membawa negara kepada kehancuran. Justeru pemimpin-pemimpin seperti ini juga boleh menunjukkan semangat patriotisma mereka dengan membatalkan sahaja niat untuk mengambil alih kepimpinan negara.

Selama ini pemimpinlah yang lebih menunjukkan rasa tidak patriotisma mereka dari rakyat. Rakyat sedar jika pemimpin itu benar-benar seorang yang patriotik, tidak aka nada diantara yang memegang kuasa menggunakan kuasa dan mandat itu dengan mengambil wang rakyat yang berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya.

Jika seseorang itu telah menggunakan pengaruhnya dengan mengambil wang rakyat dalam jumlah yang berbillion untuk menyelamatkan perniagaan anaknya ini, bolehkah, atau layakkah pemimpin seperti ini digulungkan kedalam gulungan yang patriotik? Tetapi itulah yang berlaku di negara kita dan orang yang sama jugalah yang bercakap tentang isu moral kerajaan yang buruk serta menidakkan semua kerja baik orang lain.

Rakyat melihat dan memerhatikan tindakan serta kata-kata mereka samada selari atau pun sebaliknya. Rakyat biasa seperti kita dibawah ini tidak pun mengambil wang berbillion ringgit dari rakyat untuk kepentingan perniagaan anak-anak mereka. Mereka menanggung kerugian sendirian dan ramai yang telah bankrap kerana kerugian mereka dalam perniagaan.

Apa perasaan rakyat yang ramai dibawah ini apabila melihat pemimpin bercakap besar tentang negara sedangkan anak-anak mereka bersandar kepada rakyat untuk membayar kerugian perniagaan mereka dan dalam masa yang sama mendapat keuntungan lagi dalam proses 'bail-out' yang menggunakan wang rakyat itu.

Justeru perihal patriotisma ini tidak perlu dididik terhadap rakyat jelata. Yang sepatutnya menunjukkan sifat patriotisma itu adalah pemimpin-pemimpin sendiri, tidak kira pemimpin kerajaan atau pembangkang. Pemimpin yang patriotik tidak akan tergamak untuk menaikkan harga belian kelengkapan ketenteraan misalnya.

Pemimpin yang patriotik tidak akan tergamak meluluskan pinjaman yang beratus juta ringgit untuk kroni atau keluarga pemimpin yang tidak pun mahir dalam perniagaan seperti peniagaan lembu dan sebagainya.

Pemimpin yang benar-benar patriotik akan mengambil contoh seperti pimpinan masa lalu yang tidak mempunyai apa-apa semasa persaraannya. Tunku Abdul Rahman tidak mempunyai ‘empire’ perniagaan untuk anak-anak beliau.

Pemimpin sezaman itu tidak mempunyai mahligai-mahligai apabila menyentuh kuasa. Pemimpin yang mempunyai nilai patriotik tidak akan berbelanja ratusan juta ringgit untuk lawatan keluar negara.

Justeru tidak usahlah pemimpin hari ini berkempen untuk membina semangat patriotisma itu sedangkan mereka sendiri adalah penjenayah tegar kepada negara yang dicintai rakyat ini.

Kalau rakyat tidak memberontak didalam hati mereka tidak ada sebab kenapa rakyat tidak mengibarkan bendera yang harganya hanya setakat sepuluh dua puluh ringgit itu. Rakyat telah membayar hutang anak pemimpin yang kerugian dalam perniagaan mereka dalam jumlah yang berbillion ringgit sebelum ini.

Tetapi kenapa rakyat berkira dengan harga satu bendera itu? Jawapannya mudah. Ia di sebabkan pemimpin tidak mengira perasaan rakyat yang rata-rata marhaen di bawah ini.  Rakyat sedar dalam kemarhaenan, mereka terpaksa membayar hutang besar yang dilonggokkan oleh pemimpin kepada mereka.


Buat masa ini elok kita meminta pemimpin yang bercakap tentang patriotisma itu hentikan kempen ini. Rakyat lebih arif tentang isu patriotisma itu. Yang sepatutnya membina sifat patriotisma itu adalah barisan pemimpin yang sedang memimpin kita sekarang ini.

Pemimpin-pemimpin yang tidak dapat membezakan diantara hartasendiri dengan harta rakyat jangan sekali-kali bercakap tentang patriotisma kerana barisan pimpinan yang rakus itu sendiri adalah bertentangan dengan patriotisma itu