SALAH satu perkara yang amat saya tekankan
semasa mentadbir Kelantan ialah ketelusan di dalam pemberian tender.
Seringkali saya berpesan kepada anggota exco, mentadbir negeri ini ialah amanah
daripada ALLAH SWT.
Jangan perlakukan negeri seperti hak kita anak beranak. Jika pun kita terlepas
dari proses audit di dunia, kita tidak mungkin terlepas dari proses audit di
akhirat.
Di Kelantan, saya tidak pernah meletakkan kriteria seseorang itu perlu menjadi
ahli Pas terlebih dahulu sebelum mendapat apa-apa tender. Sepanjang pentadbiran saya di Kelantan, seingat saya Jambatan Lepan Pari yang
berada di dalam Dun saya iaitu Chempaka pernah dianugerahkan projek
pembinaannya kepada sebuah syarikat yang dimiliki oleh ahli Umno.
Pesaingnya yang paling dekat ialah ialah sebuat syarikat milik ahli Pas tetapi
atas prinsip ketelusan, syarikat milik ahli Umno mendapat projek tersebut. Pada masa itu, saya dihujani dengan pertanyaan oleh pelbagai pihak, ada yang
datang merayu dan mempersoalkan keputusan yang dibuat.
Jawapan saya ada masa itu ialah, kita berpegang kepada ketelusan.
Di Kelantan, ahli-ahli Umno boleh 'mencari makan'.
Tiada batasan dan tiada sekatan sekalipun diketahui umum sebagai seorang ahli
Umno. Pernah projek membina loji air dianugerahkan kepada syarikat yang turut
dimiliki oleh seorang pemimpin Umno yang dikhabarkan pernah menerima watikah
perlantikan sebagai calon untuk bertanding di dalam pilihan raya umum yang
lepas.
Mengapa beliau akhirnya tidak bertanding dan tidak menggunakan watikah tersebut
wallahualam, tetapi yang sahihnya projek yang diberikan tidak ditarik balik.
Alhamdulillah, projek-projek di bawah kendalian kerajaan Kelantan terus
berjalan dengan baik dan sempurna. Berbeza dengan Jambatan Kedua Sultan Yahya
Petra yang disahkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 lambat disiapkan ekoran
banyak kelemahan.
Antara kelemahan itu termasuklah pelantikan kontraktor yang tidak berpengalaman
serta masalah reka bentuk sistem cerucuk.
Kosnya pun meningkat kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76
juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta.
Paling menarik, projek jambatan dengan kos sebesar itu diberikan secara runding
terus dan tidak melalui tender!
Itulah gambaran kerosakan Umno sebenarnya. Melalui ketirisan projek seperti
inilah, mereka boleh mencari makan.
Saya kira, tanpa peluang-peluang seperti ini, pelampung Umno akan bocor dan
akan lemas di laut politik. Justeru, Umno sebenarnya langsung tidak layak
bercakap soal telus dan jimat-cermat.
Sekian.
Nik
Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (Pas)
Bertarikh : 4 Zulkaedah 1434H bersamaan 10 September 2013M
No comments:
Post a Comment