Nurhidayah Hashim
Daripada pemerhatian dan temubual yang dijalankan, saya
dapati ramai kanak-kanak Malaysia yang mengikut ibu bapa menyambungkan
pelajaran di luar negara (termasuk Australia) menghadapi ‘kejutan’ selepas
kembali ke Malaysia.
Ini kerana wujudnya perbezaan yang ketara di antara dua
sistem dan pendekatan persekolahan ini. Konsep sistem pendidikan sekolah rendah
di Australia
serta pendekatan guru mereka jelas berbeza dengan apa yang dilaksanakan di
negara kita.
Prinsip pendidikan Australia
Bagi mereka, sekolah rendah adalah asas untuk membina
semangat cintakan ilmu dalam diri kanak-kanak. Apabila kanak-kanak suka kepada
ilmu, maka mereka akan dengan sendiri berminat untuk mencari ilmu dengan lebih
serius dan mendalam di sekolah menengah dan juga di peringkat universiti.
Dengan itu, bukan matlamat sekolah rendah untuk mengajar
dan ‘memaksa’ kanak-kanak belajar secara berat dan serius, menghafal
fakta dan maklumat, tetapi lebih kepada membuka minat dan kecintaan kepada ilmu
dan maklumat. Waktu untuk belajar dengan serius dan mendalam akan berlaku di
sekolah menengah dan peringkat universiti. Sekolah rendah juga adalah tempat
menyuburkan nilai murni, jati diri anak sebagai generasi baru negara dan
menerapkan serta membina kemahiran untuk menjadi insan bermanfaat selepas
mereka dewasa.
Tidak keterlaluan dinyatakan bahawa sistem persekolahan
mereka sentiasa berkembang berdasarkan kajian pakar dan penglibatan guru dan
juga ibu bapa. Mereka mengambil pakai hasil kajian pakar pendidikan dan
psikologi kanak-kanak.
Contohnya, kajian membuktikan bahawa mempunyai kemahiran
berbahasa yang tepat, yakin diri dalam berkomunikasi, pandai bercakap di
hadapan ramai, berani bertanya soalan untuk memahami sesuatu fakta, kritis
dalam mencari idea menyelesaikan masalah, suka berfikir di luar kotak, minat
membaca, tepat menjaga masa, suka membantu orang lain, menghormati orang lain,
sukakan ilmu dan menggunakan teknologi moden mencari maklumat tentang sesuatu
ilmu baru dan bekerja secara kumpulan (team work) adalah keperluan penting
untuk berjaya dalam hidup semasa mereka dewasa, maka ia diterima sebagai
prinsip penting persekolahan mereka.
Begitu juga apabila kajian menunjukkan nilai-nilai murni
yang ingin diterapkan ini akan lebih berkesan dan sebati dalam diri kanak-kanak
apabila ia diterap secara lembut, bersahaja, dengan perasaan seronok dengan
kasih sayang semasa kanak-kanak masih di peringkat awal umur mereka
(umumnya sebelum berumur 14 tahun), maka ia juga diterima pakai sebagai prinsip
penting pendidikan di sana.
Justeru, hampir seluruh pendekatan di sekolah rendah
mereka bagi pelajar berumur 6 hingga 12 tahun (Pra-sekolah sehingga Gred 6)
diambil menjurus ke arah merealisasikan idea tersebut. Hasilnya, pendekatan
pendidikan sekolah rendah mereka dibuat secara ‘menarik’ dengan moto ‘learning
is fun’ (menuntut ilmu itu seronok), ‘school is fun’ (sekolah itu seronok) ,
‘critical thinking is the goal of education’ (berfikir secara kritis adalah
matlamat pendidikan) dan suka bertanya dan berbincang dalam kelas adalah
matlamat pendidikan. Pendekatan guru juga sangat mesra pelajar, positif dan
membina.
Oleh kerana pendidikan dibuat dengan gembira, seronok
dengan pelbagai aktiviti perbincangan dua hala yang ceria, dengan sillabus yang
kurang berat, ia menjadikan belajar di sekolah rendah di sini seolah-olah
bermain sahaja.
Kanak-kanak hadir ke sekolah dengan perasaan seronok,
dengan tekanan yang minima, belajar sambil bermain dan membina kemahiran yang
lebih baik hari demi hari. Hadir ke sekolah adalah aktiviti yang dinanti-nanti
oleh kanak-kanak. Bahkan ramai yang menangis untuk ke sekolah apabila cuti
sekolah bermula dan sangat gembira pula apabila cuti penggal berakhir. Inilah yang
dilalui oleh anak-anak Malaysia
yang pernah mengikuti sistem persekolahan sekolah rendah di negara itu.
Tidak membezakan
murid pandai dan kurang pandai
Untuk mencapai objektif tersebut, sekolah mereka tidak
membezakan kedudukan pelajar pandai dan kurang pandai dalam
penyusunan kelas. Setiap kelas menggabungkan dua gred sekali gus - kecuali
pelajar ‘pre-school’,
pelajar dari Gred 1 dan 2 diletakkan dalam satu kelas, Gred 3 dan 4 dalam satu
kelas dan juga Gred 5 dan 6 bersama-sama. Mereka tidak memberi nama kelas A, B,
C dan lain-lain yang merujuk kelas pandai, kurang pandai dan sebagainya. Tetapi
menggunakan nama guru kelas sebagai ganti, contohnya Kelas 3/4T merujuk kepada
kelas di bawah seliaan guru kelas bernama Tom. Kelas 1/2J menunjukkan kelas di
bawah guru kelas bernama John.
Menurut pengetua sekolah anak saya yang ditemubual, (anak
saya menghadiri sekolah kerajaan selama 3 tahun di utara Melbourne ), dalam setiap kelas perlu ada
gabungan tiga kategori pelajar, yang lambat memahami sesuatu input; yang
sederhana kemampuan penerimaan informasi dan juga yang cepat faham sesuatu
maklumat.
Ujian tetap diadakan untuk melihat markah sebagai cara
mengetahui kemampuan pelajar, tetapi penilaian dibuat secara ‘natural’
tanpa tekanan dan pelajar tidak diasingkan mengikut ‘kepandaian’ mereka. Saya
akan menceritakan mengenai cara peperiksaan dibuat dalam artikel yang
seterusnya.
Ini menunjukkan sekiranya kelas 5/6J mempunyai 20 orang,
maknanya 10 orang dari gred 5 dan 10 orang dari gred 6 akan berada dalam kelas
tersebut. Daripada 10 murid tersebut, mungkin 3 orang adalah mereka yang cepat
memhami maklumat, 3 orang yang agak sederhana dan 4 orang lagi yang
lambat memahami sesuatu input. Mereka akan bekerjasama dan saling tolong
menolong supaya yang lemah akan sentiasa dibantu secara rakan sekelas
(peer-support).
Oleh kerana mencapai objektif pendidikan menjadi
keutamaan, maka setiap tindakan diambil menjurus kepada apakah nilai murni yang
ingin diterapkan. Di sana ,
mereka memakai sistem ‘buddy’ di kalangan pelajar untuk menanamkan nilai
bekerjasama dan tolong menolong.
Pelajar gred atas dan juga yang lebih cepat faham akan
dilantik sebagai pembimbing atau ‘buddy’ kepada pelajar lain. Mereka akan
membantu rakan yang lebih lemah, sekaligus menanam nilai tidak memandang hina
orang yang lebih rendah dari mereka, bahkan perlu saling membantu,
bertanggungjwab dan pemurah. Namun begitu ada juga beberapa subjek yang lebih
berat yang difokuskan kepada pelajar tahap lebih tinggi. Ia juga menanam
semangat menjadi ketua yang prihatin di dalam jiwa pelajar.
Keprihatinan kerajaan dalam menjayakan hasrat pendidikan
mereka sangat ketara. Sekolah di bina dengan bilangan yang banyak terutama
dalam kawasan penempatan penduduk yang padat. Contohnya di tempat kami tinggal
di kawasan Reservoir, terdapat enam sekolah rendah kerajaan dalam kawasan
berdekatan, dan juga dua sekolah swasta untuk dipilih oleh ibu bapa untuk
mendaftar anak.
Bangunan sekolah rendah di sana pula umumnya adalah setingkat sahaja.
Banyak bangunan sekolah mereka hanya dibina dengan gabungan kayu dan batu.
Pengetua sekolah yang ditemubual menjelaskan bahawa setiap sekolah kebiasaannya
tidak mempunyai bilangan yang ramai. Sekolah yang ditadbirnya hampir 300
pelajar dari pra-sekolah sehinggalah gred enam. Dengan bilangan pelajar
yang sedikit, ia memudahkan pengawasan, perancangan dan pengurusan pendidikan
kanak-kanak.
Bagi menjayakan objektif mendidik dan menerapkan nilai
murni, serta menggunakan pendekatan mesra pelajar, setiap kelas mempunyai
bilangan murid yang sedikit. Purata kelas di sana adalah antara 20 orang sahaja
setiap kelas. Dengan bilangan pelajar yang kecil, guru di sana bukan sahaja mampu berhubung dengan
murid dengan lebih rapat, bahkan mengenali latar belakang pelajar dan juga ibu
bapa mereka. Perbincangan dua hala lebih mudah diadakan. Guru tidak perlu
mengangkat suara dan menjerit-jerit untuk menarik perhatian murid. Dan yang
penting guru akan senang mengawal selia pelajar di bawah seliaannya, yang mana
menyebabkan proses menyampaikan ilmu menjadi lebih tenang dan senang.
Susunan meja
Sekolah rendah mereka adalah medan menyuburkan keberanian dan yakin diri
dalam bercakap, bijak berbincang dalam kumpulan dan melatih semangat berkongsi
dan kerjasama. Untuk itu, meja pelajar sekolah rendah (bagi semua gred) disusun
berbentuk empat segi besar untuk 6-8 pelajar satu meja. Ini dibuat dengan
sengaja, bertujuan supaya pelajar dapat bercakap dan berbincang sesama mereka
bagi membina kemahiran berkomunikasi.
Guru sekolah anak saya yang ditemubual turut
menjelaskan bahawa semua tajuk dan subjek akan mengambil pendekatan
perbincangan dua hala, bahkan menggalakkan pelajar berbincang sesama
mereka dan berkongsi idea masing-masing. Ini menyuburkan kemahiran berhubungan
dan bergaul dalam masyarakat.
Mereka sungguh serius mencari jalan untuk menerapkan
kemahiran bercakap, saling berkongsi, saling mengajar sesama kawan dan membina
semangat ‘team work’ yang baik. Jarang sangat guru menyuruh pelajar membuat
kerja secara sendirian, diam tidak bercakap, tetapi mereka menggalakkan
perbincangan dalam kumpulan di meja besar tersebut, dan kemudian seorang wakil
kumpulan akan ke depan membentangkan hasil perbincangan mereka. Kerja kumpulan
adalah keutamaan mereka walaupun bagi pelajar gred satu. Apabila ada yang tidak
pandai berbincang, ketika itulah guru menunjukkan panduan bagaimana cara
bercakap, berbincang, memberi peluang orang bercakap dan kita mendengar,
menghormati pandangan orang lain, bagaimana untuk memberi idea dan
mempertahankan idea kita secara sihat.
Saya akan menyambung perbezaan dengan sistem di negara
kita mengenai bilangan pelajar dan kedudukan meja serta bagaimana ia
boleh mempengaruhi keadaan pembelajaran kita yang serius dan formal. Saya juga
akan membawakan perbezaan pendekatan membina dan positif yang diamalkan
oleh guru-guru di sana
untuk kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran. - 6 September, 2013.
* Prof Madya Nurhidayah Hashim ialah pensyarah di IPT di
Selangor yang menamatkan pengajian PhD di Melbourne, Australia .
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/apa-kita-boleh-belajar-dari-sistem-dan-pendekatan-persekolahan-australia-nu
No comments:
Post a Comment