Kita (baca kerajaan Umno khasnya) mengeluh bila setiap
kali tiba 31 Ogos hari keramat untuk rakyat negara ini kerana pada tanggal itu
diisytiharkan kemerdekaan negara. Apa dikesal dan dikeluhkan kerana semangat
untuk sambut hari ulang tahun kemerdekaan itu tidak begitu 'jelingah' dan
meriah. Rakyat di semua lapisan seakan tidak berserta (komited) menyambut hari
kemerdekaan itu. Kehadiran wakil British ini nampak sangat kemerdekaan kita
dibeli.
Ada yang
tidak merasakan apa-apa kesan dengan ketibaan tarikh itu. Tarikh atau peristiwa
itu seakan tidak memberi apa-apa signifikan buat mereka. Ia dibiarkan berlalu
begitu saja bagaikan tarikh lain yang tidak membawa erti.
Jika dibandingkan dengan rakyat Indonesia dalam menyambut hari
kemerdekaan mereka, 17 Ogos, orang kata panggil tidak dengar. Bezanya seperti
jarak di antara langit dengan bumi. Sambutan rakyat negara itu kepada sejarah
bangsa negara mereka sungguh meriah dan hebat. Rakyat negara itu menanti setiap
kali detik itu dengan penuh gembira dan bersemangat.
Saya pernah menukilkan macam mana hebatanya rakyat Indonesia menyambut hari ulang
tahun kemerdekaan mereka di dalam blog ini. Ia umpama 'jenawari'. Dari kota hingga ke pelusuk
kampung semua rakyat berpartisipasi dengan sambutan itu. Tidak ada rumah yang tidak
dihiasi atau dipasang bendera. Tidak mampu beli mereka buat dan reka sendiri.
Bendera Sang Merah Putih itu juga dijual di tepi jalan, berbagai saiz. Tidak
ada acara memberi bendera secara percuma di plaza tol atau di gedung
perniagaan.
Kita cemburu melihat kesungguhan rakyat Indonesia dalam
menyambut hari kemerdekaan mereka. Kita cemburu dengan semangat patriotisme
yang ditunjukkan rakyat negara itu. Dari sini kita dapat mengukur sejauh mana
ketebalan semangat mereka dan sejauh mana pula ketipisan semangat bangsa kita.
Kenapa di tempat kita lesu dan 'laaih', tidak bermaya?
Kerajaan sendiri sudah habis usaha dan ikhtiar macam mana hendak gerakan rakyat
agar menyambut hari kemerdekaan. Bermacam-macam kempen dan insentif diberikan.
Dianjurkan berbagai pesta sempena hari ulang tahun untuk memeriahkan sambutan
kemerdekaan.
Tidak cukup itu diberikan Jalur Gemilang agar dipasang
dikenderaan secara percuma. Namun usaha itu sia-sia saja. Ada yang sudi mengambil tetapi tidak sedia
untuk mengibarkan di kenderaan masing-masing. Sudah silih berganti pengerusi
panitia sambutan kemerdekaan ditukar tetapi tidak menjadi. Kenapa?
Ada pelbagai
sebab yang diberikan mengapa situasi ini berlaku. Antaranya kerana kemerdekaan
kita kononnya tidak dicapai dengan darah dan air mata. Kemerdekaan kita diberi
atau didapati secara percuma menerusi rundingan. Maka generasi kini khasnya
tidak merasakan keperitan itu maka semangat untuk merayakan kemerdekaan tidak
menyentuh hati naluri mereka.
Kemerdekaan kita tidak dicapai seperti mana Indonesia
mencapai hari kebebasan itu dengan buluh runcing. Rakyat Indonesia
membidik senjata dan buluh runcing menghalau penjajah. Kita tidak?
Betulkah kemerdekaan kita tidak dicapai dengan darah dan
air mata? Apakah tiada rakyat negara ini terkorban dan syahid kerana berjuang
untuk mencapai kemerdekaan? Pandangan itu tidak tepat sebenarnya dan ia perlu
diberi penjelasan baru. Hakikat apa yang berlaku sengaja dipesongkan oleh
kerajaan sendiri dengan motif sedia maklum.
Kalau dikorek kepada sejarah perjuangan awal rakyat negara
ini yang menentang penjajahan British jelas menunjukkan perjuangan itu makan
banyak korban. Banyak air mata dan darah tumpah meresapi bumi Malaya
ketika itu. Atau kita tidak menganggap British itu sebagai penjajah? Saya
timbulkan ini kerana ada sarjana yang berkata Malaysia tidak pernah dijajah?
Cuma korban darah dan air mata itu tidak dinukilkan dalam
lembaran sejarah popular negara. Justeru generasi (pembaca) muda tidak
mengetahui akan ada darah dan air mata dalam proses kemerdekaan kita. Mereka
tidak baca dan sedihi kemudian mendendami hal itu. Apa yang ada di dalam buku
sejarah kita, ialah perundingan untuk mendapat kemerdekaan.
Kemerdekaan sebuah sedekah
Apa yang dinukilkan ialah pemergian Tunku Abdul Rahman
bersama wakil orang Cina dan India
ke London untuk
membawa balik watikah kemerdekaan. Kerana hanya itulah detik dan peristiwa
penting di dalam sejarah menyebabkan orang menganggap kemerdekaan bangsa kita
tidak menghirup darah dan mengeluarkan air mata.
Tiada getaran sampai ke hulu hati mengenai peristiwa itu.
Apa lagi ada yang membuat ejekan kemerdekaan kita adalah sebuah sedekah
Inggeris selepas mereka mengaut segala kekayaan hasil bumi Malaya.
Perkara ini kesilapan paling besar untuk negara dan
generasi seterusnya tetapi ia tidak diralat. Kesilapan inilah memusnahkan
semangat generasi penerus terhadap kecintaan kepada negara. Kemerdekaan kita
sebenar lebih bermakna dan besar dari itu. Terdapat kedukaan dan keperihan
pejuang memaksa British berundur. Jadi adalah salah kalau ada orang beranggapan
kita merdeka bukan dengan darah dan air mata.
Barang kali tidak perlu saya emosi mendedahkan siapa yang
menumpahkan darah dan air mata dalam proses mencapai kemerdekaan dari Bristih
sekitar tahun 1942 hingga 1957 dan sebelum itu. Umum sudah tahu. Dengan terbuka
luasnya langit dunia, (dunia tanpa sempadan) yang semua orang boleh akses
maklumat, menyebabkan manusia (generasi) tidak lagi berada dalam kepompong dibina
penjajah dan tali barutnya. Mereka yang rajin dan gemar menggali sejarah akan
menemui kebenaran ini.
Bahawa sejarah kemerdekaan yang ditulis oleh Umno tidak
lengkap. Keadaan ini makin mengelirukan pula apabila ia disokong oleh sarjana
peliharaan Umno untuk membetulkan sejarah yang tidak betul itu. Mereka tidak
mahu melurus dan berkata benar tetapi terus bersekongkol dengan Umno sebagai
tuan mereka. Tidak semua kisah, citra, puak atau individu yang dicatat sebagai
pejuang. Sebaliknya paling menyedihkan ada pejuang sejati dianggap sebagai
penderhaka.
Paling-paling mereka akan menukilkan kisah Datuk Bahaman,
Datuk Sago atau Mat Kilau atau pun Tok Janggut saja sebagai pejuang. Itu pun
dalam nada pesimis dan konotasinya berbeza bila mereka (kerajaan) bercakap atau
makan malam bersama Inggeris. Tetapi rentetan selepas itu, gerakan nasionalisme
tahun 1940-an khasnya selepas pengisytiharan Darurat (1948) tidak dinukilkan.
Umno tidak merasakan kematian Tok Sago, Mat Kilau, Tok Janggut adalah kematian
seorang pejuang kerana mereka bukan ahli Pekembar.
Tidak ada dalam sejarah ahli Perkembar (Umno) ditahan di
dalam penjara, apa lagi mereka mati ditembak atau pun digantung sampai mati
kemudian jenazahnya diarak ke seluruh pekan dan bandar untuk menakutkan orang
Melayu. Siapa orang Pekembar yang diseksa?
Jadi benarlah kalau ada orang tuduh kemerdekaan kita tidak
dicapai dengan darah dan air mata kerana itulah versi dan hakikat perjuangan
Umno. Bagaimana pun kalau dilihat kepada tokoh nasionalis yang kemudian
menyambung perjuangan secara politik? Jelas mereka menumpahkan darah dan air
mata demi membebaskan tanah air.
Tokoh yang dicap sebagai haluan kiri; Ibrahim Yaakob,
Ahmad Boestaman, Abu Bakar Bakir, Ishak Mohamad (Pak Sako) dan lain adalah
pejuang yang meringkuk di dalam penjara kerana merindui sebuah kemerdekaan. Kita tidak pernah menadah berapa banyak air mata mereka
mengalir. Begitu juga kalau hendak dihitung tokoh nasionalis yang menyambung
perjuangan menerusi Rejemin Ke-10 PKM - Parti Komunis Malaysia, seperti Rashid Maidin,
Abdullah CD, Abu Samah Mohd Kassim, Kamaruzaman Teh, Shamsiah Fakeh, Siti
Nurkiah Mahmood dan lain-lain adalah pejuang kemerdekaan yang banyak menelan
air mata dan menyaksikan darah membasahi bumi.
Munasabahkah
mereka ini semua sengaja melarikan diri ke dalam hutan kemudian sanggup
berdepan dengan hujung senjata tanpa ada matlamat untuk agama, bangsa dan
negara?
Jadi di manakah
salahnya maka kemerdekaan kita menjadi lesu? Berdasarkan perkembangan dan
kronologi tadi jelas yang salahnya kerajaan, puak yang menguruskan negara ini
sejak 1957 itu. Umno begitu sombong dan angkuh kerana mahu memperlihatkan hanya
Umno yang berusaha mencapai kemerdekaan dan dalam masa lain menafikan peranan,
tanggungjawab dan pengorbanan orang atau pihak lain yang sama-sama memainkan
peranan ke arah itu. Hakikat ini semua orang tahu. Pembaculan sejarah adalah
Umno.
Kenapa pada
dekad awal kemerdekaan majlis sambutan kemerdekaan mendapat sambutan dan
hangat? Sebab waktu itu langit belum terbuka, sejarah perjuangan negara masih terbungkus.
Hari ini apabila dunia sudah tanpa sempadan, maklumat tidak boleh
disembunyikan, makin ramai cerdik pandai menganalisa sejarah, maka mereka
menjadi keliru siapa sebenar pejuang dan siapa sebenarnya hipokrit yang
bertindak menamakan susu lembu dengan nama sapi.
Kesimpulan mudah
saja untuk menyeramakkan tarikh kemerdekaan kita, pemerintah hari ini harus
ikhlas dan sedia menerima peranan pihak lain juga. Pertamanya, mengiktiraf
perjuangan nasionalis menerusi Kesatuan Kebangsaan Melayu Malaya (KKMM) serta
sayapnya API, Awas, Insaf dan sebagainya adalah penyumbang kepada kemerdekaan. Demikian
juga dengan Rejemin Ke-10 Komunis Malaya yang bergerak dihutan secara
bergerila. Mereka yang menjadi wakil kepada rakyat negara ini menggadaikan
nyawa, darah dan air mata demi sebuah kemerdekaan.
Demikian juga
dengan parti pembangkang, PAS, DAP dan Keadilan dan lain-lain hendaklah
dipanggil sama berbincang bagaimana hendak memeriahkan kemerdekaan negara ini. Mereka
juga khususnya PAS perlu diikhtiraf sebagai badan siasah yang berjuang untuk
membebaskan negara dari cengkaman kolonial.
Selagi kerajaan
yang ada hari ini menafikan peranan dan pengorbanan semua pihak, maka selama
itu sambutan kemerdekaan kita akan layu, lunyai dan 'laaih' dan ia hanya tidak
ubah sebagai sebuah pesta atau keramaian hiburan yang tidak memberi apa-apa
signifikan pun kepada kita. Sambutan itu akan dilihat sebagai sebuah propaganda
Umno bukan sebuah 'moment' penting untuk rakyat jelata. –
msomelayu.blogspot.com, 28 Ogos, 2013.
oleh Mohd Sayuti Omar
No comments:
Post a Comment