SEPTEMBER 05, 2013
Mulai 3 September 2013, harga petrol RON 95 dinaikkan
sebanyak 20 sen dan harga minyak diesel pula dinaikkan sebanyak 20 sen.
PM menyatakan kenaikan harga petrol tersebut adalah untuk
mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara.
Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada
rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan
merosakkan seluruh negara."
Saya tidak segera mengulas kenaikan harga minyak tersebut
kerana mahu melupakan sementara hal-hal negara untuk memberi tumpuan kepada
tugasan akademik yang banyak tertangguh.
Namun, apabila kelmarin Timbalan Menteri (TM) Kewangan
menyatakan harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas
Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria, hati saya segera
terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan.
Ini kerana jiwa saya menolak pemberian fakta yang tidak
tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat.
Jika setakat tujuh negara di atas, apakah kita hendak
menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain,
Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia?
Kenapa TM
Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa
memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang
nyata?
Bagi membuktikan
harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka TM Kewangan pun
mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand
RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43)
dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32). Kenapa kita bandingkan dengan negara kita
yang tidak ada minyak ata sedikit sumber petroleumnya? Kenapa tidak kita
bandingkan dengan harga minyak petrol di Brunei, UAE, Libya, Bahrain, Qatar,
Oman dan lainnya yang harga minyak mereka jauh lebih murah daripada negara
kita? Inilah yang saya katakan sebagai kenyataan yang menyembunyikan fakta
untuk mengelirukan rakyat, jikapun tidak untuk membodohkan rakyat.
Untuk
pengetahuan TM Kewangan, dalam konteks harga barangan ini, ada aspek yang kita
boleh bandingkan dengan negara lain dan ada perkara yang kita tidak boleh
bandingkan dengan negara lain. Misalnya, kenapa tidak kita bandingkan harga kereta
di Malaysia dengan di Singapura atau Indonesia? Di Indonesia misalnya, jika
setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan
Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah—lebih dari separuh
teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan
Volkswagen.
Itu belum lagi
kita bincangkan tentang harga rumah. Dengan kos harga rumah kita yang ‘over
priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih
yang termurah di dunia? Begitu juga dengan hutang isi rumah rakyat di negara
kita. Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini
menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap
isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang
kira-kira RM108,000 seorang.
Kadar hutang ini
adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah
Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari
63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun
2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk
tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk
berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.
Melihat kepada
data hutang isi rumah di atas, apakah kita hendak menyatakan kadar hutang isi
rumah rakyat di negara kita adalah antara kelapan terendah di dunia atau harga
kereta dan rumah kita juga antara terendah di dunia? Saya berhujah begini untuk
menunjukkan saya menolak data tidak masuk akal yang diberikan oleh TM Kewangan
kita tentang harga minyak kita yang kelapan termurah di dunia.
Saya juga
tertarik dengan alasan yang diberikan oleh TM Kewangan yang menyatakan kenaikan
harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BRIM kepada rakyat.
Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar
memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan
kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang
berpendapatan rendah."
Saya tidak faham
kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh
kerajaan kepada rakyat. Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk
menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk
menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula
dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan
kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat
menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah
datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian?
Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?
Oleh sebab
itulah, saya menolak kenyataan TM Kewangan ini sebab hujahnya tidak tepat dan
hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga
minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan
ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang
luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah
subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di
pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu
menstabilkan ekonomi negara.
Jikapun hendak
memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis
perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan
hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang
tepat. Begitulah! – 6 September, 2013
No comments:
Post a Comment