Saturday, December 21, 2013

Fakta Tentang Tol

DATO' TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
19 Disember 2013


Fakta:
1. Jumlah kereta semakin bertambah setiap hari
2. Oleh itu, jumlah kereta yang menggunakan jalan bertol meningkat setiap hari
3. Bayar tol tidak semestinya jalan tak jam

Oleh itu:
1. Jika jumlah kereta meningkat setiap hari, maka jumlah tol yang dikutip juga bertambah
2. Jika jumlah tol yang dikutip bertambah, maka jumlah untung juga bertambah
3. Penyelenggaraan lebuh raya kekal pada jumlah km yang sama.
4. Jumlah staf tak perlu bertambah kerana jumlah kutipan tol tidak berubah

Sebab itu:
1. Bagi perniagaan sebegini yang dijamin untung, sepatutnya perjanjian dibuat mengikut jumlah untung yang harus dikutip daripada pelaburan. Contohnya, jika jumlah pelaburan ialah RM1 billion, maka keuntungan boleh dihadkan kepada RM3 billion sebelum tol dimansuhkan pada kadar tol yang sama sepanjang masa.
2. Kadar tol tidak perlu ditambah kerana jumlah kereta sentiasa bertambah.

Mengapa:
1. Mengapa ada pihak yang sudi buat perjanjian berdasarkan masa untuk kutipan tol dibuat? Kerana ini tidak menepati objektif kutipan tol dilakukan.
2. Sebenarnya kutipan tol dibuat untuk memulangkan pelaburan dan juga untung yang berpatutan pada pelabur pembinaan lebuhraya.
3. Apabila kutipan tol dilakukan berdasarkan masa tanpa mempedulikan kenaikan jumlah kereta, ia tidak adil pada pengguna lebuhraya kerana lebuhraya bertambah sesak manakala tol semakin mahal.
4. Kutipan tol berdasarkan masa juga menyebabkan lebuh raya kekal sebagai lebuh raya berbayar pada jangka masa yang lama. Jika kutipan tol berdasarkan jumlah untung yang dihadkan, banyak lebuh raya di negara ini sudah tidak bertol.

Maka itu:
1. Keputusan untuk menaikkan harga tol adalah kesilapan mereka yang membuat perjanjian untuk memberikan dua kali untung melampau - satu daripada kenaikan harga tol dan satu lagi kenaikan jumlah kereta.
2. Kerana satu perjanjian, rakyat merana, kerana harga tol tinggi dan jalan pula semakin sesak.

Atas sebab itu, rakyat perlu terus memberi tekanan supaya harga tol tidak dinaikkan.

Jangan mudah lagi digula-gulakan bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan mengurangkan impak kenaikan harga tol, kerana harga tol yang naik tidak pernah turun, bahkan generasi seterusnya perlu terus membayar tol pada kadar yang lebih tinggi.

Jika tidak mampu menjadi penulis yang memberi manfaat, jadilah pembaca yang memberi manfaat dengan berkongsi pandangan ini.

Friday, December 20, 2013

Islam Di Nobat Hidup Berkat Negara Selamat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …


 Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim : ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan

Kini kita berada di penghujung bulan November 2013 di mana sekarang merupakan musim cuti sekolah. Kita yang mempunyai anak cucu yang masih bersekolah wajib menggunakan ruang cuti ini untuk mengisi jadual anak cucu kita dengan suatu perkara yang berfaedah untuk dunia dan akhirat mereka terutama mendalami ilmu agama, mempelajari dan memahami al-Quran seterusnya mencintai serta menghidupkan sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Malah digalakkan anak cucu kita bersukan seperti memanah bagi melahirkan generasi yang sentiasa dapat memberi tumpuan dalam tugasan dan gerak kerja yang dilakukan. Begitu juga sukan berkuda dalam membentuk fizikal dan mental yang kuat. Jangan biarkan masa cuti anak cucu kita tidak dirancang dengan aktiviti berfaedah sehingga mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat yang merugikan anak itu sendiri, keluarga, masyarakat seterusnya Negara.

Jadikanlah rumah kita sebagai pusat tarbiah dalam melahirkan pemimpin ummah pada masa akan datang. Justeru, Sayyidina Umar al-Khottab pernah menyatakan : “Sewaktu bergaul di rumah, seorang bapa perlulah menyesuaikan diri sebagai anak-anak dengan beramah mesra dan berlemah lembut. Beginilah pergaulan yang seharusnya dilakukan bersama anak cucu di rumah di mana akan muncullah tokoh yang hebat dalam sebuah keluarga itu”.

Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 15 surah al-Ahqaf : وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ ﴿١٥﴾ Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".

Menyedari bagaimana peri pentingnya pendidikan yang tidak terhad di pusat pengajian, masjid, surau sahaja tetapi meliputi di rumah itu sendiri seterusnya di pejabat dan mana sahaja. Jangan biarkan umur kita sahaja bertambah dengan pengedaran hari berganti minggu, minggu bertukar bulan seterusnya bulan berganti tahun sedangkan amalan soleh tidak bertambah ketika dosa pula bertimbun.

Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal kejahatannya, maka hendaklah dia bersiap-siap ke neraka.” Imam asy-Syafi’e ketika mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syarak lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 56 surah an-Nisa’ : إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا ﴿٥٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kejayaan kita bukan setakat memiliki harta bertimbun, pangkat tinggi menggunung atau pengikut dan keturunan berduyun sebaliknya kejayaan kita bergantung kepada kejayaan untuk kita sendiri seterusnya ahli keluarga kita berperangai dengan perangai ahli Syurga dan menjauhi perangai ahli Neraka.

Seorang ulama’ pernah memberi nasihat kepada isterinya yang sedang menyusu anak mereka dengan katanya : “Wahai isteriku tercinta! Susuilah anak kita bukan sekadar kerana rasa sayang kepadanya kerana jika semata-mata sayang maka binatang pun berbuat demikin juga ketika menyusu anak mereka. Sebaliknya niatkan supaya sifat mentauhidkan Allah turut mengalir bersama susumu ke dalam diri anak kita”.

Ingatlah begitu banyak ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita tentang betapa dahsyat dan peritnya seksaan ahli Neraka. Malah seorang ahli saintis Thailand telah mengkaji tentang sebab Allah menyatakan kulit manusia akan diganti dengan kulit baru sepanjang dibakar dalam Neraka sehingga menemui hasil kajian bagaimana kulit manusia terdiri daripada 3 lapisan di mana lapisan di atas sekali paling sakit merasai sesuatu yang menyakitkan termasuk api berbanding kulit lapisan dalam. Kajian ini membawa beliau untuk memeluk Islam. Oleh itu bersamalah kita menyelamatkan diri kita seterusnya ahli keluarga daripada Neraka.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah : يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾ Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

Kita sedar bagaimana ilmu agama begitu penting dalam membezakan antara hak dan batil, halal dan haram, pahala dan dosa. Proses pembelajaran ilmu agama terus berjalan selagi nyawa dikandung badan. Akibat jahil menyebabkan umat Islam mudah terjerumus dengan ajaran sesat serta aktiviti tidak sihat termasuk dadah, mencuri, pecah amanah, rasuah, mendedah aurat, tinggal solat dan sebagainya. Malah wujudnya umat Islam yang tidak yakin kepada system Islam termasuk hukum hudud akibat kejahilan yang menguasai diri.

Oleh itu kita terus mendesak agar pemimpin segera menjadikan matapelajaran agama Islam sebagai subjek teras yang wajib lulus dalam semua peringkat peperiksaan serta memasukkan matapelajaran agama di semua fakulti di Universiti awam dan swasta dalam memperkasakan ilmu dan penghayatan Islam dalam kehidupan. Kita tidak mahu hanya Bahasa Inggeris yang diutamakan demi mengejar kemajuan di mana dasar terbaru Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus SPM tahun 2016. Kita tidak mahu anak bangsa kita menjadi mangsa dari dasar ini sebagaimana kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang akhirnya dimansuhkan berkuat kuasa 2012 yang mampu menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun.

Begitu juga perlantikan mentor bahasa Inggeris yang menelan belanja RM 270 juta setahun tetapi hasilnya begitu mengecewakan bila prestasi pelajar merosot. Kajian menunjukkan bagaimana tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa luar dan meninggalkan bahasa ibunda. Lihat sahaja Jepun, Korea, Taiwan, China, Russia, German, Perancis dan banyak lagi negara telah begitu maju dalam pelbagai bidang teknologi tanpa perlu bergantung kepada bahasa Inggeris. Juga, tiada satu negara pun yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa kedua mereka sama ada Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol atau lainnya.

Bahkan, berdasarkan kajian Pertubugan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB), jika sesebuah negara itu ingin maju, mereka hendaklah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran. Kita tidak mahu setiap dasar yang diluluskan menjadikan pelajar sebagai bahan ujikaji sedangkan dalam masa sama ada pihak yang mengaut keuntungan daripada setiap dasar yang dilaksanakan. Ibnu Khaldun pernah berkata bahawa sesuatu bangsa yang paling teruk dan tidak bermaruah ialah apabila bangsanya dijajah dan dia pula terpaksa menggunakan bahasa penjajah untuk maju.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Akibat jahil juga menyebabkan kita mudah ditipu dalam apa jua perkara. Antara contohnya alasan bodoh kenaikan harga minyak dan gula yang kadang-kadang jauh terlalu tinggi daripada Negara lain diterima bulat-bulat. Kini cuba dipasakkan dalam benak rakyat bahawa cukai GST yang bakal dilaksanakan merupakan suatu yang paling baik dan tidak membebankan rakyat.

Antara prinsip-prinsip percukaian islam adalah: [1] Cukai hanya boleh diambil di saat kerajaan benar-benar berhadapan situasi yang sangat memerlukan iaitu kewangan negara tidak cukup menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara. [2] Disyaratkan pula keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dalam perbelanjaan atau pemborosan. [3] Apabila cukai dikenakan ia tidak boleh meliputi seluruh masyarakat tanpa membezakan kaya atau miskin. Kaedah cukai ialah diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan untuk kegunaan orang-orang miskin.

Antara ciri penting negara Islam ialah merupakan negara hidayah bukan negara jibayah (cukai). Kita dapat lihat pada zaman Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah beliau berjaya memulihkan krisis kewangan negara dalam masa 2 tahun sahaja. Kesedaran rakyat yang kaya dibangkitkan sehingga mereka berlumba-lumba membayar zakat dan cukai negara. Berbeza hari ini rakyat mencari jalan dan alasan meloloskan diri daripada cukai negara sehinggakan kerajaan kerugian cukai berjuta-juta ringgit. Jadikan Islam sebagai cara hidup barulah kita bahagia dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud : وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
 Ibnu Atiq   Tiada ulasan: 


Thursday, December 5, 2013

Subhanallah!!! Masjid Sungai Isap Tidak Ditenggelami Air Banjir (SAKSIKAN....)

Posted on Thursday, December 05 @ 15:02:35 MYT 
Dilulus untuk paparan oleh memo
"Walaupun seluruh kawasan di sekitar Kampung Sungai Isap Kuantan ini di tenggelami air banjir, namun sekitar kawasan Masjid Kampung tersebut tidak di tenggelami air, itu lah keajaiban kuasa Allah melindungi tempat suci umat islam.

Jika semalam Masjid Masjid Al-fatah Batu 3 Jalan Gambang yang di tenggelami air, namun hanya air jernih sahaja yang memenuhi ruang solat masjid itu.


Kini Masjid Sungai Isap pula di lindunggi Maha suci pencinta seluruh alam melindungi kebesaran dari segala musibah yang berlaku , kawasan segi empat yang menempatkan Masjid ini tidak sedikit pun terjejas dan tenggelam sedangkan di persekitarannya rumah, pejabat sudah di tenggelami Air. Allahuakhbar. - Apa-Apa Jer."

................................
Dihantar untuk paparan TKO (Tranungkite)
Oleh: matuse68

Wednesday, December 4, 2013

UMNO masih lagi berjanji ..... dan akan terus berjanji

Saya telah mengikuti sebahagian ucapan Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yasin semasa beliau merasmikan Perhimpunan Agung 3 sayap parti itu malam tadi. Semasa saya terlihat saluran yang memberikan siaran langsung dari PWTC itu Muhyiddin sedang menyebut tentang Islam yang UMNO menjadi bentengnya, sebagai yang di akui oleh Muhyidin sendiri.


UMNO katanya tetap mempertahankan Islam dan membangunkan Islam itu tanpa kompromi dan UMNO 'commited' untuk mempertahankan kesucian Islam dengan segala tenaga yang ada. Itu sebabnya kata Muhyiddin UMNO mengambil sikap jelas dan lantang tidak membenarkan fahaman songsang dalam Islam seperti syiah dan sebagainya dan beliau menzahirkan niat beliau untuk memasukkan ahli Sunnah wal jemaah di dalam perlembagaan negara.

Muhyidin berkata UMNO menentang usaha mana-mana pihak untuk membenarkan kegiatan LBGT dan sebagainya secara bebas. UMNO tidak tahan dengan tindakan seks di luar tabii dan apa-apa yang menentang nilai dan syariat Islam yang suci itu. Banyak lain tentang Islam yang beliau sebut dalam ucapan beliau itu. UMNO tetap mempertahankan nilai Islam dengan tegas tanpa ada kompromi langsung, katanya.

Semua yang di sebut oleh Muhyidin itu sememangnya isu dan tindakan yang baik untuk Islam, Melayu  dan negara. Itu pun perjuangan UMNO dan menjadi sebutan oleh pemimpin UMNO sejak dari dahulu sampai sekarang kerana itulah kebenaran Islam dan landasan perjuangan UMNO itu. Muhyidin menyebut isu ini dengan panjang lebar kerana isu agama menjadi isu besar dalam politik tanahair dan dengan menyebut isu ini tentulah Muhyiddin cuba hendak bermain di padang PAS yang sedang mendapat sambutan ramai sekarang ini.

Mungkin dalam keadaan terdesak UMNO akan cuba untuk melangsungkan apa yang di sebut oleh Timbalan Presiden parti itu. Tetapi itu sahajakah yang mahu di sebut dan di cakapkan dengan jelas oleh Muhyidin?

Bolehkah UMNO mempertahankan kesucian Islam dan memperbaiki persepsi agama Islam dimata rakyat berbilang kaum dan agama itu, kerana ia disebut oleh pemimpin parti yang begitu jumud jika dipandang dari sudut Islam, agama anutan seratus peratus ahli-ahlinya.

Sudah cukup bersediakah UMNO untuk mempertahankan Islam itu kerana banyak perkara yang bertentangan dengan Islam menjadi perkara biasa dalam UMNO dan dilakukan oleh hampir kesemua pemimpinnya. Perkara ini disebut dalam setiap perhimpunan agung UMNO sejak dari dulu lagi lebih-lebih lagi sejak negara memulakan budaya rasuah dan salah guna kuasa melebihi lebih sedikit dari tiga dekad yang lalu.

Percakapan tentang Islam ini sama naik dengan kebangkitan rasuah di dalam UMNO sejak awal lapan puluhan dahulu. Bagaimana kumpulan perasuah boleh mempertahankan kesucian agama Islam? Bukankah rasuah itu satu tindakan yang amat hina tidak terkira di sisi masyarakat, lebih-lebih lagi di sisi agama anutan kita. kenapa pimpinan UMNO mengaku sebagai perlindung agama Islam sedangkan apa yang mereka lakukan bertentangan secara ‘head-on’ dengan agama dan Tuhan kita?

Bagaimana kumpulan yang menentang syariat suci Islam mahu mempertahankan Islam itu tanpa kompromi sedangkan kesucian Islam yang paling penting sudah dikompromikan oleh UMNO.

Kita bukan ulamak besar malahan bukan ulamak kecil sekali pun. Tetapi sebagai seorang Islam yang masih jahil seperti saya memahami dengan jelas dan dan keyakinan saya agaknya sudah sampai keperingkat haqul yakin yang perasuah tidak mungkin mampu membuat keputusan yang baik dan itu sendiri ada penentangan terhadap Islam itu. Malahan elemen rasuah inilah yang telah menjatuhkan kerajaan negara-negara Islam akhir-akhir ini di Asia barat satu demi satu.

Kita juga memahami yang pemimpin yang bercakap tentang rasuah seperti apa yang di sebut oleh Muhyiddin semalam itu, yang rasuah sememangnya berlaku dikalangan jemaah kepimpinan mereka. Tetapi bagaimana Muhyidin begitu berani mengaku yang UMNO itu adalah benteng untuk Islam kerana beliau tahu UMNO tidak terlepas dengan isu tegahan mutlak Islam itu.

Mungkin yang ramai-ramai dalam UMNO itu tidak tahu apa itu komitmen terhadap agama itu kerana jiwa dan batin mereka telah tertutup hijab untuk mengenali yang mana yang layak untuk mempertahankan agama suci dan yang mana hanya pandai bercakap di pentas perhimpunan agung UMNO sahaja.

Kita mahu mendengar ucapan penangguhan Uztaz Kazim Elias dalam ucapan penangguhan Perhimpunan ini berhubung dengan orang yang mengetahui rasuah berlaku dikalangan mereka tetapi bergegar-gegar bercakap dan berjanji untuk kesucian agamanya. Kita tidak payah mendengar lagi ucapan Jamil Khir Baharom kerana kita sudah tahu apa yang hendak beliau katakan dan semua akan menjadi bahan cacian ramai semata-mata.

Kita hendak juga mendengar kata-kata Uztaz Kazim, yang sangat di hormati oleh UMNO itu. Kalau tidak tentunya beliau tidak dilantik menduduki ahli Majlis Tertinggi UMNO bersama Azeeez Rahim dan JJ itu. Saya berharap Uztaz Kazim akan menunjukkan bakat kepimpinan beliau dan bukan lagi setakat menunjukkan bakat menyanyi dalam dakwah agamanya.

Janji-janji pimpinan sama sejak tiga puluh tahun dahulu, tetapi keadaan semakin hari semakin rumit. Alangkah indahnya kita mendapat kepimpinan yang pandai berjanji dan mampu melaksanakannya. Setakat ini kita hanya ada pimpinan yang berjanji seolah-olah dunia pun hendak dialih dan dianjaknya. Janji Muhyidin semalam seolah-olah tidak ada UMNO tidak selamat Islam di dunia ini.

Ugutan pemimpin UMNO kepada orang Melayu jika tidak menyokong UMNO, Melayu akan hilang didunia ini. Selama ini orang Melayu menyokong UMNO, tetapi Melayu hampir hilang dunianya. Inilah yang terjadi kepada kita sekarang ini….UMNO masih lagi berjanji dan terus berjanji….

   4 comments 

03 December 2013


Penagih dadah hantar ke Pusat Serenti, Penagih rasuah hantar ke mana?


Di Semenanjung Malaysia ada 12 negeri bernaung di bawah Persekutuan Tanah Melayu dan sebelas darinya mempunyai kerajaan-kerajaan negeri masing-masing dengan legislatifnya sendiri. Masing-masing negeri mempunyai identitinya sendiri dan boleh dilihat perbezaan dari satu negeri dengan satu negeri yang lain dalam banyak bidang.

Diantara banyak negeri-negeri itu ada sebuah negeri yang dinamakan Negeri Terengganu Darul Iman. Negeri ini agak lain dari yang lain kerana akhir-akhir ini tidak banyak lagi bangunan yang selamat untuk dimasuki dan diduduki. Ini di sebabkan acapkali kita mendengar berita yang atap dan bumbung bangunan di negeri ini mudah runtuh dan ia amat merbahayakan orang ramai.

Yang terakhir ialah kejadian dalam mana bumbung Kolej Universiti Tati, di Teluk Balung runtuh walaupun ia baru sahaja di gunakan selama 14 bulan. Selepas ini tidak tahu pula kita bangunan mana pula yang akan runtuh. Kejadian bumbung runtuh ini sudah sinonim dengan Negeri Terengganu dan tidak siapa yang tahu kenapa ia hanya banyak berlaku di Negeri Terengganu.

Dalam tahun ini juga sudah tiga kejadian bangunan runtuh dari keruntuhan bangunan masjid hingga ke Pusat Pengajian Tinggi. Di Asia Utara ada sebuah negeri, iaitu Bangladesh yang sering menghadapi bangunan runtuh yang melibatkan nyawa ratusan rakyat. Tetapi di negara itu bangunan-bangunan yang runtuh itu adalah bangunan yang sudah beratus tahun usianya. Tetapi di Terengganu usia Universiti Kolej itu hanya 14 bulan. Maka bayangkanlah betapa teruknya tahap keselamatan rakyat di negeri itu hanya di sebabkan ada permainan jahat dan rasuah yang tidak terbendung dalam negeri itu.

Jika bangunan yang hanya berusia 14 bulan boleh runtuh bumbungnya bagaimanalah agaknya tahap keselamatan di bangunan yang berusia lebih lama dari itu? Ini sudah pasti berpunca datri tindakan ‘cutting corners’ yang dilakukan oleh kontraktor-kontraktor binaan yang ingin mendapatkan keuntungan lebih bagi menyediakan wang ‘kick-backs’ yang perlu di bayar kepada yang berkuasa dengan projek itu.

Nampaknya rakyat terpaksa duduk dan tinggal di padang-padang yang luas bagi mengelak dari menghadapi risiko di hempap bumbung yang rapuh di negeri itu. Bangunan dan rumah kediaman adalah pelindung kepada manusia dari di timpa hujan dan menghadapi ribut dan taufan serta tempat duduk bersenang-senangan dengan kaum keluarga kesayangan kita. Jika bangunan tempat kita hendak berlindung pun tidak selamat bagi manusia di mana lagi manusia hendak mendapatkan perlindungan?

Itulah sebabnya blog ini tidak pernah jemu menyebut rasuah sebagai musuh umat nombor satu di dunia ini. Rasuah boleh menjahanamkan negara dan tamadun manusia. Rasuah tidak akan mendorong sesiapa termasuk pemimpin membuat keputusan dengan betul. Selalu disebutkan yang mereka yang rasuah itu adalah mereka yang memakan daging saudaranya sendiri.

Rasuah akan merosakkan segala-galanya. Tidak ada tindakan rasuah yang boleh membantu membuat kebaikan selain dari memberikan keuntungan kepada pemimpin yang ‘evil’ yang serupa dengan syaitan yang bersalutan muka dan tubuh manusia. Syaitan itu dikatakan oleh agama kita sebagai musuh yang nyata. Jika Perdana Menteri yang rasuah maka Perdana Menteri itu adalah musuh kita. Jika isterinya menggunakan kuasa dan pengaruh menjahanamkan negara kita, maka isterinya itu adalah musuh semua.

Begitu juga rasuah itu dilakukan oleh pegawai kerajaan dan perlaksana dasar maka mereka wajib dimusuhi dan jika Menteri Besar melakukan rasuah elok sahaja mereka ditolak dengan serta merta. Rakyat perlu sedar betapa bahayanya mereka jika dipimpin oleh pelaku rasuah tegar.

Rasuah ini merupakan satu ketagihan yang sangat susah untuk diubati. Jika penagih dadah dimasukkan kedalam pusat serenti untuk dipulihkan, boleh kah tuan-tuan beri tahu dimanakah kita perlu hantarkan mereka yang rasuah untuk dipulihkan? Saya tidak mempunyai apa-apa ‘idea’ di mana mereka yang rasuah ini patut dihantar untuk memulihkan mereka.

Kata orang tiada penyakit yang tidak boleh di ubati. Tentunya penyakit ketagihan rasuah ini tentu ada jalan untuk di ubati. Hanya saya belum jumpa jawapannya. Mungkin saudara-saudari yang membaca tulisan ini boleh memberikan cadangan atau setidak-tidaknya jawapan kepada persoalan saya tadi.

UMNO pun kata parti itu menolak rasuah, tetapi kenapa rasuah berlaku dengan hebatnya di bawah tadbiran parti itu?

Oh ya, mungkin Uztaz Kazim boleh membersihakn UMNO ini dari rasuah, kerana orang yang beragama tidak berkompromi dengan rasuah (he..he).

Kalau si jahil seperti saya dan mungkin sebahagian dari anda yang tidak mempunyai latar belakang agama yang kuat, masakan Uztaz Kazim tidak mampu membersihkan UMNO dari masalah ketagihan rasuah dikalangan pimpinan negara kita.


 oleh Aspan Alias

Kerajaan di penghujung hayat

PROF MADYA DATO’ DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
1 Disember 2013

KERAJAAN di penghujung hayat adalah kerajaan yang telah zahir padanya tanda-tanda keruntuhan. Banyak petanda bahawa sesebuah kerajaan itu menuju kepada penghujungnya.

Antara tanda yang jelas apabila negara sudah tidak terkawal dengan terlalu banyak konfliks berlaku sesama rakyat. Kerajaan kelihatan bersikap tidak tolerance dan dibenci oleh banyak puak dan pihak yang merasakan mereka tertindas ataupun hak mereka diketepikan dalam negara sendiri.

Kebencian merayap dan keinginan rakyat untuk keadaan itu dihapuskan membuak-buak. Akhirnya rusuhan dan pergaduhan kaum dan puak mula tercetus.

Jika kita lihat dalam sejarah, kejatuhan empayar dan dinasti ialah bermula apabila mereka bersikap tidak tolerance sehingga dalam negara berlaku banyak konfliks antara rakyat.

Kerajaan bersifat kepuakan dan gagal menaungi inspirasi rakyat yang pelbagai. Politik pecah perintah mungkin menguntung golongan politik tertentu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya akan menjadikan negara porak peranda.

Firaun mengamalkan politik yang sama yang akhirnya menjatuhkan kerajaannya yang penuh bersejarah. Firman Allah:

“Sesungguhnya Firaun telah melampau di bumi (Mesir), dan dia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Dia menindas satu puak kalangan mereka dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya dia dari golongan yang membuat kerosakan. Dan Kami (Allah) hendak memberikan kurnia kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan Kami (Allah) hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (peninggalan Firaun)” (Surah al-Qasas ayat 4-5).

Jika kita lihat keadaan negara ini, kita dapati telah lahir ciri-ciri negara ataupun kerajaan di penghujung hayat. Negara ini sejak kebelakangan ini penuh dengan konflik yang memecah belahkan antara rakyat.

Konflik antara agama dalam pelbagai isu yang mana kerajaan kadang-kala mengambil pendekatan yang kurang seimbang. Golongan agama rasmi pula dibiarkan memilih pandangan-pandangan yang bersifat yang tidak sesuai serta sempit untuk masyarakat majmuk.

Bermula dari isu larangan orang bukan muslim masuk masjid sehingga ke isu kalimah Allah kelihatan ditangani dengan nada yang mencetuskan ketegangan antara rakyat. Kenyataan-kenyataan yang bersifat provokasi seakan mendapat tempat dalam media rasmi negara.

Demikian isu-isu perkauman dibangkit dalam pelbagai rupa. Golongan yang bersifat rasis memainkan peranan mereka. Sebelum pilihanraya kita lihat isu-isu agama dan kaum yang bersifat provokatif serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan rusuhan seakan digalakkan.

Kemudian selepas itu, dipanaskan dengan isu-isu mazhab dan aliran fikir dalam Islam. Pegawai KDN yang sepatutnya bertugas menjaga kedamaian negara, bertindak bagaikan batu api yang boleh mencetuskan kebencian dan salah sangka rakyat terhadap kerajaan.

Golongan agamawan bergaji dan tidak bergaji, dihasut oleh beberapa orang dari aliran pengkafir umat iaitu Ahbash yang dalam rekod mereka telah berjaya menimbulkan ketegangan mazhab dan pertumpahan darah di Lebanon sehingga membawa pembunuhan antara aliran di sana. Kini mereka meresap ke dalam negara ini.

Kerajaan tidak boleh terbabit dengan perbalahan aliran fikir. Kerajaan dalam era dunia terbuka hari ini hendak bersifat penaung yang melindungi kebebasan setiap rakyat dengan syarat tidak menggugat keamanan awam.

Kerajaan yang matang dan demokratik akan menangani perbezaan rakyat dengan cara yang bijaksana. Kerajaan hendaklah tahu apabila kita mengiktiraf kewujudan sesuatu aliran, bukanlah bererti kita mengakui kebenarannya.

Jangan keliru antara mengiktiraf kebenaran di sudut akidah ataupun fekah, dengan mengiktiraf hak kewujudan di sudut politik. Kita mungkin tidak mengiktiraf kebenaran agama dan aliran tertentu, tapi kita mengiktiraf kewujudan dalam negara selagi mereka mematuhi undang-undang negara.

Kepelbagaian

Kebenaran itu boleh menjelma dalam pelbagai ungkapan sekalipun berbeza-beza puak dan aliran. Sebahagian perbezaan itu hanyalah pada cara ia dibahaskan tetapi natijahnya sama iaitu menuju kepada kebenaran.

Kerajaan tidak boleh terikut-ikut dengan golongan fanatik perkauman ataupun aliran yang mencetuskan huru-hara antara rakyat disebabkan perbezaan ungkapan dan ucapan, padahal maksudnya sama.

Saya tertarik dengan kisah tokoh besar ilmu kalam iaitu al-Imam Abul Hasan al-Ash’ari (meninggal tahun 330H) yang dinobatkan sebagai benteng Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam menghadapi serangan falsafah. Kata al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) meriwayatkan daripada Zahir bin Ahmad al-Sarakhsi kisah akhir hayat al-Imam Abul Hasan al-Asy’ari:

“Apabila ajal menghampiri Abul Hasan al-‘Asy’ari di rumahku di Baghdad, beliau memanggilku. Aku pun datang. Beliau berkata: “Aku bersaksi bahawa aku tidak mengkafirkan seseorang pun dalam kalangan ahli Kiblat (mereka yang bersolat). Ini kerana setiap orang menuju kepada Tuhan Yang Satu Yang Disembah. Hanya semua ini (perbezaan yang ada) adalah perbezaan ungkapan semata”.

Kemudian al-Imam al-Zahabi menyebut:

“Demikian juga guru kami Ibn Taimiyyah pada akhir hayatnya berkata: “Aku tidak mengkafirkan seseorang pun dari umat ini. Nabi s.a.w bersabda: “Tiada menjaga wuduk melainkan seorang mukmin”, maka sesiapa yang melazimi solat dengan wuduk maka dia muslim”. (Siyar A’lam al-Nubala, 15/88. Beirut: Muassasah al-Risalah).

Remeh Temeh

Kemudian, isu-isu remeh digunakan dalam untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat. Kuasa agama cuba diheret bersama. Penguasa seakan membiarkan kekalutan ini.

Lebel-melebel dijadikan mainan yang dicampur kuasa pentadbiran. Sebahagian golongan intelek melayu dilebelkan sebagai liberalist dan diancam dengan kuasa politik. Ada yang dilebel wahabi dan digunakan kuasa pentadbiran.

Untuk membincangkan masalah theology dalam kalangan intelek tidak mengapa. Namun campur tangan kuasa politik dan kuasa agama serta kesempatan yang ambil oleh pihak yang berkepentingan, boleh mencerumuskan negara ke dalam kegawatan.

Hendaklah kita tahu dalam sejarah golongan agama samada Yahudi, Kristian dan juga Islam mereka sering mengambil pendekatan memfitnah orang yang berbeza dengan mereka dan mencari penguasa untuk menghukum lawan ataupun pesaing mereka.

Ini kerana golongan agama –kecuali yang ikhlas- sering mengumpulkan pengaruh seperti yang dilakukan oleh orang politik dan rela mempertaruhkan apa sahaja untuk survival pengaruh mereka.

Rela membunuh dan menyeksa pihak yang berbeza. Inilah yang dilakukan terhadap al-Imam al-Syafi’i, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah dan lain-lain. Dalam sejarah agama Kristian inilah yang berlaku terhadap Martin Luther dan aliran Protestan.

Di satu sudut yang lain, golongan agamawan jenis ini menyibukkan diri dalam isu-isu remeh yang tidak memberikan banyak manfaat kepada rakyat seperti isu qunut subuh ataupun tidak.

Padahal itu hanya perkara sunat dalam mazhab Syafi’i. Demikian juga dianggap wahabi mereka yang mereka solat tarawih lapan rakaat. Padahal rakyat Malaysia yang solat lapan rakaat tarawih bukan kerana wahabi ataupun tidak.

Saudi yang dikatakan wahabi itu solat 20 rakaat. Di mana wahabinya? Itu berdasarkan keadaan masing-masing. Patutnya golongan ustaz ini sibuk dengan yang langsung tidak solat.

Malangnya dalam masa yang sama, ramai golongan agamawan berjawatan ini tidak pulak menyibukkan diri dengan isu-isu masyarakat yang penting untuk rakyat seperti pandangan Islam tentang ketelusan, rasuah, cukai, isu-isu yang dibangkitkan oleh audit negara, pembaziran dalam kerajaan-kerajaan negeri dan pusat, soal social justice dan pelbagai lagi yang sangat penting dalam Islam.

Konfliks

Hasilnya, negara terjerumus dalam konfliks tidak berfaedah. Dari satu konfliks kepada satu konfliks. Ia menafikan sifat negara yang mahu maju ke hadapan. Ia hanya memesongkan rakyat dari isu-isu penting yang lain dan mengheret mereka kepada pergaduhan sesama sendiri.

Dalam satu keadaan mungkin pemerintah beruntung kerana rakyat tidak tertumpu kepada menilai pemerintah kerana sibuk dengan isu pinggiran. Namun dalam jangka tertentu ketegangan boleh membawa kebencian dan seterusnya ketidaksetiaan kepada negara mungkin boleh berlaku.

Maka, kini negara kelihatan berselerakan. Badan-badan agama sibuk mencari isu-isu perbezaan bukan nilai-nilai persamaan untuk diambil manfaat antara rakyat.

Orang politik tumpang sekaki. Slogan 1 Malaysia yang meraikan perbezaan dan menghidupkan kesatuan antara rakyat menjadi slogan kosong yang tidak bermakna.

Akhirnya kelompok-kelompok minoriti walaupun berbeza antara satu sama lain, tetapi bersatu atas satu asas iaitu membenci kerajaan dan pengurusan kerajaan yang ada. Lalu mereka menjadi majority.

Jika mereka itu terlebih ekstrim, mereka mungkin mencari jalan menimbulkan ketegangan balas. Golongan muda dan berminda terbuka menganggap kerajaan ini tidak layak mengepalai politik yang sederhana dan bersikap terbuka serta adil dalam penilaian.

Kelompok berpendidikan dan moderate inginkan keharmonian dan keadilan untuk semua. Maka kerajaan ini menjadi makin tidak popular dalam kalangan cerdik pandai yang menjadi tulang belakang negara. Negara pun mula reput, kedamaian mula diragut dan berada di penghujung hayatnya.

Didik Anak Rajin Solat

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
29 November 2013

DARIPADA Abu Hurairah ra; Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “sesungguhnya yang mula-mula dihisab pada seorang hamba pada hari kiamat daripada amalannya ialah solat.

Jika solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi.”(Riwayat Tirmizi, Nasaei & Ibnu Majah)

Hadis di atas menjelaskan ibadat solat adalah yang paling penting untuk dilaksanakan setiap Muslim. Maka, menjadi peranan ibu bapa untuk memperjelaskan perkara ini kepada anak-anak kecil mereka.

Penyelaras Unit Perhubungan Korporat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Fatahiyah Mahamood, berkata dengan teknologi canggih hari ini, memudahkan lagi ibu bapa memberi pendedahan dan mengajar anak-anak mengenai solat.

"Kewujudan cakera padat dan multimedia yang semakin banyak di pasaran hari ini, sama ada secara percuma atau berbayar memudahkan ibu bapa memberikan pendedahan dan pembelajaran secara lebih interaktif dan mudah difahami.

Kewujudan al-Quran digital dan maya juga dapat membantu anak-anak memahami dan mengetahui bacaan-bacaan dan doa dalam solat dengan lebih cepat," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, tidak dinafikan ibu bapa sekarang mengambil berat berkaitan pendidikan solat kepada anak-anak, namun ia perlu diseimbangkan dengan pendidikan akademik.

Kecemerlangan akademik yang diperoleh melalui proses diredai ALLAH akan memberikan kehidupan yang baik, penuh rahmat dan berkat.

Mendisiplinkan anak bersolat

Rasulullah SAW bersabda: "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). (Riwayat Abu Daud)

Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah SAW amat menekankan ibadat solat dan menyuruh ibu bapa mengajar anak bersolat seawal umur tujuh tahun.

Sebelum umur tujuh tahun, anak-anak perlu didedahkan dengan kepentingan solat melalui aktiviti atau permainan yang dapat menjinakkan mereka melakukan ibadat solat seperti memperdengarkan nasyid-nasyid berkaitan solat, menayangkan CD multimedia berkaitan solat, memperlihatkan animasi islamik berkaitan solat dan yang penting membiasakan anak-anak melihat ibu bapa sendiri mengerjakan solat secara berjemaah bersama ahli keluarga yang lain.

Siti Fatahiyah berkata, di samping memberi pendedahan kepada anak-anak berkaitan solat, perlu juga diajar tujuan kita bersolat dan mengajar anak-anak berkaitan sifat-sifat ALLAH yang sentiasa melihat hambaNya.

“Apabila anak mula mencapai umur tujuh tahun, maka ibu bapa dikehendaki mula mengajar secara terperinci kaedah solat dan pergerakan yang betul ketika solat termasuk bacaan-bacaan yang penting dalam solat.

“Berikan masa untuk mereka berlatih mengerjakan solat dengan betul. Tetapi apabila anak-anak  berumur 10, maka mereka perlu dirotan jika gagal melaksanakannya,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengajaran ini perlu dilakukan secara disiplin kerana jika gagal mengajar mereka ketika di umur sebegitu, maka kita akan menghadapi kesukaran untuk memastikan mereka mengerjakan amalan solat ketika berumur belasan tahun ataupun puluhan tahun.

Nabi suruh rotan anak

Sebenarnya apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW iaitu merotan anak jika gagal mengerjakan solat ketika berumur 10 tahun itu adalah sangat tepat.

Kerana jika ibu bapa terlepas mendidik anak-anak ketika usia sebegitu maka ibu bapa akan menghadapi pelbagai kesukaran dan masalah bagi mengajar anak solat pada usia remaja atau belia atau usia emas.

Pada usia sebegini apabila diajar maka ibu bapa pula dimarahi atau ditengking. Namun sebagai ibu bapa tugas mendidik harus dilaksanakan. Jika dirujuk kepada tahap pendidikan Rasulullah SAW, ketika peringkat ini perlu digunakan pendekatan yang begitu rasional.

Kebijaksanaan ibu bapa amat diperlukan dalam menyampaikan pengajaran ini agar menampakkan kesan yang serius dan begitu mendalam pada penaakulan pemikiran anak-anak di peringkat ketiga atau keempat ini melalui analogi dan contoh-contoh yang diberikan.

Contohnya apabila anak-anak yang telah bekerja tiba-tiba berasa marah dan dendam kepada syarikat yang lewat membayar gaji. Sudah pasti mereka berasa dizalimi dan berasa tidak adil apabila kerja telah mereka laksanakan selama sebulan tetapi syarikat tidak memberikan gaji seperti dijanjikan.

Maka pada saat inilah ibu bapa harus menyedarkan anak-anak bahawa bagaimana pula kita yang telah dijadikan ALLAH dengan sempurna kejadian dan sampai masa ALLAH tunggu untuk kita sujud dan tunduk padanya tanda kita bersyukur tapi kita tidak laksanakannya.

Manakala bagi ibu bapa sendiri yang gagal melaksanakan ibadat solat, cuba kita fikirkan apakah perasaan kita jika anak-anak yang telah dewasa hanya akan perlukan ibu bapa ketika mereka sesak ketiadaan duit ataupun ketika mereka dalam kesusahan.

Pasti kita berasa marah dan kecil hati. Tapi apakah mungkin kita sendiri yang hanya akan ingat pada ALLAH ketika kita susah?

Peranan masjid dalam membantu penagih

3 Disember 2013

KUALA LUMPUR - Penagih dadah jenis opioid kini dirawat seperti pesakit kronik yang lain dengan mereka menjalani terapi penggantian dadah menggunakan methadone.

Kaedah rawatan ini yang diperkenalkan pada 2005 telah menunjukkan hasil positif dalam mengatasi masalah ketagihan selain berjaya mengurangkan kadar jangkitan HIV/AIDs di kalangan penagih.

Kini terdapat kira-kira 7,000 penagih yang mendapatkan methadone di hospital dan klinik kerajaan seluruh negara dan kerajaan mensasarkan 72,000 pengguna dadah mendapatkannya menjelang 2015.

Untuk meningkatkan keberkesanan terapi penggantian dadah dan mencapai sasaran negara bebas dadah menjelang 2015, pendekatan Islam turut ditekankan dalam rejim rawatan itu.
 
GABUNGAN PERUBATAN DAN ROHANI
   
Program Peningkatan Kerohanian Dalam Rawatan Pemulihan Dadah (SEDAR) merupakan pendekatan gabungan methadone dan kerohanian yang dirintis Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) pada 2009 bersama Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim).

Program ini telah menunjukkan kejayaannya hingga mampu mengembalikan kehidupan penagih dadah yang sebelum ini dianggap sebagai sampah masyarakat.

Malah ada dalam kalangan mereka kini mampu bekerja, berkahwin dan membina kehidupan sepertimana orang normal lain.

Usaha UMCAS juga telah mendapat perhatian dunia termasuk media barat yang melaporkan mengenai kaedah itu yang dilihat sebagai gabungan yang saling memerlukan.

Program dua dalam satu itu membawa pesakit mendekati masjid yang dijadikan tempat bukan sahaja untuk mencari kekuatan jiwa dan kerohanian sebaliknya tempat mendapatkan ubat (methadone) bagi merawat ketagihan dadah, menurut ketua penyelaras program Dr Rusdi Abd Rashid.
   
MASJID AR-RAHMAN BANGSAR MENJADI PERINTIS
   
Masjid Ar-Rahman di Bangsar merupakan masjid pertama terlibat dalam program itu pada awal 2010 dengan jumlah 50 orang peserta.

Satu ruang di tingkat atas masjid itu dikhususkan untuk operasi klinik methadone serta pihak masjid memberikan rawatan kerohanian dengan dibantu oleh Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) serta Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Modul khas kerohanian dirangka khusus untuk pesakit dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu mesti berumur 18 tahun ke atas, mengambil dadah jenis opioid seperti heroin dan mofin secara berterusan sekurang-kurangnya setahun dan harus mengikuti program secara sukarela.

"Kami juga membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mereka dengan mengambil contoh darah.

"Didapati 60 peratus daripada mereka mempunyai jangkitan hepatitis C, enam peratus HIV dan enam peratus dijangkiti kedua-duanya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
   
PENDEKATAN ISLAM
   
Sebelum memasuki masjid, pesakit perlu mengambil wudhu dengan diikuti solat sunat tahyatul masjid sebanyak dua rakaat, membaca doa Mathurat dan Al-shifaq.

"Setelah itu, akan diadakan sedikit taaruf dan kaunseling bagi memantapkan lagi kerohanian mereka dan kemudian barulah pesakit akan berjumpa doktor yang akan memeriksa dan memberikan preskripsi methadone mengikut keperluan pesakit itu," kata Dr Rusdi.

Untuk tempoh tiga bulan pertama mereka perlu datang ke masjid setiap hari untuk mengambilnya. Sekiranya menunjukkan komitmen yang baik, mereka hanya perlu datang sekali dalam seminggu selain dibenarkan membawa pulang methadone untuk bekalan sepanjang seminggu.

"Ia sebagai galakkan kepada mereka yang menunjukkan kesungguhan ketika mengikuti program ini," katanya antara lain yang diambil kira, kedatangan mengikuti program keagamaan yang dijalankan di masjid selain mampu berdikari dan mempunyai pekerjaan.

CARA KERJA METHADONE
   
Jelas Dr Rusdi, seperti juga pesakit kronik lain seperti penghidap diabetes yang bergantung kepada ubat, pengguna dadah juga perlu bergantung kepada methadone dengan mengambilnya setiap hari bagi membolehkan mereka melupakan ketagihan.

"Ini kerana sistem dalam otak mereka telah rosak dan untuk kembali normal dan menstabilkannya perlu bergantung kepada ubat melalui pengambilan methadone.

"Ia akan menyekat keperluan pengambilan dadah opioid dan membantu pesakit berada dalam keadaan selesa dan bebas daripada ketagihan terhadap dadah opioid," katanya.
      
KEBERKESANAN PROGRAM
   
Program pemberian methadone secara percuma di hospital dan klinik kerajaan, telah menampakkan kesan positif terutama dalam mengurangkan jangkitan penyakit HIV/AIDS di kalangan penagih dadah.

"Hasil kajian UMCAS mendapati program SEDAR setanding dengan program pemberian methadone yang dijalankan di hospital dan klinik kerajaan malah pendekatan gabungan kerohanian dan ubatan itu lebih baik hasilnya apabila 83 peratus penagih kekal mengikuti program ini dalam tempoh setahun ia dijalankan," katanya.

Selain itu perkara lain yang turut diambil kira adalah ujian air kencing yang negatif dadah, kualiti kehidupan lebih baik dan pengurangan kadar jenayah melibatkan peserta program.

Menurut Dr Rusdi, kualiti hidup peserta jelas meningkat dalam tempoh itu malahan dalam tempoh enam bulan sahaja ujian air kencing yang menunjukkan negatif pengambilan dadah telah meningkat daripada 34.3 peratus kepada 94.3 peratus.

"Pendekatan kerohanian juga telah menampakkan hasilnya apabila mereka semakin mengenali Islam dan peratusan mengamalkan ajaran Islam sebenar juga semakin meningkat daripada sebelum memasuki program ini," katanya.
    
PROGRAM DIHENTIKAN
   
Program perintis di Masjid Ar Rahman itu bagaimanapun terpaksa dihentikan apabila kerja-kerja membaik pulih masjid itu dijalankan sejak 2012.

Namun usaha itu diteruskan malah dikembangkan kepada beberapa buah masjid berhampiran Universiti Malaya di sekitar Petaling Jaya dan di surau Ad-Deeniah yang terletak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Modul yang sama juga akan dijalankan di beberapa buah masjid lain antaranya Masjid Al-Ikhlasiah dan Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinci dan Masjid Abdul Aziz, Petaling Jaya dalam masa terdekat ini.

"Program rawatan methadone di klinik-klinik kerajaan sudah tepu apabila kerjaan tidak mampu lagi membuka klinik-klinik baru. Usaha menggabungkan masjid dan rawatan methadone ini adalah jalan terbaik mengatasi masalah ini.

"Malaysia kini mempunyai lebih 6,000 buah masjid dan jika 1/3 masjid dapat jalankan program ini, saya yakin hasrat negara bebas dadah 2015 akan tercapai," katanya. - Bernama