3 Disember 2013
Kaedah rawatan ini yang diperkenalkan pada 2005 telah menunjukkan hasil positif
dalam mengatasi masalah ketagihan selain berjaya mengurangkan kadar jangkitan
HIV/AIDs di kalangan penagih.
Kini terdapat kira-kira 7,000 penagih yang mendapatkan methadone di hospital
dan klinik kerajaan seluruh negara dan kerajaan mensasarkan 72,000 pengguna dadah
mendapatkannya menjelang 2015.
Untuk meningkatkan keberkesanan terapi penggantian dadah dan mencapai sasaran
negara bebas dadah menjelang 2015, pendekatan Islam turut ditekankan dalam
rejim rawatan itu.
GABUNGAN
PERUBATAN DAN ROHANI
Program Peningkatan Kerohanian Dalam Rawatan Pemulihan Dadah (SEDAR) merupakan
pendekatan gabungan methadone dan kerohanian yang dirintis Pusat Sains
Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) pada 2009 bersama Jabatan Kemajuan Agama
Islam Malaysia (Jakim).
Program ini telah menunjukkan kejayaannya hingga mampu mengembalikan kehidupan
penagih dadah yang sebelum ini dianggap sebagai sampah masyarakat.
Malah ada dalam kalangan mereka kini mampu bekerja, berkahwin dan membina
kehidupan sepertimana orang normal lain.
Usaha UMCAS juga telah mendapat perhatian dunia termasuk media barat yang
melaporkan mengenai kaedah itu yang dilihat sebagai gabungan yang saling
memerlukan.
Program dua dalam satu itu membawa pesakit mendekati masjid yang dijadikan
tempat bukan sahaja untuk mencari kekuatan jiwa dan kerohanian sebaliknya
tempat mendapatkan ubat (methadone) bagi merawat ketagihan dadah, menurut ketua
penyelaras program Dr Rusdi Abd Rashid.
MASJID
AR-RAHMAN BANGSAR MENJADI PERINTIS
Masjid Ar-Rahman di Bangsar merupakan masjid pertama terlibat dalam program itu
pada awal 2010 dengan jumlah 50 orang peserta.
Satu ruang di tingkat atas masjid itu dikhususkan untuk operasi klinik
methadone serta pihak masjid memberikan rawatan kerohanian dengan dibantu oleh
Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) serta Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Modul khas kerohanian dirangka khusus untuk pesakit dengan memenuhi
syarat-syarat yang ditetapkan iaitu mesti berumur 18 tahun ke atas, mengambil
dadah jenis opioid seperti heroin dan mofin secara berterusan
sekurang-kurangnya setahun dan harus mengikuti program secara sukarela.
"Kami juga membuat pemeriksaan kesihatan terhadap mereka dengan mengambil
contoh darah.
"Didapati 60 peratus daripada mereka mempunyai jangkitan hepatitis C, enam
peratus HIV dan enam peratus dijangkiti kedua-duanya," katanya kepada
Bernama baru-baru ini.
PENDEKATAN ISLAM
Sebelum memasuki masjid, pesakit perlu mengambil wudhu dengan diikuti solat
sunat tahyatul masjid sebanyak dua rakaat, membaca doa Mathurat dan Al-shifaq.
"Setelah itu, akan diadakan sedikit taaruf dan kaunseling bagi memantapkan
lagi kerohanian mereka dan kemudian barulah pesakit akan berjumpa doktor yang
akan memeriksa dan memberikan preskripsi methadone mengikut keperluan pesakit
itu," kata Dr Rusdi.
Untuk tempoh tiga bulan pertama mereka perlu datang ke masjid setiap hari untuk
mengambilnya. Sekiranya menunjukkan komitmen yang baik, mereka hanya perlu
datang sekali dalam seminggu selain dibenarkan membawa pulang methadone untuk
bekalan sepanjang seminggu.
"Ia sebagai galakkan kepada mereka yang menunjukkan kesungguhan ketika
mengikuti program ini," katanya antara lain yang diambil kira, kedatangan
mengikuti program keagamaan yang dijalankan di masjid selain mampu berdikari
dan mempunyai pekerjaan.
CARA
KERJA METHADONE
Jelas Dr Rusdi, seperti juga pesakit kronik lain seperti penghidap diabetes
yang bergantung kepada ubat, pengguna dadah juga perlu bergantung kepada
methadone dengan mengambilnya setiap hari bagi membolehkan mereka melupakan
ketagihan.
"Ini kerana sistem dalam otak mereka telah rosak dan untuk kembali normal
dan menstabilkannya perlu bergantung kepada ubat melalui pengambilan methadone.
"Ia akan menyekat keperluan pengambilan dadah opioid dan membantu pesakit
berada dalam keadaan selesa dan bebas daripada ketagihan terhadap dadah
opioid," katanya.
KEBERKESANAN
PROGRAM
Program pemberian methadone secara percuma di hospital dan klinik kerajaan,
telah menampakkan kesan positif terutama dalam mengurangkan jangkitan penyakit
HIV/AIDS di kalangan penagih dadah.
"Hasil kajian UMCAS mendapati program SEDAR setanding dengan program
pemberian methadone yang dijalankan di hospital dan klinik kerajaan malah
pendekatan gabungan kerohanian dan ubatan itu lebih baik hasilnya apabila 83
peratus penagih kekal mengikuti program ini dalam tempoh setahun ia
dijalankan," katanya.
Selain itu perkara lain yang turut diambil kira adalah ujian air kencing yang
negatif dadah, kualiti kehidupan lebih baik dan pengurangan kadar jenayah melibatkan
peserta program.
Menurut Dr Rusdi, kualiti hidup peserta jelas meningkat dalam tempoh itu
malahan dalam tempoh enam bulan sahaja ujian air kencing yang menunjukkan
negatif pengambilan dadah telah meningkat daripada 34.3 peratus kepada 94.3
peratus.
"Pendekatan kerohanian juga telah menampakkan hasilnya apabila mereka
semakin mengenali Islam dan peratusan mengamalkan ajaran Islam sebenar juga
semakin meningkat daripada sebelum memasuki program ini," katanya.
PROGRAM
DIHENTIKAN
Program perintis di Masjid Ar Rahman itu bagaimanapun terpaksa dihentikan
apabila kerja-kerja membaik pulih masjid itu dijalankan sejak 2012.
Namun usaha itu diteruskan malah dikembangkan kepada beberapa buah masjid
berhampiran Universiti Malaya di sekitar Petaling Jaya dan di surau Ad-Deeniah
yang terletak di Pusat Perubatan Universiti Malaya
(PPUM).
Modul yang sama juga akan dijalankan di beberapa buah masjid lain antaranya
Masjid Al-Ikhlasiah dan Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinci dan Masjid Abdul
Aziz, Petaling Jaya dalam masa terdekat ini.
"Program rawatan methadone di klinik-klinik kerajaan sudah tepu apabila
kerjaan tidak mampu lagi membuka klinik-klinik baru. Usaha menggabungkan masjid
dan rawatan methadone ini adalah jalan terbaik mengatasi masalah ini.
"Malaysia kini mempunyai lebih 6,000 buah masjid dan jika 1/3 masjid dapat
jalankan program ini, saya yakin hasrat negara bebas dadah 2015 akan
tercapai," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment