SYAHIDATUL
AKMAL DUNYA
29 November 2013
DARIPADA Abu Hurairah ra; Rasulullah SAW bersabda yang
maksudnya, “sesungguhnya yang mula-mula dihisab pada seorang hamba pada hari
kiamat daripada amalannya ialah solat.
Jika solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya
rosak, maka dia akan kecewa dan rugi.”(Riwayat Tirmizi, Nasaei & Ibnu
Majah)
Hadis di atas menjelaskan ibadat solat adalah yang paling penting untuk
dilaksanakan setiap Muslim. Maka, menjadi peranan ibu bapa untuk memperjelaskan
perkara ini kepada anak-anak kecil mereka.
Penyelaras Unit Perhubungan Korporat, Akademi Pengajian Islam Kontemporari
(ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Siti Fatahiyah Mahamood,
berkata dengan teknologi canggih hari ini, memudahkan lagi ibu bapa memberi
pendedahan dan mengajar anak-anak mengenai solat.
"Kewujudan cakera padat dan multimedia yang semakin banyak di pasaran hari
ini, sama ada secara percuma atau berbayar memudahkan ibu bapa memberikan
pendedahan dan pembelajaran secara lebih interaktif dan mudah difahami.
Kewujudan al-Quran digital dan maya juga dapat membantu anak-anak memahami dan
mengetahui bacaan-bacaan dan doa dalam solat dengan lebih cepat," katanya
kepada Rehal.
Menurutnya, tidak dinafikan ibu bapa sekarang mengambil berat berkaitan
pendidikan solat kepada anak-anak, namun ia perlu diseimbangkan dengan
pendidikan akademik.
Kecemerlangan akademik yang diperoleh melalui proses diredai ALLAH akan
memberikan kehidupan yang baik, penuh rahmat dan berkat.
Mendisiplinkan
anak bersolat
Rasulullah SAW bersabda: "Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan
sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan
sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara
mereka (lelaki dan perempuan). (Riwayat Abu Daud)
Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah SAW amat menekankan ibadat solat dan
menyuruh ibu bapa mengajar anak bersolat seawal umur tujuh tahun.
Sebelum umur tujuh tahun, anak-anak perlu didedahkan dengan kepentingan solat
melalui aktiviti atau permainan yang dapat menjinakkan mereka melakukan ibadat
solat seperti memperdengarkan nasyid-nasyid berkaitan solat, menayangkan CD
multimedia berkaitan solat, memperlihatkan animasi islamik berkaitan solat dan
yang penting membiasakan anak-anak melihat ibu bapa sendiri mengerjakan solat
secara berjemaah bersama ahli keluarga yang lain.
Siti Fatahiyah berkata, di samping memberi pendedahan kepada anak-anak
berkaitan solat, perlu juga diajar tujuan kita bersolat dan mengajar anak-anak
berkaitan sifat-sifat ALLAH yang sentiasa melihat hambaNya.
“Apabila anak mula mencapai umur tujuh tahun, maka ibu bapa dikehendaki mula
mengajar secara terperinci kaedah solat dan pergerakan yang betul ketika solat
termasuk bacaan-bacaan yang penting dalam solat.
“Berikan masa untuk mereka berlatih mengerjakan solat dengan betul. Tetapi
apabila anak-anak berumur 10, maka mereka perlu dirotan jika gagal
melaksanakannya,” katanya.
Beliau menjelaskan, pengajaran ini perlu dilakukan secara disiplin kerana jika
gagal mengajar mereka ketika di umur sebegitu, maka kita akan menghadapi
kesukaran untuk memastikan mereka mengerjakan amalan solat ketika berumur
belasan tahun ataupun puluhan tahun.
Nabi suruh
rotan anak
Sebenarnya apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW iaitu merotan anak jika
gagal mengerjakan solat ketika berumur 10 tahun itu adalah sangat tepat.
Kerana jika ibu bapa terlepas mendidik anak-anak ketika usia sebegitu maka ibu
bapa akan menghadapi pelbagai kesukaran dan masalah bagi mengajar anak solat
pada usia remaja atau belia atau usia emas.
Pada usia sebegini apabila diajar maka ibu bapa pula dimarahi atau ditengking.
Namun sebagai ibu bapa tugas mendidik harus dilaksanakan. Jika dirujuk kepada
tahap pendidikan Rasulullah SAW, ketika peringkat ini perlu digunakan
pendekatan yang begitu rasional.
Kebijaksanaan ibu bapa amat diperlukan dalam menyampaikan pengajaran ini agar
menampakkan kesan yang serius dan begitu mendalam pada penaakulan pemikiran
anak-anak di peringkat ketiga atau keempat ini melalui analogi dan
contoh-contoh yang diberikan.
Contohnya apabila anak-anak yang telah bekerja tiba-tiba berasa marah dan
dendam kepada syarikat yang lewat membayar gaji. Sudah pasti mereka berasa
dizalimi dan berasa tidak adil apabila kerja telah mereka laksanakan selama
sebulan tetapi syarikat tidak memberikan gaji seperti dijanjikan.
Maka pada saat inilah ibu bapa harus menyedarkan anak-anak bahawa bagaimana
pula kita yang telah dijadikan ALLAH dengan sempurna kejadian dan sampai masa
ALLAH tunggu untuk kita sujud dan tunduk padanya tanda kita bersyukur tapi kita
tidak laksanakannya.
Manakala bagi ibu bapa sendiri yang gagal melaksanakan ibadat solat, cuba kita
fikirkan apakah perasaan kita jika anak-anak yang telah dewasa hanya akan
perlukan ibu bapa ketika mereka sesak ketiadaan duit ataupun ketika mereka
dalam kesusahan.
Pasti kita berasa marah dan kecil hati. Tapi apakah mungkin kita sendiri yang
hanya akan ingat pada ALLAH ketika kita susah?
No comments:
Post a Comment