السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian
kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan
dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat
sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan
melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat
yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim : ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ
وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ
غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا
يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
Maksudnya
: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari
neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu
dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka
tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka,
dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan
Kini
kita berada di penghujung bulan November 2013 di mana sekarang merupakan musim
cuti sekolah. Kita yang mempunyai anak cucu yang masih bersekolah wajib
menggunakan ruang cuti ini untuk mengisi jadual anak cucu kita dengan suatu
perkara yang berfaedah untuk dunia dan akhirat mereka terutama mendalami ilmu
agama, mempelajari dan memahami al-Quran seterusnya mencintai serta menghidupkan
sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Malah digalakkan anak cucu kita
bersukan seperti memanah bagi melahirkan generasi yang sentiasa dapat memberi
tumpuan dalam tugasan dan gerak kerja yang dilakukan. Begitu juga sukan berkuda
dalam membentuk fizikal dan mental yang kuat. Jangan biarkan masa cuti anak
cucu kita tidak dirancang dengan aktiviti berfaedah sehingga mereka terlibat
dengan aktiviti tidak sihat yang merugikan anak itu sendiri, keluarga,
masyarakat seterusnya Negara.
Jadikanlah
rumah kita sebagai pusat tarbiah dalam melahirkan pemimpin ummah pada masa akan
datang. Justeru, Sayyidina Umar al-Khottab pernah menyatakan : “Sewaktu bergaul
di rumah, seorang bapa perlulah menyesuaikan diri sebagai anak-anak dengan
beramah mesra dan berlemah lembut. Beginilah pergaulan yang seharusnya
dilakukan bersama anak cucu di rumah di mana akan muncullah tokoh yang hebat
dalam sebuah keluarga itu”.
Sidang
Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 15 surah al-Ahqaf : وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ
إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ
وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ
أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي
أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ
وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ
الْمُسْلِمِينَ ﴿١٥﴾ Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah
melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya
beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan.
Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai
ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku,
ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan
kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh
yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam
jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya
aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".
Menyedari
bagaimana peri pentingnya pendidikan yang tidak terhad di pusat pengajian,
masjid, surau sahaja tetapi meliputi di rumah itu sendiri seterusnya di pejabat
dan mana sahaja. Jangan biarkan umur kita sahaja bertambah dengan pengedaran
hari berganti minggu, minggu bertukar bulan seterusnya bulan berganti tahun
sedangkan amalan soleh tidak bertambah ketika dosa pula bertimbun.
Abdullah
bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun
dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal
kejahatannya, maka hendaklah dia bersiap-siap ke neraka.” Imam asy-Syafi’e
ketika mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika
ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah,
aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam
sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang
masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak
memiliki sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan
sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak
berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali
hal yang menurut syarak lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.”
Sidang
Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 56 surah an-Nisa’ : إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ
نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا
غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا ﴿٥٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan
membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus,
Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab
sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana. Kejayaan kita bukan setakat memiliki harta bertimbun, pangkat tinggi
menggunung atau pengikut dan keturunan berduyun sebaliknya kejayaan kita
bergantung kepada kejayaan untuk kita sendiri seterusnya ahli keluarga kita
berperangai dengan perangai ahli Syurga dan menjauhi perangai ahli Neraka.
Seorang
ulama’ pernah memberi nasihat kepada isterinya yang sedang menyusu anak mereka
dengan katanya : “Wahai isteriku tercinta! Susuilah anak kita bukan sekadar
kerana rasa sayang kepadanya kerana jika semata-mata sayang maka binatang pun
berbuat demikin juga ketika menyusu anak mereka. Sebaliknya niatkan supaya
sifat mentauhidkan Allah turut mengalir bersama susumu ke dalam diri anak
kita”.
Ingatlah
begitu banyak ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita tentang betapa dahsyat
dan peritnya seksaan ahli Neraka. Malah seorang ahli saintis Thailand telah
mengkaji tentang sebab Allah menyatakan kulit manusia akan diganti dengan kulit
baru sepanjang dibakar dalam Neraka sehingga menemui hasil kajian bagaimana
kulit manusia terdiri daripada 3 lapisan di mana lapisan di atas sekali paling
sakit merasai sesuatu yang menyakitkan termasuk api berbanding kulit lapisan
dalam. Kajian ini membawa beliau untuk memeluk Islam. Oleh
itu bersamalah kita menyelamatkan diri kita seterusnya ahli keluarga daripada
Neraka.
Sidang
Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah : يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ
الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو
الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾ Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan
sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan
yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan)
melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Kita
sedar bagaimana ilmu agama begitu penting dalam membezakan antara hak dan
batil, halal dan haram, pahala dan dosa. Proses pembelajaran ilmu agama terus
berjalan selagi nyawa dikandung badan. Akibat jahil menyebabkan umat Islam
mudah terjerumus dengan ajaran sesat serta aktiviti tidak sihat termasuk dadah,
mencuri, pecah amanah, rasuah, mendedah aurat, tinggal solat dan sebagainya.
Malah wujudnya umat Islam yang tidak yakin kepada system Islam termasuk hukum
hudud akibat kejahilan yang menguasai diri.
Oleh
itu kita terus mendesak agar pemimpin segera menjadikan matapelajaran agama
Islam sebagai subjek teras yang wajib lulus dalam semua peringkat peperiksaan
serta memasukkan matapelajaran agama di semua fakulti di Universiti awam dan
swasta dalam memperkasakan ilmu dan penghayatan Islam dalam kehidupan. Kita
tidak mahu hanya Bahasa Inggeris yang diutamakan demi mengejar kemajuan di mana
dasar terbaru Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus SPM tahun
2016. Kita tidak mahu anak bangsa kita menjadi mangsa dari dasar ini
sebagaimana kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI), yang akhirnya dimansuhkan berkuat kuasa 2012 yang mampu
menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun.
Begitu
juga perlantikan mentor bahasa Inggeris yang menelan belanja RM 270 juta
setahun tetapi hasilnya begitu mengecewakan bila prestasi pelajar merosot.
Kajian menunjukkan bagaimana tidak ada satu negara pun di dunia ini yang
mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa luar dan meninggalkan
bahasa ibunda. Lihat sahaja Jepun , Korea , Taiwan ,
China , Russia , German,
Perancis dan banyak lagi negara telah begitu maju dalam pelbagai bidang
teknologi tanpa perlu bergantung kepada bahasa Inggeris. Juga, tiada satu
negara pun yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa kedua
mereka sama ada Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol atau lainnya.
Bahkan,
berdasarkan kajian Pertubugan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB), jika sesebuah negara
itu ingin maju, mereka hendaklah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa
pengajaran dan pembelajaran. Kita tidak mahu setiap dasar yang diluluskan
menjadikan pelajar sebagai bahan ujikaji sedangkan dalam masa sama ada pihak
yang mengaut keuntungan daripada setiap dasar yang dilaksanakan. Ibnu Khaldun
pernah berkata bahawa sesuatu bangsa yang paling teruk dan tidak bermaruah
ialah apabila bangsanya dijajah dan dia pula terpaksa menggunakan bahasa
penjajah untuk maju.
Sidang
Jumaat yang dihormati sekalian, Akibat jahil juga menyebabkan kita mudah ditipu
dalam apa jua perkara. Antara contohnya alasan bodoh kenaikan harga minyak dan
gula yang kadang-kadang jauh terlalu tinggi daripada Negara lain diterima
bulat-bulat. Kini cuba
dipasakkan dalam benak rakyat bahawa cukai GST yang bakal dilaksanakan
merupakan suatu yang paling baik dan tidak membebankan rakyat.
Antara
prinsip-prinsip percukaian islam adalah: [1] Cukai hanya boleh diambil di saat
kerajaan benar-benar berhadapan situasi yang sangat memerlukan iaitu kewangan
negara tidak cukup menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara. [2]
Disyaratkan pula keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dalam
perbelanjaan atau pemborosan. [3] Apabila cukai dikenakan ia tidak boleh
meliputi seluruh masyarakat tanpa membezakan kaya atau miskin. Kaedah cukai
ialah diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan untuk kegunaan orang-orang
miskin.
Antara
ciri penting negara Islam ialah merupakan negara hidayah bukan negara jibayah
(cukai). Kita dapat lihat pada zaman Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah
beliau berjaya memulihkan krisis kewangan negara dalam masa 2 tahun sahaja.
Kesedaran rakyat yang kaya dibangkitkan sehingga mereka berlumba-lumba membayar
zakat dan cukai negara. Berbeza hari ini rakyat mencari jalan dan alasan
meloloskan diri daripada cukai negara sehinggakan kerajaan kerugian cukai
berjuta-juta ringgit. Jadikan Islam sebagai cara hidup barulah kita bahagia
dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud : وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا
مُصْلِحُونَ Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan
mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa
memperbaiki keadaan sesama sendiri بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي
وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ
مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ
اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ
وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ
المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
No comments:
Post a Comment