USTAZ IDRIS
BIN SULAIMAN
Masa pantas berlalu, Ramadan yang penuh
keberkatan akhirnya meninggalkan kita. Segala puji bagi ALLAH memberi
kesempatan kepada kita untuk melalui bulan penuh berkat dan membuka peluang
seluas-luasnya untuk meraih ampunan ALLAH dengan amalan soleh yang dikerjakan.
Semoga kita dijauhkan daripada tergolong di kalangan orang yang celaka setelah
melalui Ramadan seperti sabda Rasulullah SAW, “Celakalah seorang hamba yang
mendapati bulan Ramadan kemudian Ramadan berlalu dalam keadaan dosa-dosanya
belum diampuni.” (Riwayat Al-Bukhari)
Maka dituntut ke atas kita untuk bersungguh-sungguh berdoa kepada ALLAH agar
menerima amal soleh yang telah dikerjakan dan memberikan pengampunan kepada
kita. Ini adalah amalan para Salaf, di mana Imam Mu’alla bin al-Fadhl berkata: “Mereka
(para salaf) berdoa kepada ALLAH selama enam bulan agar ditemukan dengan bulan
Ramadan, kemudian mereka berdoa selama enam bulan selanjutnya agar amalan
mereka pada bulan Ramadan diterima.” (Latha-iful ma’aarif)
Amal
berterusan dicintai ALLAH
Sepanjang Ramadan, dapat kita saksikan bagaimana umat Islam yang melalaikan
solat di masjid berpusu-pusu mendatangi masjid untuk mengerjakan kewajipan
solat fardu berjemaah.
Orang yang jarang solat malam bersemangat mengerjakan solat malam (Tarawih)
pada setiap malam, orang yang sekali-sekala baca al-Quran, alhamdulillah telah
berjaya mengkhatamkannya pada bulan yang penuh rahmat ini. Inilah keistimewaan
Ramadan di mana pintu-pintu syurga dibuka dan ditutup pintu-pintu neraka dan
dirantai syaitan sehingga dimudahkan manusia kembali mentaati ALLAH.
Apa yang pasti, amalan-amalan soleh ini tidak seharusnya berhenti dengan
berakhirnya Ramadan. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis sahih, “Amalan yang
paling dicintai oleh ALLAH adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(Riwayat Muslim)
Imam Ibnu Rajab Al-Hanbali rh ketika menjelaskan hadis ini berkata, “Amalan
yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah amalan yang dilakukan terus menerus. Baginda turut melarang memutuskan amalan dan
meninggalkannya sebagaimana Baginda pernah melarang Abdullah bin Omar.” (Fathulbaari,
Ibnu Rajab) iaitu Ibnu Omar dicela kerana meninggalkan amalan solat malam.
Amal soleh seorang Muslim yang benar keimanannya kepada ALLAH hanya akan
berakhir ketika ajalnya datang menjemput. Ini sebagaimana firman ALLAH SWT,
“Dan sembahlah Tuhanmu sampai datang kepadamu al-yaqin (ajal).” (Surah Al-Hijr:
99)
Ibnu Abbas, Mujahid dan jumhur ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan
“al-yaqin” dalam ayat ini adalah kematian, kerana kematian adalah suatu yang
diyakini pasti terjadi.
Pernah ditanya kepada Imam Bisyr bin al-Haris tentang orang yang (hanya) rajin
dan bersungguh-sungguh beribadah di bulan Ramadan, beliau menjawab: “Mereka
adalah orang-orang yang sangat buruk, mereka tidak mengenal hak ALLAH kecuali
pada bulan Ramadan, (hamba ALLAH) yang soleh adalah orang yang rajin dan
bersungguh-sungguh beribadah dalam setahun penuh.” (Latha-if Al-Ma’aarif)
Amalan
sunnah menyempurnakan yang wajib
Setelah mengetahui besarnya tuntutan untuk kita terus mengerjakan amal soleh
selepas Ramadan, maka kita perlu istiqamah dalam amalan wajib seperti solat
berjemaah, mengganti puasa yang tinggal, membaca al-Quran, menyambung
silaturahim, menahan marah, menjaga lisan dari perkataan dusta dan buruk serta
bersedekah. Sewajarnya ia disusuli dengan amalan-amalan sunat yang akan
mendekatkan kita kepada ALLAH sehingga kita menjadi hamba yang dicintai ALLAH. Rasulullah
SAW bersabda dalam hadis Qudsi (ALLAH berfirman): “Dan sentiasa hambaKu
mendekatkan diri kepadaKu dengan amalan-amalan sunnah sehingga Aku
mencintainya.” (Riwayat Bukhari)
Amalan sunnah adalah amalan yang akan menyempurnakan amalan wajib. Jika ada
kekurangan pada amalan wajib, kekurangan itu dapat ditampal oleh amalan sunnah.
ALLAH SWT berkata kepada malaikatNya dan Dia Maha Mengetahui, “Lihatlah solat
hambaKu, adakah solatnya sempurna atau tidak? Jika solatnya sempurna maka
dicatat baginya pahala yang sempurna. Jika solatnya ada kekurangan, ALLAH
berfirman: Lihatlah adakah hambaKu memiliki amalan sunat. Jika hambaKu memiliki
amalan sunat, ALLAH berfirman: “Sempurnakanlah kekurangan pada amalan wajib
dengan amalan sunatnya.” Kemudian amalan lain juga dilakukan seperti ini.”
(Sahih. Riwayat Abu Daud)
Oleh kerana itu juga ALLAH SWT mensyariatkan puasa enam hari di bulan Syawal,
di mana keutamaannya sangat besar iaitu di samping menyempurnakan kekurangan
pada puasa wajib, pahalanya pula menyamai puasa setahun penuh. Sabda Rasululah
SAW, “Barang siapa berpuasa Ramadan kemudian berpuasa enam hari pada bulan
Syawal, maka dia berpuasa seperti setahun penuh.” (Riwayat Muslim)
Maka hendaklah kita bersungguh-sungguh menyempurnakan puasa yang wajib terlebih
dahulu dan kemudian menyusulinya dengan enam hari berpuasa sunnah di bulan
Syawal, mudah-mudahan kita beroleh ganjaran pahala yang dijanjikan iaitu
seperti berpuasa setahun penuh.
Begitu juga solat malam. solat tarawih adalah istilah yang dimaksudkan untuk
solat malam (tahajud) di bulan Ramadan secara khususnya. Jika ketika Ramadan
kita telah terbiasa mengerjakannya, hendaklah ia diteruskan kerana ia bukanlah
ibadah bermusim dan ibadah yang baik adalah yang berterusan.
Nabi SAW mencela orang yang selalu mengerjakan solat malam namun kemudian dia
tinggalkan. Daripada Abdullah bin Amr bin Al ‘As ra, Rasulullah SAW berkata
padaku: “Wahai Abdullah, janganlah engkau jadi seperti si fulan. Dulu dia biasa
mengerjakan solat malam, namun sekarang dia tidak mengerjakannya lagi.” (Riwayat
Bukhari)
Tanda
diterima amal sepanjang Ramadan
Meneruskan amal soleh setelah Ramadan adalah petanda bahawa amalan yang
dikerjakan sepanjang Ramadan itu diterima. Amalan soleh jangan ditunda kerana
waktu ini sahajalah kesempatan yang ALLAH berikan kepada kita untuk beramal
sebelum ajal datang tanpa disangka-sangka. Sikap menunda-nunda adalah daripada
syaitan yang membisikkan supaya kita akhirnya tidak sempat melaksanakan
kebaikan. Diceritakan dalam al-Quran bagaimana manusia apabila sampai ajalnya
dia merayu pada Tuhannya, “Ya Rabb, kembalikanlah aku ke dunia agar aku
mengerjakan amal soleh yang aku tinggalkan.” (ALLAH berfirman) Sekali-kali
tidak! Sesungguhnya itu sekadar ucapan sahaja.” (Al-Mukminun: 99-100)
Ingatlah juga sabda Nabi SAW bahawa dua nikmat yang sering dilalaikan oleh
manusia adalah nikmat masa sihat dan masa lapang, agar ia sentiasa menjadi
motivasi dan peringatan kepada kita untuk tetap rajin dan sabar dalam
melaksanakan kebaikan yang hasilnya akan dituai setelah kematian.
Daripada Ibnu Rajab rh beliau menukilkan, “Antara tanda diterima amalan
seseorang adalah dimudahkan untuknya melakukan amal ketaatan yang lain. Dan
antara tanda tertolaknya amalan adalah melakukan kemaksiatan setelah melakukan
ketaatan. Jika seseorang melakukan ketaatan setelah sebelumnya dia melakukan
kejelikan, kebaikan itu menghapuskan kejelikan tersebut. Yang baik adalah dia
melakukan ketaatan lagi setelah melakukan ketaatan sebelumnya.
Sedangkan yang paling buruk adalah dia melakukan kejelikan setelah melakukan
ketaatan. Ingatlah bahawa satu dosa yang dilakukan setelah bertaubat lebih
jelik dari 70 dosa yang dilakukan sebelum bertaubat. Mintalah daripada ALLAH
agar diteguhkan dalam ketaatan hingga kematian menjemput. Dan mintalah
perlindungan ALLAH dari hati yang terumbang-ambing.” (Latha-if Al-Ma’aarif)
Badan Pembesar Ulama dan Jawatankuasa Tetap Kajian Ilmiah dan Fatwa, Arab
Saudi mengatakan, “Adapun orang yang berpuasa Ramadan dan solat hanya di
bulan Ramadan, maka orang seperti ini telah melecehkan agama ALLAH. (Salaf
mengatakan) “Sejelek-jelek kaum adalah yang mengenal ALLAH hanya di bulan
Ramadan sahaja.” Oleh itu, tidak sah puasa seseorang yang tidak melaksanakan
solat di luar bulan Ramadan.” (Soalan ke-3, Fatwa no. 102, 10/139-141)
Maka bersegeralah kepada keampunan dan syurga ALLAH yang luasnya seluas langit
dan bumi. Hendaklah kita sentiasa bermuhasabah menilai diri sendiri, adakah
kita termasuk orang yang beruntung dan diterima amal kebaikannya. Ini kerana
sekiranya ALLAH menghendaki kebaikan bagi hambaNya, ALLAH akan menjadikannya
mengerjakan amalan soleh. Semoga ALLAH menjauhkan kita dari termasuk di
kalangan orang-orang yang rugi.
*
Penulis ialah penyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Ahli Syura Pertubuhan Ilmuwan
Malaysia
No comments:
Post a Comment