WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Ogos 2013
SOALAN:
SOLAT itu mencegah daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Namun jenayah
masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat Islam hari ini. Mengapa hal ini
berlaku?
JAWAPAN:
SOLAT adalah identiti umat Islam. Ibadah ini dilakukan di rumah, surau
(musalla) atau masjid. Saya pernah melihat di suatu kawasan pinggir bandar,
semua pekedai akan menutup kedai pada tengah hari Jumaat kerana hendak pergi
solat. Kedai hanya dibuka semula pada jam 3 petang.
Persoalannya, mengapa budaya umat Islam tidak sama ketika dalam solat dan di
luar solat? Dalam solat, kita boleh merendahkan hati dan merendahkan diri di
hadapan Pencipta. Tetapi di luar solat, mengapa kita tidak mampu menjaga hati
dan diri sebaik dalam solat?
Solat itu pendidik peribadi dan bukan sekadar rutin semata-mata yang ditunaikan
sebaik azan berkumandang.
Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad,
engkau dan umat mu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu
yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal kebajikan
(terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah ALLAH sedemikian adalah
menjadi peringatan bagi orang yang mahu beringat.” (Surah Al-Hud: 114)
Ini bermakna, solat mendisiplinkan kita untuk menguruskan masa dan menghapus
kejahatan. Jika seseorang itu menghayati solatnya, terutama dari segi bacaan
dan perbuatan, maka tubuh zahir dan jiwa raganya akan dipenuhi dengan pelajaran
yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Contohnya, kita sujud dua kali pada setiap rakaat. Solat yang empat rakaat
mengandungi lapan kali sujud. Sujud
pula merupakan kedudukan paling rendah antara hamba dengan Tuhannya. Mengapa
kita lebih banyak sujud daripada berdiri tegak?
Pelajarannya ialah kita ini hamba. Walau setinggi mana pun pangkat kedudukan
kita dalam kalangan manusia, kita tetap rendah di sisi Ilahi.
Dalam solat, kita wajib menutup aurat. Itulah penanda aras kesopanan yang
diajar solat. Kita berasa selamat dalam pakaian tersebut, dan berbangga dengan
identiti agama kita ketika melakukan ibadat solat.
Bagaimanapun, saya hairan mengapa selepas selesai solat, ada wanita menayangkan
auratnya kepada lelaki ajnabi. Kenapa dalam solat boleh menutup aurat tetapi
tidak di luar solat? Adakah kehidupan orang Islam ini berbeza ketika solat dan
di luar solat?
Pendinding penyakit
Hakikatnya, solatlah kehidupan kita. Apa yang kita buat dalam solat, itulah
yang diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Solat sepatutnya membentuk
keperibadian mulia, terutama sekali penjagaan hati dan lidah. Sesungguhnya hati
dan lidahlah yang menjadi penyebab goyangnya akidah, permusuhan, pergaduhan dan
pecah belah.
Jika ada insan suka sangat mengumpat, mengutuk, menghina atau mengadu domba
walaupun solat awal waktu, walaupun tidak pernah meninggalkan solat berjemaah,
terbuktilah solatnya masih belum berjaya membentuk keperibadian diri.
Kita perlukan ilmu dan usaha untuk khusyuk dalam solat. Solat itu kehidupan
kita, maka wajiblah menunaikannya sebaik mungkin. Daripada 50 waktu, ALLAH
meringankannya ke lima waktu sahaja. Itulah bukti kasihnya ALLAH SWT kepada
umat Nabi Muhammad SAW.
Tidak adil jika kita masih berkira atau malas menunaikan solat sedangkan kita
boleh duduk menghadap komputer berjam-jam lamanya. Sedarlah... solat tidak
lama, sekadar lima minit sahaja.
Antara sifat orang munafik ialah mereka melakukan solat dalam keadaan malas. Antara
sifat orang fasik ialah mereka kekal melakukan dosa (tidak mahu solat). Antara
sifat orang mukmin pula ialah mereka melakukan sesuatu perkara dengan tekun. Jadi,
mana satu pilihan anda?
Kajian saintifik membuktikan solat sangat bermanfaat dari segi kesihatan. Kebanyakan
orang bersolat, tidak nyanyuk atau menderita penyakit sendi atau otot ketika
tua. Solat boleh menyihatkan tubuh badan, menjadi pendinding penyakit fizikal
dan mental.
Solat ditetapkan mengikut waktu tertentu. Perantaraan waktu bagi setiap solat
ada hikmah yang tertentu. Perubahan waktu dari pagi hingga ke malam memberikan
kita tenaga yang berbeza melalui spektrum warna cahaya.
Jika orang Islam sendiri tidak suka solat, orang bukan Islam bertepuk tangan. Kata
mereka, apabila orang Islam meninggalkan solat sebagai ibadat paling penting,
maka mudahlah untuk menjatuhkan dan menghina mereka.
Dalam solat ketika duduk antara dua sujud, terdapat doa ringkas tetapi penuh
pengharapan dan pergantungan terhadap Ilahi. Doa tersebut bermaksud "Tuhan
ampunilah aku, sayangilah aku, cukupilah kekurangan ku, Tinggikanlah darjat ku,
berikanlah aku rezeki, berikanlah aku petunjuk, sihatkanlah aku, maafkanlah
aku."
Jiwa lebih tenteram
Solat Jumaat diwajibkan kepada golongan lelaki. Lelaki adalah ketua kepada
wanita, ketua keluarga, ketua syarikat dan ketua jabatan. Tujuan khutbah Jumaat
pula untuk memberikan peringatan kepada lelaki mengenai tanggungjawab mereka
memakmurkan institusi rumah tangga dan syarikat masing-masing.
Solat dan khutbah Jumaat perlu diniatkan untuk mendapatkan ilmu dan menambahkan
iman. Maklumlah, yang datang ke masjid itu ketua pegawai eksekutif, pengurus
dan orang berjawatan penting dalam syarikat. Gaji pula mahal.
Sedangkan khatib yang membaca khutbah bukanlah sesiapa... tiada pangkat, gaji
pun rendah sahaja. Jadi, apa kelas pegawai atasan mendengar nasihat daripada
khatib berstatus jaguh kampung, bukan?
Alangkah bagusnya kumpulkan semua inti pati khutbah Jumaat yang didengar itu
untuk dijadikan rujukan dan penambahbaikan amal ibadat. Bayangkan jika ada 52
minggu setahun, maka 52 khutbah kita dengar. Jika semua lelaki Islam
memanfaatkan khutbah Jumaat sebagaimana yang diajar oleh agama, tentulah indeks
jenayah akan susut.
Pihak lelaki mendengar khutbah untuk dirinya, kemudian balik ke rumah dan
mengulanginya semula kepada anak dan isteri. Inilah antara bentuk bimbingan
suami kepada isteri, juga bapa kepada anak.
Dengan cara ini, dakwah berjalan. Dengan cara ini institusi kekeluargaan boleh
dikukuhkan. Dengan cara ini jenayah, maksiat dan gejala sosial boleh dibendung
bermula dari dalam rumah lagi.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan
bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ditimpa kesusahan dia
sangat resah gelisah. Dan apabila beroleh kesenangan, dia sangat bakhil
kedekut." (Surah Al-Maarij: 19-21)
Oleh itulah Islam datang sebagai pengantara untuk menyeimbangkan diri manusia
antara resah dan bakhil. Penyelesaiannya ialah bersikap sederhana. Tidak sampai
ke tahap fakir ataupun terlalu kaya yang bakhil. Dengan kesederhanaan, hati
lebih tenang dan jiwa lebih tenteram.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Kecuali orang yang melaksanakan
solat, mereka yang tetap setia melaksanakan solat." (Surah Al-Maarij:
22-23).
Ayat ini merupakan sambungan daripada ayat 19-21 yang menyatakan bahawa orang
yang mengerjakan solat merupakan orang yang boleh menghindari tabiat resah
gelisah dan bakhil kedekut.
Jika hati resah, ambillah wuduk kemudian lakukan solat dengan khusyuk. Selepas
solat, insya-ALLAH rasa resah gelisah itu akan hilang dan rasa tenang pula
datang sebagai pengganti.
Jika kita merasakan sukar untuk menderma kerana bimbang harta akan berkurangan,
ambillah wuduk kemudian lakukanlah solat tahajud, solat hajat atau solat
tasbih.
Melalui solat tersebut, hati akan berasa sayu lalu mengakui tiada yang lebih
hebat, tiada yang lebih berkuasa, tiada yang lebih kaya melainkan ALLAH SWT.
Apa yang kita miliki tentang harta keduniaan, tidak sedikit pun sebanding
dengan apa yang ALLAH SWT miliki di langit dan bumi. Malah, tubuh badan kita
pun dicipta oleh-Nya. Sekaya mana pun kita, jika jatuh sakit tetap memerlukan
pertolongan-Nya jua.
Oleh itu, janganlah kita bersolat sebagai rutin atau meneruskan tradisi
keluarga semata-mata. Galilah dan manfaatkanlah apa yang ada di dalam solat
itu. Mudah-mudahan hidup kita lebih bermakna, berkat solat yang kita tunaikan
sepanjang usia.
No comments:
Post a Comment