CIKGU SIDEK BABA
Kefahaman adalah kunci-kata dalam proses mengajar dan
belajar. Ia adalah natijah
akhir dalam suatu proses mengajar-belajar. Teori pembelajaran memberikan asas
kefahaman sebagai puncak proses ini. Tidak faham memberi makna proses
pengajaran-pembelajaran tidak berlaku.
Setiap ilmu diajar perlu cara berkesan untuk disampaikan kepada pelajar.
Pelajar akan menjadi manusia yang sangat gembira apabila menerima kefahaman
daripada sesuatu pengajaran. Pengajaran bukan asal sampai. Pendidikan sendiri
natijah akhirnya membawa pelajar tahu dan berpengetahuan.
Lebih jauh dari itu maklumat dan pengetahuan tidak cukup. Bagaimana pendidikan
dapat mengolah pengajaran sehingga kefahaman membawa kepada perubahan diri
iaitu sikap, watak, tindakan dan amalan.
Suatu kaedah yang baik dalam memberikan kefahaman ialah menerusi hujah dan
penjelasan baik. Sesuatu hujah disampaikan memerlukan kupasan dan huraian mudah
diterima oleh pelajar. Apalagi sekiranya huraian itu disertai contoh-contoh.
Dalam hal berkaitan benda ghaib, keupayaan pendidik mengaitkan bukti ciptaan
ALLAH dengan ayat-ayat al-Quran supaya wujud hubungan antara yang nyata dengan
ghaib, supaya difahami bahawa yang dicipta itu bukanlah sesuatu yang sifatnya
semula jadi tetapi terkandung banyak hikmah kepada manusia dan kehidupan.
Pendekatan mengajak para pelajar berfikir dan berzikir mengenai kebesaran ALLAH
ini berupaya menghubungkan kefahaman seimbang. Berfikir bermakna bagaimana daya
taakulan terjadi dan ia terhubung dengan perkara-perkara yang nampak dan
berzikir dalam erti kata luas bagaimana faktor yang nampak (tangible) dikaitkan
dengan perkara ghaib.
Melihat tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dari segala jenis adalah fenomena
alamiah. Mengkaji hikmah di sebalik hadirnya tumbuh-tumbuhan dan pokok mengajak
manusia berfikir tentang Pencipta. Betapa tumbuh-tumbuhan dan pokok terkandung rahsia besar untuk alam dan
umat manusia. Memahami hakikat ini menyebabkan manusia menghubungkan fikir dan
zikir dalam satu tautan bahawa semua itu tidak terjadi dengan sendiri. Ia
terjadi dengan kehendak Pencipta dan terkandung rahsia serta hikmah bagi orang
yang berfikir dan berzikir.
Pemahaman secara integratif ini membimbing
pelajar mencari makna akan sesuatu. Makna akan sesuatu tidak saja difahami
secara zahiri tetapi dilihat secara batini. Tumbuh-tumbuhan adalah penting
untuk suasana kehijauan dan terkait dengan faktor persekitaran.
Memelihara persekitaran adalah sesuatu yang amat dituntut. Memusnahkan
tumbuh-tumbuhan boleh sebabkan persekitaran terancam. Kepanasan dunia (global
warming) yang terjadi kini adalah akibat kerakusan manusia merosakkan
tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dan ia memberi kesan terhadap iklim.
Kefahaman menerusi proses fikir dan zikir, iaitu upaya taakulan manusia dengan
proses merenung dengan jiwa tadabbur sentiasa menghubungkan apa yang dicipta
dengan maksud penciptaan itu sendiri. Kalau apa yang dicipta tidak dihargai
hikmah di sebalik penciptaannya, kerosakan kepada kehidupan akan terjadi.
Proses menerima makna adalah puncak daripada proses faham. Sekadar tahu dan
manusia memiliki maklumat tidak memadai. Menghubungkan apa manusia tahu dan
maklumat dikutip sebagai sumber ilmu yang benar dan bermanfaat bakal membimbing
akal-budi pelajar menghargai apa diciptakan.
Justeru kefahaman terhadap sesuatu membawa makna sebenar kepada diri dan
kehidupan apabila ia terkait dengan Pencipta. Al-Quran umpamanya terkandung
pertunjuk dan pedoman kepada orang-orang yang bertaqwa.
Takwalah yang membezakan antara manusia dengan lainnya di sisi ALLAH. Jiwa
muttaqeen ini sangat penting bagi manusia kerana ia adalah pedoman terbaik
meletakkan diri manusia memiliki karamah insaniah. Manusia terbilang dan
cemerlang, memiliki kualiti ihsan yang tinggi dan selalu mensejahterakan diri
serta sekitarnya.
Selalunya kefahaman manusia hanya bersifat zahiri semata. Pengetahuan diterima,
maklumat didapati belum tentu menjadi sumber ilmu. Apabila ia terhubung dengan
ALLAH apalagi al-Quran, ilmu menjadi cahaya yang menerangi akliah dan
hati budi.
Darinya akan terbentuk sikap yang sentiasa memiliki jiwa kehambaan dan
kekhalifahan yang sentiasa akur pada ketentuan ALLAH
No comments:
Post a Comment