Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara
sensitif mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan
muncul. Sememang inilah reality masyarakat ‘era baru’ kini yang mempunyai
pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh generasi yang
hidup dalam era yang lepas.
Umpamanya apabila isu video anjing yang dikaitkan dengan umat
Islam menyambut hariraya timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang dimusuhi
oleh Islam. Ada
yang kata video itu hina umat Islam. Ada
yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang kata apa salahnya kita membela
anjing macam orang lain. Macam-macam lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.
Ramai yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada
pandangan muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara
ringkas isu-isu berikut;
Samakan Dengan Anjing
Walaupun
manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya kesemua
masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak dengan anjing
merupakan satu penghinaan. Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man’s best friend’ namun jika kita berkata ‘you are like a dog’ ia merupakan satu penghinaan. Jika pun
ada yang memahami dengan maksud kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan
yang membuta tuli.
Al-Quran
juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan yang buruk bagi golongan ulama
penjilat dunia yang menjual prinsip kebenaran demi kepentingan diri. Firman
Allah: (maksudnya)
“Dan
bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri
kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan
dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia
dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat
kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati
cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah
seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika
Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan
orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu
supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).
Jadi, jika
masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka dibandingkan
dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang membuat apa-apa
provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar dan ingin menimbul
permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab. Perbuatan itu merosakkan
keharmonian masyarakat di negara ini.
Islam Benci Anjing?
Dalam
al-Quran Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda al-Kahfi
dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang zalim pada zaman
mereka. Firman Allah: (maksudnya)
“dan
engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan
mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedangkan anjing
mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat
mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah
engkau akan merasa amat gerun takut kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing
tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang kebenaran.
Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat yahudi menamakan anjing itu ‘qidmir’.
Sementara dalam hadis pula, Nabi
s.a.w bersabda:
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor
anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir
kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat
kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia
diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).
Betapa seorang pelacur yang buruk
sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana dengan ikhlas memberikan minum
kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin untuk kita menganggap bahawa Islam
tidak menilai sebagai satu perbuatan yang baik jika muslim memberi makan dan
minum kepada anjing?!! Jika ada orang muslim yang memberi makan kepada anjing
patutlah dipuji.
Bolehkah
muslim memiliki anjing?
Dalam al-Quran, Allah menyebut: (maksudnya)
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): “Apakah
(makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” bagi menjawabnya: “Dihalalkan bagi kamu
(memakan) yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang
pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih
binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu)
sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu makanlah dari apa
yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap untuk kamu dan sebutlah nama
Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat
4)
Binatang pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab
tafsir seperti Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai
pemburu utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud
tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn al-Jauzi
(meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.
Ertinya,
muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang
menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab
al-Kahfi yang disebutkan tadi.
Bolehkah Muslim Memegang Anjing?
Najis boleh disentuh tetapi hendaklah dibasuh apabila
kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan masyarakat. Menyentuh anjing
yang kering sepakat ulama tidak najis. Menyentuh anjing basah khilaf pendapat
dalam kalangan sarjana. Mazhab Syafie agak tegas dalam hal ini. Namun,
pendapat-pendapat mazhab lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis anjing
itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis :
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka
basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat
al-Bukhari).
Memelihara Anjing Dalam Rumah
Adapun
memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam.
Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa
yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga
ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan
hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang
disebutkan berada pada hukum makruh. Ada
ulama yang mengharamkan. Namun hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi
pengurang pahala sahaja. Maka, hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas
beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang
suka dengan anjing. Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah
orang. Sesiapa yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki
kenderaan yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat
bertahan. Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan tidak
mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan hubungan baik
antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai
kemerbahayaannya. Gigitan anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak
kajian yang telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya
anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat
demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing. Betapa banyak binatang
yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana kemerbahayaannya. Itu semua
bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam hadis tadi, Nabi s.a.w:
“Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah
sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah” (Riwayat al-Bukhari).
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang sentiasa menjelir
lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga bahaya dari segi saintifik
maka Islam melarang untuk kita memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan
yang diizinkan.
Maka ini ringkasan yang sempat saya
coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan
dengan anjing.
Sumber : http://drmaza.com/home/?p=2449
No comments:
Post a Comment