Thursday, October 10, 2013

Lucu, JKK siasat JKK

ABD JALIL ALI
Sinar Harian 10 Oktober 2013


MUNGKIN ada yang mula panas punggung. Boleh jadi juga ada yang meracau dan menjerit dalam tidur, macam kena polong kerana diganggu mimpi ngeri.

Atau, ada yang jumpa bomoh minta air jampi. Apa pun jangan sampai terjun dari bangunan tinggi untuk membunuh diri.

Semua gara-gara satu jawatankuasa khas (JKK) telah ditubuh bagi meneliti dan mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa sendiri akan mempengerusikannya dengan anggota terdiri daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

Seperti yang dilaporkan jawatankuasa itu akan mengambil tindakan susulan termasuk tindakan tegas ke atas mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku dan penyelewengan seperti yang didedahkan oleh Tan Sri Ambrin Buang.

Sebenarnya dalam sesetengah kes, si penyangak boleh dikesan dengan mudah. Tidak payah tunggu lama-lama untuk mencekupnya. Kalau hendak tangkap hari ini pun boleh, esok terus sumbatkan dalam lokap. Tidak perlu pun menubuhkan jawatankuasa khas.

Sementelahan pula kita memang sudah terlalu banyak jawatankuasa khas!

Contoh 1: Kes pembelian 20 buah jam dinding oleh sebuah agensi kerajaan. Jam tersebut hanya RM100 sebuah, kalau beli 20 jumlah kosnya RM2,000. Tetapi, benda itu dibeli pada harga RM3,810 sebuah, maka kos kesemuanya menjadi RM76,200.

Mudah sahaja untuk mengesan si penyangak. Tidak perlu menggunakan khidmat perisik 007 James Bond. Cari siapa yang meluluskan pembelian itu? Pegawai mana yang busuk hati dan gatal tangan sain baucar pembelian?

Tangkap pegawai tersebut, hadapkan ke mahkamah. Atau sekiranya susah untuk ke mahkamah, hantar pegawai berkenaan ke pusat pemulihan akhlak, biarkan dia menjual jam di situ.

Contoh 2: Kes seorang pegawai kanan di sebuah kementerian yang dihantar ke Geneva, Switzerland selama empat hari untuk satu lawatan kerja.

Menurut perkiraan Ketua Audit sekiranya pegawai berkenaan menaiki penerbangan pergi-balik kelas pertama, menginap di hotel terbaik, makan di restoran terkemuka dan diberi elaun membeli pakaian musim sejuk, belanja keseluruhan lawatan itu tidak akan melebihi RM50,000.

Tetapi pegawai tersebut membuat tuntutan perjalanan enam kali ganda daripada yang sepatutnya, RM303,813! Ingat, Ringgit Malaysia, bukan Rupiah.

Tidak pula dinyatakan apakah di Geneva dia makan karipap bersalut emas, atau minum sirap bandung yang selasihnya diperbuat daripada berlian.

Laporan Audit telah dengan jelas menyebut nama kementerian, tentu mudah sangat untuk mengenal pasti siapakah gerangan pegawai kanan yang terlebih tuntut itu. Tidak perlu pegawai dari pejabat Peguam Negara, kerani cabuk biasa pun boleh mengesan pegawai karipap emas itu.

Ada orang biasa yang kerja pagi petang siang malam, berjimat – sanggup makan nasi berlauk kicap – untuk membayar tambang bas sekolah anak-anak. Ada pula pegawai kerajaan yang dapat naik pesawat, duduk di hotel mewah, makan serba-serbi lazat, dan mudah sahaja songlap duit pembayar cukai dengan tuntutan perjalanan yang tidak masuk akal.

Mudah-mudahan jawatankuasa khas yang baru ditubuhkan, dalam masa terdekat ini, dapat menangkap kaki songlap berjaket, bertali leher dan berkasut gengsi itu.

Pegawai dengan tuntutan perjalanan lebih RM suku juta itu tidak boleh dilepaskan. Kalau betul dia kebas duit rakyat, patut sekali dia dihukum.

Dua contoh tersebut, berserta banyak lagi ketirisan dan penyelewengan – antaranya alat pengimbas kertas A4 yang sepatutnya hanya RM200 dibeli pada harga RM14,670, Kumpulan K-Pop dibayar RM1.6 juta, PDRM hilang 29 buah kenderaan dan 44 senjata api – membuatkan umum bertanya: inikah cara urus tadbir kita? Lemah sangatkah pengurusan kementerian dan agensi kerajaan?

Seyogia diingat ini bukan pertama kali Ketua Audit mendedahkan kepincangan dan ketirisan. Setiap tahun laporan dibentangkan ada sahaja keterlanjuran yang memalukan, juga menyakitkan hati rakyat. Harap-harap jawatankuasa khas yang baru dibentuk betul-betul berfungsi dan bertindak.

Jika tidak, kita patut menubuhkan satu lagi jawatankuasa khas, untuk menyiasat jawatankuasa khas yang ada. Barulah kita terkenal sebagai negara yang paling banyak jawatankuasa khas!

Wednesday, October 9, 2013

DARI ALLAH KITA DATANG KEPADA ALLAH KITA KEMBALI

Pagi ini sewaktu saya sedang membaca Al quran di rumah Mok Ngal, tiba-tiba telefon berdering, Cikgu Dahlia memaklumkan anak Ustaz Fitri, guru sekolah SKSS1 meninggal dunia. Anaknya baru berusia 10 bulan, baru pandai berjalan jatuh.

Punca kematian, dilanggar kereta beliau sendiri. Sewaktu sibuk bersiap-siap untuk ke sekolah dan sedang sarapan pagi, isteri beliau keluar ke garage kereta untuk mengalihkan keretanya proton exora yang baru dibeli. Tanpa disedari anaknya yang baru berusia 10 bulan berada di belakang kereta. lalu melanggar anaknya  sewaktu undur ke belakang..Takziah kepada Ustaz Fitri, semuga anak ini akan memberi syafaat di akhirat kelak kepada Ustaz dan isteri amin,,,,,

Minggu lepas, bendahari Masjid Terapung meninggal dunia, dalam usia awal 60han, sebelah paginya beliau hadir kelas mengaji Qiraat dalam keadaan sihat, tetapi jam satu malam meninggal dunia. Inilah beberapa peristiwa kematian yang begitu mudah berlaku.

Bila dah sampai masa, sesaatpun tak boleh nak dipercepat atau dilambatkan. Semuanya akan menemui maut. Yang tua, yang muda, yang sakit, yang sihat hatta kanak-kanak pun mati.

Itulah dia kehidupan, Malam sabtu lalu sewaktu saya bersembahyang di Masjid Ansar, AU2 Kg. Dato Keramat Kuala Lumpur, Ustaz yang bertugas sebagai imam di Masjid Ansar membacakan hadis berkaitan peristiwa akhirat. Ringkas cerita,, manusia akan dihidupkan kembali tanpa bicara selama hampir 70 tahun dalam keadaan telanjang bulat. Diselubungi dengan peluh masing-masing, ada yang sampai ke hidung, ada yang sampai ke perut dan sebagainya bergantung kepada amalan mereka sewaktu hidup didunia. 

Bayangkanlah, ada hadis yang menceritakan tentang tempoh masa dunia dengan akhirat sangat berbeza. Sehari di akhirat sama dengan 500 tahun atau 1000 tahun di dunia. Kalaulah kita dibiarkan hidup sebelum perbicaraan dengan Allah Yang Maha Adil selama 70 tahun X 1000 tahun jadilah 70,000 tahun dalam keadaan terumbang ambing.

Rasa-rasanya hidup di dunia ini berbanding dengan hidup di akhirat agaknya tak sampai 1 atau dua jam sahaja di akhirat. Itulah yang kita sibuk mencari harta kekayaan sehingga lupa dosa dan pahala. Kita dilalaikan dengan kerja buat yang mana kehidupan ini tak seberapa jam sahaja berbanding dengan hari akhirat.

Teringat saya cerita mengenai seorang penjual kayu api yang diseksa bertahun-tahun dalam kubur, kerana kesilapan mengambil secebis kayu (sebesar pengorek gigi) yang telah dijualnya untuk mencungkil giginya.

Berapa lama agaknya orang-orang yang songlap duit rakyat berpuluh-puluh ribu ringgit malahan jutaan ringgit hasil laporan audit negara ? Wallah hualam.

Marilah kita tunaikan ananah kita sebaik yang mungkin, sebelum ajal mendatangi kita.......................

Monday, October 7, 2013

Tazkirah Sirah : Penghakiman Paling Aneh Di Dunia

Tuan Ibrahim Tuan Man


Selepas Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada khalifah Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz.

Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima tentera Islam, Qutaibah serta angkatan tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan tanpa seruan dakwah kepada Islam.

Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya membicarakan kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.

Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand) dan yang didakwa (Qutaibah, panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.

Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan paderi besar Samarkand di hadapan hakim Samarkand yang muslim.

Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada paderi besar Samarkand:-

Hakim: Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand?

Paderi: Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa menyeru kami kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk kami membuat keputusan mengenai pendirian kami!

Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:- Apa jawapan kamu terhadap dakwaan ini wahai Qutaibah?

Qutaibah: Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak mahu membayar jizyah.

Hakim: Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand) kepada Islam atau membayar jizyah atau perang?

Qutaibah: Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan alasan yang telah saya sebutkan tadi.

Hakim: Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa mengaku, selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menolong umat ini melainkan dengan (berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan keadilan.

Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:

Hakim: Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand, merangkumi pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang Islam yang tinggal di Samarkand!

Paderi besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tanpa bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa minit sahaja.

Paderi besar dan orang-orang Samarkand yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan para petugas bangun dan beredar.

Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng memenuhi angkasa, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan bendera-bendera kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan. Mereka tertanya-tanya kehairanan, apa yang telah terjadi?

Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan angkatan tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dan menggemparkan.Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu, anjing-anjing berkeliaran di jalan-jalan yang sunyi, suara-suara tangisan bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu umat yang adil lagi penyayang dari negeri mereka.

Lantas paderi besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri lebih lama lagi. Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai paderi besar menuju ke arah angkatan tentera Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.Ya Allah!

Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang agung.Pernahkah anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota, kemudian penduduk kota itu membuat dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam perbicaraan dan diperintahkan keluar dari kota yang telah ditakluknya?

Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat di dunia ini selain dari umat Islam!

Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi

Sunday, October 6, 2013

Isaac Newton patut ke Terengganu

ABDUL JALIL ALI
3 Oktober 2013

SEKIRANYA Sir Isaac Newton masih hidup saya pasti dia berminat sangat untuk ke Terengganu sekarang. Bukan untuk melihat penyu bertelur di Rantau Abang, tidak juga untuk mencandat sotong di Pulau Kapas. Malah, dia juga tidak berminat makan keropok lekor di Losong, atau menjamah ikan celup tepung di Batu Rakit.

Ahli fizik dan matematik tersohor itu ingin meneruskan kajiannya mengenai ‘Law of Gravity’. Ada tanda-tanda dan bukti yang semakin jelas bahawa teori popularnya mengenai kuasa tarikan bumi atau graviti mungkin menjadi lebih lengkap jika kajian dilakukan di Negeri Penyu dalam waktu terdekat ini.

Dibandingkan dengan tempat lain seluruh dunia, negeri ini mungkin mempunyai graviti paling kuat, kalah besi berani.
 
Tentu saintis keturunan Inggeris (1642 – 1727) itu ingin membuat kajian terperinci, khususnya mengenai kaitan antara bumbung masjid dengan kuasa tarikan bumi. Mungkin teorinya kira-kira tiga abad lalu sudah tidak relevan.
Meski pun Newton tidak sempat ke Terengganu, adalah sesuatu yang menarik untuk dikaji mengapa terlalu banyak bumbung runtuh di negeri ini. Tentu orang tidak kisah sekiranya yang runtuh itu reban ayam diperbuat dari buluh.

Orang juga tidak ambil peduli jika bumbung yang menyembah bumi itu diperbuat daripada plastik.

Apa yang menimbulkan syak dan keprihatinan rakyat ialah banyak keruntuhan – setakat ini lebih daripada 10 sejak 2008 – terjadi ke atas bangunan yang dibuat daripada besi keluli, menelan belanja pembinaan RM berjuta-juta, dan sesetengahnya menggunakan kepakaran perunding dari luar negara. Pelik tetapi benar, tidak ada gempa bumi, tidak ada tsunami, semuanya runtuh dalam hembusan angin sepoi-sepoi bahasa.

Seperti yang diketahui antara keruntuhan besar yang memalukan ialah Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin apabila sebahagian struktur bumbungnya roboh pada 2 Jun 2009.
Baru beberapa bulan siap stadium dengan kos RM292.9 juta itu dilanda musibah.

Peruntukan RM120 juta lagi diluluskan untuk kerja-kerja membaik pulih, tetapi musibah berulang apabila sebahagian struktur bumbung stadium berkenaan sekali lagi roboh pada 20 Februari lalu, kira-kira pukul 11.30 pagi, menyebabkan tiga pekerja parah manakala dua lagi cedera ringan. Kuat betul graviti di situ!

Antara keruntuhan lain yang membuktikan graviti di negeri ini paling kuat termasuklah siling bumbung Lapangan Terbang Sultan Mahmud (29 Jun, 2008), balkoni Pusat Latihan Antarabangsa Kemaman (15 Mac, 2009), bumbung Terminal Bas Kuala Berang (21 Disember, 2009), bangunan Institut Oseanografi UMT (29 Mac 2010).

Bumbung masjid pun sudah kerap runtuh, sudah perkara biasa di negeri pantai timur yang kaya minyak ini. Paling akhir, hujung minggu lalu masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di Kuala Terengganu menerima nasib sama.

Entah tertegur jembalang mana, atau hantu laut mana yang menolak, tiba-tiba sahaja kira-kira 40 peratus bumbung masjid tersebut runtuh. Bilal yang tiba jam 4 pagi untuk persiapan solat Subuh terkejut melihat runtuhan di hadapan mata.

Masjid yang boleh menampung 1,000 jemaah ini dibina dengan kos RM6 juta, baru siap dan digunakan kira-kira dua tahun.

Baru 20 Mei lalu, kita dikejutkan dengan keruntuhan bumbung hadapan Masjid Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu, nyaris meragut nyawa 12 jemaah yang baru menunaikan solat Isyak. Sebelum itu, 3 Oktober 2009, bumbung Masjid Kampung Batu Putih, Kerteh, Kemaman juga gugur ditarik bumi, menyebabkan tiga orang cedera.

Pendek kata kalau satu hari nanti diwujudkan ‘Anugerah Runtuhan Negara’, Terengganu Darul Iman boleh dicadangkan sebagai negeri pertama menerima anugerah tersebut. Pada hemat saya, ada dua kemungkinan mengapa kerap sangat bumbung dan bangunan di negeri ini runtuh:

Pertama, graviti di sini terlalu kuat. Kalau Newton masih hidup bolehlah dia baring di bawah pokok kelapa di Kuala Kemaman untuk membuat kajian. Dinasihatkan dia memakai topi keledar, sebab buah kelapa lebih berat dari epal yang memberinya ilham ketika melakukan kajian awal lebih tiga ratus tahun dulu.

Kedua, rasuah. Dalam hal ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut sangat menyiasat.



Audit : Isyarat kerajaan boros, tidak berhemah

Laporan Audit Isyarat Perbelanjaan Kerajaan Boros Tidak Mengikut Kaedah Perbelanjaan Berhemah Islam

2 asas penting dalam perbelanjaan sebagaimana digariskan oleh Islam ialah pertama perbelanjaan berhemah dan kedua perbelanjaan menurut kemampuan. Allah berfirman dalam surah al-Furqan, 67:

وَŲ§Ł„َّŲ°ِŁŠŁ†َ Ų„ِŲ°َŲ§ Ų£َنْفَŁ‚ُوا Ł„َŁ…ْ يُŲ³ْŲ±ِفُوا وَŁ„َŁ…ْ يَŁ‚ْŲŖُŲ±ُوا وَكَانَ ŲØَيْنَ Ų°َŁ„ِكَ Ł‚َوَŲ§Ł…ًŲ§

Maksudnya: Dan mereka yang apabila berbelanja mereka tidak boros dan tidak kedekut dan adalah perbelanjaannya pertengahan antara keduanya.

Allah berfirman lagi al-Tolaq: 7

Ł„ِيُنْفِŁ‚ْ Ų°ُو Ų³َŲ¹َŲ©ٍ Ł…ِنْ Ų³َŲ¹َŲŖِهِ وَŁ…َنْ Ł‚ُŲÆِŲ±َ Ų¹َŁ„َيْهِ Ų±ِŲ²ْŁ‚ُهُ فَŁ„ْيُنْفِŁ‚ْ Ł…ِŁ…َّŲ§ Ų¢ŲŖَاهُ اللَّهُ

Maksudnya: Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan kelapangannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya hendaklah dia berbelanja berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah

Saya memetik ulasan umum Ketua Audit Negara Tan Sri Datuk Setia Haji Ambrin Buang dalam Laporan Audit Negara 2012 siri 1 hasil daripada pengauditan 21 program/aktiviti/projek dibawah 15 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 4 syarikat Kerajaan dan juga siri 2 hasil daripada pengauditan 24 program/aktiviti/projek dibawah 13 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 2 syarikat Kerajaan dan pengurusan terhadap prestasi kewangan dan pengawasan syarikat kerajaan:
"Pada umumnya terdapat kelemahan seperti improper payment, kerja/bekalan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai, kelewatan tidak munasabah, pembaziran, kelemahan pengurusan hasil dan kelemahan pengurusan aset Kerajaan. Kelemahan tersebut adalah disebabkan oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosuder yang ditetapkan oleh Kerajaan, kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan menetapkan skop serta spesifikasi tender, tidak memantau dengan kerap dan teliti kerja kontraktor /vendor/perunding, kurang kemahiran dalam pengurusan projek, lewat membuat keputusan mengenai perolehan, sistem maklumat Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini, kurang memberi perhatian terhadap keberhasilan /impak sesuatu program/aktiviti/ projek, kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset dan kekurang pegawai untuk mengutip hasil".
Menelusuri satu-persatu setiap Laporan Audit 2012 jelas menemukan kita dengan pelbagai kecuaian, pemborosan dan ketirisan yang sangat ketara dalam perbelanjaan kerajaan sama ada berskala kecil atau skala besar. Ulasan "tidak memuaskan" boleh ditemui di banyak tempat.

Antaranya:
1. Di Kementerian Kewangan "pembayaran RM529,733 kepada 4 syarikat perunding yaang dilantik pada tahun 2003 merupakan satu pembaziran kerana laporan yang dikeluarkan tidak dapat digunakan" (Laporan Audit Siri 1 hlm xiv dan 41)
2. Di Kementerian Pengangkutan projek peningkatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dengan 2 pakej bernilai RM1.44 bilion. Untuk pakej 2 Audit mengulas "kerja naik taraf tidak mengikut  spesifikasi/tidak berkualiti." (Laporan Audit siri 1 hlm xix)
3. Perbelanjaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar melibatkan Scanner A4 berharga RM200 di pasaran ditender dengan harga RM14,670.
4. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melakukan lawatan ke luar negara berjumlah RM3.43 juta tanpa  disokong dokumen lengkap. Kos lawatan ke luar negara berjumlah RM253,813 tidak munasabah dan tidak mengikut kadar ditetapkan. Program promosi dan publisiti yang dibatalkan telah dibayar RM3.19 juta. Juga berlaku improper payment RM13.54 juta. (Laporan Audit 2012 siri 2 xxxi)
5. Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk menaja kumpulan K-Pop. Menariknya sebelum ini kementerian melaporkan konsert tersebut ditaja oleh syarikat swasta. Ertinya pemborosan berlaku disulami dengan penipuan untuk menutup pemborosan.

6. Jabatan Kastam lupuskan kasut 7659 unit dengan kerugian 600k dengan alasan tidak menepati piawaian

7.    Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanjakan RM7.23 juta terhadap projek penambahbaikan TOP WP Labuan walaupun masih dalam proses timbang tara dengan kontraktor asal pembinaan TOP di mana akhirnya projek penambahbaikan terpaksa ditamatkan. (Laporan Audit 2012 siri 2 hlm xxviii)

Justeru, saya menegaskan beberapa perkara berikut:

1. Ketirisan dan pemborosan sepertimana didedahkan oleh Laporan Audit Negara bukanlah kali pertama berlaku. Malah laporan-laporan audit sebelumnya menyaksikan hakikat pemborosan dan ketirisan yang sama. Ia mendorong satu anggapan bahawa kerajaan tidak berusaha mengambil pengajaran dan tidak berusaha membetulkan keadaan.
2. Pemborosan dan ketirisan perbelanjaan negara adalah penyebab kepada situasi hutang negara yang telah melebihi RM500 bilion.
3. Alasan kerajaan bahawa hutang negara tersebut adalah terkawal masih boleh diterima sekiranya tidak berlaku ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan. Tetapi apabila hutang berlaku kerana kelemahan pengurusan perbelanjaan maka ia tidak boleh dimaafkan dan tidak wajar lagi kerajaan membodohkan rakyat dengan alasan seumpama itu.
4. Laporan audit 2012 membuktikan bahawa pengurangan subsidi minyak hingga minyak dinaikkan 20 sen baru-baru ini dengan alasan menstabilkan kewangan negara adalah alasan yang direka-reka oleh kerajaan BN. Hakikatnya pengurangan subsidi minyak adalah untuk menampung ketirisan dan pemborosan perbelanjaan kerajaan. Berdasarkan hakikat ini saya berpandangan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi minyak adalah haram menurut Islam kerana ia bukan bertujuan menampung kekurangan dana kerajaan tetapi kerana menampung pembaziran perbelanjaan. 
5. Nasihat kerajaan untuk rakyat berjimat cermat hanyalah ibarat ketam mengajar anak berjalan betul sedangkan kerajaan menjadi contoh terbaik untuk perbelanjaan boros dan membazir.
6. Kerajaan diperingatkan bahawa perbelanjaan harta negara bukan hanya akan diaudit di dunia tetapi juga akan diaudit di akhirat Allah. Maka hendaklah kerajaan bertaqwa kepada Allah dalam membelanjakan harta negara. Pemborosan dan pembaziran juga ditolak dan dikeji oleh semua agama dan penganut agama.
7. Rakyat tanpa mengira agama, kaum dan parti tidak boleh berdiam diri melihat kemungkaran pemborosan, pembaziran dan ketirisan perbelanjaan negara. Ia ditolak oleh semua agama dan kaum. Mereka perlu mengambil sikap seperti mana yang ditunjukkan oleh seorang Tabi'i terkenal bernama Abu Muslim al-Khaulani yang secara tegas menegur Muawiyah bin Abi Sufyan r.a selaku Khalifah pemerintah Islam dalam perkara melibatkan perbelanjaan harta negara: Wahai Mu`awiyah! Harta negara itu bukan hasil usaha kamu. Bukan juga hasil usaha bapa kamu. Dan bukan juga hasil usaha ibu kamu.”
8. Saya menyokong satu demo aman besar-besaran dilakukan sebagaimana cadangan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menggambarkan keprihatinan rakyat terhadap laporan audit 2012.

YB Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus

BUKAN KURANG JUBAH, TAPI KURANG AMANAH

Oleh Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.

Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapat political mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka. Tidak kurang juga program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.

KEKURANGAN
Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering mempamirkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’. Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing’ dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.
Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama index rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi. Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.

Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata. Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.
KHIANAT
Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut:
“Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.
Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!
Maka sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. Ini kerana di Barat, samada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah. Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupunessence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.
Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Maka Allah terlebih dahulu menyebut:(maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).
Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya)
“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).
Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut:
“Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)” (Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini. Di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.
KESAN
Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?! Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:
“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.

Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan. Tetapi kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat

Tuesday, October 1, 2013

Masjid Kita Kaku Tidak Mesra Pelanggan

Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin 

Islam adalah gabungan kekuatan keruhanian dan kebendaan. Ia bukan agama kerahiban yang hanya duduk bersila berzikir dan melupakan tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi ini. Juga, bukan agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia dibicara atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat. Tidak! sama sekali tidak!

Fungsi Masjid

Masjid adalah pusat umat Islam. Masjid dalam Islam mestilah melambangkan kesyumulan atau keluasan Islam itu sendiri. Masjid mesti berfungsi untuk membangunkan umat di sudut kerohanian dan fizikalnya. Memasuki masjid bererti melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan kesyumulan agama ini. Sebab itu, umat Islam dalam kesibukan urusan kehidupan, mereka diperintahkan singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil tenaga meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia ini. Maka muncullah dalam diri setiap individu muslim satu kekuatan yang luar biasa. Ia adalah gabungan antara unsur langit dan bumi, atau kerohanian dan kebendaan. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

Dengan menunaikan solat berjemaah di masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting dalam Islam dan kehidupan muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan pendeta (yang hanya menumpukan kepada ibadah khusus), atau sudut untuk golongan menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam Islam tiada pendetaan atau pertapaan. Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar:

“Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana itulah adalah pertapaan umatku." (Ibn Hibban dan al-Hakim-hadis hasan)”.

Al-Qaradawi juga menyebut:

“Masjid Nabi itu adalah madrasah dakwah, demikian juga ianya adalah pejabat Negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja bagi yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir, memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian." (Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam, ” m.s. 233, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Kata seorang tokoh Islam yang terkenal di masa ini, Dr `Imad ad-Din Khalil dalam karyanya Dirasah fi al-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang di asaskan oleh Rasulullah SAW:

“Masjid bukannya tempat ibadat dan solat semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri, mencakupi pelbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan.” (m.s. 149 Beirut: Dar al-Nafais).

Gagal Berfungsi

Malangnya, masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal berfungsi sedemikian rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita masih tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid kepada mereka. Takut-takut dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan yang sewajarnya. Lebih teruk lagi ada masjid yang membuat penempatan khas untuk kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf orang dewasa. Kadang kala jauhnya itu pula diselang beberapa saf. Ditulis pula satu papan tanda ‘saf kanak-kanak’. Ini semua berpunca dari “khurafat” yang disandar kepada fekah kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka batallah solat. Sebabnya di bawah ‘kulit’ kanak-kanak itu ada najis kerana belum bersunat. Cubalah tanya orang-orang tua, atau ustaz yang mengajar sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis? Atau apakah jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, maka solatnya tidak sahnya?

Saf Kanak-Kanak

Lebih lucu dari itu ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya keseluruhan saf kerana ‘jangkitan sentuhan‘ kanak-kanak. Fatwa seperti ini sebenarnya terpinggir dari penghujahan dalil dan kewarasan akal. Ketika Ibn Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah SAW bersolat dan memegang telinga atau kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda. Kata Ibn ‘Abbas:

“..Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda." (Riwayat al-Bukhari).

Dalam hadis Anas:

“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari). Adapun hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya. Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani: “Adapun menjadikan saf kanak-kanak di belakang lelaki, aku tidak dapati melainkan hadis yang daif ini sahaja. Ia tidak dapat dijadikan hujah. Tidak mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf masih luas. Solat anak yatim bersama Anas di belakang Rasulullah SAW menjadi hujah dalam masalah ini." (Al-Albani, Tamam al-Minah, 284, Riyadh: Dar al-Rayah).

Layanan Buruk

Hasil lain dari kecelaruan ini, ada orang dewasa yang sanggup menarik kanak-kanak yang sedang bersolat keluar dari saf kerana dia nak masuk saf. Kemudian disuruh budak itu ke saf belakang. Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak berjiwa lemah ketika berada di masjid. Sementara orang dewasa yang lewat datang dan menarik kanak-kanak keluar itu pula terbiasa dengan sikap buruk sebagai seorang yang datang lewat lalu merampas tempat orang yang lebih awal.

Ada juga pihak masjid tidak suka kanak-kanak terlalu ramai ke masjid. Bimbang nanti mengganggu keheningan jamaah. Dukacita sikap yang demikian tersimpan dalam perasaan sesetengah orang. Ini kerana sesetengah kita lebih ingin jaga warna karpet baru dari berkempen mendapat jemaah baru.

Dalam hadis Nabi SAW, baginda bersabda:

“Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi, maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya.” (Riwayat al-Bukhari).

Lihatlah sikap mesra pelanggan yang ditunjukkan oleh baginda. Maka tidak hairan, masjid di zaman menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis ini juga memberi maksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum ramai yang bertugas di belakangnya.

Demikianlah Nabi SAW menjaga perasaan ahli jemaahnya. Adapun kita, jika ada anak yang menangis, ibunya pasti dipandang sinis. Maka jangan hairan jika kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan mesra ketika berada di pusat-pusat hiburan, dibandingkan jika berada di masjid. Kemudian kita ‘bising’ apabila generasi muda tidak minat dengan masjid, atau tidak selesa di masjid.

Pemikiran Sekular

Di sudut kesyumulan Islam, pemikiran ‘sekular’ masih terpalit baunya dalam gaya fikir kebanyakan kita. Pengajaran di masjid masih terikat dengan beberapa mata pelajaran tertentu sahaja, yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan agama. Selainnya, tidak diberi ruang di dalam masjid. Maka hanya tauhid, fekah, tafsir, tasauf dan seumpamanya diajar di masjid. Itupun sebahagiannya masih lagi menggunakan pendekatan lama seakan pendengarnya datang dari beberapa kurun yang lepas. Soalannya, mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti sains, matematik, geografi juga diajar dalam masjid-masjid?! Tidakkah agama itu merangkumi dunia dan akhirat. Jika ustaz fekah boleh mengajar dalam masjid, mengapa ‘ustaz’ sains tidak?! Fekah berkhidmat untuk umat dalam amalan mereka. Tanpa mengetahui sains juga, banyak fatwa moden tidak dapat dirumuskan! Tidakkah generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh keimanan boleh menjadi benteng kepada umat?.

Fungsi masjid sepatutnya lebih luas. Kata ‘Aisyah RA:

“Suatu hari RasululLah SAW berada di pintu bilikku, ketika itu orang–orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda melindungiku dengan selindangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka.” (Riwayat al-Bukhari).

Dalam riwayat lain disebut permainan tersebut ialah permainan senjata. Sikap tidak membantah Nabi SAW terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan Habsyah mengadakan permainan senjata dalam masjid adalah sesuatu yang diizinkan. Demikian juga baginda tidak membantah ‘Aisyah melihat mereka, menunjukkan wanita boleh melihat pertunjukan permainan yang dilakukan oleh lelaki. Ini semua menunjukkan bahawa masjid pada zaman Nabi SAW tidak kaku seperti kita.

Akademik Di Masjid

Justeru, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para pelajar kita akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia mendidik mereka lebih berdisplin dan ingatkan Allah mengenai ilmu yang dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati Allah mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam. Hal ini kerana semuanya beroperasi dalam masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid pula, maka anak-anak akan dihantar oleh ibu bapa ke masjid. Lalu hati mereka dan ibu bapa mereka akan dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid. Waktu solat, mereka akan bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu yang salah, mereka teringat mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah masjid dan berfungsilah peranannya.

Jika tiada ruang antara Maghrib dan Isyak kerana kuliah agama yang formal. Masjid kita masih banyak waktu kosong antara Zohor dan Asar dan antara Asar dan Maghrib. Duit masjid yang ditabungkan orang itu, bukan sekadar untuk dipaparkan di papan kenyataan tentang peningkatan jumlahnya. Sebaliknya untuk dibuktikan fungsinya dalam membangunkan Islam yang syumul ini.

Pusat Kempen Kebaikan

Banyak aktiviti masyarakat muslim sepatutnya masjid menjadi pusatnya. Kempen penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, kempen pembinaan ekonomi muslim dan berbagai lagi patutnya dikepalai oleh pihak masjid. Anak makmum atau jemaah yang mempunyai pelbagai kegiatan dan aktiviti boleh memanfaatkan masjid. Selagi tidak bercanggah dengan syarak, masjid boleh dijadikan penggerak kepada sebarang aktiviti yang bersifat umat dan membantu membangunkan tamadun umat. AJK masjid pula jangan jadikan masjid sebagai syarikat sendirian berhad. Masjid untuk semua. Dr Mustafa as-Siba`i dalam menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta fungsi masjid berkata:

“Apabila Rasulullah SAW sampai ke Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam, apatah lagi bagi masjid itu mesej kemasyarakatan dan kerohanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin. Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal, menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka. Sejarah masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka. Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka, yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah SAW). yang bertempat di Masjid Nabawi, jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah” (Al-Siba’i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan: al-Maktab al-Islami).

Kualiti

Kuliah-kuliah di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan perkembangan masyarakat kita. Fekah yang payah dan menyusah hendaklah dihindari. Jadikanlah Islam itu mudah dan praktikal. Bersesuaian dengan nas-nas Islam yang bersifat demikian.

Demikian pengajaran dalam masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan yang ke masjid. Jangan ustaz asyik membahaskan tentang bermacam pembahagian air dengan berbagai pecahannya yang bukan-bukan, sehingga berbulan masih tajuk mengenai air itu dan ini. Belum pun masuk tajuk solat dan seterusnya. Malangnya dalam masa yang sama tandas atau bilik air masjid dipenuhi dengan bau dan kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam bukan sahaja menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar solat.

Demikian juga isi pengajaran hendaklah dalam bentuk yang menarik generasi baru. Saingan luar masjid yang menarik manusia moden terlalu. Pusat-pusat hiburan yang lain menggamit generasi muda. Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan baru. Untuk itu, kita perlukan pihak pengurusan yang segar dan mampu membawa manusia ke masjid. Jika yang sedia ada tidak mampu maka, mereka perlu membina peningkatan diri, atau ‘menarik diri’. Pihak yang kerajaan amanahkan untuk memantau dan membina kekuatan masjid juga mesti segar megar. Jika tidak mampu, mungkin mereka kenalah segera tukar. Jika tidak, ia secara tidak langsung menghalang orang datang ke masjid.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114: (maksudnya):

“Dan siapakah yang lebih zalim dari mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.”

Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati masjid. Namun tindakan yang tidak seimbang dengan fungsi masjid menjadikan manusia terhalang secara tidak langsung kerana kita. Generasi muda pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah mereka mesti lebih ramai di masjid dari di pusat-pusat ‘lamunan’. Jangan sampai masjid kita hanya jadi kelab orang pencen sahaja. Sedangkan orang muda berkelab di tempat lain.

http://drmaza.com/home/?p=2507