Islam adalah gabungan kekuatan
keruhanian dan kebendaan. Ia bukan agama kerahiban yang hanya duduk bersila
berzikir dan melupakan tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi ini. Juga,
bukan agama yang memisahkan dunia dan akhirat, sehingga kegiatan dunia dibicara
atau dilaksanakan dalam rupa yang berasingan dengan akhirat. Tidak!
sama sekali tidak!
Fungsi Masjid
Masjid adalah pusat umat Islam. Masjid dalam Islam mestilah melambangkan
kesyumulan atau keluasan Islam itu sendiri. Masjid mesti berfungsi untuk
membangunkan umat di sudut kerohanian dan fizikalnya. Memasuki masjid bererti
melangkah ke kawasan yang melambangkan ketulusan, kemesraan, kerahmatan dan
kesyumulan agama ini. Sebab itu, umat Islam dalam kesibukan urusan kehidupan,
mereka diperintahkan singgah lima kali saban hari di masjid demi mengambil
tenaga meneruskan agenda perjuangan sebagai khalifah yang memimpin dunia ini. Maka
muncullah dalam diri setiap individu muslim satu kekuatan yang luar biasa. Ia
adalah gabungan antara unsur langit dan bumi, atau kerohanian dan kebendaan. Kata
Dr Yusuf al-Qaradawi:
Dengan menunaikan solat berjemaah di
masjid sebanyak lima kali sehari, menjadikan masjid suatu tempat yang penting
dalam Islam dan kehidupan muslimin. Masjid bukannya tempat bertapa untuk golongan
pendeta (yang hanya menumpukan kepada ibadah khusus), atau sudut untuk golongan
menganggur, bukan juga tempat ibadat golongan darwis (ahli pertapaan). Dalam
Islam tiada pendetaan atau pertapaan. Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar:
“Kewajiban kepadamu adalah jihad kerana
itulah adalah pertapaan umatku." (Ibn Hibban dan al-Hakim-hadis hasan)”.
Al-Qaradawi juga menyebut:
“Masjid Nabi itu adalah madrasah dakwah,
demikian juga ianya adalah pejabat Negara Islam. Padanya Nabi memberikan kerja
bagi yang menganggur, ilmu kepada yang jahil, pertolongan kepada yang fakir,
memandu urusan kesihatan dan kemasyarakatan, menyebarkan berita yang penting
untuk umat, bertemu dengan para diplomat asing, mengatur tentera di medan
perang juga menghantar pendakwah dan perwakilan untuk perdamaian." (Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi al-Islam,
” m.s. 233, Beirut: Muassasah al-Risalah).
Kata seorang tokoh Islam yang terkenal di masa ini, Dr `Imad ad-Din Khalil
dalam karyanya Dirasah fi al-Sirah ketika mengulas tentang fungsi masjid yang
di asaskan oleh Rasulullah SAW:
“Masjid bukannya tempat ibadat dan solat
semata-mata, bahkan kedudukannya sama seperti kedudukan Islam itu sendiri,
mencakupi pelbagai sudut al-din, politik dan kemasyarakatan.” (m.s. 149 Beirut: Dar al-Nafais).
Gagal Berfungsi
Malangnya, masjid-masjid kita kebanyakannya masih gagal berfungsi sedemikian
rupa. Di sudut kerahmatan dan kemasyarakatan umpamanya, banyak masjid kita
masih tidak mesra remaja dan kanak-kanak. Golongan ini sentiasa rasa kurang
selesa atau bimbang dengan layanan orang-orang masjid kepada mereka. Takut-takut
dimarahi jika tersilap. Jika tidak pun, mereka kurang diberi layanan yang
sewajarnya. Lebih teruk lagi ada masjid yang membuat penempatan khas untuk
kanak-kanak ketika solat. Mereka dijarak jauhkan dari saf orang dewasa. Kadang
kala jauhnya itu pula diselang beberapa saf. Ditulis pula satu papan tanda ‘saf
kanak-kanak’. Ini semua berpunca dari “khurafat” yang disandar kepada fekah
kononnya jika kanak-kanak belum berkhatan bersentuhan dengan orang dewasa maka
batallah solat. Sebabnya di bawah ‘kulit’ kanak-kanak itu ada najis kerana
belum bersunat. Cubalah tanya orang-orang tua, atau ustaz yang mengajar
sedemikian rupa, apakah dalam perut orang dewasa tidak ada najis? Atau apakah
jika seseorang ada nanah di bawah kulitnya, maka solatnya tidak sahnya?
Saf Kanak-Kanak
Lebih lucu dari itu ada yang menyatakan boleh menyebabkan terbatalnya
keseluruhan saf kerana ‘jangkitan sentuhan‘ kanak-kanak. Fatwa seperti ini
sebenarnya terpinggir dari penghujahan dalil dan kewarasan akal. Ketika Ibn
Abbas masih kanak-kanak, Rasulullah SAW bersolat dan memegang telinga atau
kepala Ibn Abbas agar bersolat di tepi baginda. Kata Ibn ‘Abbas:
“..Rasulullah bangun bersolat malam aku
turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang
kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda." (Riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis Anas:
“…Rasulullah berdiri untuk solat. Aku
bersaf dengan seorang budak yatim di belakang baginda. Sementara wanita tua
berada di belakang kami”. (Riwayat al-Bukhari). Adapun hadis riwayat Ahmad dan
Abu Daud yang menyatakan Rasulullah menjadikan saf lelaki dewasa di hadapan
kanak-kanak, hadis itu daif dari segi sanadnya. Kata al-Syeikh Nasir al-Din al-Albani:
“Adapun menjadikan saf kanak-kanak di belakang lelaki, aku tidak dapati
melainkan hadis yang daif ini sahaja. Ia tidak dapat dijadikan hujah. Tidak
mengapa kanak-kanak berdiri dalam saf sebelah lelaki dewasa jika saf masih
luas. Solat anak yatim bersama Anas di belakang Rasulullah SAW menjadi hujah
dalam masalah ini." (Al-Albani,
Tamam al-Minah, 284, Riyadh: Dar al-Rayah).
Layanan Buruk
Hasil lain dari kecelaruan ini, ada orang dewasa yang sanggup menarik
kanak-kanak yang sedang bersolat keluar dari saf kerana dia nak masuk saf. Kemudian
disuruh budak itu ke saf belakang. Akhlak buruk ini menjadikan kanak-kanak
berjiwa lemah ketika berada di masjid. Sementara orang dewasa yang lewat datang
dan menarik kanak-kanak keluar itu pula terbiasa dengan sikap buruk sebagai
seorang yang datang lewat lalu merampas tempat orang yang lebih awal.
Ada juga pihak masjid tidak suka kanak-kanak terlalu ramai ke masjid. Bimbang
nanti mengganggu keheningan jamaah. Dukacita sikap yang demikian tersimpan
dalam perasaan sesetengah orang. Ini kerana sesetengah kita lebih ingin jaga
warna karpet baru dari berkempen mendapat jemaah baru.
Dalam hadis Nabi SAW, baginda bersabda:
“Aku mendirikan solat (sebagai imam) dan
aku berhasrat ingin memanjangkannya. Tiba-tiba aku mendengar tangisan bayi,
maka aku mensegerakan solatku kerana aku tidak suka membebankan ibunya.” (Riwayat al-Bukhari).
Lihatlah sikap mesra pelanggan yang ditunjukkan oleh baginda. Maka tidak
hairan, masjid di zaman menjadi tempat terpautnya hati setiap generasi. Hadis
ini juga memberi maksud imam mesti meringankan solatnya, jika makmum ramai yang
bertugas di belakangnya.
Demikianlah Nabi SAW menjaga perasaan ahli jemaahnya. Adapun kita, jika ada
anak yang menangis, ibunya pasti dipandang sinis. Maka jangan hairan jika
kanak-kanak atau remaja merasai lebih diberi layanan mesra ketika berada di
pusat-pusat hiburan, dibandingkan jika berada di masjid. Kemudian kita ‘bising’
apabila generasi muda tidak minat dengan masjid, atau tidak selesa di masjid.
Pemikiran Sekular
Di sudut kesyumulan Islam, pemikiran ‘sekular’ masih terpalit baunya dalam gaya
fikir kebanyakan kita. Pengajaran di masjid masih terikat dengan beberapa mata
pelajaran tertentu sahaja, yang dianggap hanya itulah yang berkait dengan
agama. Selainnya, tidak diberi ruang di dalam masjid. Maka hanya tauhid, fekah,
tafsir, tasauf dan seumpamanya diajar di masjid. Itupun sebahagiannya masih
lagi menggunakan pendekatan lama seakan pendengarnya datang dari beberapa kurun
yang lepas. Soalannya, mengapa tidak mata pelajaran akademik moden seperti
sains, matematik, geografi juga diajar dalam masjid-masjid?! Tidakkah agama itu
merangkumi dunia dan akhirat. Jika ustaz fekah boleh mengajar dalam masjid,
mengapa ‘ustaz’ sains tidak?! Fekah berkhidmat untuk umat dalam amalan mereka.
Tanpa mengetahui sains juga, banyak fatwa moden tidak dapat dirumuskan! Tidakkah
generasi kita yang mempelajari sains dengan penuh keimanan boleh menjadi
benteng kepada umat?.
Fungsi masjid sepatutnya lebih luas. Kata ‘Aisyah RA:
“Suatu hari RasululLah SAW berada di
pintu bilikku, ketika itu orang–orang Habsyah sedang bermain di dalam masjid. Baginda
melindungiku dengan selindangnya, aku pula melihat kepada permainan mereka.” (Riwayat al-Bukhari).
Dalam riwayat lain disebut permainan tersebut ialah permainan senjata. Sikap
tidak membantah Nabi SAW terhadap permainan mereka menunjukkan perbuatan
Habsyah mengadakan permainan senjata dalam masjid adalah sesuatu yang
diizinkan. Demikian juga baginda tidak membantah ‘Aisyah melihat mereka,
menunjukkan wanita boleh melihat pertunjukan permainan yang dilakukan oleh
lelaki. Ini semua menunjukkan bahawa masjid pada zaman Nabi SAW tidak kaku
seperti kita.
Akademik Di Masjid
Justeru, jika masjid memperuntukan kelas-kelas akademik percuma, maka para
pelajar kita akan terasa kesyumulan agama ini. Di samping untuk peperiksaan, ia
mendidik mereka lebih berdisplin dan ingatkan Allah mengenai ilmu yang
dipelajari. Ia mampu menjadikan guru yang mengajar lebih mengingati Allah
mengenai tanggungjawab dan kaitannya dengan Islam. Hal ini kerana semuanya
beroperasi dalam masjid. Jika kelas-kelas tambahan percuma dalam pelajaran
tersebut diberikan oleh masjid dan di dalam masjid pula, maka anak-anak akan
dihantar oleh ibu bapa ke masjid. Lalu hati mereka dan ibu bapa mereka akan
dekat dengan masjid dan sentiasa mengenang masjid. Waktu solat, mereka akan
bersolat. Jika mereka ingin melakukan sesuatu yang salah, mereka teringat
mereka berada dalam masjid. Maka makmurlah masjid dan berfungsilah peranannya.
Jika tiada ruang antara Maghrib dan Isyak kerana kuliah agama yang formal. Masjid
kita masih banyak waktu kosong antara Zohor dan Asar dan antara Asar dan
Maghrib. Duit masjid yang ditabungkan orang itu, bukan sekadar untuk dipaparkan
di papan kenyataan tentang peningkatan jumlahnya. Sebaliknya untuk dibuktikan
fungsinya dalam membangunkan Islam yang syumul ini.
Pusat Kempen Kebaikan
Banyak aktiviti masyarakat muslim sepatutnya masjid menjadi pusatnya. Kempen
penjagaan alam sekitar, kempen hak-hak wanita, kempen pembinaan ekonomi muslim
dan berbagai lagi patutnya dikepalai oleh pihak masjid. Anak makmum atau jemaah
yang mempunyai pelbagai kegiatan dan aktiviti boleh memanfaatkan masjid. Selagi
tidak bercanggah dengan syarak, masjid boleh dijadikan penggerak kepada
sebarang aktiviti yang bersifat umat dan membantu membangunkan tamadun umat. AJK
masjid pula jangan jadikan masjid sebagai syarikat sendirian berhad. Masjid
untuk semua. Dr Mustafa as-Siba`i dalam menyebut pembinaan Masjid Nabawi serta
fungsi masjid berkata:
“Apabila Rasulullah SAW sampai ke
Madinah, maka kerjanya yang pertama ialah membina padanya masjid. Ini
menunjukkan kepentingan masjid dalam Islam, apatah lagi bagi masjid itu mesej
kemasyarakatan dan kerohanian yang besar kedudukannya dalam kehidupan muslimin.
Masjidlah yang menyatupadukan mereka, mendidik jiwa, menyedarkan hati dan akal,
menyelesaikan masalah dan di masjidlah dizahirkan kekuatan dan prinsip mereka. Sejarah
masjid dalam Islam telah membuktikan bahawa daripada masjid bergeraknya tentera
Islam memenuhi bumi dengan hidayah Allah. Daripada
masjid juga diutuskan obor cahaya dan hidayah untuk muslimin dan selain mereka.
Di masjidlah bermula subur dan berkembangnya benih ketamadunan Islam. Tidaklah
Abu Bakr, `Umar, Uthman, `Ali, Khalid, Sa`ad, Abu `Ubaidah dan seumpama mereka,
yang merupakan tokoh-tokoh agung sejarah Islam melainkan para penuntut di
madrasah Muhammadiyyah (sekolah Rasulullah SAW). yang bertempat di Masjid
Nabawi, jadikanlah masjid kembali sebagai tempat utama dalam semua institusi
kemasyarakatan kita, jadikanlah masjid kembali memainkan peranannya dalam
mentarbiah manusia, melahirkan tokoh, membaiki kerosakan masyarakat, memerangi
kemunkaran dan membina masyarakat atas asas taqwa dan keredhaan Allah”
(Al-Siba’i, Al-Sirah an-Nabawiyyah: Durus wa `Ibar, m.s. 74-75 Jordan:
al-Maktab al-Islami).
Kualiti
Kuliah-kuliah di masjid juga mestilah ditingkatkan ke tahap yang sesuai dengan
perkembangan masyarakat kita. Fekah yang payah dan menyusah hendaklah
dihindari. Jadikanlah Islam itu mudah dan praktikal. Bersesuaian dengan nas-nas
Islam yang bersifat demikian.
Demikian pengajaran dalam masjid mesti memberi kesan kepada kehidupan insan
yang ke masjid. Jangan ustaz asyik membahaskan tentang bermacam pembahagian air
dengan berbagai pecahannya yang bukan-bukan, sehingga berbulan masih tajuk
mengenai air itu dan ini. Belum pun masuk tajuk solat dan seterusnya. Malangnya
dalam masa yang sama tandas atau bilik air masjid dipenuhi dengan bau dan
kekotoran yang tidak melambangkan kebersihan dalam Islam. Islam bukan sahaja
menyuruh kita bersih ketika dalam solat, namun juga di luar solat.
Demikian juga isi pengajaran hendaklah dalam bentuk yang menarik generasi
baru. Saingan luar masjid yang menarik manusia moden terlalu. Pusat-pusat hiburan
yang lain menggamit generasi muda. Kempen-kempen ke masjid mestilah segar dan
baru. Untuk itu, kita perlukan pihak pengurusan yang segar dan mampu membawa
manusia ke masjid. Jika yang sedia ada tidak mampu maka, mereka perlu membina
peningkatan diri, atau ‘menarik diri’. Pihak yang kerajaan amanahkan untuk
memantau dan membina kekuatan masjid juga mesti segar megar. Jika tidak mampu,
mungkin mereka kenalah segera tukar. Jika tidak, ia secara tidak langsung
menghalang orang datang ke masjid.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 114: (maksudnya):
“Dan siapakah yang lebih zalim dari
mereka yang menghalangi masjid-masjid Allah untuk disebutkan nama Allah di
dalamnya, dan ia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Mereka yang
demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dalam
keadaan mereka yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh
kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat
besar.”
Kita mungkin tidak menghalang manusia mendekati masjid. Namun tindakan yang
tidak seimbang dengan fungsi masjid menjadikan manusia terhalang secara tidak
langsung kerana kita. Generasi muda pelapis pembinaan tamadun umat. Jumlah
mereka mesti lebih ramai di masjid dari di pusat-pusat ‘lamunan’. Jangan sampai
masjid kita hanya jadi kelab orang pencen sahaja. Sedangkan orang muda berkelab
di tempat lain.
http://drmaza.com/home/?p=2507
No comments:
Post a Comment