Thursday, October 10, 2013

Lucu, JKK siasat JKK

ABD JALIL ALI
Sinar Harian 10 Oktober 2013


MUNGKIN ada yang mula panas punggung. Boleh jadi juga ada yang meracau dan menjerit dalam tidur, macam kena polong kerana diganggu mimpi ngeri.

Atau, ada yang jumpa bomoh minta air jampi. Apa pun jangan sampai terjun dari bangunan tinggi untuk membunuh diri.

Semua gara-gara satu jawatankuasa khas (JKK) telah ditubuh bagi meneliti dan mengkaji Laporan Ketua Audit Negara 2012. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa sendiri akan mempengerusikannya dengan anggota terdiri daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

Seperti yang dilaporkan jawatankuasa itu akan mengambil tindakan susulan termasuk tindakan tegas ke atas mereka yang didapati terlibat dalam sebarang salah laku dan penyelewengan seperti yang didedahkan oleh Tan Sri Ambrin Buang.

Sebenarnya dalam sesetengah kes, si penyangak boleh dikesan dengan mudah. Tidak payah tunggu lama-lama untuk mencekupnya. Kalau hendak tangkap hari ini pun boleh, esok terus sumbatkan dalam lokap. Tidak perlu pun menubuhkan jawatankuasa khas.

Sementelahan pula kita memang sudah terlalu banyak jawatankuasa khas!

Contoh 1: Kes pembelian 20 buah jam dinding oleh sebuah agensi kerajaan. Jam tersebut hanya RM100 sebuah, kalau beli 20 jumlah kosnya RM2,000. Tetapi, benda itu dibeli pada harga RM3,810 sebuah, maka kos kesemuanya menjadi RM76,200.

Mudah sahaja untuk mengesan si penyangak. Tidak perlu menggunakan khidmat perisik 007 James Bond. Cari siapa yang meluluskan pembelian itu? Pegawai mana yang busuk hati dan gatal tangan sain baucar pembelian?

Tangkap pegawai tersebut, hadapkan ke mahkamah. Atau sekiranya susah untuk ke mahkamah, hantar pegawai berkenaan ke pusat pemulihan akhlak, biarkan dia menjual jam di situ.

Contoh 2: Kes seorang pegawai kanan di sebuah kementerian yang dihantar ke Geneva, Switzerland selama empat hari untuk satu lawatan kerja.

Menurut perkiraan Ketua Audit sekiranya pegawai berkenaan menaiki penerbangan pergi-balik kelas pertama, menginap di hotel terbaik, makan di restoran terkemuka dan diberi elaun membeli pakaian musim sejuk, belanja keseluruhan lawatan itu tidak akan melebihi RM50,000.

Tetapi pegawai tersebut membuat tuntutan perjalanan enam kali ganda daripada yang sepatutnya, RM303,813! Ingat, Ringgit Malaysia, bukan Rupiah.

Tidak pula dinyatakan apakah di Geneva dia makan karipap bersalut emas, atau minum sirap bandung yang selasihnya diperbuat daripada berlian.

Laporan Audit telah dengan jelas menyebut nama kementerian, tentu mudah sangat untuk mengenal pasti siapakah gerangan pegawai kanan yang terlebih tuntut itu. Tidak perlu pegawai dari pejabat Peguam Negara, kerani cabuk biasa pun boleh mengesan pegawai karipap emas itu.

Ada orang biasa yang kerja pagi petang siang malam, berjimat – sanggup makan nasi berlauk kicap – untuk membayar tambang bas sekolah anak-anak. Ada pula pegawai kerajaan yang dapat naik pesawat, duduk di hotel mewah, makan serba-serbi lazat, dan mudah sahaja songlap duit pembayar cukai dengan tuntutan perjalanan yang tidak masuk akal.

Mudah-mudahan jawatankuasa khas yang baru ditubuhkan, dalam masa terdekat ini, dapat menangkap kaki songlap berjaket, bertali leher dan berkasut gengsi itu.

Pegawai dengan tuntutan perjalanan lebih RM suku juta itu tidak boleh dilepaskan. Kalau betul dia kebas duit rakyat, patut sekali dia dihukum.

Dua contoh tersebut, berserta banyak lagi ketirisan dan penyelewengan – antaranya alat pengimbas kertas A4 yang sepatutnya hanya RM200 dibeli pada harga RM14,670, Kumpulan K-Pop dibayar RM1.6 juta, PDRM hilang 29 buah kenderaan dan 44 senjata api – membuatkan umum bertanya: inikah cara urus tadbir kita? Lemah sangatkah pengurusan kementerian dan agensi kerajaan?

Seyogia diingat ini bukan pertama kali Ketua Audit mendedahkan kepincangan dan ketirisan. Setiap tahun laporan dibentangkan ada sahaja keterlanjuran yang memalukan, juga menyakitkan hati rakyat. Harap-harap jawatankuasa khas yang baru dibentuk betul-betul berfungsi dan bertindak.

Jika tidak, kita patut menubuhkan satu lagi jawatankuasa khas, untuk menyiasat jawatankuasa khas yang ada. Barulah kita terkenal sebagai negara yang paling banyak jawatankuasa khas!

No comments:

Post a Comment