Laporan Audit Isyarat Perbelanjaan Kerajaan Boros Tidak Mengikut Kaedah Perbelanjaan Berhemah Islam
2 asas penting dalam perbelanjaan sebagaimana digariskan oleh Islam ialah
pertama perbelanjaan berhemah dan kedua perbelanjaan menurut kemampuan. Allah
berfirman dalam surah al-Furqan, 67:
وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ
يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا
Maksudnya: Dan mereka yang apabila berbelanja mereka tidak boros dan tidak
kedekut dan adalah perbelanjaannya pertengahan antara keduanya.
Allah berfirman lagi al-Tolaq: 7
لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ
وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ
Maksudnya: Hendaklah berbelanja orang yang berkelapangan berdasarkan
kelapangannya dan sesiapa yang disempitkan rezkinya hendaklah dia berbelanja
berdasarkan apa yang diberikan oleh Allah
Saya memetik ulasan umum Ketua Audit Negara Tan Sri Datuk Setia Haji Ambrin
Buang dalam Laporan Audit Negara 2012 siri 1 hasil daripada pengauditan 21
program/aktiviti/projek dibawah 15 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan
Pengurusan 4 syarikat Kerajaan dan juga siri 2 hasil daripada pengauditan 24 program/aktiviti/projek
dibawah 13 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan Pengurusan 2 syarikat Kerajaan
dan pengurusan terhadap prestasi kewangan dan pengawasan syarikat kerajaan:
"Pada umumnya terdapat kelemahan seperti improper payment,
kerja/bekalan tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti/tidak sesuai,
kelewatan tidak munasabah, pembaziran, kelemahan pengurusan hasil dan kelemahan
pengurusan aset Kerajaan. Kelemahan tersebut adalah disebabkan
oleh kecuaian dalam mematuhi peraturan/prosuder yang ditetapkan oleh
Kerajaan, kurang teliti semasa merancang program/aktiviti/projek dan
menetapkan skop serta spesifikasi tender, tidak memantau dengan kerap dan
teliti kerja kontraktor /vendor/perunding, kurang kemahiran dalam
pengurusan projek, lewat membuat keputusan mengenai perolehan, sistem maklumat
Kementerian/Jabatan/Agensi yang tidak lengkap dan tidak kemas kini, kurang
memberi perhatian terhadap keberhasilan /impak sesuatu program/aktiviti/ projek,
kekurangan peruntukan untuk penyenggaraan aset dan kekurang pegawai untuk
mengutip hasil".
Menelusuri satu-persatu setiap Laporan Audit 2012 jelas menemukan kita dengan
pelbagai kecuaian, pemborosan dan ketirisan yang sangat ketara dalam
perbelanjaan kerajaan sama ada berskala kecil atau skala besar. Ulasan
"tidak memuaskan" boleh ditemui di banyak tempat.
Antaranya:
1. Di Kementerian Kewangan "pembayaran RM529,733 kepada 4 syarikat
perunding yaang dilantik pada tahun 2003 merupakan satu pembaziran kerana
laporan yang dikeluarkan tidak dapat digunakan" (Laporan Audit Siri 1 hlm
xiv dan 41)
2. Di Kementerian Pengangkutan projek peningkatan Lapangan Terbang Antarabangsa
Kota Kinabalu dengan 2 pakej bernilai RM1.44 bilion. Untuk pakej 2 Audit
mengulas "kerja naik taraf tidak mengikut spesifikasi/tidak
berkualiti." (Laporan Audit siri 1 hlm xix)
3. Perbelanjaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar
melibatkan Scanner A4 berharga RM200 di pasaran ditender dengan harga RM14,670.
4. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melakukan lawatan ke luar
negara berjumlah RM3.43 juta tanpa disokong dokumen lengkap. Kos lawatan ke luar negara berjumlah RM253,813 tidak
munasabah dan tidak mengikut kadar ditetapkan. Program promosi dan publisiti
yang dibatalkan telah dibayar RM3.19 juta. Juga berlaku improper payment
RM13.54 juta. (Laporan Audit 2012 siri 2 xxxi)
5. Kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta untuk menaja kumpulan
K-Pop. Menariknya sebelum ini kementerian melaporkan konsert tersebut ditaja oleh
syarikat swasta. Ertinya pemborosan berlaku disulami dengan penipuan untuk
menutup pemborosan.
6. Jabatan Kastam lupuskan kasut 7659 unit dengan kerugian 600k dengan alasan
tidak menepati piawaian
7. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan membelanjakan
RM7.23 juta terhadap projek penambahbaikan TOP WP Labuan walaupun masih dalam
proses timbang tara dengan kontraktor asal pembinaan TOP di mana akhirnya
projek penambahbaikan terpaksa ditamatkan. (Laporan Audit 2012 siri 2 hlm
xxviii)
Justeru, saya menegaskan beberapa perkara berikut:
1. Ketirisan dan pemborosan sepertimana didedahkan oleh Laporan Audit Negara
bukanlah kali pertama berlaku. Malah laporan-laporan audit sebelumnya
menyaksikan hakikat pemborosan dan ketirisan yang sama. Ia mendorong satu
anggapan bahawa kerajaan tidak berusaha mengambil pengajaran dan tidak berusaha
membetulkan keadaan.
2. Pemborosan dan ketirisan perbelanjaan negara adalah penyebab kepada situasi
hutang negara yang telah melebihi RM500 bilion.
3. Alasan kerajaan bahawa hutang negara tersebut adalah terkawal masih boleh
diterima sekiranya tidak berlaku ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan. Tetapi
apabila hutang berlaku kerana kelemahan pengurusan perbelanjaan maka ia tidak
boleh dimaafkan dan tidak wajar lagi kerajaan membodohkan rakyat dengan alasan
seumpama itu.
4. Laporan audit 2012 membuktikan bahawa pengurangan subsidi minyak hingga
minyak dinaikkan 20 sen baru-baru ini dengan alasan menstabilkan kewangan
negara adalah alasan yang direka-reka oleh kerajaan BN. Hakikatnya pengurangan
subsidi minyak adalah untuk menampung ketirisan dan pemborosan perbelanjaan
kerajaan. Berdasarkan hakikat ini saya berpandangan tindakan kerajaan
mengurangkan subsidi minyak adalah haram menurut Islam kerana ia bukan
bertujuan menampung kekurangan dana kerajaan tetapi kerana menampung pembaziran
perbelanjaan.
5. Nasihat kerajaan untuk rakyat berjimat cermat hanyalah ibarat ketam mengajar
anak berjalan betul sedangkan kerajaan menjadi contoh terbaik untuk
perbelanjaan boros dan membazir.
6. Kerajaan diperingatkan bahawa perbelanjaan harta negara bukan hanya akan
diaudit di dunia tetapi juga akan diaudit di akhirat Allah. Maka hendaklah
kerajaan bertaqwa kepada Allah dalam membelanjakan harta negara. Pemborosan dan
pembaziran juga ditolak dan dikeji oleh semua agama dan penganut agama.
7. Rakyat tanpa mengira agama, kaum dan parti tidak boleh berdiam diri melihat
kemungkaran pemborosan, pembaziran dan ketirisan perbelanjaan negara. Ia
ditolak oleh semua agama dan kaum. Mereka perlu mengambil sikap seperti mana
yang ditunjukkan oleh seorang Tabi'i terkenal bernama Abu Muslim al-Khaulani
yang secara tegas menegur Muawiyah bin Abi Sufyan r.a selaku Khalifah
pemerintah Islam dalam perkara melibatkan perbelanjaan harta negara: Wahai
Mu`awiyah! Harta negara itu bukan hasil usaha kamu. Bukan juga hasil usaha bapa
kamu. Dan bukan juga hasil usaha ibu kamu.”
8. Saya menyokong satu demo aman besar-besaran dilakukan sebagaimana cadangan
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi menggambarkan
keprihatinan rakyat terhadap laporan audit 2012.
YB Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
No comments:
Post a Comment