Tuan Ibrahim Tuan Man
Selepas
Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada khalifah
Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz.
Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima
tentera Islam, Qutaibah serta angkatan tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan
tanpa seruan dakwah kepada Islam.
Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya membicarakan
kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.
Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand ) dan yang didakwa (Qutaibah,
panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas
nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.
Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan paderi besar Samarkand di hadapan hakim Samarkand yang muslim.
Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada paderi besar Samarkand :-
Hakim: Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand ?
Paderi: Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa
menyeru kami kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk
kami membuat keputusan mengenai pendirian kami!
Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:- Apa jawapan kamu terhadap
dakwaan ini wahai Qutaibah?
Qutaibah: Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua
negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak
mahu membayar jizyah.
Hakim: Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand ) kepada Islam
atau membayar jizyah atau perang?
Qutaibah: Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan
alasan yang telah saya sebutkan tadi.
Hakim: Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa
mengaku, selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menolong umat ini
melainkan dengan (berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan
keadilan.
Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:
Hakim: Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand , merangkumi
pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah
mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang
Islam yang tinggal di Samarkand !
Paderi besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan
didengarnya. Tanpa bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa
minit sahaja.
Paderi besar dan orang-orang Samarkand
yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan
telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan para petugas
bangun dan beredar.
Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng
memenuhi angkasa, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan
bendera-bendera kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan.
Mereka tertanya-tanya kehairanan, apa yang telah terjadi?
Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan
angkatan tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh
menakjubkan dan menggemparkan.Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu,
anjing-anjing berkeliaran di jalan-jalan yang sunyi, suara-suara tangisan
bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu umat yang adil lagi
penyayang dari negeri mereka.
Lantas paderi besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri
lebih lama lagi. Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai paderi besar
menuju ke arah angkatan tentera Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada
tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.Ya Allah!
Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang
agung.Pernahkah anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota,
kemudian penduduk kota itu membuat dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan
akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam perbicaraan dan diperintahkan
keluar dari kota yang telah ditakluknya?
Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat
di dunia ini selain dari umat Islam!
Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi
No comments:
Post a Comment