DUNIA TEMPAT BERPENAT, DI AKHIRAT NANTI KITA BEREHAT
Ustaz Pahrol Juoi 15
Okt 2012
Jangan
mencari keadilan yang mutlak di dunia ini. Terimalah hidup seadanya.
Jadilah diri sendiri. Kita ubah yang mampu diubah, yang tidak mampu
serahkan kepada Allah. Jika bahagia yang dicari, tetapi derita yang
diberi… terimalah. Bahagialah dengan derita itu.
Manusia akan tersiksa oleh jangkaan
dan harapannya. Allah ciptakan putaran hidup ini seumpama kitaran cuaca
dan musim. Ada yang menikmati empat musim seperti Eropah. Ada yang
kontang sepanjang masa umpama Sahara. Ada yang dingin memanjang seperti
di Antartika. Kita hamba… setelah berusaha sehabis daya, pasrah dan
menyerahlah. Carilah R&R dalam kembara hidup ini, di sanalah tempat
kita berehat seketika… sebelum berehat selama-lamanya!
Jika ditakdirkan tidak kita temui
sesuatu yang dicari di dunia ini, terimalah hakikat ia memang tidak ada.
Di akhirat sana tempat ‘ada’ dan sempurna segala. Jika ‘langit’ hendak
runtuh, masakan jari yang kecil ini mampu menahannya. Dalam setiap yang
kita miliki, pasti ada jemu dan letihnya. Dalam setiap yang kita tidak
miliki, pasti ada kesal dan sayunya. Jangan terlalu dalam segalanya.
Jangan terlalu cinta, jangan terlalu benci. Jangan terlalu suka, jangan
terlalu duka. Sederhana itulah yang selalu menyelamaktkan ‘hati’ kita.
Tidak ada keadilan yang mutlak di dunia
ini. Semakin kita terima hakikat ini, hidup kita akan menjadi semakin
tenang. Jika tidak, kita akan sentiasa rasa arah, kecewa, dipersenda dan
ditipu oleh manusia lain dan keadaan. Sebaliknya, apabila kita mula
menerima hakikat dunia memang tidak adil, maka hidup kita kan menjadi
lebih tenang dan harmoni.
Mengapa di dunia ini tidak ada keadilan
yang mutlak? Yang baik, tidak semestinya mendapat ganjaran dan balasan
yang baik. Manakala yang jahat, acap kali terlepas dan bebas? Ya, inilah
kaedah Allah menguji manusia, agar terserlah siapa yang benar-benar
ikhlas berbuat kepadaNya dan siapa pula yang benar-benar meninggalkan
kejahatan kerana-Nya jua. Inilah ujian iman.
Menerusi pengajian tauhid, yakni dalam
mengenal sifat-sifat Allah, memang kita telah sedia maklum bahawa Allah
swt akan memberi dan menunjukkan sifat keadilan-Nya secara mutlak dan
tuntas di akhirat nanti. Manakala, di dunia ini Allah tidak menunjukkan
sifat keadilanNya secara sepenuh dan menyeluruh sebagai ujian kepada
orang-orang yang beriman kepadaNya.
Lihat bagaimana Nabi Zakaria AS, Nabi
Yahya AS dan beberapa nabi yang lain telah dibunuh oleh musuh-musuh
kebenaran. Sekiranya kita sebagai suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak,
pemimpin, pengikut… menerima layanan atau balasan yang tidak adil,
biasalah. Inilah hakikat dan lumrah hidup yang mesti ditempuh. Jangan
mencari yang ‘serba kena’ kerana hidup dipenuhi oleh resam yang ‘serba
tidak kena’.
Sekiranya kita berbuat baik kerana
mengharapkan ganjaran, pembalasan dan ucapan terima kasih daripada
manusia, tentu kita akan keewa kerana umumnya manusia memang tidak
pandai berterima kasih apalagi untuk membalas budi. Memang, buat baik
dibalas baik, tetapi bukan seuua kebaikan dibalas di sini (dunia), ada
yang Allah simpan di sana (akhirat).
Justeru, apabila Allah menyuruh manusia
melakukan kebaikan atau meninggalkan kejahatan, Allah akan menyeru kepada
manusia yang beriman dengan lafaz “Ya ayyuhal lazi na amanu – wahai
orang yang beriman.” Begitu juga apabila Rasulullah saw menyeru untuk
umatnya melakukan kebaikan, baginda sering memulakanya dengan berkata,
“barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat hendaklah…”
Banyak hikmahnya mengapa Allah dan
RasulNya berbuat demikian, salah satunya ialah untuk menunjukkan bahawa
mereka yang mahu dan mampu melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan
dengan ikhlas, sabar dan istqamah hanyalah orang yang beriman kepada
Allah dan Hari Akhirat. Yakni, mereka yang yakin bahawa Allah Maha
melihat akan perbuatan itu dan membalasnya dengan ganjaran atau seksa
yang setimpal.
Allah memujuk, Nabi Muhammad dan
orang-orang beriman dengan firmanNya: “Dan janganlah engkau (wahai
Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang
yang zalim sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke
suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun
gementar melihat keadaan yang berlaku).”
Impak daripada itu, manusia yang beriman
akan menghadapi hidup ini dengan lebih tenang. Tidak banyak merungut,
merengus dan marah-marah. Jika madu dibalas tuba, mereka mampu sabar dan
redha. Apabila mendapat ‘limau masam’, mereka akan segera membuat ‘air
limau’. Makna, sekiranya apa yang mereka terima sebagai balasan, tidak
seperti yang diharapkan dan dijangkakan, mereka tidak ‘memberontak’,
sebaliknya mereka mengubah hati, fikiran dan perasaan mereka untuk
menerima apa yang telah berlaku itu dengan baik.
Apabila inginkan kejayaan, tetapi
sebaliknya kegagalan yang berlaku… mereka akan berkata, “Tidak mengapa,
kegagalan adalah yuran kepada kejayaan, kegagalan adalah ‘kejayaan’ yang
ditangguhkan. Orang berjaya lebih banyak merasai kegagalan daripada
orang yang gagal.”
Mereka tidak mengutuk orang lain,
keadaan, diri mereka sendiri apalagi mempersalahan Tuhan. Mereka tidak
akan menyesal dan kesal terhadap apa yang berlaku sebaliknya mencari
tapak dan semangat baru untuk berusaha dengan lebih baik. Lalu dalam
kamus orang berjaya sering tertera pengukuhan kata-kata ini: Kegagalan
adalah peluang untuk memulakan semua dengan lebih baik!”
Oang yang telah menerima hakikat dunia
ini tidak adil, tidak akan bemusuh dengan dirinya sendiri. Dia tidak
mendera dirinya dengan kejam. Mengapa aku bodoh sangat? Mengapa aku
lurus bendul? Mengapa aku boleh tertipu? Ini bukan langkah muhasabah
yang membangunkan jiwa yang proaktif, tetapi satu ‘self sabotaging
habit’ yang menyebabkan dirinya menjadi pasif, pesimis atau murung.
Kemudian keburukan dari dalam diri itu akan meletus keluar menjadikan
dirinya sebagai ‘toxic people’ yang bersifat aggresif, bersangka buruk
dan marah-marah kepada orang lain.
Dalam surah Al Fatehah, Allah menegaskan
bahawa Dialah Raja pada Hari Akhirat. Kalimat ini kita ulang-ulang baca
pada setiap hari tidak kurang 17 kali. Semuga makna atau kehendak
daripada kalimat ini meresap dalam minda sedar dan separa sedar kita,
bahawa Allah akan menunjukkan kebesaran sifat Malik-Nya di akhirat, yang
pada waktu itu tidak akan ada siapa yang berani mengangkat muka atau
berkata-kata.
Di dunia ini, penjahat atau pelaku
kemungkaran masih boleh mendabik dada dan meninggikan suara, kerana
kuasa yang sementara. Dengan kuasa itu mereka menipu, menindas dan
menzalimi dengan pelbagai taktik dan cara. Namun di akhirat nanti,
mereka akan kaku, kelu dan membisu apabila Allah menunjukkan kebesaran
dan keadilanNya. Di sana nanti barulah kebaikan akan mendapat ganjaran…
bukan setimpal tetapi digandakan. Di sana jualah nanti kejahatan akan
mendapat balasan… yang pedih, perit dan berganda.
Allah yang Maha Adil tidak mencipta dunia
ini dengan serba adil untuk menguji manusia sejauh mana iman mereka
kepada sifat keadilanNya! Agar dengan itu orang yang beriman rela
‘disusahkan’ kerana Allah dalam usahanya melakukan kebaikan dan
meninggalkan kejahatan. Agar dengan itu, orang beriman akan berkata pada
hatinya, “ wahai Tuhan, aku rela menerima kesusahan yang sementara dan
sedikit di dunia yang serba tidak adil ini demi mendapat kesenangan yang
abadi dan lebih baik di akhirat nanti!”
Sampai ke takah ini, sekiranya hati masih
bertanya, “mengapa dunia ini tidak adil?” Jawabnya, “kerana Allah yang
Maha Adil ingin menunjukkan keadilanNya di akhirat.” Ya, keyakinan
kepada Hari akhirat sangat penting semasa hidup di dunia. Meletakkan
sesuatu itu pada tempatnya, itulah erti keadilan. Hati orang beriman
ialah hati yang adil. Dalam hati itu terpahat satu hakikat: Dunia
tempat penat, di akhirat tempat berehat!
Ya, hidup selepas mati adalah tempat
rehat daripada kepenatan daripada ujian hidup sebelum mati. Justeru,
Rasulullah saw sendiri berdoa: ” Ya Allah, jadikanlah kematian tempat
istirehat daripada segala keburukan dan kejahatan…”
No comments:
Post a Comment