Sebaik-baik teman sejati adalah buku – Dr. ‘Aidh Al-Qarni
Di antara sebab kebahagiaan adalah meluangkan waktu untuk mengkaji,
memberi perhatian kepada pembacaan dan mengembangkan kekuatan otak
dengan beberapa hikmah.
Al-Jahizh menasihatkan supaya sentiasa membaca dan mengkaji agar
dapat mengusir kesedihan daripada anda. Katanya: “Buku adalah teman
sejati yang tidak akan memujimu dengan berlebihan, sahabat yang tidak
akan menipumu, dan teman yang tidak membuatmu bosan. Dia adalah teman
yang sangat toleran yang tidak akan mengusirmu, dia adalah tetangga yang
tidak akan menyakitimu, dan dia adalah teman yang tidak akan memaksamu
mengeluarkan apa yang anda miliki. Dia tidak akan memperlakukanmu dengan
tipu daya, tidak akan menipumu dengan kemunafiqan, dan tidak akan
membuat kebohongan.”
Buku adalah sesuatu yang jika anda lihat, maka akan memberikan
kenikmatan yang panjang, dia akan menajamkan kemampuan intelektual,
melancarkan lisan, dan membaguskan gerakan tangan.
Dia akan memperindahkan lafaz anda, akan menenangkan jiwa, dan akan
melapangkan dada, memberikan penghormatan kepada orang-orang awam dan
membuka jalan persahabatan dengan raja-raja, kepada anda.
Dengannya anda akan mengetahui bahawa sebulan anda bergaul dengan
buku akan lebih baik daripada anda bergaul dengan orang seumur hidup.
Dengannya anda dapat menghindarkan hutang dan kesusahan mencari
rezeki. Dengan buku anda tidak harus bersusah-payah menghadap seorang
pengajar yang mencari makan dari usaha mengajar, tidak harus belajar
dari orang yang secara akhlaq lebih rendah dari anda, dan tidak harus
duduk bersama orang-orang yang hatinya penuh kedengkian dan dengan
orang-orang yang kaya.
Buku adalah sesuatu yang akan sentiasa taat kepada anda baik di siang
hari mahupun di malam hari. Dia akan setia baik dalam perjalanan
mahupun ketika berada di rumah. Dia tidak menyakiti anda ketika anda
sedang tertidur dan tidak akan menyakiti anda ketika anda sedang
tertidur.
Dia adalah guru yang jika anda memerlukannya, maka ia tidak akan
berasa malu untuk membantu, dan jika anda meninggalkannya kerana
kebendaan, maka dia tidak akan memutuskan faedahnya.
Walaupun anda meninggalkannya, dia akan selalu taat. Walaupun orang
sekitar memusuhi anda, maka dia tidak akan berpaling. Bila anda bersama
buku atau menjadikannya sebagai pegangan, anda pasti lebih unggul
daripada orang lain.
Buku tidak membahayakan anda dengan menenggelamkan anda dalam
kemurungan dan berteman dengan keburukan, meskipun buku tidak dapat
berbuat apa-apa terhadap anda. Akan tetapi, dengan membacanya anda akan
terhindar dari perbuatan sia-sia, seperti duduk termenung di hadapan
pintu atau memandangi cermin sambil bergaya di hadapannya sebagaimana
biasa terjadi.
Buku dapat mencegah anda dari pandangan yang menyesatkan yang tidak
penting, bergaul dengan manusia rendah, ikut serta dengan pembicaraan
yang tidak berguna, perkataan yang merosak, akhlak yang buruk dan
kebodohan yang tercela.
Dengan membaca buku, anda memperolehi keselamatan, untuk selanjutnya
mendapatkan harta. Di samping itu anda juga terhindar dari mensia-siakan
waktu. Jika anda tidak menyibukkan diri dengan membaca, tentu anda akan
terjebak dalam perbuatan yang melalaikan dan tidak berguna. Ringkasnya,
buku akan memberikan kenikmatan dan kebaikan yang besar.
Dan sesungguhnya telah kita ketahui bahawa sebaik-baik cara untuk
mengisi waktu terluang pada siang hari dan menghindari terbuangnya waktu
percuma pada malam hari adalah dengan membaca buku.
Orang yang suka menganggur tidak akan dapat memanfaatkan waktu
terluangnya untuk kegiatan yang dapat menambah pengalaman, fikiran dan
harga diri.
Membiarkan waktu terluang tanpa membaca buku sama sahaja dengan tidak
dapat menjaga kehormatan diri, tidak dapat memperbaiki agama, tidak
dapat mengembangkan harta, tidak dapat menjaga kreativiti (daya cipta –
editor) dan tidak dapat merasakan ni’mat.
* * * * * * *
Peringatan indah ini dicedok daripada buku
“Jangan Bersedih” (terjemahan La Tahzan) karya Dr. ‘Aidh bin Abdullah
Al-Qarni, seorang sarjana Islam kelahiran Arab Saudi yang prolifik
menghasilkan karya pelbagai genre dalam media cetak dan media bunyi,
termasuk syair dan biografi ulama. Cergas dalam pertemuan dan
persidangan antarabangsa dalam pelbagai bidang ilmu termasuk sastera dan
matematik.
Untuk membaca lebih lanjut tentang
‘Keutamaan Buku’ dan ‘Faedah Membaca dan Mentelaah’, bolehlah memburu
buku ini di perpustakaan, kedai buku atau daripada rakan-rakan yang
memilikinya. Selamat membaca!
No comments:
Post a Comment