Wednesday, October 31, 2012

TGNA antara pemimpin yang paling sihat

Aspan Alias, 31 Okt 2012

Tok Guru Nik Aziz (TGNA) berkata di Kelantan semalam yang beliau tidak akan meletakkan jawatan dan berundur kerana desakan dari pihak-pihak yang tidak kena mengena dengan PAS. Beliau akan berundur jika desakan itu datangnya dari PAS.

TGNA mengulas desakan Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, yang meminta TGNA berundur kerana kesihatan beliau tidak membolehkan beliau mentadbir negeri Kelantan.

TGNA berkata beliau akan hanya mempertimbangkan untuk berundur jika PAS mendesak beliau untuk meletakkan jawatan dan jawapan TGNA ini kepada saya adalah jawapan yang tepat dan benar.

Di Kelantan yang menentukan siapa yang menjadi MB itu adalah PAS kerana rakyat Kelantan telah memandatkan PAS untuk mentadbir negeri Kelantan sejak tahun 1990 dahulu dan parti-parti serta pihak-pihak yang lain tidak ada hak untuk menuntut beliau meletakkan jawatan itu.

TGNA adalah seorang MB dan Ketua yang diberikan tugas untuk memantau kerja-kerja dan tanggungjawab pelaksana, iaitu pegawai-pegawai kerajaan negeri dilaksanakan dengan baik dan telus. Bagi saya TGNA adalah benar-benar seorang MB yang difahami dalam erti kata yang sebenarnya.

Beliau tidak masuk campur di dalam pelaksanaan tanggungjawab kerajaan tetapi ‘accountable’ terhadap apa yang dilakukan oleh pihak pelaksana iaitu pegawai-pegawai dan penjawat awam di negeri itu.

Beliau tidak bersekongkol dengan pelaksana yang rasuah seperti yang dilakukan oleh MB-MB di negeri-negeri tadbiran UMNO. Banyak negeri-negeri tadbiran UMNO pelaksana dan penggubal dasar termasuk Menteri-Menteri Besar nya mengarah dan masuk campur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan ia telah membawa kepada kegiatan korupsi yang meluas.
Jika penggubal dasar terutamanya MB hanya mengambil tugas sebagai pemantau kepada perlaksanaan dasar-dasar yang telah di gubal dengan baik,  maka budaya rasuah tidak akan berlaku dengan mudah.

Rasuah berlaku di Kementerian-Kementerian Persekutuan di sebabkan penggubal dasar yang di ketuai oleh Menteri-Menteri dalam kementerian-kementerian itu tidak melaksanakan tugas dengan betul, iaitu untuk memantau segala tugas perlaksanaan kementerian itu dilaksanakan mengikut apa yang telah di gubal.

Sebaliknya menteri-menteri menyalahgunakan kedudukan mereka dengan bersekongkol untuk melakukan kerja yang bertentangan dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka iaitu untuk mempastikan pelaksana tidak melakukan rasuah dan sebagainya.
Jika menteri-menteri melaksanakan tugas yang sepatutnya dilakukan tidak mungkin rasuah berlaku dalam kadar yang sangat membimbangkan sehinggakan rakyat sudah hilang  kepercayaan mereka kepada penggubal dasar yang diberi mandat oleh mereka.

Bagi TGNA beliau telah memberikan jawapan dengan betul. Yang penting ialah kesihatan pemikiran bukan setakat sihat tubuh badan. Jika pemikiran seorang MB seperti TGNA itu masih sihat,  tidak ada apa masalah untuk terus menjadi MB dan pihak UMNO, Perkasa  atau pihak-pihak lain tidak berhak untuk membuat tuntutan untuk beliau berundur.

Ramai pemimpin di dalam UMNO itu masih sihat tubuh badan mereka tetapi pemikiran mereka telah uzur. Jika mereka masih mempunyai pemikiran yang tidak uzur, segala rasuah dan salah guna kuasa tidak akan berlaku. Pemimpin yang rasuah itu melambangkan pemikiran yang tidak sihat.

Jika pemikiran mereka sihat mereka akan tahu yang rasuah itu salah dan pemikiran yang sihat akan memberitahu mereka yang rasuah itu amat bersalahan dengan syariat agama dan satu dosa yang amat besar di sisi Tuhan.  Itu sebabnya saya berulangkali mengingatkan semua yang pemakan rasuah itu sama lah seperti orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Bagi saya TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat kerana beliau masih mempunyai pemikiran yang kuat untuk memberitahu beliau dan kepimpinan beliau itu yang rasuah itu adalah kesalahan besar. Sesungguhnya pemimpin-pemimpin UMNO lah yang sudah uzur kerana tidak dapat menahan dari melakukan rasuah besar-besaran.

Pemikiran TGNA masih terlalu sihat kerana beliau tidak mahu tunduk kepada desakan untuk membuat kekayaan dan duduk di rumah-rumah yang besar dan berglamor. TGNA masih sihat pemikiran beliau kerana beliau tidak membelikan isteri beliau cincin yang puluhan juta harganya.

TGNA tidak menggunakan wang rakyat untuk membayar bil kenduri perkahwinan anak beliau dan tidak berbelanjakan wang rakyat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadi beliau. TGNA tidak terlibat dalam isu ber‘dating’ dengan teman wanita dengan membayar wang sejumlah ratusan ribu ringgit setiap kali ber’dating’ seperti yang dilakukan oleh seorang Menteri Persekutuan. Setakat yang kita semua tahu TGNA tidak ada teman wanita di luar rumah.

Pemikiran TGNA masih sihat kerana beliau tidak pergi berpeleseran di pusat-pusat karaoke dan membayar GRO-GRO dengan menggunakan wang rakyat dan beliau tidak pernah pun pergi bersukaria di pusat-pusat hiburan tempatan atau antarabangsa.

TGNA tidak seperti seorang MB yang kurang sihat pemikirannya yang terlibat dengan jenayah menghantar wang sebanyak RM10 juta ke-London melalui sebuah pengurup wang yang begitu ‘dubious’ kedudukannya.

Jika kita timbang-timbang dengan secebis tulisan saya ini kita boleh membuat andaian yang ‘conclusive’ yang TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat dan belum uzur lagi. Disebaliknya pimpinan BN dan UMNO lah kumpulan pemimpin yang telah uzur kerana mereka tidak dapat menggunakan pemikiran mereka untuk menentukan yang mana satu yang tidak baik dan yang mana satu yang baik untuk dilakukan atau untuk tidak dilakukan.

Oleh kerana keuzuran pemikiran pimpinan BN dan UMNO inilah yang menyebabkan kerajaan pada hari ini menjadi persoalan besar oleh rakyat jelata.

Bagi saya, secara peribadi TGNA perlu terus bertanding dalam PRU ini kerana tidak ramai lagi pemimpin yang masih sihat seperti TGNA dan Tok Guru Hadi Awang dan beberapa orang pimpinan besar dalam DAP dan parti-parti yang lain. Mereka ini masih sihat kerana tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Pendeknya kalau kita hendak tahu mana satu pemimpin yang masih sihat ialah mereka yang belum terlibat dengan banyak dosa dan noda yang memercukan syariat agama dengan sesungguhnya.

Sesiapa yang tidak memercukan syariat yang diperintah Tuhan itu adalah mereka yang tidak sihat dan perlu direhatkan untuk membina kembali kesihatan mereka mengikut sudut agama dan syariat agama yang kita anuti.

Salah satu dari sebab PAS mendapat sokongan ramai hari ini ialah kerana kesihatan kepimpinan dan pemikiran pemimpin mereka. Kerana kesihatan pemikiran mereka itulah rakyat sedang berlumba-lumba untuk menyokong pemimpin-pemimpin yang sihat sekarang ini.
----------------------------------------------------------
http://aspanaliasnet.blogspot.com/2012/10/tgna-perlu-bertanding-lagi-kerana.html

No comments:

Post a Comment