Sunday, October 14, 2012



Pupuk rasa cinta, sayang kepada anak

Oleh Dato’ Mohd Zawawi Yusoh

RASULULLAH S.A.W sangat penyayang terhadap anak, baik terhadap keturunan baginda sendiri ataupun anak orang lain. Abu Hurairah meriwayatkan, satu ketika Rasulullah mencium Hasan bin Ali.

Berhampiran ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi yang sedang duduk. Lelaki itu kemudian berkata, “Aku memiliki sepuluh anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun daripada mereka.”
Rasulullah segera memandang kepadanya dan berkata, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi.”

Sifat kasih sayang Rasulullah juga terserlah ketika bersolat di mana Baginda tidak melarang anak-anak mendekatinya. Hal itu diceritakan Abi Qatadah, “Suatu ketika Rasulullah mendatangi kami bersama Umamah binti Abil Ash iaitu anak Zainab, puteri Rasulullah.

Baginda meletakkannya di atas bahunya kemudian solat dan ketika rukuk. Baginda meletakkannya dan ketika bangun daripada sujud, Baginda mengangkat kembali.”

Peristiwa itu bukan satu-satunya kejadian yang dirakam dalam sejarah.  Abdullah bin Syaddad juga meriwayatkan daripada ayahnya bahawa, “Ketika waktu solat Isyak, Rasulullah datang sambil membawa Hasan dan Husain.

Baginda kemudian maju (sebagai imam) dan meletakkan cucunya kemudian takbir untuk solat. Ketika sujud, Baginda memanjangkan sujudnya.


Ayahku berkata, “Saya kemudian mengangkat kepala dan melihat anak kecil itu berada di atas punggung Rasulullah yang sedang bersujud. Saya kemudian sujud kembali.”


Setelah selesai solat, orang-orang pun berkata, “Wahai Rasulullah, saat sedang sujud di antara dua sujudmu tadi, engkau melakukannya sangat lama, sehingga kami mengira terjadi peristiwa besar atau turun wahyu kepadamu.”


Baginda kemudian berkata, “Semua yang engkau katakan itu tidak terjadi, tapi cucuku sedang bermain di belakangku, dan aku tidak suka menghentikannya sampai dia menyelesaikan keinginannya.”


Usamah bin Zaid ketika masih kecil mempunyai kenangan manis dalam pangkuan Rasulullah. “Rasulullah pernah mengambil dan mendudukkanku di atas pahanya dan meletakkan Hasan di atas pahanya yang lain, kemudian memeluk kami berdua dan berkata, “Ya Allah, kasihanilah keduanya, kerana sesungguhnya aku mengasihi keduanya.”


Begitulah sikap Rasulullah kepada anak-anak. Secara halus, Baginda memberi contoh bagaimana anak perlu diberikan penuh rasa cinta, kasih sayang dan kelembutan.


Sikap tidak mencontohi Rasulullah adalah kesilapan besar ibu bapa terhadap anaknya. Antara kesilapan yang dilakukan ibu bapa ialah:


1. Memaki dan menghina anak.


Bagaimana yang dikatakan menghina iaitu ketika seorang ayah menilai kekurangan anaknya dan memaparkan setiap kebodohannya.


Lebih teruk lagi jika itu dilakukan di hadapan teman si anak. Termasuk dalam kategori itu adalah memberi nama kepada anak dengan nama buruk. Seorang lelaki pernah mendatangi Umar bin Khattab seraya mengadukan kederhakaan anaknya. Umar kemudian memanggil anak orang tua itu dan mengherdiknya atas kederhakaannya.

Tidak lama kemudian anak itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, bukankah anak memiliki hak atas orang tuanya?” “Betul,” jawab Umar.

“Apakah hak anak?” “Memilih calon ibu yang baik untuknya, memberinya nama yang baik, dan mengajarkannya al-Quran,” jawab Umar.
“Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayahku tidak melakukan satu pun dari apa yang engkau sebutkan. Adapun ibuku, ia adalah wanita berkulit hitam bekas hamba sahaya orang majusi; dia menamakanku Ju’lan (kumbang), dan tidak mengajarku satu huruf pun dari al-Quran,” kata anak itu.

Umar segera memandang orang tua itu dan berkata kepadanya, “Engkau datang untuk mengadukan kederhakaan anakmu, padahal engkau derhaka kepadanya sebelum ia menderhakaimu. Engkau berbuat buruk kepadanya sebelum dia berbuat buruk kepadamu.”

Rasulullah sangat menekankan supaya kita memberi nama yang baik kepada anak.
 
Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kalian dan nama ayah kalian, maka perbaikilah nama kalian.”

Sebab itu, Rasulullah kerap mengganti nama seseorang yang bermakna jelek dengan nama baru yang lebih baik atau mengganti gelaran yang buruk kepada seseorang dengan yang lebih baik dan positif.

Contohnya, Harb (perang) menjadi Husain, Huznan (yang sedih) menjadi Sahlun (mudah), Bani Maghwiyah (yang tergelincir) menjadi Bani Rusyd (yang diberi petunjuk).

Rasulullah memanggil Aisyah dengan nama kecil Aisy untuk memberi kesan lembut dan sayang.

2. Melebihkan seorang anak daripada yang lain.

Sikap itu adalah salah satu faktor putusnya hubungan silaturahim anak dengan ibu bapanya dan punca permusuhan antara saudara.

Nu’man bin Basyir bercerita, “Ayahku menginfakkan sebahagian hartanya untukku. Ibuku, ‘Amrah binti Rawahah kemudian berkata, ‘Saya tidak suka engkau melakukan hal itu sehingga menemui Rasulullah.’ Ayahku kemudian berangkat menemui Rasulullah sebagai saksi atas sedekah yang diberikan kepadaku.

Rasulullah berkata kepadanya, ‘Apakah engkau melakukan hal ini kepada seluruh anak-anakmu?’ Ia berkata, ‘Tidak.’ Rasulullah berkata, ‘Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anakmu.’ Ayahku kemudian kembali dan menarik lagi sedekah itu.

Puncak kezaliman kepada anak ialah ketika ibu bapa tidak timbul rasa cinta dan sayangnya kepada anak perempuan yang kurang cantik, kurang pandai, atau cacat salah satu anggota tubuhnya.

Padahal, tidak cantik dan cacat bukanlah kemahuan anak. Apalagi tidak bijak itu pun bukanlah dosa dan kejahatan.

3. Mendoakan keburukan buat anak

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda, ada tiga doa yang dikabulkan doanya: doa orang yang teraniaya, doa musafir, dan doa (keburukan) orang tua ke atas anaknya.

Entah apa alasan yang membuat seseorang begitu membenci anaknya. Jika seorang ibu sepanjang hari lidahnya tidak kering mendoakan celaka, melaknat dan memaki anaknya maka sesungguhnya, ibu itu adalah wanita yang paling kejam.

Setiap doa buruknya, setiap ucapan laknat yang keluar dari lidahnya, dan setiap kata maki yang diucapkannya boleh termakbul lalu menjadi hukuman ke atas dirinya.

Cuba hayati kisah ini pula. Seseorang pernah mengadukan mengenai anak lelakinya kepada Abdullah bin Mubarak. Abdullah bertanya kepada orang itu, “Apakah engkau pernah berdoa (yang buruk) atasnya.” Orang itu menjawab, “Ya.”
Abdullah bin Mubarak berkata, “Engkau telah merosakkannya.” Nauzubillah!


4. Tidak memberi pendidikan kepada anak

Ada syair Arab yang berbunyi, “Anak yatim itu bukanlah anak yang ditinggal orang tuanya dan meninggalkan anak-anaknya dalam keadaan hina.

Sesungguhnya anak yatim adalah yang tidak dapat dekat dengan ibunya yang selalu menghindar darinya, atau ayah yang selalu sibuk dan tidak ada waktu bagi anaknya.”

Perhatian tertinggi ibu bapa kepada anaknya ialah memberi pendidikan yang baik dan jika gagal, ia adalah kejahatan orang tua terhadap anaknya.

Jika mereka gagal memberi pendidikan terbaik kepada anak maka ibu bapa itu melanggar perintah Allah. Dalam surah Thaha ayat 132 Allah berfirman yang bermaksud: “Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”

Rasulullah bersabda, “Ajarilah anak-anakmu solat saat mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (bila tidak melaksanakan solat) pada usia sepuluh tahun.”

Kekuatan iman mampu jadi ejen perubahan

Dato’ Mohd Zawawi b Yusoh

IMAN mampu mengubah manusia untuk sentiasa merasai diri diperhati Allah. Mari kita renungi contoh iman meresap di dalam hati.

Ia berlaku ketika Khalifah Umar berdialog dengan remaja penjaga kambing untuk mengujinya.

Pada satu hari, Umar berkata kepada si penjaga kambing, “Saya mahu beli kambing, bolehkah saya membuat bayaran kepada kamu tanpa berurusan dengan pemilik kambing ini?”

Jawab si penjaga kambing. “Tidak boleh, tuan perlu berurusan terus dengan pemiliknya.”

Khalifah Umar mendesak, terus menguji. “Jika kamu jual, pemilik kambing ini tidak tahu malah kambing beranak ke, mati ke, dia tidak kira. Kamu ambil duit jualan ini pun, pemilik kambing tidak tahu.”

Apakah jawapan penjaga kambing yang mendapat percikan keimanan itu? “Saya sebagai penjaga amanah tidak boleh khianat, walaupun tuan saya tidak lihat perbuatan saya tapi Tuhan tuan saya Maha Melihat?”

Ya Allah, Subhanallah, itulah jawapan keimanan yang membuatkan Umar menangis kerana terlalu gembira rakyatnya mempunyai akidah, tidak sanggup menipu dan tidak pecah amanah kerana dibentengi keimanan.

Iman yang mendalam pasti mengutamakan Allah lebih daripada segala-galanya dan sanggup mengabaikan kemahuan sendiri. Apabila sesuatu perbuatan itu kelihatan mulia di matanya, tapi hina di sisi Allah, mereka tetap memandang perbuatan itu hina.

Jadi bagaimana cara hendak memupuk iman supaya mampu menjadi ejen perubahan?
 
Pertama, memupuk iman bermula dengan ilmu, sebab ilmu lebih tua daripada iman. Allah berfirman yang bermaksud: “Ketahuilah tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah”. Allah mulakan dengan perkataan ketahuilah, maknanya berilmulah, selepas itu barulah Allah sebut “tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah.”

Ilmu pertama mesti dipelajari adalah ilmu tauhid. Ilmu tauhid terbahagi kepada tauhid rububiyah dan tauhid uluhiyah. Tauhid rububiyah mengakui Allah sebagai pencipta, Allah sebagai pentadbir dan tiada suatu pun yang berlaku atas muka bumi ini melainkan dicipta Allah.

Sihat, sakit, hidup, mati, lapar, kenyang, dahaga, nikmat, malapetaka, semuanya adalah urusan Allah. Tauhid rububiyah mengajar manusia supaya tidak memandai-mandai mencipta peraturan.

Alam ini milik Allah, wajah, badan, aurat dan harta milik Allah, sampai masa dan ketika semuanya pulang ke pangkuan Allah.

Kedua, tauhid uluhiyah bermaksud menjadikan Allah sebagai Tuhan yang disembah, Tuhan tempat memohon, tempat bergantung dan segala-galanya.

Tauhid inilah yang menjadi penguat insan supaya menjadikan manusia patuh dan setia kepada Tuhan dan mengikut segala suruhan dan larangan-Nya.

Ia menjadi sebab kejadian manusia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku.” Dan ia juga menjadi sebab perutusan rasul.

Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami mengutuskan setiap umat itu rasul yang mengajak manusia supaya menyembah Allah dan menjauhkan taghut.”

Di samping ilmu tauhid, ilmu syariat mesti diperdalamkan sebagai pengikat kepada keperibadian Muslim. Ia mengandungi lima hukum iaitu wajib, sunat, makruh, harus, haram.

Wajib maknanya apabila dibuat dapat pahala, kalau ditinggalkan berdosa besar. Orang Islam mesti buat. Sunat pula, jika dibuat dapat pahala, ditinggalkan Allah tak suka. Maka umat Islam patut buat.

Harus pula maknanya buat tak apa, tak buat pun tidak berdosa. Terserah kepada kita, nak buat atau tidak. Makruh maknanya kalau buat Allah tak suka tapi tak berdosa, kalau tak buat dapat pahala.

Orang Islam patut tak buat. Haram maknanya kalau buat dosa besar, kalau tak buat pahala besar. Orang Islam mesti tak buat. Semua hukum itu bukannya untuk mengongkong orang Islam, tapi mereka perlu terikat dengan syariat, barulah ada peraturan.

Kalau tak terikat, terlalu bebas sama seperti orang Barat. Bebas hingga terbabas.
Ingatlah, apabila sempurna hubungan dengan Allah, sempurnalah hidup kita.

No comments:

Post a Comment