Tumor di otak: 'Di sebalik musibah, rahmat besar menanti'
Sinar Harian 27 Oktober 2012
SIAPA sangka di sebalik musibah yang menimpa, ada rahmat besar yang
menanti. Perkara ini diakui oleh Mohd Royzilee Mustaffa. Segalanya
berlaku begitu pantas, Royzilee tidak menyangka dirinya menjadi mangsa
rompakan. Walau sudah cukup berhati-hati namun takdir mengatasi
segalanya.
Menyingkap kisah tragis yang menimpa dirinya, anak muda ini tidak dapat
lupakan tarikh 1 September 2005 yang mengubah perjalanan hidupnya.
Walaupun sudah tujuh tahun berlalu namun kisah ini masih segar dalam
ingatan dan tidak mungkin dapat dilupakan.
“Ketika melintasi bawah LRT Masjid Jamek sekitar jam 11 malam,
tiba-tiba muncul dua lelaki berwajah bengis meminta beg yang sedang saya
sandang. Namun saya enggan berbuat demikian, kedegilan saya membuatkan
mereka berang.
“Mereka kemudiannya memukul saya dengan sebatang kayu, saya rasa amat
sakit di bahagian kepala dan tidak sedar apa yang berlaku selepas itu.
Apabila buka mata saya sudah berada dalam ambulan menuju ke Hospital
Kuala Lumpur (HKL).
“Pemeriksaan rapi dilakukan, saya hanya mampu berdoa agar kesan
kecederaan ini akan cepat pulih. Hasil imbasan CT mendapati ada ketulan
darah beku di otak saya. Tetapi doktor mengatakan ketulan ini agak aneh.
Lantaran, doktor melakukan imbasan MRI. Saya akur dengan keputusan
doktor, saya juga tidak sabar untuk mengetahui apa sebenarnya yang
bersarang di otak saya,” ujar Royzilee.
Hasil imbasan MRI amat mengejutkan, doktor mendapati terdapat tumor
sebesar 6 sentimeter dalam otak Royzilee. Dia terkedu mendengar
penjelasan doktor yang mengatakan tumor ini kemungkinan sudah bermula
sejak usianya 16 tahun namun kehadirannya tidak disedari.
“Kata doktor jika tidak dikesan pada hari berkenaan, jangka hayat saya
tinggal cuma tujuh bulan sahaja. Perasaan saya bercampur baur ketika
itu, terkejut, sedih, bersyukur dan insaf dengan apa yang berlaku. Maha
Suci Allah, saya berasa diri amat kerdil ketika itu,” cerita Royzilee.
Pengalaman aneh beri keinsafan
Keadaan semakin sukar buat Royzilee. Dia diberi kata dua: lakukan
pembedahan segera tapi berdepan dengan risiko untuk lumpuh atau tunggu
saja hari kematian. Selepas berfikir semasak-masaknya, Royzilee tekad
melakukan pembedahan.
“Saya tiada pilihan lain ketika itu, hanya pembedahan peluang untuk
saya meneruskan kehidupan. Saya sedar dengan keadaan diri saya yang
kritikal tapi saya tidak mudah menyerah kalah, saya akan terus berjuang
selagi hayat dikandung badan.
“Sebelum melakukan pembedahan, saya menjalani rawatan dan mendapatkan
khidmat nasihat doktor pakar. Dalam tempoh itu, saya perlu makan
sehingga 65 biji ubat sehari. Ini sebahagian usaha rawatan yang
dilakukan,”katanya.
Tiba di hari pembedahan, Royzilee merasakan tubuhnya semakin lama
semakin mengecil sebaik sahaja bius memasuki tubuhnya. Tiba-tiba dia
berasa tersedar namun ketika itu tubuhnya dipegang erat dan diikat di
atas meja sebelum otak ditebuk. Apa yang mampu dilakukan cuma menjerit
sakit sekuat hati.
Belum pun hilang kesakitan, muncul pula lembaga hitam bermata merah.
Royzilee diangkat dengan kasar sebelum diikat dan dipanggang
hidup-hidup. Habis terbakar baju yang dipakainya. Bau hangit dagingnya
terbakar menusuk rongga hidung. Perasaan ketika itu tidak dapat
digambarkan dengan kata-kata. Takut, gerun, sedih, geram bercampur baur.
Puas dipanggang, Royzilee diletakkan di atas batu berbara. Sungguh pun
sakit, perasaan lapar turut menusuk perut. Tanpa berfikir panjang
serpihan batu berbara dikutip lalu ditelan. Sakit dan panas melecurkan
tekak sampai ke usus. Bila diangkat kepala, terlihat tulisan
Iqra’bismirab tertera di langit berwarna merah. Di kiri kanannya,
terdapat ramai lagi manusia mengalami nasib serupa. Malah ada antara
perempuan yang makan rambut sendiri, barangkali tak mampu lagi menahan
lapar sama seperti dirinya.
Dalam keadaan tertanya-tanya bilakah seksa bakal berakhir, Royzilee
dapat merasakan ada satu tangan besar yang mengutip dirinya lalu
dicampakkan ke padang pasir. Aneh, kulit yang tadinya rentung terbakar
serta-merta mengelupas jadi bersih. Hatinya berdetik, kalaulah ini
kiamat mana orang lain?
Ketika meninjau sekeliling, dia terlihat satu padang hijau. Dek kerana
dahaga yang amat sangat, Royzilee berlari-lari anak menuju ke situ.
Sebelum sempat memasuki kawasan subur tersebut, muncul seorang lelaki
berjubah.
“Sambil tersenyum dia hulurkan pakaian pada saya. Di tangannya terdapat air dan sebiji kurma warna keemasan,” cerita Royzilee.
Sebaik sahaja air melalui tekak, bukan sahaja dahaga yang hilang tetapi
kepuasannya tidak dapat digambarkan. Pada fikirannya bagai baru lepas
minum selautan air dan tidak akan berasa dahaga lagi sampai 300 tahun.
Bermacam-macam rasa makanan enak pula bagaikan terkandung dalam sebiji
kurma yang diberikan padanya.
Selepas makan Royzilee dipelawa memasuki padang hijau. Namun dia
meminta izin untuk menunggu orang tuanya datang terlebih dahulu. Dia
memilih untuk menunggu di atas seketul batu berhampiran pintu masuk.
Tidak lama kemudian ibu bapa Royzilee muncul. Namun belum sempat dia
menyentuh mereka, suasana di kiri kanannya terasa seperti ada aliran
laju. Dalam keadaan panik dia menjerit sekuat-kuat hati sebelum tersedar
berada di katil hospital.
Royzile lihat ibunya ada di sisi. Lepas berbicara dengan ibunya, muncul
seorang lelaki di kepala katil. Wajah, tubuh lelaki tersebut persis
dirinya namun berkulit bersih. Katanya sebelum hilang, ‘kalau kamu tahu
alam barzakh maka kamu akan lupakan dunia’.
Keadaan ini membuatkan dia mula bingung, sama ada dia berada di dunia
atau alam mana. Apatah lagi keanehan demi keanehan mula muncul.
Antaranya melihat orang kenit yang amat ramai. Pernah satu masa, dia
bersalam dengan seorang makcik yang kemudiannya menembus dinding.
Telinga kanannya terdengar alunan muzik menenangkan manakala telinga
kiri, diganggu irama bingit dan pelbagai lagi.
Kepala berasa kebas
Selepas berapa lama di hospital akhirnya Royzilee dibenarkan pulang ke
rumah keluarganya di Yong Peng, Johor. Di rumah, dia tidak berani keluar
kerana banyak perkara aneh masih mengganggu dirinya. Kejadian ini
memberi seribu rahmat buat Royzilee, dia sedar inilah hidayah yang
diberikan ALLAH.
Setelah dinasihatkan bapa, dia mulai solat dalam keadaan duduk. Secara
perlahan-lahan Royzilee mendalami ajaran Islam. Dia mahu berjaya bukan
hanya di dunia malah akhirat juga. Dia memanjat kesyukuran pada Ilahi
kerana diberi peluang kedua untuk terus menikmati kehidupan ini.
“Selepas pembedahan itu, kepala saya sering berasa kebas, Walaupun
dijirus dengan air tapi tak rasa apa-apa. Jadi saya minta pada ayah
untuk pergi mandi air terjun. Syukur selepas duduk selama dua jam di
bawah air terjun rasa kebas hilang sedikit demi sedikit itu pun setelah
empat kali saya melakukannya,” kata Royzilee yang dibawa ke Air Terjun
Berkok, Chaah oleh ayahnya.
Setelah lima bulan tinggal di kampung, ibu Royzilee mula mengimbau
kisah silam yang pernah dilaluinya. Sebelum ini dia tidak diingatkan
kerana dibimbangi mengganggu emosi yang belum stabil. Antara yang
ditunjukkan adalah sekeping gambar yang tertera wajahnya bersama seorang
wanita dan gadis kecil.
“Kata ibu, itu adalah isteri dan anak saya. Walaupun ibu berusaha
mengingatkan saya namun saya masih berasa bingung kerana otak saya tidak
mampu menganalisis sejauh mana kebenaran tersebut.
“Satu hari, ibu mengeluarkan sebuah ‘walkman’. Di dalamnya terdapat
rakaman saya bermain muzik bersama kawan-kawan beberapa hari sebelum
hari kejadian. Sungguh ajaib, sebaik sahaja rakaman tersebut didengar
dunia saya bagai berputar-putar. Syukur saya sudah dapat mengingati
siapa diri saya yang sebenar dan apa yang berlaku pada malam saya
dipukul.
“Selepas ingatan saya pulih, saya minta izin keluarga untuk pulang ke
Kuala Lumpur. Pada mulanya, ayah saya keberatan kerana dia bimbang
perkara buruk menimpa saya. Namun saya berjaya yakinkan keluarga, saya
tidak mahu terus hidup begini sebaliknya saya mesti tabah agar dapat
meneruskan kehidupan seperti biasa,” cerita Royzilee.
Beri semangat kepada pesakit kanser
Jelas Royzilee, penyakit ini sebenarnya memberi impak yang besar dalam
kehidupannya. Tanpa disedari selama ini, penyakit tersebut banyak
mempengaruhi tindakan dan keputusannya dalam hidup.
“Tak sangka, rupa-rupanya tumor di otak saya turut mempengaruhi emosi
dan cara saya berfikir hinggakan rumah tangganya turut mendapat tempias.
Sebelum ini, saya sering melakukan tindakan kurang bijak.
“Saya tidak akan sia-siakan peluang kedua ini, selain cuba perbaiki
kelemahan yang ada, saya juga belajar menghargai insan-insan yang saya
sayangi. Saya berusaha gigih memberikan yang terbaik untuk keluarga,
isteri, Norhayati Abd Latif, 38, dan anak-anak, Syafira Irwayu, 13, dan
Muhammad Adam Rizqin, 2.
“Sambil bekerja, saya menyertai Persatuan Barah Otak dan Urat Saraf.
Saya sering mengunjungi pesakit di HKL untuk beri semangat dan sokongan
moral pada mereka. Saya pernah melalui detik getir dalam kehidupan jadi
saya amat faham perasaan pesakit kanser.
“Penyakit ini juga membuatkan saya begitu menitik berat kesihatan diri.
Setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala agar
kita ketahui keadaan diri kita. Jika ada penyakit, kita dapat mengesan
lebih awal dan mempunyai peluang besar untuk rawatan dan kembali
sembuh,” ujarnya mendapat sokongan isterinya yang merupakan jururawat
pakar bagi kanser darah. Royzilee juga begitu terharu dengan pengorbanan
kedua ibu dan ayahnya yang banyak membantunya ketika berdepan saat
sukar.
* Dipetik dari majalah Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment