Sunday, October 21, 2012

Pujuklah Rasa: Apakah Kita Layak?
DR ROBIAH K.HAMZAH
15 Oktober 2012
Muka Depan Buku Pujuklah Rasa Oleh DR Robiah K. Hamzah Muka Depan Buku Pujuklah Rasa Oleh DR Robiah K. Hamzah

 
Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan pelbagai cubaan) sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman bersamanya, “Bilakah datangnya pertolongan ALLAH?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat. (al-Baqarah : 214)

Al-Quran memberikan pengarahan serta dorongan kepada orang mukmin dan menyiapkan mereka untuk masuk ke syurga-NYA. Ini bermakna, untuk layak ke syurga, maka para pemegang akidah harus berusaha bersungguh-sungguh membela akidah mereka.

Membela akidah bermakna kita bersiap sedia untuk bersahabat dengan penderitaan, kesulitan, kesengsaraan, kemelaratan, serta kemenangan dan kekalahan yang silih berganti.

Hanya proses ini yang dapat membuktikan kemantapan akidah yang tidak goyah dan tidak gentar dengan kekuatan apa pun, juga tidak menjadi terhina di bawah pukulan ujian dan fitnah sehingga layak mendapat pertolongan-NYA.

Setelah melaluinya, barulah kita benar-benar lulus dan dipercayai untuk menjadi pemangku amanat agama-NYA, serta layak membela dan memperjuangkannya. Kita berhak masuk ke syurga kerana roh kita telah bebas daripada ketakutan, kekhuatiran, kehinaan, cinta dunia, kedudukan dan kemewahan.

Cabaran sedemikian diberikan sebagai cara mentarbiah dan memelihara hamba-hamba pilihan yang diamanahkan menerima panji-panji-Nya, amanat-Nya dan syariat-Nya di muka bumi ini.

Ayat tadi menjelaskan kepada kita betapa dekatnya hubungan Rasulullah SAW dengan ALLAH SWT dan orang yang beriman pada-Nya. Pertanyaan, “Bilakah datangnya pertolongan ALLAH?”menggambarkan betapa berat dan sedihnya mereka yang sedang menerima ujian sedemikian... ujian yang harus dilalui oleh orang yang beriman kepada-NYA.

Ketika hati sudah mantap dalam menghadapi ujian yang menggoncangkan seperti ini, maka pada saat itu bermakna telah sempurnalah kalimah ALLAH SWT dan datanglah pertolongan-NYA sepertimana yang dijanjikan dalam ayat-NYA, “Ingatlah, pertolongan ALLAH itu amat dekat.”

Pertolongan itu sudah dijamin ALLAH SWT bagi orang yang berhak mendapatkannya iaitu mereka yang beristiqamah hingga akhir, meskipun menghadapi penderitaan, serta teguh dan tegar ketika berhadapan dengan konflik kerana yakin pertolongan akan datang apabila DIA menghendaki.

Jika demikianlah sifat dan sikap yang dimiliki, maka layaklah kita masuk ke syurga sebagai imbalan setelah berjihad, bersabar, berteguh menghadapi ujian dan memurnikan segalanya untuk DIA, merasai pertolongan-Nya dan melupakan semuanya kecuali Dia. Mampukah kita memiliki perwatakan sehebat ini? Cubalah. Yakinlah pertolongan DIA itu amat dekat.

No comments:

Post a Comment