PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL
ABIDIN
Sinar Harian 10 Januari 2014
APAKAH
jenis Islam yang kita inginkan ataupun pentingkan? Islam yang hakiki yang
berteraskan kepada inti pati ataupun tujuan syariat Islam itu diturunkan oleh
ALLAH?
Ataupun Islam hiasan yang kelihatan pada luaran kulitnya atau cosmetic
adjustments padahal inti pati (essence) tidak memenuhi tujuan asal Islam itu
sendiri?
Dahulu Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali (w. 505H) menulis kitabnya yang
terkenal Ihya ‘Ulum al-Din bagi menangani penghayatan Islam tanpa roh yang
sebenar.
Tujuan beliau menangani perbahasan fiqah yang kontang tanpa isi kerohanian
dalam menghayati ibadah. Al-Imam Abu Ishaq Al-Syatibi (w. 790) menulis
al-Muwafaqat membahaskan Maqasid al-Syariah (The Highest Objectives and intents
of Islamic Law) bagi menjelaskan apakah tujuan utama di sebalik syariah yang
kita lihat dan amalkan.
Dalam Radical Reform, Prof Tariq Ramadan menolak apa yang dinamakan Islamic
economy, Islamic politic, Islamic medicine dan seumpamanya.
Beliau menolak istilah ini. Beliau menyatakan tiada sama sekali apa yang
dinamakan islamic economy sebaliknya yang ada hanyalah garis panduan umum serta
falsafah bagi tujuan ekonomi yang ditetapkan oleh Islam. Bagi beliau tiada yang
dinamakan islamic economy, sebaliknya yang ada ialah etika Islam dalam ekonomi.
Kata beliau “There is no Islamic economy, therefore, but an Islamic ethics of
the economy”.
Ia mungkin soal pengistilahan, tetapi yang hendak ditekankan, apakah faedahnya
meletakkan nama Islam untuk ekonomi, perubatan dan seumpamanya, padahal ia
hanya satu hiasan luaran bukan hakikat yang hendak dicapai oleh syariat Islam
itu sendiri.
Jika
dinamakan perbankan Islam, tapi unsur penindasannya sama dengan yang tidak
bernama Islam, hanya sekadar istilah Arab dan syariah sahaja yang dipentingkan,
apalah maknanya? ALLAH tidak memerlukan harta kita, ALLAH mahu kita tidak zalim
dan tidak menindas antara satu sama lain.
Matlamat
syariat islam
Pakaian, istilah, hiasan, corak dan bahasa yang dikaitkan dengan Islam tidak
memberi erti jika tidak memenuhi tujuan asal ataupun matlamat syariat Islam
dalam perkara yang berkaitan.
Saya berikan satu contoh di sini, sebuah kedai makan yang bersih dan selamat
makanannya tanpa memperlihatkan ciri-ciri zahir agama lebih memenuhi tuntutan
Islam dibandingkan sebuah kedai makan yang peniaganya berkopiah dan dindingnya
bergantungan ayat al-Quran tetapi tidak bersih dan kualiti makanannya di tahap
yang rendah.
Bagi seorang peniaga makanan, menyediakan makanan yang bersih dan selamat
adalah satu kewajiban. Itulah inti pati tanggungjawab seorang peniaga makanan.
Sementara memakai kopiah dan menggantung ayat al-Quran di dinding bukanlah satu
tuntutan. Ia satu pilihan. Bahkan kadangkala ia boleh menjadi satu cara
penipuan jika ada tujuan yang tidak jujur.
Sabda Nabi SAW: “Muslim saudara Muslim. Tidak halal seorang Muslim menjual
kepada saudaranya suatu jual yang ada kecacatan tanpa diterangkan” (Riwayat
Ahmad, Ibn Majah). Al-Hakim menyatakan sahih dan disetujui oleh al-Zahabi).
Apabila kita membaca hadis Nabi SAW yang bersabda: “Sesungguhnya golongan
peniaga dibangkitkan pada hari kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang
bertakwa, berbuat kebaikan dan benar” (Riwayat al-Tirmizi, al-Hakim dalam
al-Mustadrak) . Al-Hakim menyatakan sanadnya sahih. Ia dipersetujui oleh
al-Zahabi) kita tahu yang jahat ialah sesiapa yang menipu pelanggan.
Dalam konteks kedai makan penipuan adalah makanan yang kotor dan tidak selamat.
Tidak dikatakan penipu orang yang tidak memakai kopiah ataupun tidak menghiasi
kedainya dengan ayat al-Quran. Memakai kopiah dan menggantungkan ayat al-Quran
itu adalah hak peniaga atas premisnya.
Namun jika itu semua dilakukan untuk menarik pelanggan supaya merasa kedai
makannya mengikut ajaran Islam sedangkan hakikat tidak, maka itu satu penipuan.
Lebih baik dia jangan meletakkan ayat Tuhan di dinding jika itu sekadar
mengelirukan pelanggan. Dia bagaikan menjual ayat ALLAH dengan harga yang
murah. Mungkin bagi Muslim mereka dapat bezakan antara perangai orang yang
tidak ikut ajaran Islam dengan kesucian ayat yang digantung. Namun bagi
bukan Muslim mungkin mereka akan salah sangka dengan Islam.
Suatu ketika, Rasulullah SAW melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu
Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan Baginda menjadi basah. Baginda
pun bersabda: “Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?
Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa
engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh
nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku.” (Riwayat Muslim)
Kemaslahatan
umum
Demikian juga Islam tidak pernah menetapkan jenis masakan. Bukanlah masakan
Arab itu lebih disukai ALLAH dibandingkan masakan Barat. "
Seseorang yang suka makanan Arab tidak bererti dia lebih soleh daripada yang
suka makanan Melayu ataupun Barat. Apa yang ALLAH sebut dalam al-Quran: “Dan
makan dan minumlah, tapi jangan berlebihan, sesungguhnya ALLAH tidak suka orang
yang berlebihan”. (Surah al-A’raf: 31)
Jika kita lihat dalam urusan pentadbiran, apakah yang menjadi tujuan pengurusan
pentadbiran dalam Islam? Islam tidak pernah mendetilkan rupa paras politik
Islam, sebaliknya hanya memberikan garis panduan umum sahaja.
Pentadbiran
dan politik dalam Islam sama ada hendak dinamakan etika Islam dalam politik
ataupun politik Islam, terpulang. Namun perkara yang menjadi tujuan Islam dalam
politik adalah kemaslahatan negara.
Bukan kemaslahatan pemimpin ataupun parti tertentu sahaja, sebaliknya ialah
kemaslahatan umum untuk semua negara. Pengurusan pentadbiran dalam Islam
berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah ataupun efficiency and accountability.
Jika sesiapa sahaja mampu mencapai pengurusan yang amanah dan cekap dalam
erti kata yang Islam kehendaki, maka dia telah menunaikan maksud dan tujuan
pentadbiran politik dalam Islam. Firman ALLAH: “Sesungguhnya orang paling baik
yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah.” (Surah al-Qasas:26)
Bagaimanakah reka bentuk kerajaan dan pendekatan yang hendak diambil dalam
mencapai maksud amanah dan cekap itu, Islam tidak tetapkan. Asalkan ia
adil, tidak zalim atau tidak mencanggahi prinsip umum Islam maka segala
pendekatan dan cara boleh diambil.
Islam tidak pernah menetapkan pemimpin itu mesti bergelar mullah ataupun ustaz
ataupun ulama. Tidak pula mesti berjubah dan berkopiah.
Tidak pula ditentukan mesti nama-nama negeri, kampung, pejabat ditukar kepada
istilah Arab. Jika ulama dilihat mampu membawa kepada ketelusan dan kecekapan
pentadbiran maka mereka dilantik. Jika selain ulama lebih mampu, mereka
dilantik.
Apa yang al-Quran tegaskan (maksudnya): “Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu
memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di
kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil.
Sesungguhnya ALLAH memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah
an-Nisa’: 58)
Dalam minat yang tinggi rakyat kita untuk kembali kepada Islam, mereka
hendaklah dapat membezakan antara hakikat dan hiasan.
Bukan
hiasan itu tidak perlu, tetapi hiasan itu hendaklah menggambarkan hakikat. Jika
hiasan itu tidak menggambarkan hakikat maka itu penipuan dan ia bukan tujuan
asal Islam yang Tuhan kehendaki.
No comments:
Post a Comment