Tuesday, January 14, 2014

Maulid Rasulullah saw : Berbezakan kita dengan Abu Lahab?

JAN 14, 2014

 USTAZ AZHAR YAHYA


Saban tahun 12 Rabiul Awwal disambut meriah. Namun, sambutan tersebut tidak mampu memberikan impak yang maksima dalam menegakkan Islam. Ini adalah kerana sambutan itu dilakukan tanpa penghayatan sebenarnya kepada perjuangan Rasulullah SAW.

Pertikaian tentang Maulidurrasul saban tahun tidak kurang hebatnya. Malang sekali apabila masalah fundamental ummah jarang diperbincangkan seperti runtuhnya akhlak dan jati diri umat Islam tetapi sering mempertikaikan dan memperdebatkan perkara yang khilafiyah. 

Kelahiran Rasulullah SAW bukanlah kelahiran biasa yang perlu disambut dengan girang gembira sahaja tetapi kelahiran yang membawa “nur” menyinari sekian alam. Jika sambutan Maulidurrasul hanya sekadar disambut dengan gembira, Abu Lahab adalah antara orang yang paling gembira menyambut kelahiran Rasulullah SAW. Janganlah kita menjadi seperti Abu Lahab yang beria-ria menyambut kelahiran Rasulullah tetapi setelah dikemukakan kebenaran dia pula menjadi penentang nombor satu. 

Sambutan ini perlu dijadikan satu sambutan yang benar-benar memberikan sinar suluhan kepada kepada ummah dalam mereka menempuhi dunia yang penuh kegelapan maksiat dengan suluhan kenabian. Jika kita tidak meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan menyebarkan risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW, apalah gunanya kita beria-ria menyambut kelahirannya? Seolah-olah tiada ertinya.

12 Rabiul Awwal adalah tarikh yang mempunyai 3 peristiwa pengubah dunia iaitu:

[1] Kelahiran Rasulullah SAW.
[2] Kelahiran Daulah Rasulullah SAW.
[3] Kelahiran Pewaris Perjuangan Rasulullah SAW.

Jika hanya menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW kemudian memusuhi baginda samalah seperti Abu Lahab. Sunnah Abu Lahab inilah yang perlu diubah dengan memahamkan ummah ini bahawasanya tanggal 12 Rabiul Awwal ini ada dua lagi peristiwa besar yang ditakdirkan Allah SAW berlaku iaitu bermulanya Daulah Nabi dan Wafatnya Nabi.

Baginda yang kita sambut kelahirannya itu telahpun wafat, maka hendaklah disedari bahawa kewafatan baginda bukanlah masa untuk ditangis-tangiskan semata tetapi adalah masa untuk menyedari bahawa Baginda telah meninggalkan sesuatu warisan yang besar untu diwarisi iaitu perjuangan untuk mendaulatkan agama ini. Kitalah yang akan menjadi mata rantai penerus kepada perjuangan ini.

Justeru, kefahaman kepada umat Islam perlu di terapkan dan semangat para pejuang patut dikobarkan dengan suntikan semangat hijrah mendapatkan “daulah” yang juga berlaku pada 12 Rabiul Awwal.

No comments:

Post a Comment