SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
Sinar Harian 10 Januari 2014
ALLAH
SWT Maha Pemurah dalam memberi segala kenikmatan untuk setiap makhluk
ciptaanNya, Islam atau kafir Dia sentiasa memberikan limpahan kemewahan yang
merangkumi rezeki, kesihatan, kekayaan dan sebagainya.
Namun, pemberianNya kadangkala disalah ertikan ciptaanNya, sehinggakan ada yang
sombong, takbur dan tidak menjalani hidup seperti yang disuruhNya. Manusia
semakin alpa dan tenggelam dengan nikmat kurniaan Ilahi.
Kesilapan besar
Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Shahrizal Nasir
berkata, Setiap manusia di dunia ini merasai nikmat dalam kehidupan
masing-masing.
Dengan
sifat ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, setiap manusia merasai
nikmat daripadaNya sama ada mereka beriman atau sebaliknya. Malah dari satu
sudut, kadang kala kita melihat golongan hambaNya yang taat, masih lagi berada
dalam keadaan kesusahan dan kesempitan hidup. Manakala golongan satu lagi yang
bergelumang dengan dosa dan noda, terus memperoleh nikmat kesenangan hidup yang
banyak.
“Inilah yang dinamakan istidraj iaitu pemberian nikmat ALLAH kepada manusia
yang mana pemberian itu sebenarnya tidak diredai olehNya.
Manusia yang diuji dengan istidraj akan memperoleh bermacam kenikmatan dunia
sama ada dalam bentuk kekayaan, kejayaan, pangkat dan gelaran, pengiktirafan
dan sanjungan, namun kesemua itu tidak menjadikan mereka hambaNya yang
bersyukur, sebaliknya terus jauh daripada ALLAH. Mereka sangka ALLAH telah
memberi mereka segalanya meski pun mereka ingkar kepadaNya.
Sebenarnya, mereka telah melakukan satu kesilapan yang amat besar.
“Ketahuilah ALLAH berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Firman
ALLAH bermaksud: “Sesungguhnya urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu, Dia
hanya berkata kepadanya, “Jadilah!”, maka jadilah sesuatu itu,” (Surah Yasin:
82).
Kerana itu, sebagai hambaNya yang taat dan beriman, setiap ketentuan ALLAH
pastinya diterima dengan penuh reda. Kewajipan sebagai seorang Muslim mesti
diteruskan meskipun masih terdapat harapan dan impian yang masih belum
dimakbulkan ALLAH,” katanya kepada Halaqah.
Menurutnya, istidraj boleh berlaku melibatkan apa juga nikmat dunia yang
diterima meliputi nikmat harta, kekayaan, pangkat, darjat, sanjungan, kejayaan
dan sebagainya. Jika semua ini diterima sedangkan diri semakin jauh daripada
ALLAH, maka mungkin ia adalah istidraj.
Perlu kita fahami terdapat dalam kalangan hamba ALLAH yang sedang diuji dengan
pemberian nikmat olehNya. Nikmat yang melimpah ruah diperoleh sedangkan diri
terus bergelumang dengan maksiat serta melanggar perintah ALLAH. Hakikatnya
golongan ini sedang menempah azab ALLAH yang pasti akan tiba sekiranya mereka
tidak bertaubat.
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila kamu
melihat ALLAH memberikan nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat,
ketahuilah orang itu telah menerima istidraj daripada ALLAH.” (Riwayat Ahmad,
at-Tabrani & Baihaqi)
Sentiasa
bersabar
Sebagai seorang manusia, pasti terdetik di hati ini perasaan tidak puas hati
apabila melihat kekayaan, kesenangan dan kemewahan individu lain padahal dia
bukanlah Muslim atau sungguhpun dia Muslim tetapi tidak menjalani kehidupan
yang dituntut Islam.
“Ramai yang mengajukan persoalan itu kepada saya, jawapannya mudah. Memang
benar ALLAH memberikan mereka kesenangan tetapi dalam keadaan bagaimanakah Dia
memberikannya? Fahami maksud istidraj.
Kita umat Islam harus berusaha dan bersabar kerana itulah yang akan mengukur
tahap keimanan kepadaNya. Keyakinan bahawa ALLAH sentiasa mendengar permohonan
hambaNya perlu disemat dalam hati agar diri tidak pernah berputus asa dengan
rahmat ALLAH.
“Terdapat contoh-contoh yang jelas dalam al-Quran bagaimana ALLAH menguji
hambaNya dengan nikmat dunia yang menjadikannya jauh daripada rahmat dan kasih
sayangNya. Peristiwa benar tersebut perlu dijadikan iktibar.
Istidraj
bukan sahaja boleh berlaku kepada hambaNya yang tidak beriman dengan ALLAH,
malah ia boleh terjadi kepada golongan yang jauh daripada ALLAH dan tidak
berusaha untuk mendekatkan diri kepadaNya,” kata Ustaz Mohd Shahrizal.
ALLAH menyatakan kepada Rasulullah SAW menerusi firmanNya yang bermaksud: “Kami
akan menarik mereka sedikit demi sedikit (kejurang kebinasaan), dari arah yang
mereka tidak mengetahuinya.” (Surah al-Qalam: 44)
Menurutnya, menjadi kewajipan kepada kita untuk mensyukuri segala nikmat yang
kita peroleh selama ini. Jangan sia-siakan setiap nikmat diterima dengan
perlakuan yang mengundang kemurkaan ALLAH.
Dekati ALLAH melalui nikmatNya
ALLAH datangkan nikmat dalam bentuk yang pelbagai sama ada harta, kesihatan,
rezeki dan juga anak. Anak adalah anugerah kepada ibu bapa merangkap nikmat
daripadaNya, justeru ibu bapa perlu menjaga sebaiknya nikmat itu bagi mencapai
reda ALLAH.
Ustaz Mohd Shahrizal menjelaskan, Islam meletakkan tatacara dalam membesarkan
anak. Ia tidak bermula selepas anak itu dilahirkan sebaliknya sejak si lelaki
memilih wanita yang ingin dikahwininya, semasa saat kehamilannya, proses
kelahirannya, memilihkan nama terbaik sehinggalah kepada mendidiknya dengan
ilmu agama yang sempurna.
“Sekiranya ibu bapa tidak menjaga sebaik mungkin nikmat ALLAH ini, jangan
berkeluh resah jika suatu hari nanti anaknya membesar menjadi seorang manusia
yang buruk akhlaknya. Apa yang lebih parah, apabila ibu bapa
dipertanggungjawabkan di atas kesalahan yang dilakukan oleh anak yang tidak
dididik dengan betul.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap
kalian akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” (Riwayat al-Bukhari &
Muslim). Anak soleh dan solehah adalah saham akhirat untuk ibu bapa, doa
merekalah yang akan membantu mengurangkan azab di sana nanti.”
“Setiap nikmat perlu disyukuri dengan memperbanyakkan zikrullah, mengurus
nikmat atau harta dengan baik dan menginfakkan nikmat tersebut kepada golongan
yang memerlukan. Pendek kata, untuk menjaga diri daripada istidraj, setiap
nikmat mesti dijadikan antara sebab untuk diri lebih dekat dengan ALLAH,”
katanya.
Selain menjadikan istidraj untuk memuhasabah diri, ia juga adalah penjelasan
ALLAH kepada Muslim agar sentiasa bersangka baik denganNya. Jangan ada yang
beranggapan bahawa Islam menzalimi umatnya, meskipun orang kafir tidak beriman
namun masih menerima nikmat yang banyak daripadaNya.
Hakikatnya semua nikmat itu adalah istidraj daripada ALLAH. Selagi mereka
kufur, mereka akan termasuk dalam kalangan hambaNya yang rugi. Hal ini kerana,
nikmat yang diperolehi di dunia hanyalah sementara, nikmat syurga di akhirat sana yang kekal selamanya
No comments:
Post a Comment