Sunday, January 26, 2014

Untung banyak, tapi masih rugi?

TOK PERAK
Sinar Harian 26 Januari 2014


*BERITA baik, seperti yang dilaporkan media Jumaat lalu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih RM1.73 bilion bagi tempoh suku pertama yang berakhir 30 November, peningkatan sebanyak 22 peratus berbanding RM1.42 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi kewangan kekal stabil dengan pendapatan Kumpulan bagi suku semasa dicatatkan pada RM9.6 bilion, meningkat lima peratus berbanding RM9.1 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

Berita kurang baik, juga seperti dilaporkan media, bagaimanapun keuntungan operasi Kumpulan adalah lebih rendah iaitu pada RM1.52 bilion berbanding RM1.76 bilion dengan kadar penurunan sebanyak 13.4 peratus.

Berita paling tidak baik, yang dirasai oleh rakyat ketika memasuki tahun baharu 2014, kadar tarif elektrik naik hampir 15 peratus. Apabila elektrik naik harga barang-barang lain – termasuk yang tidak ada kaitan dengan elektrik – pun ikut naik.

Maka, soalan dan keluhan rakyat ialah: sekiranya untung bilion-bilion kenapa tarif elektrik perlu dinaikkan? Tidak ada siapa dapat menjawab dengan tepat!

*SYABAS kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang sehari dua ini memperlihatkan kesungguhan memerangi peniaga yang menghisap darah pembeli.

Ops Harga 2014 digerakkan serentak di seluruh negara Isnin lalu, melibatkan 1,800 pegawai penguat kuasa dan 1,100 pegawai pemantau harga, memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu penandaan harga, pengeluaran notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, serta memeriksa alat timbang dan sukat.

Setakat hari kedua operasi 16,694 premis telah diperiksa, menjadikan jumlah keseluruhan pemeriksaan premis yang dilakukan sejak awal tahun ini kepada 62,849 buah.

Dari jumlah tersebut 749 kes diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, dan Akta Perihal Dagangan 2011. Sebanyak 83 notis dikeluarkan dengan nilai keseluruhan kompaun RM54,350 dan nilai rampasan RM86,753.17.  

Dengan angka-angka ini orang ramai, khasnya pengguna, melihat ada kesungguhan KPDNKK untuk membantu pembeli, sekali gus menangkis tanggapan umum bahawa kementerian lebih cakna peniaga bukan pengguna.

Maka, Datuk Seri Hasan Malek tidak perlu berhenti. Teruskan usaha gigih ini setiap masa, jangan kira musim, dan ambil tindakan tegas ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan. Pasti rakyat akan angkat topi dan tabik pada menteri.
   
*MULA-MULA gores dan memang (G&M), kemudian tendang dan belasah (T&B). Ini fenomena baharu dalam menghadapi tekanan kenaikan harga barang. Pengguna hendak kaya cepat, hendak untung mudah.

Ramai yang tertipu dengan skim G&M. Beli barang sekian-sekian, dapat voucer, gores dengan duit syiling, dan boleh dapat kereta percuma. Tetapi sebelum kereta tiba, kena masukkan sekian-sekian RM dalam akaun sekian-sekian.

Apabila duit telah dimasukkan dalam akaun, tunggu berhari-hari kereta yang dimenangi @ dijanjikan tidak kunjung tiba. Kemudian baru disedari semuanya adalah auta. Duit lesap, kereta tidak dapat. Ini selalu kita dengar.

Khamis lalu, empat lelaki dipercayai kakitangan sebuah syarikat G&M teruk dibelasah sekumpulan 30 lelaki dalam kejadian di sebuah premis di Seremban. Seorang daripada kakitangan berkenaan pengsan.

Kumpulan lelaki bermotosikal itu berang kerana ramai ahli keluarga dan kenalan mereka ditipu sehingga ribuan ringgit. Syarikat terbabit dipercayai beroperasi di kawasan itu sejak setahun lalu dan sudah banyak memperdaya mangsa.

Dalam hal seperti ini pengguna harus berhati-hati, jangan tamak dan jangan mudah terpedaya. Gunakan akal, mana boleh beli barang RM10 boleh dapat sebuah kereta percuma!

*AKHIR kalam, Bernama melaporkan Finas tidak terlibat sebarang isu penyalahgunaan wang tetapi hanya mengalami masalah dalam penyediaan akaun yang tidak boleh disahkan, kata Ketua Pengarahnya, Raja Rozaime Raja Dalnish Shah.

Semua orang tahu ‘penyediaan akaun yang tidak boleh disahkan’ itu pun satu bentuk penyelewengan. Kenapa akaun tidak boleh disahkan? Ini yang orang kata sudah terang lagi bersuluh!

TOK PERAK

No comments:

Post a Comment