Sunday, January 26, 2014

Keluhan di sebuah stesen LRT

ABDUL JALIL ALI
23 Januari 2014


KENA positif, yakin dan selalu berdoa; sekiranya semua berjalan seperti yang dirancang, kita akan mencapai tahap negara berpendapatan tinggi, dalam masa beberapa tahun lagi. Kita akan sebaris dengan negara-negara hebat seperti Amerika Syarikat, insya-Allah.

Sebelum sampai ke negara berpendapatan tinggi, sekarang dan untuk beberapa tahun lagi kita kena hidup sebagai negara berpendapatan belum tinggi – masih ramai yang berpendapatan di bawah RM1,000, malah ada juga yang berstatus ayam @ kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Keluhan umum sekarang, tidak kira di mana, ialah kenaikan kos hidup. Semua barang tiba-tiba naik tinggi. Maka kita semua, rakyat terbanyak, menghadapi kenyataan untuk hidup sebagai berpendapatan belum tinggi dengan harga barang semua tinggi. Gaji belum naik, harga semua barang sudah naik.

Jangan mengeluh, sebab keluhan tidak akan menurunkan harga ikan kembung, juga tidak sekali-kali akan menjadikan tarif elektrik kembali pada kadar lama. Harap-harap kadar tol tidak naik.

Ada beberapa cadangan kerajaan untuk mengurangkan tekanan dalam menghadapi kenaikan harga barang. Fikirkan baik-baik cadangan tersebut, lakukan jika boleh, mudah-mudahan kita bahagia. Antara cadangan yang selalu diberikan:

Pertama, berjimat dan tingkatkan tabungan. Ini mungkin tidak dapat dilakukan. Macam mana hendak berjimat sekiranya pendapatan tidak cukup. Bayangkan keluarga tiga anak dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,000. Pusing macam mana pun memang tidak boleh jimat walau setengah sen.

Sebab itu bukan luar biasa apabila kita mendengar anak-anak tidak dapat ke sekolah sebab ibu bapa tidak ada duit membayar tambang bas. Itu pun ada ura-ura untuk menaikkan tambang bas sekolah. Hari-hari ada berita murid-murid lapar sebab tidak ada duit untuk makan di kantin.

Kedua, berbelanja dengan bijaksana, beli hanya yang perlu. Bagi kebanyakan kita, sejak sekian lama memang membeli hanya yang perlu. Kita makan di rumah, tidak mampu makan di restoran. Minum air suam, tidak mampu ke Coffee Beans atau Starbucks. Jauh sekali untuk berseronok di HardRock Café.

Kita membeli hanya yang perlu – kasut sekolah, uniform sekolah, pakaian yang perlu diganti – itu pun hanya membeli di pasar lambak atau kedai biasa. Beli keperluan di Chow Kit atau Jalan Tunku Abdul Rahman, bukan ‘bershopping’ di London, Milan, New York, Paris.

Untuk makan anak-anak pun kita membeli hanya yang perlu. Tetapi rata-rata yang asas pun sudah di luar kemampuan. Ikan kembung makanan rakyat biasa sudah naik RM14 per kilo. Jangan sebut tenggiri, bawal putih atau udang galah!

Mujur masih ada yang murah, seperti kangkung. Tetapi untuk makan sayuran murah itu setiap hari pun kadang-kadang tidak mampu, terpaksa makan sayuran hijau yang diambil di tepi parit, seperti pucuk paku, keladi liar dan sebagainya. Sudah lama kita mengamalkan ikat perut. Tetapi ikat macam mana pun masih tidak cukup, sebab kita belum berpendapatan tinggi.

Ketiga, jangan beli sekiranya harga mahal, boikot barang yang terlalu mahal, beli barang lain. Dia orang kata ada banyak pilihan, betulkah? Kalau harga ayam terlalu tinggi, tukar kepada pilihan lain. Ayam adalah lauk utama yang termampu @ RM6.80 per kilo.

Kalau tidak mampu beli ayam, apa lagi yang lebih murah? Untuk menukar ayam kepada ikan kembung pun tidak boleh sebab harga kembung jauh lebih tinggi. Jadi, apa pilihan yang kita ada? Boikot ayam, kita hendak makan apa?

Sebenarnya bagi kebanyakan orang mereka telah pun mengamalkan cadangan dan syor yang dibuat kerajaan sejak lama dulu. Dalam keadaan barang-barang tidak naik pun mereka sudah mengikat perut. Kini semua barang naik, mereka tidak tahu lagi apa hendak diikat.

Sementara rakyat sudah mengamalkan berhemah semasa membeli, kerajaan pun perlu mengikut orang ramai dengan mengurangkan perbelanjaan. Memang gaji dan elaun menteri sudah dipotong, tetapi mereka masih banyak duit dan boleh berbelanja besar.

Walaupun elaun dipotong, masih ada yang mampu ke luar negara untuk berbelanja sakan di Harrods. Walaupun elaun dipotong, masih ada menyambut hari jadi di hotel mewah. Kerajaan pun kena betul-betul hidup secara berhemah, jangan nampak terlalu mewah!

No comments:

Post a Comment