Oleh Haji Lokman Abd Hamid
Soalan
Salam Tuan Haji, saya
Azman dari Segamat Johor. Persoalan saya ialah, apakah gangguan syaitan boleh
terjadi dibulan Ramadan yang mulia ini? Ini kerana saya melihat sendiri
bagaimana adik perempuan saya mengalami kerasukan, menjerit dan mengilai-ngilai
terutama pada ketika tengah malam. Sedangkan kita sekarang berada di bulan
Ramadan? Apa yang saya tahu, iblis dan syaitan dirantai ketika bulan puasa ini.
Mohon pencerahan daripada Tuan berkaitan perihal ini. Terima kasih dan selamat
menjalani ibadah puasa.
Jawapan
Alhamdulillah, bersyukur
kita kepada Allah SWT kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan bulan Ramadan
yang penuh barakah ini. Bulan yang Allah sediakan begitu banyak pahala untuk
direbut umat Islam melalui setiap ibadat, sehingga Rasulullah SAW bersabda
dalam hadis yang bermaksud:
“Tidur bagi orang yang
berpuasa itu adalah ibadat, manakala diamnya adalah bertasbih.” - HR al-Baihaqi
Betapa besarnya
kelebihan Ramadan sehinggakan tidur pun dianggap ibadat. Pada bulan
inilah diturunkan satu malam yang istimewa iaitu Lailatulqadar. Malam yang
lebih baik daripada 1,000 bulan dan digandakan pahala amalan pada malam
tersebut.
Puasa memiliki banyak
hikmah dan manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa dan kecantikan. Semasa
berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat. Puasa juga boleh mengeluarkan
kotoran, toksin atau racun dari dalam tubuh, meremajakan sel-sel tubuh dan
menggantikan sel-sel tubuh yang sudah rosak dengan yang baru. Dengan berpuasa
juga dapat memperbaiki fungsi hormon, menjadikan kulit sihat dan meningkatkan
daya tahan tubuh secara semulajadi.
Di bulan ini juga Allah
SWT menurunkan petunjuk bagi manusia, iaitu al-Quran. Kita digalak
memperbanyakkan serta menggandakan bacaan al-Quran berserta maksudnya pada
bulan mulia ini. Pada bulan inilah pintu langit akan dibuka seluas-luasnya bagi
memberi peluang kepada umat Islam memohon ampun dan memanjatkan doa, paling
penting kegembiraan orang yang berpuasa dengan ikhlas pada Ramadan kerana
berpuasa dapat menghalang manusia daripada melakukan kejahatan.
Syaitan
juga tidak dapat menghasut manusia pada Ramadan. Namun persoalannya ialah,
bagaimana dibulan yang penuh kemuliaan ini masih berlaku kes-kes kerasukan? Sedangkan
dalam hadis Nabi SAW ada bersabda:
“Apabila datangnya
Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan
dirantai / dibelenggu para syaitan.” - HR al-Bukhari dan Muslim
Pengalaman
saya di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah selama 10 tahun dalam menangani kes-kes
kerasukan mendapati ketika bulan Ramadhan kejadian rasuk kerap berlaku. Malah
terdapat kerasukan dimana pesakit bertindak sangat agresif sedangkan pada
ketika itu pesakit berpuasa!
Kerasukan
Di rencana saya yang
lepas, saya ada menyentuh mengenai isu kerasukan atau histeria. Dari
aspek perubatan moden, hysteria atau kerasukan adalah disebabkan oleh gangguan
mental seseorang atau dipanggil "mental disability'' yang akhirnya membawa
kepada halusinasi atau ''halusination''. Mereka yang mengalami histeria sering
kehilangan kawalan diri yang melampau dan keadaan ini akan membuat pesakit akan
menjerit, meracau dan ada juga yang boleh bertindak ganas.
Daripada
perspektif perubatan Islam, kerasukan dikaitkan dengan keadaan seseorang yang
mengalami gangguan jin atau iblis. Menurut pengalaman pesakit yang pernah
dirawat kerasukan, mereka ternampak pelbagai perkara yang menakutkan hinggalah
mereka tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Ada juga yang mendakwa mereka
berasa sejuk dan panas pada bahagian badan, fikiran bercelaru, hati menjadi
tidak keruan yang akhirnya membawa kepada tidak sedarkan diri dan seterusnya dirasuk.
Hakikat Penciptaan Jin
Bagi
menjelaskan perkara yang berkaitan dengan kejadian gangguan kerasukan ini. Eloklah
kita menyelusuri hakikat penciptaan jin serta sejarah kejadiannya.
Kewujudan
jin adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan kerana ia juga termasuk makhluk
ciptaan Allah SWT. Tujuan penciptaannya juga adalah sama sebagaimana tujuan
penciptaan manusia iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
“dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk
mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku” - Surah Az-Zariyat:56
Bersandarkan
kepada Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi SAW menyatakan beberapa jenis jin yang
bertebaran di muka bumi ini iaitu Iblis merupakan ketua
atau bapa kepada seluruh jin dan syaitan As-Syaitan iaitu syaitan-syaitan yang membisikkan
kejahatan Al-Maraddah membisikkan perasaan agar manusia
merasa ragu-ragu atau was-was
· Al-‘Afrit melaksanakan tipu daya
· Al-A’waan merupakan pelayan-pelayan
· At-Tayaruun iaitu jin-jin yang berterbangan
· Al-Ghawaasuun jin-jin yang tinggal di dalam air
· At-Tawaabi iaitu kuncu-kuncu atau pengikut-pengikut
setia
· Al-Qurana iaitu pengawan-pengawan
· Al-Ummaar iaitu pemakmur
Daripada jenis-jenis
tersebut,ada dikalangannya yang beriman dan taat kepada perintah Allah malahan
tidak melakukan sebarang kejahatan khususnya kepada manusia.
“Dan sesungguhnya
diantara kami ada yang soleh dan diantara kami ada pula yang tidak demikian
halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza" - Surah Al-Jinn:11
Jika sekiranya golongan
jin ini mentaati Allah SWT, maka mereka akan diberi ganjaran di akhirat kelak.
Begitulah sebaliknya jika mereka yang ingkar maka selayaknya balasan azab yang
pedih menanti di hari pembalasan.
“Masuklah kamu ke dalam
neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, daripada jin dan
manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongan
sendiri); hinggalah apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah
golongan yang akhir mengenai golongan pertama di antara mereka: “Wahai Tuhan
kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka
azab seksa yang berlipat kali ganda daripada (azab) neraka”. Allah
berfirman:”Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda
tetapi kamu tidak mengetahui.” - Surah al-A’raf:38
Menurut Syeikh Jadul Haq
(bekas Syeikh Al-Azhar), Iblis adalah 'abu syaitan' (bapa syaitan). Jika
malaikat adalah tentera Allah yang mengajak kebaikan, iblis dan syaitan adalah
sebaliknya. Mereka adalah musuh Allah yang menyeru ke arah kejahatan dan
kerosakkan. Syaitan ialah golongan yang angkuh dan derhaka dari alam jin.
Mereka adalah dari kalangan jin juga.
Sejarah
Iblis
Firman Allah SWT:
“Dan
(ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat:
Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah
berasal dari golongan jin…” - Surah al-Kahfi: 50
Iblis turut dikenali dengan nama Azazil. Sebelum penciptaan Nabi Adam a.s.
Azazil merupakan imam kepada para malaikat. Riwayat menceritakan malaikat
Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat:
“Adanya
satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu
kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat
sehingga hari Kiamat”.
Menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Luh Mahfuz itu
adalah dirinya. kemudian diberitakan kepada para malaikat, menangislah sekelian
malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang
menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil mendoakan
keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun
mendoakan kepada seluruh malaikat dengan doa :
“Ya Allah,
Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)”
Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya.
Ketika Allah menciptakan Nabi Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud
hormat kepada Nabi Adam. Maka para malaikat sujud
tunduk kepada perintah Allah melainkan Iblis. Dia menolak, kerana merasakan
bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam.
Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :-
“Dan
(ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu
kepada Adam; maka mereka sujud melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud
kepada makhluk yang Engkau ciptakan dari tanah?”. - Surah al-Isra’:61
Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki Azazil, yang irihati apabila
Allah hendak melantik nabi Adam sebagai khalifah di bumi. Maka Azazil dihalau
keluar dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke
bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya. Firman Allah
SWT:
Dia (Iblis) berkata: “Khabarkanlah kepadaku,
inikah orang yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku
hingga hari kiamat, pasti aku akan sesatkan keturunannya, kecuali
sebahagian kecil”. - Surah al-Isra’:62
Iblis telah berjanji untuk menyesatkan anak cucu Adam. Justeru, gangguan
daripada Iblis dan tentera-tenteranya akan terus berkesinambungan sehinggalah
ke hari kiamat kelak. Maka mohonlah perlindungan daripada Allah taala agar kita
terhindar daripada kejahatan dan gangguan mereka.
Syaitan yang Dirantai
Dari
sudut pandangan Islam, para Ulama berbeza pendapat dalam menafsirkan maksud
hadis tentang syaitan yang dirantai ketika bulan Ramadhan.
Ibn
Hajar al-‘Asqalani menukilkan dari al-Halimiy yang dimaksudkan dengan syaitan
yang dirantai itu ialah para syaitan tidak dapat menggoda umat Islam
sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam melaksanakan ibadah
berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat. Di bulan ini juga umat islam sibuk
dengan aktiviti-aktiviti kerohanian seperti membaca al-Quran dan berzikir.
Menurut
pendapat Imam Nawawi Rahimahullah di dalam syarahnya menyebut bahawa ianya
hanyalah satu ‘majaz’ atau kiasan untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak
mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa. Ini kerana, puasa yang
dilakukan oleh orang-orang Islam akan menyempitkan saluran darah yang menjadi
laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama
ini. Oleh kerana itu, syaitan tidak dapat menjalankan tugasnya dan keadaan ini
menyebabkan dirinya bagaikan di'rantai'. Namun beliau tidak menolak bahawa
syaitan benar-benar dirantai.
Menurut
pandangan Imam As-Syafie pula, “hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja
dibelenggu, manakala yang lain masih bebas , kerana itu masih terdapat yang
membuat maksiat di bulan Ramadhan”.
Kesimpulan
daripada pendapat-pendapat tersebut, jin dan syaitan masih lagi dapat
mengganggu manusia dibulan ramadhan ini. Keteguhan iman serta amalan ibadah seseorang
yang sebenarnya dapat membelenggu jin, menghindari daripada hasutan kejahatan
serta tipu dayanya.
Penutup
Puasa
adalah suatu ibadat ‘tazkiyah al-nafs’, iaitu proses penyucian jiwa dan nurani
daripada segala penyakit rohani. Ia dapat meningkatkan nilai taqwa di sisi
Allah SWT. Nilai ketaqwaan inilah yang dapat menghindarkan kita daripada
gangguan makhluk-makhluk halus. Apabila kita berpuasa jiwa kita menjadi kuat
sehingga dapat menakluk nafsu. Ini adalah kerana apabila lemah kekuatan badan,
kita dapat mengawal lidah, hati (fikiran) dan anggota-anggota tubuh badan kita
dari melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat. Puasa memiliki
fungsi untuk menghidupkan hati atau jiwa yang lemah diperkudakan nafsu. Kerana
nafsu merupakan sasaran syaitan yang ampuh dalam usaha merosak dan menyesatkan
umat manusia.
Berikut surah-surah amalan bagi mengelakkan diri dari gangguan kerasukan:-
· Surah Al Baqarah ayat 165 hingga 186
· Surah Al A’raaf ayat 146 hingga 159
Surah Al Baqarah ayat 244 hingga 255
· Surah Al Mukminun ayat 105 hingga 118
Jadikanlah Ramadan sebagai bulan untuk meningkatkan
amal ibadah kita kepada Allah SWT dan istiqamah dilakukan dibulan-bulan yang
lain juga. Begitu pula dengan amalan berpuasa, jadi ia sebagai rutin hidup
kita. Selain dapat mengamalkan sunnah, kita juga dapat memelihara kesihatan
tubuh badan kita daripada pelbagai jenis penyakit dan terhindar dari kerasukan!
Insya-Allah