DALAM satu hadis yang diriwayatkan
oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa: "Barang siapa
yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan
menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
Mendirikan malam al-Qadar bermakna
mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua
perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan
keberkatan. Ada
beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan sahabat pada malam-malam
akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:
A . Mandi, berpakaian indah dan
berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim
bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat
bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat
menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa riwayat
daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan
bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila
berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan
Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul
Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
b. Melaksanakan solat sunat, iktikaf
dan membaca al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan
satu hadis daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk
10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya,
membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.”
Sahabat dan ulama berbeza pendapat
dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat
bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.
Ibadat yang biasa dilakukan pada
malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam
salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud:
“Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada
al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.” Mengerjakan solat
dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam
salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam
Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat
rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui
ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat
diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata:
“Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah
mengambil bahagiannya daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat
Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul
Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Selain solat dan membaca al-Quran, 10
akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan
tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf
pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”
c. Memperbanyak doa.
Rasulullah bersabda doa adalah otak
segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh
Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan. Dalam satu
hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah
membaca doa pada malam al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa doa yang
paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan
daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada
Aishah. Doanya berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni
(maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha
Mengampun, maka ampunilah aku ini).”
Pada malam itu Allah akan mengabulkan
semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu
Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum
arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan
mereka yang memutuskan silaturahim.”
Sumber:http://tajfarhah86.blogspot.com/2010/dalam-satu-hadis-yang-diriwayatkan-oleh.htm
No comments:
Post a Comment